Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 TOPIK UTAMA | CARA MENANGANI KEKHUATIRAN

Khuatir tentang Wang

Khuatir tentang Wang

“Selepas krisis ekonomi melanda, harga makanan naik mendadak dan makanan susah didapati,” kata Paul, seorang suami dan bapa. “Kami beratur berjam-jam untuk membeli makanan. Namun, makanan biasanya habis apabila tiba giliran kami. Ramai orang menjadi kurus dan ada yang pengsan kerana lapar. Harga keperluan asas naik sehingga berjuta-juta dan kemudian berbilion-bilion dolar. Akhirnya, mata wang tempatan tidak bernilai. Wang saya dalam bank, insurans, dan pencen semuanya tidak bernilai.”

Paul

Untuk menyara keluarganya, Paul memerlukan “hikmat dan pengertian.” (Amsal 3:21) Dia berkata, “Saya seorang juruelektrik. Namun, saya melakukan apa sahaja kerja walaupun gajinya kurang daripada gaji biasa. Sesetengah orang membayar dengan makanan atau barang lain. Jika saya dibayar dengan empat buku sabun, saya akan jual dua dan simpan yang dua lagi. Saya juga membeli 40 anak ayam. Selepas mereka membesar, saya menjualnya dan membeli 300 anak ayam lagi. Selepas itu, saya menukar 50 ayam dengan dua beg cornmeal (jagung kering yang dikisar) yang beratnya 50 kg setiap satu. Jadi, saya dapat menyediakan makanan untuk keluarga saya dan beberapa keluarga lain buat masa yang lama.”

Paul tahu bahawa mempercayai Tuhan ialah langkah yang paling praktikal. Apabila kita menuruti perintah Tuhan, Dia akan membantu kita. Berkenaan keperluan asas, Yesus berkata, “Jangan lagi terlalu khuatir. . . . Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini.”—Lukas 12:29-31.

Musuh Tuhan, Syaitan, memperdaya ramai orang untuk mementingkan hal-hal jasmani. Ramai berfikir bahawa mereka memerlukan sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan. Untuk memenuhi keinginan itu, mereka mendapatkan pinjaman wang. Akibatnya,  “orang yang minta pinjam dikuasai orang yang memberi pinjam.”—Amsal 22:7.

Sesetengah orang membuat keputusan yang kurang bijak. Paul berkata, “Banyak jiran meninggalkan keluarga dan kawan untuk mencari nafkah di negara asing. Ada yang pergi secara haram dan tidak dapat mencari kerja. Mereka menyembunyikan diri daripada polis dan tidur di tepi jalan. Mereka tidak memberi peluang kepada Tuhan untuk membantu mereka. Tetapi, kami sekeluarga bertekad untuk menghadapi masalah kewangan dengan bantuan Tuhan.”

MENGIKUT NASIHAT YESUS

Paul menambah: “Yesus berkata, ‘Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.’ Jadi setiap hari, saya berdoa: ‘Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini.’ Tuhan memang telah membantu, seperti yang dijanjikan Yesus. Ada kalanya, kami tidak mendapat apa yang diinginkan. Pada suatu hari, saya berbaris membeli makanan. Apabila tiba giliran saya, saya nampak mereka jual yogurt. Saya tidak suka yogurt. Tetapi kami makan juga yogurt itu. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana keluarga saya tidak pernah kelaparan.” *

Tuhan berjanji: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.”—Ibrani 13:5

“Sekarang keadaan kewangan kami lebih baik. Kami belajar bahawa cara terpenting untuk menangani kekhuatiran adalah dengan mempercayai Tuhan Yehuwa. * Dia membantu kita jika kita berusaha melakukan kehendak-Nya. Memang benar kata Mazmur 34:9: ‘Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!’ Kami tidak lagi takut untuk menghadapi masalah ekonomi.”

Tuhan membantu umat-Nya untuk mendapat ‘makanan yang mereka perlukan untuk hari ini’

“Manusia perlu makanan untuk hidup, bukannya pekerjaan atau wang. Kami menantikan masanya ‘biji-bijian akan melimpahi’ bumi. Sementara itu, ‘jika kami mempunyai makanan dan pakaian, kami akan berpuas hati.’ Ayat Bible ini menggalakkan kami: ‘Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki, kerana Tuhan telah berfirman, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” Oleh itu, dengan penuh keberanian kita dapat berkata, “Yehuwalah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”’” *

Seperti Paul dan keluarganya, kita memerlukan iman untuk ‘hidup akrab dengan Tuhan.’ (Kejadian 6:9, 10) Sama ada kita sedang atau akan menghadapi masalah ekonomi, kita mendapat pengajaran yang penting daripada contoh Paul.

Bagaimana pula jika masalah keluarga menyebabkan kita khuatir?

^ per. 10 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.