Bible memberitahu kita apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa dan anak-Nya, Yesus Kristus tentang penderitaan yang disebabkan oleh Syaitan. Bible menyatakan, ‘Justeru untuk hal inilah Anak Tuhan [Yesus] datang,’ iaitu untuk “memusnahkan pekerjaan Iblis.” (1 Yohanes 3:8) Sistem dunia ini yang dipengaruhi oleh ketamakan, kebencian, dan kejahatan akan lenyap. Yesus berjanji bahawa Syaitan Si Iblis, iaitu “penguasa dunia ini akan digulingkan.” (Yohanes 12:31) Tanpa pengaruh Syaitan, bumi akan menjadi tempat yang aman.—2 Petrus 3:13.

Bagaimana pula dengan mereka yang enggan berubah dan ingin terus berbuat jahat? Fikirkan janji Bible ini, ‘Orang yang hidup menurut kehendak Tuhan, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di negeri yang dijanjikan Tuhan. Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari negeri itu oleh Tuhan.’ (Amsal 2:21, 22, ABB) Oleh itu, pengaruh orang jahat akan tiada lagi. Dalam keadaan yang aman damai, manusia akan beransur-ansur menjadi sempurna.—Roma 6:17, 18; 8:21.

Di dunia baru itu, bagaimanakah Tuhan akan melenyapkan kejahatan? Dia tidak akan menarik balik kebebasan kita untuk memilih, tetapi akan mengajar manusia haluan-Nya yang benar. Mereka akan dibantu untuk berhenti memikirkan dan melakukan perkara jahat.

Tuhan akan melenyapkan segala penderitaan

Apakah yang akan dilakukan Tuhan mengenai malapetaka yang tidak terduga? Dia telah berjanji bahawa Kerajaan-Nya akan memerintah bumi. Raja Kerajaan-Nya, Yesus Kristus, berupaya menyembuhkan orang yang sakit. (Matius 14:14) Bahkan dia juga boleh mengawal alam semula jadi. (Markus 4:35-41) Maka, kita tidak akan menderita lagi kerana ‘bencana yang tidak disangka-sangka.’ (Pengkhutbah 9:12) Di bawah pimpinan Kristus, tiada malapetaka yang akan menimpa manusia.—Amsal 1:33.

Bagaimana pula dengan jutaan orang yang telah mati akibat tragedi? Sebelum membangkitkan Lazarus, Yesus berkata, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup.” (Yohanes 11:25) Ya, Yesus mempunyai keupayaan untuk membangkitkan, atau menghidupkan semula orang yang sudah mati!

Jika anda ingin hidup di dunia di mana perkara buruk tidak berlaku, belajarlah lebih lanjut tentang Tuhan yang benar dan kehendak-Nya melalui pembelajaran Bible. Saksi-Saksi Yehuwa gembira untuk membantu anda berbuat demikian. Anda dialu-alukan untuk menghubungi mereka di kawasan anda, ataupun menulis surat kepada penerbit majalah ini.