Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Berjuang Melawan Ketidakadilan dan Keganasan

Saya Berjuang Melawan Ketidakadilan dan Keganasan
  • TAHUN LAHIR: 1960

  • NEGARA ASAL: LUBNAN

  • DAHULU: DIA MAHIR DALAM KUNG FU

MASA LALU SAYA:

Saya dibesarkan di Rmaysh, yang terletak berdekatan dengan sempadan di antara Israel dan Lubnan. Pada masa itu, perang saudara sedang berlaku. Saya masih ingat ramai orang kehilangan tangan atau kaki mereka akibat letupan periuk api. Hidup sangat susah. Jenayah dan kejahatan berleluasa.

Keluarga kami ialah anggota Gereja Maronit, yang merupakan sebahagian daripada Gereja Katolik Timur. Ayah sibuk mencari nafkah untuk menyara kami 10 orang adik-beradik dan ibu pula memastikan agar kami semua pergi ke gereja. Lama-kelamaan, saya mula berasa bahawa pihak gereja gagal membantu orang yang lemah.

Semasa remaja, saya mula berminat terhadap kung fu. Saya berlatih bersungguh-sungguh untuk menjadi mahir dalam seni kung fu dan menggunakan senjata mempertahankan diri. Saya berkata, “Walaupun saya tidak dapat menghentikan peperangan, sekurang-kurangnya saya boleh cuba untuk menghentikan keganasan.” Setiap kali saya nampak orang bergaduh, saya segera campur tangan. Sifat saya yang panas baran membuat semua orang yang tinggal di bahagian selatan Lubnan takut akan saya. Mereka tahu bahawa saya berjuang melawan ketidakadilan dan keganasan.

Pada tahun 1980, saya menyertai sebuah persatuan kung fu di Beirut. Meskipun tempat kami dihujani bom dan peluru setiap hari, saya tetap pergi menjalani latihan kung fu. Saya sangat memuja Bruce Lee, seorang pelakon Cina Amerika yang mahir dalam kung fu. Setiap hari, saya makan, tidur, dan hidup seperti Bruce Lee. Saya meniru gaya rambutnya, cara dia berjalan, dan cara dia menjerit apabila melakukan aksi kung fu. Saya tidak pernah senyum.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Matlamat saya adalah untuk menjadi mahir dalam seni kung fu di negara China. Jadi, saya berusaha mengasah kemahiran kung fu dan membuat persediaan untuk pergi ke China. Pada suatu petang, semasa saya sedang berlatih, saya terdengar bunyi ketukan di pintu rumah. Rupa-rupanya kawan saya datang  bersama dua orang Saksi-Saksi Yehuwa. Ketika itu, badan saya dibasahi peluh dan saya berkata, “Saya tidak tahu apa-apa tentang Bible.” Saya tidak sangka bahawa itulah titik perubahan dalam hidup saya.

Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan Bible untuk menjelaskan bahawa manusia tidak dapat menghentikan ketidakadilan dan keganasan. Mereka menerangkan bahawa Syaitan ialah dalang di sebalik semua masalah ini. (Wahyu 12:12) Saya berasa kagum melihat kedamaian dan keyakinan yang ditunjukkan oleh mereka. Hati saya tersentuh apabila mereka mengajar saya bahawa Tuhan mempunyai nama. (Kejadian 2:4, nota kaki) Mereka juga menunjukkan ayat di 1 Timotius 4:8 yang menyatakan, “Latihan jasmani membawa sedikit manfaat, tetapi pengabdian kepada Tuhan membawa manfaat dalam semua perkara. Hal ini demikian kerana pengabdian kepada Tuhan menjanjikan berkat dalam kehidupan sekarang dan kehidupan yang akan datang.” Ayat ini membawa kesan yang mendalam terhadap saya.

Malangnya, keluarga saya menghalang Saksi-Saksi Yehuwa untuk datang ke rumah kami. Jadi, saya tidak lagi dapat menghubungi mereka. Meskipun demikian, saya memutuskan untuk berhenti menjalani latihan kung fu dan mula belajar Bible. Abang dan adik saya tidak setuju dengan keputusan itu, tetapi saya bertekad untuk mencari Saksi-Saksi Yehuwa agar dapat belajar Bible dengan mereka.

Saya berusaha mencari Saksi-Saksi Yehuwa tetapi gagal menemui mereka. Sementara itu, saya sangat sedih kerana mengalami banyak masalah keluarga, termasuk kematian ayah saya. Pada suatu hari, Adel, seorang Saksi yang bekerja di syarikat pembinaan bersama saya, bertanya mengapa saya kelihatan sedih. Adel memberitahu saya tentang harapan pembangkitan yang tercatat dalam Bible. Selama sembilan bulan, dia mengajar saya tentang kebenaran Bible dengan sabar dan penuh kasih.

Pembelajaran Bible membantu saya sedar bahawa saya harus mengubah keperibadian saya. Hal ini tidak mudah kerana saya seorang yang panas baran. Bible mengajar saya untuk bersabar dan tidak bertindak mengikut perasaan. Misalnya, Matius 5:44 berkata, “Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.” Selain itu, Roma 12:19 menyatakan, ‘Janganlah membalas dendam, . . . kerana ada tertulis, “Yehuwa berfirman, ‘Akulah yang akan membalas dendam.’”’ Prinsip-prinsip Bible membantu saya untuk memupuk sifat suka damai.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Sebelum ini, keluarga saya menentang keputusan saya untuk belajar Bible bersama dengan para Saksi. Tetapi sekarang, mereka menghormati Saksi-Saksi Yehuwa. Adik lelaki saya turut menyembah Yehuwa, manakala ibu saya mempertahankan pendirian kami sebagai Saksi sehingga akhir hayatnya.

Saya juga mempunyai seorang isteri yang baik dan setia. Saya dan Anita berkhidmat sebagai penginjil sepenuh masa. Sejak tahun 2000, kami tinggal di Eskilstuna, Sweden. Di sana, kami mengajar Bible kepada orang yang bertutur dalam bahasa Arab.

Saya masih berasa kasihan terhadap orang yang menderita akibat keganasan. Tetapi, saya menikmati sukacita dan kedamaian yang sejati kerana mengetahui punca masalah ini. Saya juga tahu bahawa Tuhan akan mengakhiri semua penderitaan pada masa depan.—Mazmur 37:29.

Saya dan isteri menikmati kerja menginjil. Kami suka mengajar orang tentang Yehuwa