Memandangkan Tuhan Yehuwa * ialah Pencipta Yang Maha Kuasa, ramai orang menyalahkan-Nya atas segala perkara buruk yang berlaku di dunia. Namun, lihatlah ajaran Bible tentang Tuhan:

  • ‘Yehuwa adil dalam segala tindakan-Nya.’—Mazmur 145:17.

  • ‘Tuhan adil dalam segala perkara; Tuhan kamu setia, tidak ada kecurangan pada-Nya, Dia melakukan yang baik dan yang benar.’—Ulangan 32:4.

  • “Tuhan berbelas kasihan dan baik hati.”—Yakobus 5:11.

Tuhan bukan penyebab kejahatan. Namun, adakah Dia menyebabkan orang untuk berbuat jahat? Tidak. Menurut Bible, apabila seseorang mengalami cubaan, ‘dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Tuhan.”’ Mengapa? Kerana ‘Tuhan tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Tuhan sendiri tidak menggoda orang.’ (Yakobus 1:13) Apabila kejahatan berlaku atau apabila seseorang berbuat jahat, Tuhan bukanlah penyebabnya. Maka, siapakah atau apakah penyebab kejahatan?

PERKARA YANG TIDAK TERDUGA BOLEH BERLAKU

Bible menyatakan, “Manusia ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka.” (Pengkhutbah 9:12) Manusia boleh ditimpa malapetaka pada bila-bila masa. Hal ini bergantung pada di mana dia berada semasa malapetaka itu terjadi. Contohnya, hampir 2,000 tahun dahulu, Yesus Kristus berkata bahawa 18 orang terbunuh ditimpa menara yang runtuh. (Lukas 13:1-5) Mereka menjadi mangsa bukan kerana perbuatan mereka, tetapi kerana mereka berada di bawah menara itu ketika menara itu runtuh. Pada Januari 2010, gempa bumi berlaku di Haiti. Kerajaan Haiti melaporkan bahawa 300,000 orang terbunuh. Malapetaka sebegini termasuk penyakit juga boleh menimpa sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Mengapakah Tuhan tidak melindungi orang baik daripada bahaya?

Ada yang mungkin bertanya, “Bukankah Tuhan dapat menghalang bencana daripada berlaku? Tidakkah Dia dapat melindungi orang baik daripada bahaya?” Jika Tuhan berbuat demikian, maksudnya Dia tahu apa yang bakal berlaku. Tuhan memang mampu melihat masa depan. Namun, adakah Tuhan selalu melihat masa depan?—Yesaya 42:9.

Menurut Bible, ‘Tuhan melakukan apa yang dikehendaki-Nya.’ (Mazmur 115:3) Walaupun Yehuwa mampu melakukan segala perkara, Dia hanya melakukan apa yang diperlukan. Begitu juga dengan kemampuan Yehuwa untuk melihat masa depan. Contohnya, apabila kejahatan berleluasa  di kota Sodom dan Gomora, Tuhan memberitahu hamba-Nya, Abraham, “Aku hendak turun ke sana untuk menyiasat sama ada tuduhan yang sudah Aku dengar itu benar atau tidak.” (Kejadian 18:20, 21) Maka, Yehuwa memilih untuk tidak mengetahui kejahatan yang berlaku di kota itu. Maksudnya Yehuwa boleh memilih untuk tidak mengetahui segala yang berlaku pada masa depan. (Kejadian 22:12) Hal ini bukanlah suatu kelemahan atau ketidaksempurnaan. Memandangkan Tuhan “sempurna,” Dia menggunakan kemampuan-Nya untuk melihat masa depan hanya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Dia tidak sesekali memaksa manusia untuk mengikut haluan tertentu. * (Ulangan 32:4) Kesimpulannya, Tuhan boleh memilih sama ada Dia ingin mengetahui masa depan, dan Dia menggunakan kemampuan-Nya itu dengan bijak.

Mengapakah Tuhan tidak melindungi orang baik daripada jenayah?

ADAKAH MANUSIA BERTANGGUNGJAWAB?

Manusia juga menyebabkan kejahatan berlaku. Perhatikan penjelasan Bible tentang mengapa seseorang berbuat jahat. “Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian.” (Yakobus 1:14, 15, ABB) Apabila seseorang bertindak menurut keinginan yang jahat, mereka pasti mengalami akibat buruk. (Roma 7:21-23) Sepanjang sejarah, manusia melakukan banyak perkara yang dahsyat dan mengakibatkan penderitaan yang teruk. Malah, orang jahat boleh mempengaruhi orang lain dan menyebabkan kejahatan berterusan.—Amsal 1:10-16.

Manusia melakukan perkara dahsyat dan mengakibatkan penderitaan yang teruk

Patutkah Tuhan menghalang orang daripada berbuat jahat? Fikirkan bagaimana manusia dicipta. Bible menyatakan bahawa Tuhan menciptakan manusia seperti diri-Nya sendiri. Oleh itu, manusia mampu mencerminkan sifat-sifat Tuhan. (Kejadian 1:26) Manusia telah diberi kebebasan untuk memilih. Mereka boleh memilih untuk mengasihi Tuhan dan setia kepada-Nya serta melakukan perkara yang betul dalam pandangan-Nya. (Ulangan 30:19, 20) Jika Tuhan memaksa kita mengikut haluan tertentu atau mentakdirkan kehidupan kita, tidakkah hal itu bermaksud bahawa kita tiada kebebasan untuk memilih? Jika demikian, manusia umpama mesin yang hanya melakukan perkara yang sudah ditetapkan. Kita tentu berasa lega kerana Tuhan membenarkan kita untuk memilih haluan sendiri! Memang betul manusia sering membuat pilihan yang salah yang membawa kesan buruk. Namun, Yehuwa tidak akan membenarkan kesan buruk ini berterusan.

 ADAKAH KARMA MENYEBABKAN PENDERITAAN?

Jika anda menanya soalan pada muka depan majalah ini kepada seorang penganut agama Hindu atau Buddha, mereka mungkin menjawab, “Perkara buruk berlaku kepada orang baik kerana Karma. Mereka menuai apa yang mereka lakukan pada kehidupan-kehidupan yang sebelumnya.”

Namun, marilah kita lihat ajaran Bible tentang kematian. Di Taman Eden, Pencipta kita telah memberitahu manusia pertama, Adam, “Engkau boleh makan buah-buahan daripada semua pokok di taman ini, kecuali buah daripada pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Engkau tidak boleh makan buah pokok itu; jika engkau memakannya, engkau pasti mati.” (Kejadian 2:16, 17) Jika Adam tidak mengingkari Tuhan, dia tidak berdosa dan dia berpeluang untuk hidup selama-lamanya. Kematian adalah hukuman kerana mengingkari perintah Tuhan. Selepas anak-anaknya dilahirkan, “maut menjangkiti segenap umat manusia.” (Roma 5:12) Maka, kita faham bahawa “kematian adalah upah dosa.” (Roma 6:23) Bible juga menjelaskan bahawa “apabila seseorang mati, dia dibebaskan daripada kuasa dosa.” (Roma 6:7) Segala dosa akan dimansuhkan apabila seseorang mati.

Ramai orang hari ini percaya bahawa penderitaan yang berlaku berkait dengan Karma. Oleh itu, apabila mereka atau orang lain mengalami penderitaan, mereka menerima sahaja hakikat tersebut. Maksudnya perkara buruk akan tetap berlaku dan tidak dapat dihalang. Mereka percaya bahawa penyelamatan hanya dapat diperoleh jika seseorang bebas daripada kitaran lahir semula. Matlamat ini boleh dicapai melalui kelakuan yang baik dan pengetahuan yang khusus. Namun hal ini memang berbeza daripada apa yang Bible katakan. *

PENYEBAB UTAMA!

Dalang utama penderitaan di bumi ialah “penguasa dunia ini”—Syaitan Si Iblis—Yohanes 14:30

Manusia bukanlah penyebab utama kejahatan. Pada asalnya Syaitan Si Iblis ialah malaikat Tuhan yang setia. Namun dia ‘tidak memihak kepada kebenaran’ dan telah membawa dosa ke dalam dunia. (Yohanes 8:44) Dialah yang menyebabkan pemberontakan di Taman Eden. (Kejadian 3:1-5) Yesus memanggilnya “Si Jahat” dan “penguasa dunia ini.” (Matius 6:13; Yohanes 14:30) Kebanyakan manusia di dunia mengikut kehendak Syaitan dan mengabaikan haluan Yehuwa. (1 Yohanes 2:15, 16) 1 Yohanes 5:19 berkata bahawa “seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.” Terdapat malaikat lain juga yang menyertai Syaitan. Syaitan dan roh-roh jahat tersebut sedang “menipu seluruh dunia.” Maka Bible berkata, “Malanglah bumi.” (Wahyu 12:9, 12) Jadi, dalang utama yang menyebabkan kejahatan di bumi ialah Syaitan.

Jelaslah bahawa Tuhan tidak bertanggungjawab ke atas kejahatan dan penderitaan di dunia. Sebaliknya Tuhan telah berjanji untuk mengakhiri segala kejahatan. Janji ini akan dibincangkan dalam rencana seterusnya.

^ per. 3 Yehuwa ialah nama Tuhan yang terdapat dalam Bible.

^ per. 11 Untuk mempelajari mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan, lihat bab 11 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

^ per. 18 Untuk melihat ajaran Bible mengenai keadaan orang mati dan harapan bagi mereka, sila lihat bab 6 dan 7 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?