Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Haruskah Kita Berdoa kepada Yesus?

Haruskah Kita Berdoa kepada Yesus?

BARU-BARU ini, sebuah tinjauan mengenai topik Yesus telah dilakukan. Sekitar 800 orang muda daripada pelbagai aliran Kristian ditanya sama ada mereka percaya bahawa Yesus menjawab doa atau tidak. Hasilnya, terdapat lebih daripada 60 peratus orang muda menjawab “Ya.” Namun, seorang perempuan membuat tanda pangkah pada nama Yesus dan menulis perkataan “Tuhan” pada kertas tinjauan tersebut.

Bagaimana pula dengan anda? Haruskah kita berdoa kepada Yesus atau Tuhan? * Untuk mencari jawapan, mari kita lihat cara berdoa yang diajar oleh Yesus.

KITA HARUS BERDOA KEPADA SIAPA?

Yesus mengajar dan menunjukkan hal ini kepada kita.

Teladan Yesus menunjukkan bahawa kita harus berdoa kepada Bapanya di syurga

AJARANNYA: Ketika pengikut Yesus bertanya kepadanya, “Tuan, ajarlah kami cara untuk berdoa,” Yesus menjawab, “Semasa kamu berdoa, katalah, ‘Bapa.’” (Lukas 11:1, 2) Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengajar cara untuk berdoa. Dia berkata, “Berdoalah kepada Bapamu.” Dia juga berkata, “Tuhan, Bapa kamu, sudah tahu apa yang kamu perlukan bahkan sebelum kamu meminta daripada-Nya.” (Matius 6:6, 8) Pada malam sebelum Yesus meninggal, dia memberitahu pengikutnya, “Bapa akan memberikan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.” (Yohanes 16:23) Jelaslah, Yesus ingin kita berdoa kepada Bapanya, iaitu Tuhan Yehuwa.—Yohanes 20:17.

TELADANNYA: Yesus juga berdoa dalam cara yang sama. Dia berkata, “Aku memuji-Mu di hadapan umum, ya Bapa, Pemerintah langit dan bumi.” (Lukas 10:21) Pada masa lain, “Yesus menengadah ke langit dan berkata, ‘Bapa, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar doaku.’” (Yohanes 11:41) Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Yesus berdoa, “Ya Bapa, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tangan-Mu.” (Lukas 23:46) Teladan Yesus menunjukkan bahawa kita harus berdoa kepada Bapanya di syurga, “Pemerintah langit dan bumi.” (Matius 11:25; 26:41, 42; 1 Yohanes 2:6) Bagaimanakah orang Kristian abad pertama menerapkan ajaran Yesus?

ORANG KRISTIAN ABAD PERTAMA BERDOA KEPADA SIAPA?

Beberapa minggu selepas Yesus kembali ke syurga, para pemimpin agama mengganggu dan mengugut pengikutnya. (Kisah 4:18) Jadi, pengikut Yesus berdoa untuk memohon bantuan. Tetapi, doa mereka ditujukan kepada siapa? “Mereka berseru kepada Tuhan” untuk meminta bantuan-Nya ‘melalui nama Yesus, hamba-Nya yang suci.’ (Kisah 4:24, 30) Kisah ini menunjukkan bahawa mereka mengikut ajaran Yesus tentang doa. Mereka berdoa kepada Tuhan, dan bukannya kepada Yesus.

Bertahun-tahun kemudian, rasul Paulus juga menyebut tentang cara dia dan rakan seimannya berdoa. Dalam suratnya kepada rakan Kristian yang lain, Paulus menulis, “Kami sentiasa bersyukur kepada Tuhan, iaitu Bapa kepada Tuan kita, Yesus Kristus, semasa kami berdoa untuk kamu.” (Kolose 1:3) Dia juga menulis, “Dalam segala hal pun, hendaklah kamu sentiasa mengucapkan  syukur kepada Tuhan dan Bapa kita melalui nama Tuan kita, Yesus Kristus.” (Efesus 5:20) Kata-kata Paulus menggalakkan orang lain untuk berdoa kepada “Tuhan dan Bapa kita” melalui nama Yesus.—Kolose 3:17.

Seperti orang Kristian abad pertama, kita dapat menunjukkan kasih terhadap Yesus dengan mengikut nasihatnya mengenai doa. (Yohanes 14:15) Kita harus berdoa kepada Bapa di syurga sahaja. Dengan itu, kita dapat yakin bahawa Tuhan akan mendengar doa kita, seperti yang tercatat di Mazmur 116:1, 2, ‘Aku mengasihi Yehuwa, kerana Dia mendengar seruanku . . . Dia mendengar aku setiap kali aku berseru kepada-Nya.’ *

^ per. 3 Menurut Bible, Tuhan dan Yesus tidak setara. Untuk maklumat lanjut, lihat bab 4, buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 11 Kita mesti berusaha untuk hidup menurut kehendak Tuhan agar doa kita diterima oleh-Nya. Untuk maklumat lanjut, lihat bab 17, buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?