SEBELUM akhir hayat pak cik Nikolai Dubovinsky, iaitu abang kepada nenek saya, dia telah mengumpulkan pengalamannya semasa berkhidmat kepada Yehuwa. Pengalaman ini berlaku semasa larangan di Kesatuan Soviet. Walaupun menghadapi cabaran dan kesusahan, dia tetap setia dan bersemangat. Pak cik Nikolai ingin kaum muda mendengar ceritanya. Jadi saya akan kongsi sedikit sebanyak daripada kisah hidupnya. Dia dilahirkan pada tahun 1926 dalam sebuah keluarga petani di Podvirivka, Chernivtsi Oblast, Ukraine.

NIKOLAI MENDAPAT KEBENARAN

Pak cik Nikolai berkata, “Pada tahun 1941, abang saya Ivan, membawa pulang buku The Harp of God dan The Divine Plan of the Ages, beberapa majalah Menara Pengawal, serta beberapa buku kecil. Saya membaca semuanya. Saya terkejut apabila mengetahui bahawa Syaitan merupakan penyebab semua masalah di dunia, dan bukannya Tuhan. Semasa membaca bahan bacaan itu, saya juga merujuk kepada buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Saya sedar bahawa saya telah mendapat kebenaran. Dengan bersemangat, saya mengongsi harapan Kerajaan Tuhan kepada orang lain. Semasa mempelajari bahan bacaan itu, saya semakin memahami kebenaran dan memupuk keinginan yang kuat untuk menjadi hamba kepada Yehuwa.”

“Saya sedar bahawa saya akan menderita kerana kepercayaan saya. Masa itu merupakan masa peperangan dan saya tidak mahu membunuh sesiapa. Untuk mempersiapkan diri bagi cabaran yang bakal dihadapi, saya menghafal beberapa ayat Bible seperti Matius 10:28 dan 26:52. Saya bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa walaupun nyawa saya terancam!”

“Pada tahun 1944, ketika berumur 18 tahun, saya dikerah menjadi tentera. Itulah kali pertama saya berada bersama rakan seiman. Saudara muda yang sekitar umur saya juga berkumpul bersama. Kami memberitahu pihak berkuasa dengan tegas bahawa kami tidak akan menyertai peperangan. Para tentera mengancam untuk membiarkan kami mati kelaparan, memaksa kami menggali parit, atau menembak kami. Kami menjawab dengan berani, ‘Kami dalam kekuasaan tuan. Namun, tidak kira apa yang tuan lakukan terhadap kami, kami tidak akan mengingkari perintah Tuhan, “Jangan membunuh.”’”—Kel. 20:13.

“Selepas itu, saya dan dua orang saudara dihantar ke Belarus untuk bekerja di ladang dan membaiki rumah-rumah yang rosak. Saya masih ingat kesan buruk daripada peperangan di pinggir bandar Minsk. Ada banyak  pokok yang hangus, mayat manusia serta bangkai kuda terbiar di dalam parit dan hutan. Saya juga nampak kenderaan tentera, meriam, dan bangkai kapal terbang yang terbiar. Saya sendiri telah melihat akibat daripada melanggar perintah Tuhan.”

“Peperangan berakhir pada tahun 1945, tetapi kami dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun kerana tidak menyertai perang. Pada tiga tahun pertama, kami tiada perjumpaan atau makanan rohani. Kami dapat berhubung dengan sesetengah saudari melalui surat, namun mereka kemudiannya dipenjarakan di kem buruh selama 25 tahun.”

“Kami dibebaskan lebih awal, iaitu pada tahun 1950. Semasa saya dipenjarakan, ibu dan adik saya Maria telah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa! Abang-abang saya belum lagi menjadi Saksi, tetapi mereka sedang mempelajari Bible. Saya giat menginjil, maka agensi kerajaan Kesatuan Soviet (KGB) ingin memenjarakan saya sekali lagi. Kemudian, terdapat para saudara yang meminta saya menghasilkan bahan bacaan di bawah tanah. Pada masa itu, saya berumur 24 tahun.”

MENYEDIAKAN BAHAN BACAAN

“Para Saksi selalu berkata, ‘Jika kerja kita tidak dapat dilakukan secara terbuka, maka kita akan melakukannya secara sembunyi.’ (Ams. 28:28) Pada masa itu, hampir semua kerja pencetakan dilakukan di bawah tanah. Di tempat tinggal abang saya Dmitry terdapat sebuah bilik bawah tanah. Di situlah saya bekerja. Ada kalanya saya tidak keluar dari bilik itu selama dua minggu. Jika lampu minyak tanah terpadam kerana kekurangan  oksigen, saya akan berbaring dan tunggu sehingga udara segar memenuhi bilik.”

Lakaran bilik bawah tanah di mana Nikolai menyalin bahan bacaan

“Suatu hari, seorang saudara yang bekerja bersama saya bertanya, ‘Nikolai, sudahkah kamu dibaptis?’ Walaupun saya sudah berkhidmat selama 11 tahun, saya belum dibaptis. Jadi dia membincangkan hal itu dengan saya, dan pada malam itu juga saya dibaptis. Pada masa itu, saya berumur 26 tahun. Tiga tahun kemudian, saya dilantik sebagai seorang ahli Jawatankuasa Tempatan. Pada masa itu, para saudara yang masih bebas akan dilantik untuk menggantikan saudara yang telah ditahan supaya kerja penyebaran dapat diteruskan.”

CABARAN KERJA DI BAWAH TANAH

“Kerja di bawah tanah lebih susah berbanding hidup di penjara! Untuk mengelak daripada KGB, saya tidak dapat menghadiri perjumpaan selama tujuh tahun dan terpaksa menjaga kerohanian sendiri. Saya hanya dapat berjumpa dengan keluarga apabila saya melawat mereka. Namun, mereka memahami dan menggalakkan saya. Saya perlu sentiasa berwaspada dan mengalami tekanan. Hal ini melemahkan saya. Contohnya, pada suatu malam, dua orang polis telah datang ke tempat saya tinggal. Saya keluar melalui jendela dan lari ke dalam hutan. Semasa berlari di padang, saya terdengar bunyi yang pelik. Setelah mendengar bunyi tembakan, barulah saya sedar bahawa bunyi pelik itu datang daripada peluru! Salah seorang polis itu menunggang seekor kuda dan terus menembak ke arah saya sehingga dia kehabisan peluru. Satu tembakan terkena pada tangan saya. Setelah berlari 5 km, saya berjaya melepaskan diri dengan bersembunyi di dalam hutan. Kemudian, semasa perbicaraan, saya diberitahu bahawa mereka telah menembak saya sebanyak 32 kali!”

“Kerana berada di bawah tanah terlalu lama, saya kelihatan sangat pucat dan orang lain mungkin tahu apa yang saya lakukan. Maka saya cuba meluangkan lebih banyak masa di bawah matahari. Kehidupan di bawah tanah juga menjejaskan kesihatan saya. Pada suatu masa, saya tidak dapat menghadiri perjumpaan yang penting kerana hidung dan mulut saya berdarah.”

NIKOLAI DITAHAN

Di kem buruh, Mordvinia, pada tahun 1963

“Pada 26 Januari 1957, saya ditahan. Enam bulan kemudian, Mahkamah Agung di Ukraine mengumumkan keputusan mereka. Saya dijatuhi hukuman tembak sampai mati.  Namun hukuman itu telah dimansuhkan, jadi saya hanya dipenjarakan selama 25 tahun. Lapan orang daripada kami juga dipenjarakan di kem buruh. Kami dihantar ke kem di Mordvinia, di mana terdapat 500 orang Saksi. Kami berjumpa dalam kumpulan yang kecil secara sembunyi untuk mempelajari majalah Menara Pengawal. Setelah memeriksa beberapa majalah yang dirampas, seorang pengawal berkata, ‘Jika kamu terus membaca majalah ini, tiada seorang pun dapat melemahkan iman kamu!’ Kami sentiasa bekerja dengan jujur dan rajin. Namun, ketua kem masih mengeluh, ‘Kerja yang kamu lakukan di sini tidak penting bagi kami. Kami menginginkan kesetiaan kamu.’”

“Kami sentiasa bekerja dengan jujur dan rajin”

DIA TETAP SETIA

Dewan Perjumpaan di Velikiye Luki

Setelah dibebaskan dari kem buruh pada tahun 1967, pak cik Nikolai mengaturkan sidang di Estonia dan St. Petersburg, Rusia. Pada awal tahun 1991, keputusan mahkamah pada tahun 1957 telah diubah kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh. Pada masa itu, banyak Saksi yang menderita disebabkan pihak berkuasa telah dibebaskan. Pada tahun 1996, Nikolai berpindah ke kota Velikiye Luki di Pskov Oblast, kira-kira 500 km dari St. Petersburg. Di situ, dia membeli sebuah rumah kecil. Pada tahun 2003, sebuah Dewan Perjumpaan telah dibina dan terdapat dua sidang berhimpun di situ hari ini.

Saya dan suami saya berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Pada Mac 2011, beberapa bulan sebelum pak cik Nikolai meninggal, dia melawat kami untuk kali terakhir. Kata-katanya menyentuh hati kami. Dia berkata, “Saya dapat lihat bahawa akhir sudah sangat dekat. Sekarang bagaikan hari ketujuh orang Israel berkawad di sekeliling kota Yerikho.” (Yos. 6:15) Dia berumur 85 tahun. Walaupun kehidupannya mencabar, dia berkata, “Saya sangat gembira kerana sewaktu saya muda, saya membuat keputusan untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Saya tidak pernah menyesal!”