Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Muzium Munich Documentation Centre for the History of National Socialism (di kanan) baru-baru ini mengadakan pameran istimewa tentang Saksi-Saksi Yehuwa semasa zaman pemerintahan Nazi. Lokasi muzium ini dahulunya merupakan bekas ibu pejabat parti Nazi.

18 FEBRUARI 2019
JERMAN

Pameran di Munich Menunjukkan Penganiayaan Nazi terhadap Saksi-Saksi Yehuwa

Pameran di Munich Menunjukkan Penganiayaan Nazi terhadap Saksi-Saksi Yehuwa

Terdapat 60 buah papan maklumat yang digunakan untuk memaparkan dokumen dan foto tentang sejarah Saksi-Saksi Yehuwa yang dianiaya oleh Nazi.

Dari 26 September 2018 sehingga 6 Januari 2019, sebuah muzium di Munich (Munich Documentation Centre for the History of National Socialism) telah mengadakan sebuah pameran yang istimewa untuk menunjukkan apa yang dialami oleh Saksi-Saksi Yehuwa semasa zaman pemerintahan Nazi. Lokasi muzium ini dahulunya merupakan bekas ibu pejabat parti Nazi.

Semasa upacara perasmian pameran ini, Dr. Hans-Georg Küppers, iaitu penasihat kebudayaan di Munich, menjelaskan tujuan pameran ini. Dia berkata, “Pameran ini sangat penting kerana buat masa yang lama, banyak orang tidak tahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya oleh rejim Nazi. . . . Tujuan pameran ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang terhadap penderitaan yang dialami oleh mangsa rejim ini.”

Pameran ini menunjukkan pengalaman saudara saudari kita semasa rejim Nazi. Pameran ini terdiri daripada 60 buah papan maklumat yang menceritakan perjuangan saudara saudari kita yang berani dan setia. Salah satu papan maklumat memuatkan pengalaman Saudara Martin dan Saudari Gertrud Pötzinger. Tidak lama selepas mereka berkahwin, mereka ditangkap dan dihantar ke kem konsentrasi yang berlainan. Mereka tidak berjumpa dengan satu sama lain selama sembilan tahun. Akhirnya, mereka berdua dibebaskan. Pada kemudian hari, Saudara Pötzinger berkhidmat sebagai salah seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa.

Saudari Therese Kühner dihukum mati oleh Nazi pada 6 Oktober 1944.

Salah satu papan maklumat yang lain memuatkan pengalaman Saudari Therese Kühner, yang menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa (yang dahulunya dikenali sebagai Pelajar Bible Antarabangsa) pada tahun 1929. Semasa kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa dilarang di Jerman, saudara saudari mengadakan perjumpaan secara rahsia di rumahnya. Dia juga mencetak bahan bacaan Saksi dengan menggunakan mesin cetak di rumahnya. Selepas pihak Nazi mendapat tahu tentang kegiatannya, dia ditangkap dan dituduh “menerbitkan dan mengedarkan bahan bacaan yang menentang negara dan yang mematahkan semangat para askar.” Kesetiaan Saudari Kühner tidak pernah goyah meskipun semasa menghadapi ancaman maut. Akhirnya, dia dihukum mati pada 6 Oktober 1944.

Papan maklumat yang lain menunjukkan keneutralan saudara saudari kita yang enggan memberi tabik Hitler. Akibatnya, mereka menjadi sasaran kebencian rejim itu.

Pada tahun 1934, Hitler bersumpah untuk melenyapkan Saksi-Saksi Yehuwa dari muka bumi. Dia berkata, “Kelompok ini akan dilenyapkan dari Jerman!” Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya dengan keji dan teruk oleh rejim Hitler kerana dia bertekad untuk melenyapkan mereka. Kini Hitler dan partinya sudah lenyap, tetapi bilangan Saksi-Saksi Yehuwa di Jerman bertambah sehingga mencapai angka lebih daripada 165,000 orang. Kita bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia telah mengubah penderitaan kita menjadi harapan yang ‘tidak mengecewakan kita.’—Roma 5:3-5.