PADA tahun 1931, para hadirin dari 23 buah negara datang ke dewan Pleyel di Perancis. Ramai orang turun dari teksi dan memasuki dewan ini. Tidak lama kemudian, terdapat kira-kira 3,000 orang di dewan utama. Mereka datang untuk mendengar ceramah Saudara Joseph F. Rutherford yang mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran pada masa itu. Suara Saudara Rutherford bergema di seluruh dewan. Ceramahnya diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jerman, dan Poland.

Konvensyen ini merupakan titik perubahan bagi kerja penyebaran di Perancis. Saudara Rutherford menjemput para hadirin, terutamanya golongan yang muda, untuk menjadi peneraju atau perintis di Perancis. John Cooke, seorang pemuda dari England mengingati jemputan itu: “Tiada apa-apa pun yang harus menghalang anda untuk menceburi khidmat perintis!” *

Ramai orang menerima jemputan ini, termasuk John Cooke yang kemudiannya menjadi seorang mubaligh. (Kis. 16:9, 10) Pada tahun 1930, terdapat 27 orang perintis di Perancis. Namun pada tahun 1931, terdapat 104 orang perintis. Peningkatan yang mendadak dalam setahun sahaja! Memandangkan kebanyakan perintis ini tidak mahir bertutur dalam bahasa Perancis, bagaimanakah mereka menghadapi cabaran bahasa baru, kehidupan yang serba kekurangan, dan kesunyian?

CABARAN BAHASA BARU

Perintis asing bergantung pada kad mesej Bible untuk menyebar tentang harapan Kerajaan Tuhan. Seorang saudara berbangsa Jerman yang menginjil di Perancis berkata, “Kami tahu bahawa Tuhan kami berkuasa. Jika jantung kami berdegup semasa menginjil, itu bukan kerana kami takut akan manusia. Tetapi kami takut sekiranya kami lupa ayat ‘Voulez-vous lire cette carte, s’il vous plaît? [Bolehkah anda membaca kad ini?]’ Kami yakin bahawa kerja ini sangat penting.”

Perintis pada masa awal menggunakan basikal dan motosikal semasa menyebar di Perancis

Semasa menginjil di pangsapuri, pengawal biasanya mengusir para perintis. Pada suatu hari, dua saudari dari England yang tidak fasih berbahasa Perancis berdepan dengan seorang pengawal yang marah. Pengawal itu ingin tahu mereka mahu jumpa siapa. Semasa mereka cuba menenangkan pengawal itu, seorang saudari nampak suatu tanda di pintu yang tertulis: “Tournez le bouton [Tekan loceng].” Saudari itu menyangka ayat itu merupakan nama seorang penghuni rumah. Maka dia menjawab, “Kami ingin berjumpa dengan Puan ‘Tournez le bouton.’” Kata-kata lucu itu telah membantu semangat perintis ini!

 SERBA KEKURANGAN DAN KESUNYIAN TIDAK MENGHALANG MEREKA

Pada tahun 1930-an, ramai orang di Perancis miskin, termasuk para perintis. Saudari Mona Brzoska dari England menceritakan tempat tinggal sederhana yang dikongsi dengan seorang rakan menginjil. Dia berkata, “Salah satu masalah yang dihadapi ialah suhu rendah pada musim sejuk. Bilik kami sangat sejuk dan pada waktu pagi kami perlu pecahkan ais pada permukaan air dalam jag supaya dapat mencuci muka.” Adakah mereka berasa tawar hati? Tidak! Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami tidak mempunyai apa-apa pun, tapi kami tidak kekurangan apa-apa pun.”—Mat. 6:33.

Perintis dari England yang menghadiri konvensyen di Paris pada tahun 1931

Para perintis ini juga perlu mengatasi kesunyian. Pada awal tahun 1930-an, bilangan penyiar di Perancis tidak melebihi 700 orang dan mereka tinggal berjauhan. Apakah yang membantu para perintis tetap bersukacita? Mona dan rakan menginjilnya menghadapi cabaran ini. Mona berkata, “Kami mengatasi kesunyian dengan mempelajari bahan bacaan organisasi bersama-sama. Memandangkan kami tidak melakukan kunjungan kembali atau mengadakan pembelajaran Bible, pada waktu petang kami akan menulis surat kepada keluarga dan perintis lain untuk mengongsi pengalaman serta menggalakkan satu sama lain.”—1 Tes. 5:11.

Para perintis yang rela berkorban mempunyai pandangan yang positif walaupun menghadapi cabaran. Hal ini boleh diketahui menerusi surat-surat yang dihantar oleh mereka ke pejabat cawangan. Ada juga surat yang diterima berpuluh tahun setelah mereka merintis di Perancis. Annie Cregeen seorang saudari terurap yang telah melawat banyak tempat di Perancis bersama suaminya dari tahun 1931 hingga 1935 menulis, “Kami menikmati kehidupan yang penuh dengan peristiwa menarik! Para perintis sangat rapat dengan satu sama lain. Seperti yang dikatakan Paulus, ‘Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Tuhanlah yang menyebabkannya terus bertumbuh.’ Kami sangat teruja kerana dapat berkhidmat di sana pada masa lampau.”—1 Kor. 3:6.

Ketabahan dan semangat perintis pada masa awal menjadi teladan baik bagi mereka yang ingin meluaskan khidmat mereka. Hari ini, terdapat kira-kira 14,000 perintis di Perancis. Banyak daripada mereka berkhidmat di sidang atau kumpulan bahasa asing. * Seperti para perintis masa awal, perintis ini juga tidak membenarkan apa-apa pun menghalang mereka!—Dari khazanah rohani kita di Perancis.

^ per. 4 Mengenai kerja penyebaran yang dijalankan oleh orang Poland di Perancis, sila lihat rencana “Yehuwa Membawa Anda Ke Perancis untuk Mempelajari Kebenaran,” dalam Menara Pengawal 15 Ogos 2015.

^ per. 13 Pada tahun 2014, pejabat cawangan di Perancis mengawasi lebih daripada 900 sidang atau kumpulan bahasa asing. Terdapat 70 bahasa yang berbeza di bawah jagaan mereka.