Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Menyembah Yehuwa Tanpa Gangguan

Menyembah Yehuwa Tanpa Gangguan

‘Maria mendengar apa yang dikatakan oleh Yesus. Marta pula tidak dapat menumpukan perhatiannya kerana dia sibuk menguruskan banyak kerja.’—LUK. 10:39, 40.

LAGU: 94, 134

1, 2. Mengapakah Yesus mengasihi Marta? Namun, apakah kesilapan yang dilakukan oleh Marta?

APAKAH yang anda bayangkan apabila terfikir tentang Marta? Bible memberitahu kita bahawa Marta merupakan sahabat karib Yesus dan Yesus mengasihinya. Sudah tentu Yesus juga mengasihi dan menghormati wanita lain seperti ibunya, dan seorang lagi adik-beradik Lazarus, iaitu Maria. (Yoh. 11:5; 19:25-27) Namun, mengapakah Bible mengatakan bahawa Yesus mengasihi Marta?

2 Yesus mengasihi Marta kerana dia rajin, baik hati, serta murah hati. Marta juga mempunyai iman yang kuat. Dia mempercayai segala yang diajar oleh Yesus, dan dia tidak meragui bahawa Yesus merupakan Mesias. (Yoh. 11:21-27) Namun Marta tidak sempurna. Seperti kita, dia juga melakukan kesilapan. Contohnya, apabila Yesus melawat mereka, Marta berasa kecewa dengan Maria. Dia menyuruh Yesus menegur Maria. Marta berkata, “Tuan, tidakkah Tuan peduli bahawa Maria membiarkan aku menguruskan kerja seorang diri? Suruhlah dia membantu aku.” (Baca Lukas 10:38-42.) Mengapakah Marta berbuat demikian? Bagaimanakah Yesus menjawabnya?

 TUMPUAN MARTA TERGANGGU

3, 4. Apakah yang dilakukan oleh Maria yang menyenangkan hati Yesus? Apakah yang dipelajari oleh Marta? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Apabila Yesus melawat Marta dan Maria, dia ingin mengajar mereka kebenaran. Maria dengan serta-merta duduk berdekatan Yesus dan “mendengar apa yang dikatakan olehnya.” Dia ingin belajar banyak perkara daripada Guru yang agung. Jika Marta juga melakukan sedemikian, sudah tentu Yesus akan memujinya.

4 Tetapi tumpuan Marta terganggu. Dia sibuk menyediakan hidangan istimewa dan melakukan banyak perkara supaya Yesus berasa selesa. Apabila Marta sedar bahawa Maria tidak membantunya, dia menjadi geram dan mengadu kepada Yesus. Namun Yesus tahu bahawa Marta melakukan terlalu banyak perkara lalu berkata, “Marta, Marta, kamu khuatir dan sibuk dengan banyak hal. Sebenarnya yang diperlukan tidak banyak [makanan]; satu pun sudah cukup.” Kemudian, Yesus memuji Maria yang memberikan perhatian kepadanya. Yesus berkata, “Maria sudah memilih perkara yang terbaik, yang tidak akan diambil daripadanya.” Maria mungkin lupa apa yang dimakannya, tetapi dia pasti ingat apa yang dipelajarinya dan pujian yang diterimanya. Lebih daripada 60 tahun kemudian, rasul Yohanes menulis, “Yesus mengasihi Marta.” (Yoh. 11:5) Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa Marta menerima nasihatnya dan menyembah Yehuwa dengan setia seumur hidup.

5. Mengapakah susah bagi kita untuk berfokus kepada apa yang lebih penting? Apakah soalan yang akan dibincangkan?

5 Jika dibandingkan dengan zaman Bible, kini terdapat banyak perkara yang dapat mengalihkan perhatian kita daripada menyembah Yehuwa. Majalah The Watchtower, terbitan 15 September 1958 memberikan amaran kepada saudara saudari agar tidak membiarkan teknologi mengganggu khidmat mereka kepada Yehuwa. Pada masa itu, terdapat perkara yang baru setiap hari. Majalah, radio, filem, dan televisyen menjadi kegemaran ramai. The Watchtower itu juga berkata bahawa semakin kita dekat dengan akhir sistem ini, “gangguan akan semakin bertambah.” Kini terdapat lebih banyak perkara yang dapat mengganggu kita. Jadi bagaimanakah kita dapat meniru teladan Maria dan menyembah Yehuwa tanpa gangguan?

TIDAK MENGGUNAKAN DUNIA DENGAN SEPENUHNYA

6. Bagaimanakah umat Yehuwa menggunakan teknologi?

6 Umat Yehuwa telah menggunakan teknologi untuk mengkhabarkan berita baik. Contohnya, sebelum dan semasa Perang Dunia Pertama, mereka menayangkan “Drama-Foto Penciptaan” yang mengandungi filem, slaid kaca berwarna, dan rakaman bunyi. Oleh itu, mereka dapat menyebar kepada jutaan orang di banyak negara. Bahagian akhir “Drama-Foto” itu menggambarkan keadaan yang aman apabila Yesus Kristus memerintah bumi. Kemudian, umat Yehuwa menggunakan radio untuk menyiarkan berita Kerajaan kepada jutaan orang di seluas dunia. Hari ini, kita menggunakan komputer dan Internet untuk mencapai banyak orang, tidak kira di mana pun mereka berada, termasuk di kawasan terpencil.

Janganlah benarkan perkara yang tidak penting mengganggu khidmat anda kepada Yehuwa (Lihat perenggan 7)

7. (a) Mengapakah kita tidak patut menggunakan dunia ini dengan sepenuhnya? (b) Kita harus berhati-hati terhadap apa? (Lihat nota kaki.)

7 Bible memberi kita amaran agar tidak menggunakan dunia dengan sepenuhnya. Kita tidak patut meluangkan terlalu  banyak masa untuk perkara-perkara di dunia. (Baca 1 Korintus 7:29-31.) Contohnya, kita mungkin menikmati hobi tertentu, membaca buku, menonton televisyen, mengunjungi tempat yang menarik, berbelanja, dan mencari tahu tentang alat elektronik yang terkini serta barang-barang mewah. Banyak orang juga suka menggunakan rangkaian sosial, menghantar mesej dan e-mel, atau memeriksa berita dan keputusan sukan terkini. Perkara-perkara ini tidak salah tetapi membazirkan banyak masa. Ada pula yang menjadi ketagih terhadap perkara-perkara ini. * (Pkh. 3:1, 6) Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin menggunakan terlalu banyak masa untuk perkara yang tidak penting. Hal ini akan menyebabkan kita hilang tumpuan terhadap perkara yang terpenting, iaitu ibadat kepada Yehuwa.—Baca Efesus 5:15-17.

8. Mengapakah kita tidak harus mengasihi perkara-perkara di dunia?

8 Syaitan ingin kita bertumpu kepada perkara-perkara di dunia dan bukannya menyembah Yehuwa. Syaitan melakukan hal ini pada abad pertama, dan dia juga melakukannya pada masa sekarang. (2 Tim. 4:10) Oleh itu, kita harus selalu memeriksa perasaan kita terhadap perkara-perkara di dunia dan membuat perubahan yang diperlukan. Bible berkata bahawa kita tidak harus mengasihi perkara di dunia. Sebaliknya kita harus memastikan kasih kita terhadap Yehuwa tetap kuat. Dengan demikian, lebih mudah bagi kita untuk mentaati Yehuwa dan tetap berada di samping-Nya.—1 Yoh. 2:15-17.

BERTUMPU KEPADA PERKARA YANG TERPENTING

9. Yesus menggalakkan murid-muridnya untuk bertumpu kepada apa? Bagaimanakah Yesus menetapkan teladan yang baik?

9 Yesus telah memberitahu Marta agar tidak diganggu oleh banyak perkara. Dia juga mengajar murid-muridnya hal yang sama. Dia menggalakkan mereka untuk mengutamakan khidmat kepada Yehuwa dan Kerajaan-Nya. (Baca Matius 6:22, 33.) Yesus telah menetapkan teladan yang baik dalam hal ini. Dia tidak memiliki banyak harta benda mahupun rumah atau tanah.—Luk. 9:58; 19:33-35.

10. Apakah teladan baik Yesus?

10 Yesus tidak membenarkan apa-apa pun  mengganggu kerja penyebarannya. Contohnya, tidak lama selepas dia memulakan kerja penyebaran, orang di Kapernaum ingin dia terus tinggal di kota itu. Jadi apakah yang dilakukan oleh Yesus? Dia tetap bertumpu kepada tugasnya. Dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.” (Luk. 4:42-44) Yesus telah berjalan jauh untuk menyebarkan berita baik dan mengajar banyak orang. Walaupun dia sempurna, dia juga berasa penat dan memerlukan rehat.—Luk. 8:23; Yoh. 4:6.

11. Apakah yang dilakukan oleh Yesus apabila seorang lelaki bertanya tentang masalah peribadinya? Apakah yang diajarkan oleh Yesus kepada murid-muridnya?

11 Pernah sekali, apabila Yesus sedang mengajar murid-muridnya, seorang lelaki mencelah dan berkata, “Guru, suruhlah saudaraku memberikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepadaku.” Namun Yesus tidak cuba menyelesaikan masalah lelaki ini. Sebaliknya, dia menggunakan peluang itu untuk mengajar murid-muridnya. Dia memberitahu mereka bahawa menumpukan perhatian kepada harta milik boleh mengganggu kita daripada menyembah Tuhan.—Luk. 12:13-15.

12, 13. (a) Mengapakah beberapa orang Yunani kagum dengan Yesus? (b) Apakah reaksi Yesus apabila orang Yunani meminta untuk berjumpa dengannya?

12 Yesus berasa sangat tertekan pada hari-hari terakhirnya di bumi. (Mat. 26:38; Yoh. 12:27) Dia tahu bahawa dia akan menderita dan mati. Namun terdapat banyak perkara yang harus dilakukannya. Contohnya, pada hari Ahad, 9 Nisan tahun 33 M, Yesus masuk ke Yerusalem dengan menunggang seekor keldai. Orang ramai menyambutnya sebagai Raja. (Luk. 19:38) Keesokan harinya, semasa di Rumah Tuhan, Yesus dengan berani mengusir para penjual yang mengenakan harga yang tinggi.—Luk. 19:45, 46.

13 Beberapa orang Yunani yang datang ke Yerusalem untuk merayakan Paska berasa kagum dengan apa yang dilakukan Yesus. Maka mereka menanya rasul Filipus jika mereka boleh berjumpa dengan Yesus. Tetapi Yesus tetap menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting. Dia tidak ingin menjadi terkenal atau mengelak daripada mengorbankan nyawanya sebagai tebusan. Dia mengingatkan pengikutnya bahawa dia akan mati tidak lama lagi, dan para pengikutnya juga harus menunjukkan semangat rela berkorban. Yesus berkata, “Sesiapa yang mengasihi nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang membenci nyawanya dalam dunia ini akan menyelamatkan nyawanya dan mendapat kehidupan kekal.” Yesus juga berjanji bahawa ‘Bapa akan memberkati’ pengikutnya dengan kehidupan kekal. Sudah tentu, Filipus dapat memberitahu orang Yunani itu apa yang dikatakan Yesus.—Yoh. 12:20-26.

14. Walaupun Yesus mengutamakan kerja penyebaran, apakah hal-hal lain yang dilakukan Yesus?

14 Sewaktu di bumi, kerja penyebaran merupakan tugas utama Yesus. Walaupun dia bertumpu kepada kerja itu, dia tidak asyik memikirkannya. Contohnya, dia menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan di sana dia menukar air menjadi wain bermutu tinggi. (Yoh. 2:2, 6-10) Yesus juga pernah menerima jemputan makan di rumah kawan-kawannya serta orang yang berminat akan berita baik. (Luk. 5:29; Yoh. 12:2) Yang terpenting, Yesus memastikan bahawa dia mempunyai masa yang secukupnya untuk berehat, membuat perenungan, dan berdoa.—Mat. 14:23; Mrk. 1:35; 6:31, 32.

 “MEMBUANG SEGALA BEBAN”

15. Apakah nasihat yang diberikan oleh rasul Paulus? Bagaimanakah dia menetapkan teladan yang baik?

15 Rasul Paulus menyamakan orang Kristian dengan pelari jarak jauh. Untuk menamatkan perlumbaan, mereka harus “membuang segala beban” yang akan memperlahankan atau menghentikan mereka. (Baca Ibrani 12:1.) Paulus telah menetapkan teladan yang baik. Dia berpeluang menjadi seorang pemimpin agama Yahudi yang kaya dan terkenal. Namun dia melepaskan peluang itu supaya dapat berfokus kepada “perkara-perkara yang lebih penting.” Dia bekerja keras dalam kerja penyebaran dan melawat banyak tempat termasuk Siria, Asia Kecil, Makedonia, dan Yudea. Paulus menantikan ganjarannya untuk naik ke syurga. Dia telah “melupakan perkara yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai perkara yang di hadapan.” (Flp. 1:10; 3:8, 13, 14) Memandangkan Paulus bujang, dia dapat “sentiasa berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh hati tanpa gangguan.”—1 Kor. 7:32-35.

16, 17. Tidak kira kita sudah berkahwin atau tidak, bagaimanakah kita dapat mengikut teladan Paulus? Bagaimanakah Mark dan Claire mengikut teladan Paulus?

16 Seperti Paulus, sesetengah umat Yehuwa hari ini memilih untuk tetap bujang supaya dapat meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. (Mat. 19:11, 12) Orang bujang biasanya tidak mempunyai banyak tanggungjawab keluarga jika dibandingkan dengan orang yang sudah berkahwin. Namun, tidak kira kita sudah berkahwin atau tidak, kita harus “membuang segala beban” yang mengganggu khidmat kita kepada Yehuwa. Kita mungkin harus mengubah tabiat kita supaya tidak membazirkan masa, dan dapat meluangkan lebih banyak masa dalam khidmat Yehuwa.

17 Contohnya, Mark dan Claire dari Wales, mula merintis setelah mereka tamat persekolahan. Selepas mereka berkahwin, mereka terus merintis. Namun mereka ingin meluaskan khidmat mereka. Mark menjelaskan: “Kami telah menyederhanakan hidup dengan menjual rumah kami dan berhenti daripada kerja separuh masa supaya dapat menyertai kerja pembinaan antarabangsa.” Selama 20 tahun, mereka telah melawat banyak tempat di Afrika untuk membantu membina Dewan Perjumpaan. Pernah sekali, wang simpanan mereka hanya tinggal 15 dolar. Namun, Yehuwa sentiasa menjaga keperluan mereka. Claire berkata, “Kami meraih kepuasan yang mendalam kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa setiap hari. Kami mempunyai banyak kawan dan tidak kekurangan apa-apa pun. Apa yang telah dikorbankan dahulu tidak dapat dibandingkan dengan kebahagiaan yang diraih kerana berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa.” Sebenarnya, banyak pekhidmat sepenuh masa berasa sedemikian. *

18. Apakah soalan yang boleh kita tanya diri?

18 Adakah anda berasa bahawa anda dapat menjadi lebih bersemangat dalam khidmat kepada Yehuwa? Adakah terdapat perkara-perkara tertentu mengganggu anda daripada melakukan hal yang lebih penting? Jika ya, apakah yang dapat anda lakukan? Mungkin anda perlu memperbaiki cara anda membaca dan mengkaji Bible. Rencana seterusnya akan menjelaskan bagaimana anda dapat melakukannya.

^ per. 17 Lihat rencana “Mereka Rela Berkhidmat” dalam Menara Pengawal 15 Januari 2015.