Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Dapatkah Kita Mengenali Tuhan?

Dapatkah Kita Mengenali Tuhan?

“Tuhan tidak dapat difahami.”—Philo dari Aleksandria, ahli falsafah abad pertama.

“[Tuhan] sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.”—Saulus dari Tarsus, semasa berucap kepada ahli falsafah di Atena pada abad pertama.

APAKAH pandangan anda mengenai dua pernyataan di atas? Ramai yang mendapati bahawa kata-kata Saulus, yang juga dikenali sebagai rasul Paulus, sangat menarik dan melegakan hati. (Kisah 17:26, 27) Hal yang sama dinyatakan berkali-kali dalam Bible. Contohnya, dalam doa Yesus, dia meyakinkan pengikutnya bahawa mereka dapat mengenali Tuhan dan diberkati-Nya.—Yohanes 17:3.

Namun, ahli falsafah seperti Philo tidak setuju. Menurut mereka, kita tidak dapat mengenali Tuhan. Jadi, pandangan manakah yang benar?

Bible menyatakan bahawa terdapat sesetengah perkara tentang Tuhan yang susah difahami manusia. Kita tidak tahu berapa lama Pencipta kita sudah wujud, betapa cerdiknya fikiran-Nya, atau betapa dalam kebijaksanaan-Nya. Semua itu melampaui batas pemahaman manusia. Namun, hal itu tidak menghalang kita daripada mengenali-Nya. Sebaliknya, jika kita merenungkan hal itu, kita dapat ‘menghampiri Tuhan.’ (Yakobus 4:8) Mari kita kaji beberapa perkara tentang Tuhan yang tidak dapat difahami manusia. Kemudian, kita akan kaji apa yang dapat kita fahami tentang Tuhan.

 Perkara yang Tidak Dapat Difahami

KEABADIAN TUHAN: Bible berkata bahawa Dia ialah ‘Tuhan yang kekal.’ (Mazmur 90:2) Maksudnya, Tuhan tiada permulaan ataupun akhir. Jadi, manusia tidak dapat “mengira jumlah tahun-Nya.”—Ayub 36:26.

Manfaatnya: Jika anda berusaha mengenali Tuhan, Dia berjanji untuk memberi anda kehidupan kekal. (Yohanes 17:3) Jika Tuhan tidak kekal, adakah janji-Nya dapat dipercayai? Hanya “Raja yang kekal” dapat menunaikan janji itu.—1 Timotius 1:17.

FIKIRAN TUHAN: Bible berkata, ‘tiada sesiapa pun yang dapat menyelami fikiran Tuhan,’ kerana kebijaksanaan-Nya jauh lebih unggul daripada kita. (Yesaya 40:28; 55:9) Itulah sebabnya Bible berkata, “Siapakah yang mengetahui fikiran Yehuwa sehingga dapat mengajar-Nya?”—1 Korintus 2:16.

Manfaatnya: Tuhan dapat mendengar jutaan doa orang pada masa yang sama. (Mazmur 65:3) Selain itu, tidak seekor burung pipit pun yang jatuh ke tanah tanpa diketahui-Nya. Adakah minda Tuhan sesak dengan banyak perkara sehingga Dia tidak dapat memperhatikan atau mendengar doa anda? Tidak. Daya fikiran Tuhan tiada batasan. Dalam pandangan-Nya, anda “lebih berharga daripada banyak burung pipit.”—Matius 10:29, 31.

PERBUATAN TUHAN: Bible menyatakan bahawa manusia tidak akan memahami “segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir.” (Pengkhutbah 3:11) Oleh itu, kita tidak tahu segala-galanya tentang Tuhan. “Tiada sesiapa pun yang dapat memahami” kebijaksanaan Tuhan. (Roma 11:33) Namun, Tuhan rela menyatakan rancangan-Nya kepada orang yang menyenangkan hati-Nya.—Amos 3:7.

Kita tidak dapat memahami sepenuhnya kebijaksanaan dan fikiran Pencipta kita, atau berapa lama Dia sudah wujud

Manfaatnya: Jika anda membaca dan mengkaji Bible, anda akan selalu mempelajari perkara baru tentang Tuhan dan perbuatan-Nya. Hal ini bermaksud bahawa kita dapat mendekati Tuhan buat selama-lamanya.

Perkara yang Dapat Kita Fahami

Meskipun kita tidak memahami sesetengah perkara tentang Tuhan, kita masih dapat mengenali-Nya. Bible mengandungi banyak maklumat yang dapat membantu kita berbuat demikian, seperti:

NAMA TUHAN: Bible memberitahu kita bahawa Tuhan memberi diri-Nya satu nama. Dia berfirman, ‘Akulah Yehuwa, itulah nama-Ku.’ * Nama Tuhan muncul lebih daripada 7,000 kali dalam Bible, jauh lebih banyak daripada nama-nama yang lain.—Yesaya 42:8.

Manfaatnya: Dalam doa yang diajarkan oleh Yesus, dia berkata, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Gunakanlah nama Tuhan semasa berdoa. Yehuwa rela menyelamatkan sesiapa sahaja yang menghormati nama-Nya.—Roma 10:13.

KEDIAMAN TUHAN: Bible mengajar kita bahawa terdapat dua alam: Alam roh di mana wujudnya makhluk roh, serta alam fizikal yang merangkumi bumi dan alam semesta. (Yohanes 8:23; 1 Korintus 15:44) Istilah “syurga” dalam Bible sering kali  merujuk kepada alam roh. Di situlah ‘tempat kediaman’ Pencipta kita.—1 Raja-Raja 8:43.

Manfaatnya: Pemahaman anda tentang Tuhan bertambah jelas. Pencipta kita bukanlah suatu daya yang berada di mana-mana sahaja. Yehuwa ialah Individu sebenar yang mempunyai tempat tinggal. Namun, ‘tidak ada satu ciptaan pun yang tersembunyi daripada pandangan-Nya.’—Ibrani 4:13.

KEPERIBADIAN TUHAN: Bible memberitahu kita tentang sifat-sifat Yehuwa yang terpuji. “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Dia tidak berdusta. (Titus 1:2) Dia berbelas kasihan, tidak berat sebelah, dan tidak cepat murka. (Keluaran 34:6; Kisah 10:34) Pencipta kita juga ingin menjadi “sahabat orang yang mentaati-Nya.”—Mazmur 25:14.

Manfaatnya: Anda dapat menjadi sahabat Yehuwa. (Yakobus 2:23) Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, anda akan semakin memahami kisah-kisah Bible.

‘CARILAH DIA’

Bible memberikan gambaran yang jelas tentang Tuhan Yehuwa. Pencipta kita ingin anda mengenali-Nya. Bible berjanji, “Jika engkau mencari Dia, engkau akan mendapatkan Dia.” (1 Tawarikh 28:9) Oleh itu, bacalah dan renungkanlah Bible supaya anda lebih mengenali Tuhan. Dengan demikian, Tuhan pasti ‘akan menghampiri anda.’—Yakobus 4:8.

Dengan mengkaji Bible, anda akan selalu mempelajari perkara baru tentang Tuhan dan perbuatan-Nya

Anda mungkin tertanya-tanya, “Jika saya tidak mungkin mengenali segala-galanya tentang Pencipta kita, bagaimanakah saya dapat menjadi sahabat-Nya?” Namun, fikirkan hal ini: Adakah sahabat karib seorang doktor mesti mempunyai ijazah perubatan? Tidak! Sahabat itu mungkin bekerja dalam bidang lain. Namun, mereka masih dapat bersahabat, kerana sahabat itu mengenali keperibadian doktor tersebut, dan apa yang disukai atau yang dibencinya. Begitu juga, setelah mempelajari Bible, anda akan tahu sifat-sifat Yehuwa. Itulah perkara terpenting yang diperlukan untuk menjadi sahabat-Nya.

Maklumat dalam Bible sangat jelas dan dapat membantu kita mengenali Tuhan. Inginkah anda lebih mengenali Tuhan Yehuwa? Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan pembelajaran Bible percuma. Hubungilah mereka di kawasan anda atau layari laman web www.jw.org/ms.

^ per. 16 Untuk penjelasan bagi mengapa perkataan “TUHAN” digantikan dengan “Yehuwa,” sila rujuk kepada nota kaki di Kejadian 2:4 dalam Alkitab Berita Baik yang menyatakan: “‘TUHAN’ adalah padanan nama Ibrani YHWH yang diduga sebutannya Yahweh, dan ada juga yang menyebutnya Yehowa.”