Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Sungguh Baik Berada di Samping Tuhan

Sungguh Baik Berada di Samping Tuhan

PADA umur sembilan tahun, saya berhenti membesar. Sekarang saya berumur 43 tahun, dan ketinggian saya hanya satu meter. Apabila ibu bapa saya sedar bahawa saya berhenti membesar, mereka menggalakkan saya untuk bekerja keras supaya saya tidak asyik berfikir tentang ketinggian saya. Jadi saya mendirikan gerai buah-buahan di depan rumah dan memastikan semuanya kelihatan kemas. Hal itu menarik ramai pelanggan.

Walaupun saya bekerja keras, ketinggian saya masih sama. Saya berasa susah untuk melakukan perkara yang mudah seperti mengambil barang dari tempat yang tinggi. Semuanya direka untuk orang yang lebih tinggi daripada saya. Saya tawar hati, tetapi hal ini berubah apabila saya berumur 14 tahun.

Pada suatu hari, dua wanita yang merupakan Saksi datang membeli buah dan menawarkan pembelajaran Bible. Saya sedar bahawa mengenali Yehuwa dan tujuan-Nya adalah lebih penting daripada masalah ketinggian saya. Hal ini banyak membantu saya. Mazmur 73:28 menjadi ayat kegemaran saya. Bahagian pertama menyatakan: ‘Bagiku, sungguh baik berada di samping Tuhan.’

Keluarga kami tiba-tiba pindah dari Côte d’Ivoire ke Burkina Faso. Kehidupan saya berubah. Di tempat lama, orang biasa melihat saya di gerai buah. Di tempat baru, saya bagaikan orang asing, dan bagi ramai orang saya kelihatan pelik. Orang asyik melihat saya. Jadi selama berminggu-minggu, saya berada dalam rumah sahaja. Kemudian saya teringat betapa baiknya untuk berada di samping Yehuwa. Saya pun menulis surat kepada pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menghantar Nani, seorang mubaligh yang datang melawat saya dengan menaiki motosikal skuter.

Jalan ke rumah saya licin dan berlumpur apabila hujan. Sering kali, Nani terjatuh dari skuternya semasa ke rumah saya. Namun dia tidak putus asa. Kemudian dia menjemput saya untuk menghadiri perjumpaan. Maksudnya saya harus meninggalkan rumah, dan orang lain akan asyik melihat saya. Selain itu, saya perlu menaiki skuternya dan skuter itu akan lebih berat dan susah untuk dikawal. Walaupun demikian, saya menghadiri perjumpaan.  Saya mengingati bahagian kedua ayat kegemaran saya: ‘Aku mendapat perlindungan daripada Yehuwa Raja.’

Ada kalanya, saya dan Nani terjatuh ke dalam lumpur. Tetapi kami tidak kisah kerana kami suka menghadiri perjumpaan. Di situ, semua orang senyum dengan mesra. Hal ini jauh berbeza daripada orang lain yang asyik memandang saya! Sembilan bulan kemudian, saya dibaptis.

“Aku akan memberitakan segala perbuatan-Nya” ialah bahagian ketiga ayat kegemaran saya. Kerja menginjil memang mencabar. Kali pertama saya menginjil, kanak-kanak serta orang dewasa asyik memandang saya. Mereka mengikuti saya dan meniru cara saya berjalan. Saya berasa sakit hati. Tetapi saya mengingatkan diri bahawa mereka juga memerlukan Firdaus sama seperti saya. Hal ini mendorong saya untuk bertabah.

Saya mendapat sebuah basikal beroda tiga yang dikayuh dengan tangan. Maka rakan menginjil akan menolak saya semasa menaiki bukit. Semasa menuruni bukit, dia menaiki basikal itu bersama saya. Pada mulanya memang susah, tetapi lama-kelamaan saya menyukai kerja penyebaran. Maka pada tahun 1998, saya menjadi seorang perintis.

Empat daripada pelajar Bible saya telah dibaptis. Saya juga gembira kerana adik perempuan saya menerima kebenaran! Kemajuan rohani orang lain sangat menggalakkan saya. Semasa menghidapi malaria, saya menerima sepucuk surat dari Côte d’Ivoire. Saya pernah memulakan pembelajaran Bible dengan seorang pelajar universiti di Burkina Faso. Saya meminta seorang saudara untuk meneruskan pembelajaran Bible itu. Kemudian, pelajar itu pindah ke Côte d’Ivoire. Saya bersukacita kerana dia telah menjadi seorang penyiar yang belum dibaptis!

Bagaimanakah saya menampung kehidupan? Sebuah organisasi yang membantu orang kurang upaya ingin mengajar saya kemahiran menjahit. Seorang guru melihat cara saya bekerja dan berkata, “Kami boleh mengajar kamu cara membuat sabun.” Jadi, saya membuat sabun basuh baju dan sabun yang lain. Ramai orang suka sabun itu dan mengesyorkannya kepada orang lain. Saya akan menghantarkan sabun-sabun itu dengan menggunakan skuter beroda tiga.

Sedihnya, pada tahun 2004, saya harus berhenti merintis kerana sakit belakang. Namun, saya masih menginjil secara tetap.

Banyak orang berkata saya selalu senyum. Saya memang mempunyai alasan untuk berbuat demikian kerana adalah sungguh baik berada di samping Tuhan.—Diceritakan oleh Sarah Maiga.