Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

“Orang Bodoh Percaya kepada Apa-Apa Sahaja”

“Orang Bodoh Percaya kepada Apa-Apa Sahaja”

“Orang yang tidak membaca surat khabar adalah bodoh, tetapi yang lebih bodoh ialah orang yang mempercayai segala yang dibacanya dalam surat khabar.”—August von Schlözer, seorang sejarawan dan penulis Jerman (1735-1809).

SEKITAR 200 tahun dahulu, orang tidak dapat mempercayai segala yang terkandung dalam surat khabar. Hari ini, teknologi moden memudahkan kita mencari banyak maklumat di Internet. Kebanyakan maklumat itu benar dan bermanfaat. Namun ada juga yang palsu, sia-sia, dan berbahaya. Jadi kita harus memilih apa yang dibaca. Sesetengah orang percaya akan segala berita di Internet dan maklumat yang dihantar oleh kawan mereka, walaupun berita itu tidak masuk akal. Maka Bible memberikan amaran: “Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati.”—Ams. 14:15.

Orang bodoh mempercayai segala-galanya. Tetapi orang bijak berhati-hati dan hanya mempercayai perkara yang benar. Jadi kita tidak akan terperdaya dan mempercayai cerita palsu yang terdapat di Internet. Bagaimanakah anda boleh menjadi orang yang bijak? Tanyalah diri: “Adakah maklumat itu daripada laman web rasmi? Adakah maklumat itu daripada blog atau sumber yang tidak dikenali? Pernahkah maklumat itu dibuktikan palsu oleh laman web yang rasmi?” * Kemudian, gunakanlah “daya pemikiran” anda. (1 Ptr. 5:8) Jika suatu berita susah dipercayai, berita itu mungkin palsu. Selain itu, jika anda membaca sesuatu maklumat yang negatif tentang seseorang, fikirlah apa motif pengarang maklumat itu.

ADAKAH ANDA SELALU MENYEBARKAN E-MEL?

Sesetengah orang menyebarkan maklumat melalui e-mel tanpa mengenal pasti sama ada maklumat itu benar atau tidak. Mereka juga tidak berfikir tentang akibatnya. Mereka mungkin ingin mendapat perhatian orang dan ingin menjadi orang pertama yang menyebarkan berita itu. (2 Sam. 13:28-33) Namun, orang bijak berfikir tentang akibat buruk yang mungkin berlaku. Contohnya, reputasi  seseorang atau organisasi tertentu mungkin terjejas kerana maklumat yang tersebar.

Memeriksa suatu berita mengambil banyak masa dan usaha. Itulah sebabnya orang yang menghantar suatu berita berharap agar penerima itu yang akan berbuat demikian. Tetapi, masa mereka juga bernilai. (Ef. 5:15, 16) Oleh itu, jika kita tidak pasti akan kebenaran sesuatu berita, lebih baik kita tidak menghantarnya.

Tanyalah diri: “Adakah saya selalu menyebarkan maklumat melalui e-mel? Pernahkah saya meminta maaf kerana menghantar maklumat palsu? Pernahkah saya disuruh untuk berhenti menyebarkan e-mel?” Ingatlah, jika kenalan anda menggunakan e-mel, mereka juga tentu dapat mencari maklumat melalui Internet. Sudah pasti mereka tidak mahu menerima banyak e-mel tentang cerita, video, atau gambar lucu. Kita juga tidak harus mengedarkan rakaman atau nota ceramah Bible. * Anda tidak perlu menghantar maklumat penyelidikan, ayat rujukan Bible, atau jawapan yang akan dibincangkan dalam perjumpaan kepada orang lain. Adalah lebih bermanfaat jika mereka melakukan persiapan sendiri.

Haruskah saya menghantar e-mel ini kepada orang lain?

Apakah yang harus anda lakukan jika anda membaca maklumat yang memfitnah organisasi Yehuwa? Jangan percaya maklumat itu atau menyebarkannya! Jika anda mengongsi maklumat itu dengan orang lain dan meminta pandangan mereka, maklumat palsu itu akan tersebar. Sekiranya anda berasa risau tentang sesuatu perkara di Internet, mohonlah kebijaksanaan daripada Yehuwa dan beritahulah kepada saudara yang matang. (Yak. 1:5, 6; Yud. 22, 23) Kita tidak patut hairan jika orang bercakap buruk tentang kita. Dahulu, orang pernah bercakap buruk tentang Yesus. Dia juga memberikan amaran kepada pengikutnya bahawa musuh akan menganiaya dan “mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah” mereka. (Mat. 5:11; 11:19; Yoh. 10:19-21) Jika anda menggunakan daya pemikiran, anda tentu dapat mengenal pasti dusta yang disebarkan oleh orang.—Ams. 2:10-16.

 HORMATI ORANG LAIN

Kita juga harus berhati-hati ketika mengongsi berita atau pengalaman saudara saudari kita. Ada kalanya, kita tidak patut menyebarkan sesuatu maklumat, walaupun maklumat itu benar. (Mat. 7:12) Misalnya, kita tidak patut menyebarkan gosip tentang orang lain kerana hal itu tidak membina. (2 Tes. 3:11; 1 Tim. 5:13) Sesetengah maklumat adalah sulit. Orang mungkin ingin memberitahu tentang maklumat ini pada kemudian hari atau dengan cara tertentu. Jadi, kita harus menghormati keputusan mereka dan cara mereka ingin menyampaikannya. Jika kita memberitahu kepada orang lain terlebih dahulu, kita mungkin memburukkan keadaan.

Hari ini, berita boleh tersebar dengan cepat, tidak kira berita itu benar atau palsu, berguna atau sia-sia, baik atau buruk. Jika anda menghantar maklumat kepada satu orang, dia boleh menghantar maklumat itu kepada orang di serata dunia dalam beberapa saat sahaja. Jadi, lawanlah keinginan untuk menyebarkan maklumat dengan cepat kepada kenalan anda. Walaupun kasih tidak curiga dan “mempercayai segala sesuatu,” kita tidak sepatutnya percaya bahawa segala maklumat baru adalah benar. (1 Kor. 13:7) Kita juga tidak akan mempercayai dusta atau fitnah mengenai organisasi Yehuwa dan saudara saudari kita. Orang yang menyebarkan maklumat palsu sebegini sedang menggembirakan Syaitan Si Iblis, iaitu “bapa segala dusta.” (Yoh. 8:44) Jadi kita perlu bijak dan berhati-hati dengan cara kita menggunakan maklumat yang tersedia. Bible memberitahu kita, “Orang yang tidak berpengetahuan mengalami akibat kebodohan, tetapi orang yang pandai akan bertambah pengetahuan.”—Ams. 14:18.

^ per. 4 Ada kalanya, maklumat palsu yang dikeluarkan pada masa dahulu boleh dikeluarkan semula dan diubah sedikit supaya orang berfikir bahawa maklumat itu benar.

^ per. 8 Lihat “Kotak Pertanyaan” dalam Kerja Teokratik Kita, April 2010.