Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Para pelawat menggunakan alat elektronik mudah alih yang menayangkan video-video ASL.

13 FEBRUARI 2019
AMERIKA SYARIKAT

Pameran di Muzium Ibu Pejabat Sedunia Kini Dapat Dinikmati dalam Bahasa Isyarat Amerika

Pameran di Muzium Ibu Pejabat Sedunia Kini Dapat Dinikmati dalam Bahasa Isyarat Amerika

Bermula bulan Januari 2019, pameran di muzium ibu pejabat sedunia dapat dinikmati dalam Bahasa Isyarat Amerika (ASL). Saudara Enrique Ford, penyelia Bahagian Muzium, menjelaskan, “Bahagian penterjemahan dan bahagian komputer telah bekerja keras agar pameran di muzium ini dapat dinikmati oleh komuniti ASL. Sekarang, saudara saudari yang pekak dan yang mempunyai masalah pendengaran dapat menikmati dan meraih manfaat yang besar semasa mengunjungi muzium ini.”

Saudari Ana Barrios ialah seorang perintis biasa yang pekak. Dia berkhidmat di New York dan dia ialah salah satu pelawat pertama yang menikmati lawatannya dalam ASL. Dia berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat menonton video-video dalam ASL semasa lawatan saya. Saya pernah melawat muzium ini dan melihat bahan-bahan yang dipamerkan. Sayangnya, saya kurang memahami keterangan yang terdapat dalam bahasa Inggeris, dan lawatan itu tidak menyentuh hati saya. Tetapi sekarang, selepas menonton beberapa video ASL tentang muzium ini, saya mempelajari sesuatu yang baru tentang nama Yehuwa. Selain itu, saya lebih memahami sifat-sifat Yehuwa. Saya sangat terharu sehingga menitiskan air mata!”

Projek ASL ini bermula pada bulan Jun 2017. Sejumlah 23 orang saudara dan saudari telah bekerja keras untuk menghasilkan video-video ini. Dalam kalangan mereka ialah enam saudara saudari yang pekak dan enam saudara saudari yang dapat mendengar tetapi dibesarkan oleh ibu bapa yang pekak. Mereka telah merakam lebih daripada 900 video, dan jumlah masa tayangan video-video itu kira-kira sembilan jam. Video-video itu diterjemahkan daripada rakaman audio bahasa Inggeris. Rakaman ASL ini dibuat di tiga lokasi yang berbeza: Di pejabat penterjemahan ASL di Fort Lauderdale, Florida; di pejabat cawangan Amerika Syarikat di Wallkill, New York; dan di ibu pejabat sedunia di Warwick, New York. Sebelum video-video ini digunakan secara rasmi, saudara saudari yang pekak dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang dijemput untuk menontonnya dan memberikan maklum balas agar mutu video-video itu dapat ditingkatkan.

Sesetengah saudara saudari yang telah membantu menghasilkan video ASL untuk muzium Warwick.

Bahagian Muzium telah membeli alat elektronik mudah alih dengan skrin sentuh yang dapat memainkan video dalam ASL untuk digunakan oleh para pelawat semasa melawat muzium Warwick. Bahagian Muzium juga mengaturkan agar 14 skrin sentuh yang sedia ada turut menayangkan video-video dalam ASL.

Saudara Mark Sanderson, salah seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, menjelaskan, “Tujuan muzium di Warwick adalah untuk menggalakkan dan menguatkan iman semua yang melawat ibu pejabat sedunia. Kami sangat teruja kerana lawatan untuk pameran muzium kami boleh didapati dalam 14 bahasa, termasuk ASL. Jadi para pelawat yang pekak dan yang ada masalah pendengaran juga dapat menikmati lawatan ini, tidak kira sama ada mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa atau tidak.”

Setakat ini, lebih daripada setengah juta orang telah melawat Warwick. Saudara saudari di seluruh dunia dijemput untuk melawat pameran muzium ini dan mempelajari tentang khazanah rohani Saksi-Saksi Yehuwa. Dengan demikian, kita semua akan digalakkan untuk terus menaruh keyakinan kepada Tuhan.—Mazmur 78:7.

Seorang saudara memeriksa video-video ASL di sebuah studio sementara di ibu pejabat sedunia di Warwick, New York.

Tiga orang budak yang mempunyai ibu bapa yang pekak sedang menonton video ASL untuk drama audio Bible dari tahun 1977 yang bertajuk “Nama Yehuwa akan Diisytiharkan ke Seluruh Bumi.”

Sekumpulan saudara saudari melawat pameran “Bible dan Nama Tuhan” dengan bantuan alat elektronik mudah alih.

Pelawat menonton video ASL pada sebuah skrin sentuh di bahagian pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa.”

Sekumpulan orang menonton video ASL di bahagian muzium yang memaparkan sekitar 500 gambar daripada “Drama-Foto Penciptaan.”