“Tuhan itu kasih.”—1 YOH. 4:8, 16.

LAGU: 18, 91

1. Apakah sifat utama Tuhan? Apakah perasaan anda apabila mengetahui tentang hal ini?

BIBLE berkata, “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Apakah maksudnya? Kasih bukan sekadar salah satu daripada sifat Yehuwa yang menarik. Kasih merupakan sifat utama-Nya. Dia bukan hanya memiliki kasih, tetapi Dia ialah kasih. Maksudnya, segala sesuatu yang dilakukan-Nya didorong oleh kasih. Kita bersyukur kerana kasih mendorong Yehuwa untuk menciptakan alam semesta dan semua kehidupan!

2. Kasih Tuhan meyakinkan kita tentang apa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Yehuwa mengasihi ciptaan-Nya. Kasih-Nya meyakinkan kita bahawa Yehuwa menggunakan cara yang terbaik untuk melaksanakan tujuan-Nya bagi manusia. Orang yang taat kepada-Nya akan menikmati kebahagiaan sejati. Contohnya, kasih telah mendorong Yehuwa “menetapkan hari untuk menghakimi seluruh dunia dengan adil melalui seorang lelaki yang telah dilantik-Nya,” iaitu Yesus Kristus. (Kis. 17:31) Kita yakin bahawa penghakiman ini akan berlaku. Manusia yang setia  akan memiliki masa depan yang bahagia buat selama-lamanya.

SEJARAH MEMBUKTIKAN APA?

3. Bagaimanakah kehidupan kita jika Tuhan tidak mengasihi manusia?

3 Bagaimanakah masa depan umat manusia jika kasih bukan sifat utama Tuhan? Manusia akan terus memerintah satu sama lain dan dipengaruhi oleh Syaitan. (2 Kor. 4:4; 1 Yoh. 5:19; baca Wahyu 12:9, 12.) Betapa teruknya masa depan manusia tanpa kasih Tuhan!

4. Mengapakah Yehuwa membenarkan pemberontakan berlaku?

4 Apabila Syaitan memberontak terhadap Tuhan, dia juga mempengaruhi Adam dan Hawa untuk melakukan sedemikian. Dia mencabar hak Tuhan sebagai Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Syaitan mendakwa bahawa pemerintahannya lebih baik daripada Tuhan. (Kej. 3:1-5) Yehuwa membenarkan suatu jangka masa berlalu agar Syaitan dapat membuktikan dakwaannya. Kita boleh lihat dengan jelas bahawa tiada seorang pun dapat menjadi pemerintah yang baik termasuklah Syaitan.

5. Sejarah manusia membuktikan apa?

5 Keadaan dunia kini menjadi semakin teruk. Lebih daripada 100 juta orang telah dibunuh dalam peperangan sepanjang 100 tahun yang lalu. Bible berkata bahawa “pada hari-hari terakhir,” “orang jahat dan penyamar akan menjadi semakin jahat.” (2 Tim. 3:1, 13) Bible juga berkata, ‘Ya Yehuwa, aku insaf bahawa tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.’ (Yer. 10:23) Sejarah membuktikan bahawa kata-kata itu benar. Yehuwa tidak menciptakan manusia dengan keupayaan atau hak untuk memerintah diri sendiri tanpa-Nya.

6. Mengapakah Tuhan membenarkan kejahatan?

6 Dengan membenarkan kejahatan berterusan buat suatu jangka masa, Yehuwa telah membuktikan bahawa hanya pemerintahan-Nya yang dapat berjaya. Pada masa depan, Tuhan akan melenyapkan segala kejahatan. Selepas itu, jika sesiapa mencabar pemerintahan-Nya yang pengasih, Tuhan akan bertindak dengan serta-merta. Dia boleh menggunakan sejarah manusia untuk membuktikan bahawa pemberontak sedemikian patut disingkirkan dengan segera. Maka kejahatan tidak akan berlaku lagi.

BAGAIMANAKAH TUHAN MENUNJUKKAN KASIH-NYA?

7, 8. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih-Nya?

7 Yehuwa telah menunjukkan kasih dalam banyak cara. Cuba fikirkan saiz dan keindahan alam semester kita. Terdapat berbilion-bilion galaksi dan setiap galaksi mengandungi berbilion-bilion bintang dan planet. Matahari merupakan salah satu bintang dalam galaksi Bima Sakti. Tanpa matahari, kehidupan tidak akan wujud di bumi. Semua ciptaan ini menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Pencipta kita. Ciptaan ini juga menunjukkan sifat-sifat-Nya seperti kuasa, kebijaksanaan, dan kasih. Ya, “sifat-sifat-Nya yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan kedudukan-Nya sebagai Tuhan, dapat dilihat dengan jelas melalui perkara-perkara yang diciptakan-Nya.”—Rm. 1:20.

8 Yehuwa telah menciptakan segala yang ada di bumi untuk binatang dan manusia. Tuhan menciptakan sebuah kediaman yang indah bagi manusia. Dia juga  memberi mereka minda dan tubuh badan yang sempurna agar mereka dapat hidup kekal. (Baca Wahyu 4:11.) Selain itu, “Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup; kasih-Nya kekal abadi.”—Mzm. 136:25.

9. Walaupun Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih, apakah yang dibenci-Nya?

9 Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan Dia membenci kejahatan. Misalnya, Mazmur 5:5-7 berkata bahawa Yehuwa ‘tidak suka akan perbuatan jahat dan membenci semua orang jahat.’ Dia juga membenci “pengganas dan penipu.”

KEJAHATAN AKAN BERAKHIR TIDAK LAMA LAGI

10, 11. (a) Apakah yang akan terjadi kepada orang jahat? (b) Apakah ganjaran bagi manusia yang setia?

10 Pada masa yang ditentukan, Yehuwa akan melenyapkan kejahatan daripada alam semesta kerana Dia Tuhan yang pengasih dan membenci apa yang jahat. Firman Tuhan berjanji, ‘Orang yang berharap kepada Yehuwa akan mewarisi negeri ini, tetapi orang yang jahat akan diusir. Orang yang jahat akan lenyap dengan segera.’ Musuh Yehuwa akan “lenyap seperti asap.”—Mzm. 37:9, 10, 20.

11 Firman Tuhan juga berjanji, “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.” (Mzm. 37:29) Manusia yang setia juga akan “menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.” (Mzm. 37:11) Mengapa? Kerana Tuhan yang pengasih selalu memberikan yang terbaik kepada umat-Nya yang setia. Bible memberitahu kita, “Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.” (Why. 21:4) Betapa cerahnya masa depan bagi orang yang menghargai kasih Tuhan!

12. Siapakah “orang yang baik”?

12 Bible berkata, “Perhatikanlah orang yang baik dan orang yang salih; orang yang suka akan perdamaian mempunyai keturunan; tetapi orang yang berdosa akan dibinasakan, dan keturunan mereka pun dihapuskan.” (Mzm. 37:37, 38) “Orang yang baik” mengenali Tuhan dan anak-Nya serta melakukan kehendak Tuhan dengan setia. (Baca Yohanes 17:3.) Mereka percaya bahawa “dunia dan segala sesuatu di dalamnya yang diingini oleh manusia sedang berlalu, tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.” (1 Yoh. 2:17) Oleh sebab akhir dunia ini semakin mendekat, kita perlu ‘berharap kepada Yehuwa dan taati perintah-Nya.’—Mzm. 37:34.

KASIH TUHAN YANG AGUNG

13. Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kasih-Nya yang agung?

13 Walaupun kita tidak sempurna, kita boleh mentaati Tuhan. Dengan adanya korban tebusan Yesus, kita juga boleh memiliki hubungan yang akrab dengan Yehuwa. Korban tebusan merupakan kasih Tuhan yang agung. Yehuwa menyediakan tebusan ini agar manusia yang setia dapat dibebaskan daripada dosa dan kematian. (Baca Roma 5:12; 6:23.) Yesus setia kepada Tuhan sewaktu berada di syurga. Maka Yehuwa yakin bahawa anak-Nya juga akan setia semasa berada di bumi. Sebagai Bapa yang pengasih, Yehuwa berasa sangat sakit hati apabila orang jahat memperlakukan anak-Nya dengan buruk. Namun, Yesus dengan setia mendukung kedaulatan Tuhan. Dia juga menunjukkan  bahawa manusia yang sempurna dapat tetap setia kepada Tuhan walaupun menghadapi situasi yang paling mencabar.

Yehuwa dengan pengasih telah mengutus anak-Nya ke bumi (Lihat perenggan 13)

14, 15. Apakah manfaat korban tebusan Yesus bagi manusia?

14 Walaupun menghadapi cabaran yang paling teruk, Yesus tetap setia dan menyokong hak Yehuwa untuk memerintah. Kita harus bersyukur kerana Yesus rela mengorbankan nyawanya supaya manusia berpeluang untuk hidup selama-lamanya di dunia baru Tuhan! Rasul Paulus berkata, “Semasa kita tidak berdaya, Kristus telah mati untuk manusia yang berdosa, pada masa yang ditetapkan oleh Tuhan. Jarang ada orang yang sanggup mati untuk seseorang yang melakukan apa yang benar. Tetapi ada orang yang mungkin rela mati untuk seseorang yang baik. Namun, beginilah caranya Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa.” (Rm. 5:6-8) Rasul Yohanes pula menulis, “Inilah caranya kasih Tuhan menjadi nyata dalam diri kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melaluinya kita memperoleh kehidupan. Inilah kasih yang dimaksudkan: Tuhan mengutus Anak-Nya sebagai korban pendamaian untuk dosa kita, bukan kerana kita telah mengasihi Tuhan, tetapi kerana Dia mengasihi kita.”—1 Yoh. 4:9, 10.

 15 Yesus berkata bahawa “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Yehuwa rela mengorbankan anak-Nya sebagai tebusan walaupun hal itu tidak mudah bagi-Nya. Hal ini menunjukkan betapa dalamnya kasih Tuhan bagi manusia. Kasih-Nya itu akan kekal buat selama-lamanya. Paulus mengatakan, “Aku yakin bahawa baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan yang ditunjukkan melalui Kristus Yesus, Tuan kita.”—Rm. 8:38, 39.

KERAJAAN TUHAN KINI MEMERINTAH

16. Apakah itu Kerajaan Mesias? Siapakah yang dilantik oleh Yehuwa untuk menjadi pemerintah Kerajaan itu?

16 Kerajaan Mesias atau Kerajaan Tuhan merupakan salah satu lagi bukti bahawa Yehuwa mengasihi manusia. Mengapa? Yehuwa telah melantik seorang Raja yang mengasihi manusia dan layak untuk memerintah, iaitu Yesus Kristus. (Ams. 8:31) Tuhan telah melantik 144,000 orang untuk memerintah bersama Yesus di syurga. Oleh sebab mereka pernah hidup di bumi, mereka dapat menggunakan pengalaman sebagai manusia untuk membawa manfaat kepada rakyat Kerajaan Tuhan. (Why. 14:1) Sewaktu Yesus berada di bumi, tema utama ajarannya adalah tentang Kerajaan Tuhan. Dia mengajar para pengikutnya untuk berdoa: “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Mat. 6:9, 10) Kita menanti-nantikan doa ini menjadi kenyataan apabila Kerajaan Tuhan mencurahkan berkat kepada umat manusia!

17. Bandingkan pemerintahan Yesus dengan pemerintahan manusia.

17 Pemerintahan Yesus dan pemerintahan manusia sangat berbeza. Pemerintahan manusia telah menyebabkan berlakunya peperangan yang meragut nyawa jutaan orang. Tetapi Raja kita, iaitu Yesus benar-benar mengasihi kita dan dia meniru sifat-sifat Tuhan terutamanya kasih. (Why. 7:10, 16, 17) Yesus berkata, “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu. Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar. Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.” (Mat. 11:28-30) Tidakkah janji ini menyentuh hati anda?

18. (a) Apakah yang berlaku sejak tahun 1914? (b) Apakah yang akan dikaji dalam rencana seterusnya?

18 Bible menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan mula memerintah di syurga pada tahun 1914. Sejak itu, Yehuwa mengumpulkan saki baki daripada orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Yehuwa juga mengumpulkan “kumpulan besar manusia” yang akan selamat mengharungi akhir sistem dunia. (Why. 7:9, 13, 14) Seberapa besarkah kumpulan ini? Apakah yang dikehendaki oleh Tuhan daripada mereka? Rencana seterusnya akan mengkaji soalan-soalan ini.