Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 TOPIK UTAMA | APAKAH MANFAATNYA BERDOA?

Doa—Apakah Manfaatnya?

Doa—Apakah Manfaatnya?

Sebelum melakukan sesuatu perkara, anda mungkin tertanya, “Apakah manfaatnya melakukan hal ini?” Jadi, anda mungkin pernah bertanya, “Apakah manfaatnya berdoa?” Namun, adakah salah untuk menanya soalan ini? Tidak. Bahkan Ayub pun pernah bertanya, “Semasa aku berseru kepada-Nya, adakah Dia akan menjawab seruanku?”—Ayub 9:16, NW.

Dalam rencana sebelumnya, kita membincangkan bukti-bukti bahawa doa bukan sekadar upacara agama atau rawatan. Jika kita berdoa dengan cara yang betul dan mengenai perkara yang sesuai, Tuhan akan mendengar doa kita. Sebenarnya Tuhan menjemput kita untuk menghampiri-Nya. (Yakobus 4:8) Jadi, apakah manfaatnya jika kita berdoa? Mari kita lihat beberapa manfaatnya.

Ketenangan minda.

Apabila anda dilanda masalah dan cabaran, anda mungkin berasa tertekan dan risau. Maka Bible menggalakkan kita: “Berdoalah sentiasa” dan “nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan.” (1 Tesalonika 5:17; Filipi 4:6) Bible memberikan jaminan bahawa “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran” kita. (Filipi 4:7) Kita boleh berasa tenteram jika kita meluahkan segala kerisauan kepada Bapa di syurga. Bible berkata, ‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu.’—Mazmur 55:23.

‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu.’—Mazmur 55:23

Ramai orang di serata dunia telah menerima kesejahteraan sebegini. Hee Ran dari Korea Selatan berkata, “Walaupun saya mengalami masalah yang  serius, saya berasa lega setelah berdoa dan mendapat kekuatan untuk terus bertabah.” Cecilia di Filipina pula berkata, “Sebagai seorang ibu, saya selalu risau akan dua orang anak perempuan saya dan ibu saya yang tidak lagi mengenali saya. Namun, doa membantu saya untuk meneruskan kehidupan seharian tanpa menjadi terlalu risau. Saya tahu Yehuwa akan membantu saya untuk menjaga mereka.”

Kelegaan hati dan kekuatan semasa menghadapi cabaran.

Adakah anda berasa sangat tertekan? Mungkin nyawa anda dalam bahaya atau anda menghadapi tragedi. Berdoalah kepada “Tuhan yang melegakan hati.” Bible berkata bahawa Dia akan “melegakan hati kita semasa kita mengalami segala macam  cubaan.” (2 Korintus 1:3, 4) Contohnya apabila Yesus berasa sangat tertekan, dia “berlutut dan mula berdoa.” Hasilnya, “satu malaikat dari syurga muncul dan menguatkannya.” (Lukas 22:41, 43) Seorang lagi lelaki yang setia, Nehemia, telah diancam oleh orang jahat. Dia berdoa, ‘Ya Tuhan, kuatkanlah aku sekarang!’ Tuhan benar-benar membantu dia untuk mengatasi ketakutannya dan berjaya dalam tugasnya. (Nehemia 6:9-16) Reginald dari Ghana berkata, “Saya akan berdoa semasa menghadapi kesusahan. Kemudian saya berasa seperti sudah memberitahu masalah saya kepada seseorang yang dapat membantu. Saya yakin bahawa saya tidak perlu berasa khuatir lagi.” Ya, Tuhan melegakan hati kita apabila kita berdoa kepada-Nya.

Kebijaksanaan daripada Tuhan.

Sesetengah keputusan kita dapat memberikan kesan yang berkekalan kepada diri kita dan orang lain. Bagaimanakah kita dapat membuat keputusan yang bijak? Bible berkata, “Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana [terutamanya apabila menghadapi cabaran], hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. Tuhan tidak akan memarahinya. Sebaliknya, Tuhan akan menunaikan permintaannya kerana Dia murah hati terhadap semua orang.” (Yakobus 1:5) Jika kita memohon kebijaksanaan semasa membuat keputusan, Tuhan akan menggunakan daya aktif-Nya untuk membimbing kita. Kita juga boleh memohon daya aktif kerana Yesus berkata bahawa Bapa “akan memberikan daya aktif-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.”—Lukas 11:13.

“Saya selalu memohon bimbingan Yehuwa agar dapat membuat keputusan yang bijak.”—Kwabena, Ghana

Yesus juga berdoa kepada Bapanya semasa membuat keputusan yang penting. Contohnya, sebelum dia memilih 12 orang rasulnya, “dia berdoa kepada Tuhan sepanjang malam.”—Lukas 6:12.

Seperti Yesus, banyak orang hari ini berasa yakin apabila melihat cara Tuhan membantu mereka membuat keputusan yang bijak. Regina di Filipina mengalami pelbagai masalah. Dia perlu menyara keluarga setelah suaminya meninggal, dia kehilangan kerja, dan menghadapi cabaran untuk membesarkan anak. Bagaimanakah dia mendapat kebijaksanaan untuk menangani masalahnya? Dia berkata, “Saya bergantung kepada Yehuwa melalui doa.” Kwabena di Ghana kehilangan kerja yang bagus dalam bidang pembinaan. Semasa membuat keputusan, dia berkata, “Saya selalu memohon bimbingan Yehuwa agar dapat membuat keputusan yang bijak. . . . Saya yakin bahawa Yehuwa telah membantu saya memilih pekerjaan yang membolehkan saya menjaga keperluan fizikal dan rohani saya.” Anda juga akan mendapat bimbingan Yehuwa dengan berdoa tentang perkara yang dapat mempengaruhi hubungan anda dengan-Nya.

Kita telah membincangkan beberapa manfaat doa. (Lihat juga kotak, “ Manfaat Berdoa.”) Untuk mendapat manfaat tersebut, anda perlu mengenal Tuhan dan kehendak-Nya. Untuk melakukan hal ini, anda boleh menghubungi Saksi-Saksi Yehuwa untuk mempelajari Bible. * Langkah pertama ini akan membantu anda menghampiri Tuhan yang “mengabulkan doa.”—Mazmur 65:3.

^ per. 14 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Saksi-Saksi Yehuwa atau melayari laman web kami, www.jw.org/ms.