“Firman Tuhan itu hidup.”—IBR. 4:12.

LAGU: 37, 116

1. (a) Apakah tugas yang diberikan Tuhan kepada Adam? (b) Bahasa merupakan kurniaan daripada Tuhan. Bagaimanakah umat Tuhan menggunakan kurniaan ini?

BAHASA merupakan suatu kurniaan daripada Tuhan Yehuwa. Contohnya, Tuhan memberi Adam tugas untuk menamakan semua binatang di Taman Eden. Adam menggunakan kurniaan ini untuk memberikan nama yang sesuai bagi setiap binatang. (Kej. 2:19, 20) Sejak itu, umat Tuhan menggunakan bahasa untuk memuji Yehuwa dan memberitahu orang lain tentang-Nya. Hari ini, umat Tuhan juga menggunakan kurniaan ini untuk menterjemahkan Bible supaya lebih banyak orang dapat belajar tentang Yehuwa.

2. (a) Apakah prinsip yang diterapkan oleh Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baru? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Terdapat ribuan terjemahan Bible, tetapi ada terjemahan yang lebih tepat daripada terjemahan yang lain. Untuk menterjemahkan Bible dengan tepat, Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baru telah mengikut tiga prinsip utama: (1) Menyucikan nama Tuhan dan mengembalikan nama-Nya ke dalam Bible seperti dalam naskhah asal. (Baca Matius 6:9.) (2) Berusaha menterjemahkan mesej asal kata demi kata. Jika mereka tidak  dapat berbuat demikian, mereka akan menterjemahkan maksud yang tepat. (3) Menggunakan bahasa yang mudah dibaca dan difahami. * (Baca Nehemia 8:8, 12.) Tiga prinsip ini juga diterapkan semasa menterjemahkan Bible Terjemahan Dunia Baru ke dalam lebih daripada 130 bahasa. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana prinsip ini diterapkan dalam Terjemahan Dunia Baru edisi 2013, serta Terjemahan Dunia Baru yang diterjemahkan ke dalam bahasa lain.

BIBLE YANG MENYUCIKAN NAMA TUHAN

3, 4. (a) Di manakah kita boleh menjumpai Tetragrammaton? (b) Apakah yang dilakukan oleh banyak penterjemah Bible terhadap nama Tuhan?

3 Ejaan nama Tuhan terdiri daripada empat abjad Ibrani yang dikenali sebagai Tetragrammaton. Kita boleh menjumpai Tetragrammaton ini dalam banyak naskhah Ibrani kuno, seperti dalam Gulungan Laut Mati. Kita juga boleh menjumpai empat abjad ini dalam beberapa salinan Septuagint Yunani. Salinan-salinan ini dihasilkan dari abad kedua SM hingga abad pertama M. Ramai orang kagum apabila melihat nama Tuhan kerap digunakan dalam naskhah kuno.

4 Jelaslah bahawa nama Tuhan harus digunakan dalam Bible. Namun, banyak terjemahan tidak menggunakan nama Tuhan. Contohnya, American Standard Version edisi 1901 menggunakan nama Tuhan. Namun terjemahan American Standard Version yang dikemaskinikan pada tahun 1952 tidak lagi menggunakan nama Tuhan. Para penterjemah berasa bahawa nama Tuhan adalah tidak sesuai digunakan. Banyak penterjemah lain juga berbuat demikian, tidak kira dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain.

5. Mengapakah penting untuk menggunakan nama Tuhan dalam Bible?

5 Adakah penting untuk menggunakan nama Tuhan? Ya! Yehuwa, Pengarang Bible, ingin orang mengenali nama-Nya. Jadi seorang penterjemah yang baik harus tahu apa yang diinginkan oleh pengarang dan hal itu patut mempengaruhi cara penterjemahannya. Banyak ayat Bible menunjukkan bahawa nama Tuhan penting dan harus dimuliakan. (Yoh. 17:6, 26; Kis. 15:14) Yehuwa mengilhami penulis Bible untuk menggunakan nama-Nya ribuan kali dalam naskhah kuno. (Baca Yehezkiel 38:23. *) Oleh itu, apabila penterjemah mengeluarkan nama Tuhan daripada Bible, mereka sebenarnya tidak menghormati Yehuwa.

6. Mengapakah nama Tuhan ditambahkan sebanyak enam kali di Terjemahan Dunia Baru edisi 2013?

6 Pada hari ini, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa kita harus menggunakan nama Yehuwa. Terjemahan Dunia Baru edisi 2013 menggunakan nama Tuhan sebanyak 7,216 kali. Berbanding dengan edisi sebelum ini, nama Tuhan telah ditambahkan sebanyak enam kali. Lima daripadanya ditambahkan di 1 Samuel 2:25; 6:3; 10:26; 23:14, 16 kerana pada asalnya nama Tuhan terdapat dalam tempat-tempat tersebut dalam Gulungan Laut Mati. * Selepas melakukan penyelidikan lanjut daripada manuskrip kuno, nama Tuhan juga ditambahkan di Hakim-Hakim 19:18.

7, 8. Apakah maksud nama Yehuwa?

 7 Bagi orang Kristian sejati, nama Yehuwa mempunyai maksud yang penting. Nama-Nya bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” * Pada masa dahulu, bahan bacaan kita menjelaskan maksud nama Tuhan dengan menggunakan Keluaran 3:14 (NW): “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.” Edisi 1984 menjelaskan bahawa Yehuwa dapat menjadi apa pun yang diperlukan untuk menunaikan janji-Nya. * Namun, edisi 2013 menjelaskan: “Nama-Nya tidak terhad kepada maksud ini sahaja. Nama-Nya juga bermaksud bahawa Dia dapat menyebabkan apa sahaja berlaku sehubungan dengan ciptaan-Nya dan pelaksanaan tujuan-Nya.” (Lihat juga buku kecil Panduan Pembelajaran Firman Tuhan, muka surat 1.)

8 Yehuwa dapat menyebabkan ciptaan-Nya menjadi apa yang diinginkan-Nya. Contohnya, Tuhan menyebabkan Nuh menjadi pembina bahtera, Bezaleel seorang pengukir, Gideon seorang pahlawan yang gagah, dan Paulus seorang mubaligh. Nama Tuhan memang mempunyai maksud yang mendalam bagi umat-Nya. Itulah sebabnya Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baru menggunakan nama Tuhan dalam terjemahan mereka.

9. Mengapa Bible diterjemahkan ke dalam bahasa lain?

9 Semakin banyak terjemahan Bible mengeluarkan nama Tuhan. Mereka menggunakan gelaran seperti “Tuhan” atau nama dewa dewi tempatan. Hal ini merupakan salah satu sebab utama Badan Pimpinan berasa bahawa orang daripada pelbagai bangsa harus mempunyai sebuah Bible yang memuliakan nama Tuhan. (Baca Maleakhi 3:16. *) Setakat ini, nama Yehuwa telah dimuliakan dalam edisi Terjemahan Dunia Baru yang boleh didapati dalam lebih daripada 130 bahasa.

TERJEMAHAN YANG JELAS DAN TEPAT

10, 11. Apakah cabaran semasa menterjemahkan Terjemahan Dunia Baru ke dalam bahasa lain?

10 Penterjemah bahasa lain mengalami cabaran semasa menterjemahkan Terjemahan Dunia Baru bahasa Inggeris ke dalam bahasa mereka. Contohnya, edisi bahasa Inggeris menggunakan perkataan Ibrani “Sheol” di Pengkhutbah 9:10 dan di ayat-ayat lain. Perkataan ini biasa digunakan dalam Bible bahasa Inggeris yang lain. Namun, pembaca dalam bahasa lain tidak mengetahui perkataan Ibrani ini. Perkataan ini tidak terdapat dalam kamus mereka dan sesetengah orang menyangka bahawa “Sheol” merupakan nama tempat. Oleh itu, penterjemah diizinkan untuk menggantikan perkataan Ibrani “Sheol” dan perkataan Yunani “Hades” sebagai “Kuburan.” Terjemahan ini tepat dan lebih jelas.

11 Perkataan Ibrani neʹphesh dan perkataan Yunani psy·kheʹ diterjemahkan sebagai “soul” dalam bahasa Inggeris. Tetapi perkataan ini susah diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Hal ini kerana perkataan yang biasa digunakan untuk menterjemahkan perkataan “soul” memberikan gambaran tentang hantu atau sesuatu yang meninggalkan tubuh selepas seseorang mati. Untuk mengelakkan kekeliruan, para penterjemah diizinkan untuk menterjemahkan  perkataan itu mengikut konteks keseluruhan ayat. Perkataan “soul” mempunyai beberapa maksud. Penjelasannya terdapat dalam lampiran New World Translation of the Holy Scriptures—With References. Maklumat tambahan bagi perkataan ini terdapat di nota kaki supaya teks Bible mudah difahami.

12. Apakah beberapa perubahan yang dibuat dalam Bible edisi 2013? (Lihat juga rencana Terjemahan Dunia Baru Edisi 2013 yang Dikemaskinikan dalam Bahasa Inggeris” yang terdapat dalam terbitan ini.)

12 Soalan-soalan daripada para penterjemah menunjukkan bahawa terdapat ayat-ayat lain yang boleh menyebabkan kekeliruan. Maka, pada September 2007, Badan Pimpinan memberikan keizinan untuk mengemaskinikan edisi bahasa Inggeris. Beribu-ribu soalan daripada para penterjemah Bible dikaji semasa proses itu. Ungkapan bahasa Inggeris yang lama digantikan dengan ungkapan yang terkini. Hasilnya, teks menjadi tepat serta mudah dibaca dan difahami. Terjemahan dalam bahasa lain telah membantu meningkatkan mutu teks bahasa Inggeris.—Ams. 27:17.

PENGHARGAAN YANG MENDALAM

13. Apakah perasaan banyak orang tentang Terjemahan Dunia Baru yang dikemaskinikan?

13 Apakah perasaan banyak orang tentang Terjemahan Dunia Baru yang dikemaskinikan? Ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di Brooklyn menerima beribu-ribu surat penghargaan daripada saudara saudari kita. Ramai orang mempunyai perasaan yang sama seperti seorang saudari yang menulis: “Bible ialah peti harta karun yang dipenuhi permata. Semasa membaca firman Yehuwa dalam edisi 2013, saya berasa seperti memeriksa setiap permata, mengagumi setiap aspek, warna, dan kecantikannya. Ayat-ayat suci yang mudah difahami telah membantu saya untuk lebih mengenali Yehuwa. Dia seperti seorang bapa yang bercakap kepada saya sambil memeluk saya.”

14, 15. Apakah perasaan orang tentang Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa lain?

14 Terjemahan Dunia Baru yang dikemaskinikan dalam bahasa lain juga membawa manfaat. Seorang lelaki lanjut usia dari Sofia, Bulgaria, berkata tentang edisi bahasa Bulgaria: “Sudah bertahun-tahun saya  membaca Bible, tetapi saya tidak pernah membaca sebuah terjemahan yang begitu mudah difahami dan yang mencapai hati saya.” Seorang saudari dari Albania menulis, “Firman Tuhan sangat indah dalam bahasa Albania! Saya berbesar hati kerana Yehuwa bercakap dengan kami dalam bahasa kami!”

15 Di banyak negara, Bible sangat mahal atau susah didapati. Maka, menerima sebuah Bible merupakan suatu berkat yang besar! Sebuah laporan dari Rwanda menyatakan, “Untuk masa yang panjang, banyak pelajar Bible tidak dapat membuat kemajuan kerana mereka tidak memiliki Bible. Mereka tidak mampu membeli Bible dari gereja tempatan. Mereka juga tidak dapat memahami maksud sesetengah ayat Bible. Hal ini menghalang mereka daripada membuat kemajuan rohani.” Apabila Terjemahan Dunia Baru dikeluarkan dalam bahasa Rwanda, sebuah keluarga yang mempunyai empat orang anak remaja berkata, “Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa dan hamba yang setia dan bijaksana kerana memberi kami Bible. Kami sangat miskin dan tiada wang untuk membeli Bible bagi setiap ahli keluarga. Kini kami semua mempunyai Bible sendiri. Untuk menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa, kami membaca Bible setiap hari bersama-sama.”

16, 17. (a) Apakah yang Yehuwa inginkan bagi umat-Nya? (b) Apakah seharusnya tekad kita?

16 Pada masa depan, Terjemahan Dunia Baru yang dikemaskinikan boleh didapati dalam lebih banyak bahasa. Meskipun Syaitan cuba menghalang kerja ini, kita tahu bahawa Yehuwa ingin semua orang mendengar firman-Nya yang jelas dan mudah difahami. (Baca Yesaya 30:21.) Tidak lama lagi, ‘bumi akan penuh dengan orang yang mengenal dan menghormati Yehuwa sebagaimana lautan penuh dengan air.’—Yes. 11:9.

17 Semoga kita bertekad untuk menggunakan setiap kurniaan daripada Yehuwa, termasuk terjemahan ini yang menyucikan nama-Nya. Kita boleh berdoa kepada Yehuwa. Benarkanlah Dia bercakap dengan anda setiap hari melalui Firman-Nya. Komunikasi sebegini akan membantu kita untuk lebih mengenali Yehuwa dan kasih kita kepada-Nya akan semakin mendalam.—Yoh. 17:3.

“Saya berbesar hati kerana Yehuwa bercakap dengan kami dalam bahasa kami!”

^ per. 2 Lihat Lampiran A1 dalam Bible New World Translation, rencana “How Can You Choose a Good Bible Translation?” dalam majalah The Watchtower 1 Mei 2008, dan rencana “Bible dalam Bahasa Harian” dalam majalah Menara Pengawal 1 April 2015.

^ per. 5 Yehezkiel 38:23 (NW): “Aku akan memuliakan dan menyucikan diri-Ku serta menyatakan diri-Ku di hadapan banyak bangsa; mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”

^ per. 6 Gulungan Laut Mati wujud 1,000 tahun sebelum teks Masoret Ibrani yang digunakan untuk menterjemahkan Terjemahan Dunia Baru.

^ per. 7 Sesetengah buku rujukan memberikan penjelasan sedemikian, tetapi bukan semua pakar menyetujuinya.

^ per. 7 Lihat Bible New World Translation of the Holy Scriptures—With References, Lampiran 1A “The Divine Name in the Hebrew Scriptures,” muka surat 1561.

^ per. 9 Maleakhi 3:16 (NW): “Di hadapan Yehuwa, nama setiap orang yang takut akan Dia dan yang merenungkan nama-Nya, ditulis di dalam sebuah kitab peringatan.”