Semasa di bumi, Yesus bercakap tentang pelbagai topik. Contohnya, dia mengajar pengikutnya cara untuk berdoa, menyenangkan hati Tuhan, dan mencari kebahagiaan hidup. (Matius 6:5-13; Markus 12:17; Lukas 11:28) Tetapi, topik yang paling kerap dibincangkan dan yang paling digemari oleh Yesus adalah tentang Kerajaan Tuhan.—Lukas 6:45.

Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, fokus utama Yesus adalah untuk ‘mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.’ (Lukas 8:1, nota kaki) Dia berjalan beratus-ratus kilometer di Israel untuk mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. Aktiviti penyebaran Yesus tercatat dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Di dalam buku-buku ini, Kerajaan Tuhan disebut lebih daripada 100 kali. Kebanyakannya merupakan kata-kata Yesus. Sudah tentu, jumlah ini hanyalah sebilangan kecil daripada semua yang dikatakan oleh Yesus tentang Kerajaan Tuhan!—Yohanes 21:25.

Mengapakah Kerajaan Tuhan begitu penting bagi Yesus semasa dia di bumi? Salah satu sebab adalah kerana Yesus tahu bahawa dia telah dipilih oleh Tuhan untuk menjadi Raja kerajaan itu. (Yesaya 9:5; Lukas 22:28-30) Walaupun begitu, Yesus tidak menyebarkan Kerajaan Tuhan demi kemuliaan sendiri. (Matius 11:29; Markus 10:17, 18) Sebab utama Yesus melakukannya adalah kerana dia tahu apa yang akan dicapai oleh Kerajaan Tuhan demi Bapanya di syurga dan demi pengikutnya yang setia. Sekarang Yesus berada di syurga dan sudah tentu Kerajaan Tuhan masih sangat penting baginya.—Lukas 24:51.

APA YANG AKAN DICAPAI OLEH KERAJAAN TUHAN DEMI BAPA YESUS

Yesus sangat mengasihi Bapanya di syurga. (Amsal 8:30; Yohanes 14:31) Dia mengagumi sifat-sifat Bapanya yang mulia seperti kasih, belas kasihan, dan keadilan. (Ulangan 32:4; Yesaya 49:15; 1 Yohanes 4:8) Yesus pasti benci mendengar dusta yang disebarkan tentang Bapanya. Contohnya, dusta bahawa Tuhan tidak mengambil berat tentang penderitaan manusia dan Tuhan ingin kita menderita. Inilah salah satu sebab mengapa Yesus bersemangat untuk ‘mengkhabarkan berita baik’ tentang Kerajaan Tuhan. Dia tahu bahawa melalui Kerajaan Tuhan, nama Bapanya akan bebas daripada segala celaan. (Matius 4:23; 6:9, 10) Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan melakukannya?

Yehuwa akan menggunakan Kerajaan ini untuk membawa perubahan yang besar bagi umat manusia. “Dia akan menyapu air mata mereka” yang setia kepada-Nya. Yehuwa akan menyingkirkan segala punca kesedihan. Dia akan memastikan bahawa “kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan.” (Wahyu 21:3, 4) Melalui Kerajaan-Nya, Tuhan akan meniadakan segala penderitaan manusia. *

 Jadi, tidak hairanlah Yesus begitu bersemangat untuk memberitahu orang tentang Kerajaan Tuhan! Dia tahu bahawa Kerajaan itu akan membuktikan betapa besarnya kuasa dan belas kasihan Bapanya. (Yakobus 5:11) Yesus juga tahu bahawa Kerajaan Tuhan akan membawa berkat kepada mereka yang disayanginya, iaitu penyembah Tuhan yang setia.

APA YANG AKAN DICAPAI OLEH KERAJAAN TUHAN UNTUK MANUSIA YANG SETIA

Lama sebelum Yesus datang ke bumi, dia tinggal bersama Bapanya di syurga. Melalui Yesus, Tuhan menciptakan segala sesuatu, termasuk galaksi dan bintang-bintang yang menakjubkan di angkasa, serta bumi kita yang indah yang penuh dengan pelbagai kehidupan. (Kolose 1:15, 16) Di antara semua ciptaan, Yesus paling menyayangi manusia.—Amsal 8:31.

Yesus menginjil kerana dia mengasihi manusia. Sejak mula lagi dia menjelaskan bahawa tujuannya datang ke bumi adalah untuk ‘mengkhabarkan berita baik.’ (Lukas 4:18) Yesus bukan sahaja bercakap tentang mengasihi orang, tetapi dia juga menunjukkan kasihnya kepada umat manusia. Misalnya, apabila orang ramai berkumpul untuk mendengar Yesus bercakap, dia “mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ.” (Matius 14:14) Apabila seorang lelaki yang menghidap penyakit yang teruk berkata kepada Yesus, “Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!” Yesus berasa kasihan dan menjawab, ‘Aku mahu, sembuhlah!’ (Lukas 5:12, 13) Apabila Yesus nampak Maria sedang menangis kerana saudaranya Lazarus sudah meninggal, Yesus “sedih hati,” “terharu,” lalu “menangis.” (Yohanes 11:32-36) Kemudian dia melakukan satu mukjizat. Yesus menghidupkan semula Lazarus yang telah meninggal selama empat hari!—Yohanes 11:38-44.

Yesus tentu tahu bahawa apa yang dilakukannya itu hanya memberikan kelegaan sementara. Lama-kelamaan, mereka yang disembuhkannya akan jatuh sakit, dan mereka yang dibangkitkannya akan mati lagi. Namun, Yesus juga tahu bahawa Kerajaan Tuhan akan menyelesaikan semua masalah ini dengan sepenuhnya. Itulah sebabnya Yesus tidak hanya melakukan mukjizat tetapi dia juga ‘mengkhabarkan berita baik’ tentang Kerajaan Tuhan. (Matius 9:35) Mukjizat Yesus hanyalah dalam skala yang kecil berbanding berkat-berkat yang lebih unggul yang bakal dilakukan oleh Kerajaan Tuhan. Cuba fikirkan janji-janji Bible mengenai hal itu.

  •  Tiada lagi masalah kesihatan.

    “Orang buta akan dapat melihat, orang tuli akan dapat mendengar. Orang lumpuh akan melompat seperti rusa, dan orang bisu akan bersorak gembira.” Tambahan lagi, ‘Tiada sesiapa akan mengeluh kerana sakit.’ —Yesaya 33:24; 35:5, 6.

  • Tiada lagi kematian.

    “Orang yang salih akan memiliki [bumi] ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.” —Mazmur 37:29.

    ‘Yehuwa akan memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.’—Yesaya 25:8.

  • Mereka yang sudah mati akan dibangkitkan.

    ‘Orang mati akan mendengar suaranya lalu keluar dari kubur.’—Yohanes 5:28, 29.

    “Orang akan dibangkitkan daripada kematian.”—Kisah 24:15.

  • Tiada lagi masalah perumahan atau pengangguran.

    “Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya . . . Mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka.”—Yesaya 65:21, 22.

  •  Tiada lagi peperangan.

    “Dia menghentikan perang di seluruh dunia.”—Mazmur 46:10.

    “Bangsa-bangsa tidak lagi berperang, dan tidak lagi bersiap untuk menyerang.”—Yesaya 2:4.

  • Tiada lagi kebuluran.

    ‘Tanah telah mengeluarkan hasilnya; Tuhan kita telah memberkati kita.’—Mazmur 67:7.

    ‘Biji-bijian melimpah di seluruh negeri; bukit-bukit diliputi tanaman.’—Mazmur 72:16.

  • Tiada lagi kemiskinan.

    “Orang miskin tidak selamanya dilupakan.”—Mazmur 9:19.

    “Raja menyelamatkan orang miskin yang berseru kepadanya, serta orang yang diabaikan dan yang susah. Raja mengasihani orang yang miskin dan yang lemah, dan menyelamatkan orang yang papa.”—Mazmur 72:12, 13.

Apabila anda berfikir tentang janji-janji ini, anda akan faham mengapa Kerajaan Tuhan penting bagi Yesus. Semasa di bumi, dia bersemangat bercakap tentang Kerajaan ini kepada sesiapa yang sudi mendengar. Yesus tahu Kerajaan Tuhan akan melenyapkan semua masalah yang kita hadapi.

Adakah janji Bible tentang Kerajaan Tuhan menarik minat anda? Jika ya, bagaimanakah anda dapat belajar lebih lanjut mengenainya? Apakah yang harus anda lakukan untuk menikmati semua berkatnya? Rencana terakhir bagi siri ini akan menjawab soalan tersebut.

^ per. 8 Untuk maklumat lanjut, lihat bab 11 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.