Lompat ke kandungan

19 JULAI 2019
DENMARK

Peristiwa Bersejarah: Pengeluaran Kitab Yunani Kristian dalam Bahasa Iceland

Pada 19 Julai 2019, Saudara Stephen Lett, salah seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Iceland semasa konvensyen antarabangsa di Copenhagen, Denmark.

Pada pagi Jumaat konvensyen itu, pengerusi telah menjemput penutur bahasa Iceland dan mereka yang berkhidmat di kawasan yang menuturkan bahasa itu untuk berkumpul di sebuah bilik di stadium semasa rehat tengah hari. Semasa pertemuan khas ini, Saudara Lett telah mengedarkan Bible baharu ini kepada 341 saudara saudari yang hadir.

Selama ratusan tahun, orang Iceland telah berusaha untuk menterjemahkan Bible dalam bahasa ibunda mereka. Pada tahun 1540, Oddur Gottskálksson telah menerbitkan terjemahan Kitab Yunani Kristian yang pertama dalam bahasa Iceland. Sejak tahun 2010, saudara saudari di Iceland telah menggunakan Bible of the 21st Century, yang diterbitkan oleh Icelandic Bible Company (Pertubuhan Bible Iceland). Kini, saudara saudari kita dapat menggunakan Bible baharu ini untuk menyebarkan berita baik kepada lebih daripada 300,000 penutur bahasa Iceland.

Seorang saudara yang bekerja dalam kumpulan penterjemah berkata, “Kerja penterjemahan Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Iceland memakan masa hampir empat tahun. Terjemahan ini sangat istimewa kerana nama Yehuwa dikembalikan ke tempat asalnya dalam Bible. Hal ini selaras dengan doa Yesus yang tercatat di Yohanes 17:26, ‘Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian.’”

Kita bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia memberkati kerja menginjil yang dilakukan di seluas dunia. Kerja ini dapat dilakukan kerana sokongan daripada kerja terjemahan. Kita berdoa agar semakin banyak orang ingin mempelajari tentang “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan” dalam bahasa ibunda mereka.—Kisah 2:11.