Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Saudara Minos Kokkinakis bersama saudara-saudara lain dalam pembuangan, dan setelah dia dibebaskan.

7 JANUARI 2019
GREECE

Memperingati Perjuangan Selama 50 Tahun untuk Mempertahankan Kebebasan Menginjil

Memperingati Perjuangan Selama 50 Tahun untuk Mempertahankan Kebebasan Menginjil

Lapan puluh tahun yang lalu, Saudara Minos Kokkinakis telah dibawa ke Pulau Amorgós, Greece, di Laut Aegean. Dia telah ditahan di pulau itu selama 13 bulan. Saudara Kokkinakis telah disabitkan bersalah kerana menjalankan kerja menginjil. Pada waktu itu, diktator Greece, Ioannis Metaxas, telah menetapkan undang-undang baharu yang mengharamkan kerja menginjil. Maka Saudara Kokkinakis disabitkan bersalah tanpa perbicaraan mahkamah. Dari tahun 1938 hingga 1992, seramai 19,147 orang Saksi-Saksi Yehuwa ditangkap, didera, dan dipenjarakan kerana mereka menyebarkan berita baik, dan dia ialah Saksi pertama yang ditangkap.

Sewaktu Saudara Kokkinakis berusia kira-kira 30 tahun, dia memulakan perjuangan untuk mempertahankan kebebasannya untuk menjalankan kerja menginjil. Perjuangannya ini berlangsung selama 50 tahun. Sepanjang masa itu, dia telah ditangkap lebih daripada 60 kali dan dipenjarakan lebih daripada enam tahun. Selama dipenjarakan, dia dan ramai Saksi-Saksi Yehuwa telah menghadapi keadaan yang buruk sekali. Kali terakhir Saudara Kokkinakis ditangkap ialah sewaktu dia berusia 77 tahun. Dia berusaha mempertahankan haknya semasa kesnya dibicarakan di Mahkamah Agung Greece, tetapi usahanya tidak berjaya. Maka dia membawa kesnya ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR), dan menyatakan bahawa kerajaan Greece telah merampas kebebasannya untuk beragama. Pada tahun 1993, ECHR membuat keputusan yang memihak kepada Saudara Kokkinakis, yang berusia 84 tahun pada masa itu. * Keputusan itu merupakan detik yang bersejarah kerana itulah kali pertama ECHR menyatakan sebuah negara bersalah kerana telah melanggar kebebasan beragama rakyatnya. Tahun 2018 ialah ulang tahun ke-25 keputusan yang bersejarah itu. Menurut seorang profesor undang-undang antarabangsa, kes Kokkinakis “ialah keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang paling sering dijadikan rujukan dalam hal kebebasan beragama atau kepercayaan.”

Keputusan kes Kokkinakis telah menjadi asas penting dalam undang-undang berkenaan kebebasan beragama, terutamanya dewasa ini, apabila negara-negara yang kuat, seperti Rusia, ingin menyekat kebebasan saudara saudari kita untuk beragama.

Iman dan ketabahan Saudara Kokkinakis dalam kerja penyebaran menjadi contoh yang baik bagi saudara saudari kita yang ditindas kerana menginjil. Kesetiaannya memberikan kesaksian yang baik kepada banyak orang sehingga sekarang.—Roma 1:8.

^ per. 3 Saudara Minos Kokkinakis meninggal pada Januari 1999.