“Mencapai tahap kematangan Kristus.”—EF. 4:13.

LAGU: 69, 70

1, 2. Apakah matlamat yang harus ditetapkan oleh setiap orang Kristian? Berikan contoh.

APABILA seorang suri rumah membeli buah-buahan di pasar, biasanya dia tidak akan memilih buah yang paling besar atau yang paling murah. Sebaliknya, dia akan memilih buah yang segar dan sedap. Ya, dia ingin mencari buah-buahan yang sudah masak, atau matang.

2 Selepas seseorang belajar tentang Yehuwa dan kemudian dibaptis, hubungannya dengan Tuhan akan semakin erat. Matlamatnya adalah untuk menjadi seorang penyembah Tuhan yang matang, iaitu matang secara rohani dan bukannya fizikal. Rasul Paulus ingin orang Kristian di Efesus untuk menjadi matang. Dia menggalakkan mereka untuk “mencapai kesatuan dari segi kepercayaan dan pengetahuan yang tepat tentang Anak Tuhan. Dengan ini, kita dapat menjadi orang yang matang dan mencapai tahap kematangan Kristus.”—Ef. 4:13.

3. Apakah persamaan antara sidang Efesus dengan umat Yehuwa pada hari ini?

3 Apabila rasul Paulus menulis suratnya itu, sidang Efesus sudah pun wujud selama beberapa tahun. Kebanyakan orang  dalam sidang itu merupakan orang Kristian yang berpengalaman dan matang. Namun, kerohanian sesetengah orang di sana masih perlu dikuatkan. Begitu juga dengan hari ini, kebanyakan saudara saudari telah lama berkhidmat kepada Yehuwa dan matang secara rohani. Tetapi ada yang belum mencapai kematangan sebegitu. Contohnya, beribu-ribu orang dibaptis setiap tahun. Jadi masih terdapat orang yang perlu berusaha untuk mencapai kematangan rohani. Bagaimana pula dengan anda?—Kol. 2:6, 7.

CARA MENCAPAI KEMATANGAN ROHANI

4, 5. Apakah perbezaan orang Kristian yang matang? Namun, apakah persamaan antara mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Apabila memilih buah-buahan di pasar, anda mungkin mendapati bahawa buah yang sudah masak mempunyai bentuk yang berbeza. Tetapi buah yang sudah masak mempunyai ciri-ciri yang sama. Begitu juga dengan orang Kristian yang sudah matang. Mereka mungkin berbeza dari segi latar belakang, umur, keperibadian, cita rasa, atau budaya. Namun orang Kristian yang matang mempunyai sifat-sifat yang sama. Apakah sifat-sifat yang dimaksudkan?

5 Orang Kristian yang matang meniru teladan Yesus dan “mengikut jejaknya dengan teliti.” (1 Ptr. 2:21) Yesus berkata bahawa adalah penting bagi orang Kristian untuk mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati, jiwa, dan akal. Mereka juga perlu mengasihi orang lain seperti diri sendiri. (Mat. 22:37-39) Orang Kristian yang matang akan berusaha untuk mengikut nasihat itu. Cara dia menjalani kehidupannya akan menunjukkan bahawa dia mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa dan dia mengasihi orang lain.

Orang Kristian yang matang mencerminkan kerendahan hati Yesus dengan menyokong saudara muda yang mengambil pimpinan (Lihat perenggan 6)

6, 7. (a) Apakah sifat-sifat yang dimiliki oleh orang Kristian yang matang? (b) Apakah soalan yang patut kita tanya kepada diri sendiri?

6 Kasih ialah salah satu sifat yang ditunjukkan oleh orang Kristian matang. (Gal. 5:22, 23) Dia juga menunjukkan kelemahlembutan, kawalan diri, dan kesabaran. Sifat-sifat ini dapat membantunya menghadapi situasi yang sukar tanpa menjadi marah, kecewa, atau putus harapan. Semasa membuat pembelajaran peribadi, orang Kristian yang matang akan mencari prinsip Bible yang dapat membantunya mengetahui apa yang betul dan apa yang salah. Kemudian dengan menggunakan hati nurani yang dilatih oleh Bible, dia dapat membuat keputusan yang bijak. Dia juga rendah hati dan percaya bahawa bimbingan dan piawaian Yehuwa lebih baik daripada pemikirannya sendiri. * Dia akan menginjil dengan bersemangat dan berusaha untuk memupuk perpaduan dalam sidang.

7 Tidak kira berapa lama kita telah menyembah Yehuwa, kita boleh menanya diri, “Apakah perubahan yang boleh saya lakukan agar saya dapat meniru teladan Yesus dengan lebih teliti? Apakah kemajuan yang boleh saya lakukan?”

“ORANG MATANG MEMAKAN MAKANAN YANG KERAS”

8. Seberapa dalamkah pengetahuan Yesus tentang Bible?

8 Yesus mengenali Ayat-Ayat Suci dengan baik. Apabila dia berumur 12 tahun, dia telah membincangkan Ayat-Ayat Suci bersama guru agama di Rumah Tuhan. Bible menyatakan, “Semua orang yang mendengarnya kagum dengan daya pemahaman  dan jawapannya.” (Luk. 2:46, 47) Kemudian, apabila Yesus menginjil, dia juga telah menjelaskan ayat Bible dengan baik sekali sehingga musuhnya terdiam.—Mat. 22:41-46.

9. (a) Apakah tabiat pembelajaran Bible yang baik bagi orang Kristian? (b) Mengapakah kita mempelajari Bible?

9 Orang Kristian yang ingin menjadi matang akan meneladani Yesus dan berusaha memahami kandungan Bible. Dia mencari kebenaran Bible yang mendalam dan sedar bahawa “orang matang memakan makanan yang keras.” (Ibr. 5:14) Orang Kristian yang matang menginginkan “pengetahuan yang tepat tentang Anak Tuhan.” (Ef. 4:13) Jadi tanyalah diri, “Adakah saya membaca Bible setiap hari? Adakah saya melakukan pembelajaran peribadi secara tetap? Adakah saya mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu?” Semasa mempelajari Bible, carilah prinsip-prinsip yang membantu anda untuk memahami perasaan dan pemikiran Yehuwa. Kemudian, gunakanlah prinsip Bible ini semasa membuat keputusan. Dengan demikian, anda akan semakin dekat kepada Yehuwa.

10. Apakah pandangan orang Kristian terhadap bimbingan Tuhan dan prinsip Bible?

10 Orang Kristian yang matang bukan sekadar mengetahui kandungan Bible. Dia benar-benar mengasihi bimbingan dan prinsip daripada Tuhan. Oleh itu, dia mengutamakan kehendak Tuhan dan bukannya kehendak sendiri. Dia rela mengubah cara pemikirannya, kelakuannya, serta gaya hidupnya. Contohnya, dia meniru teladan Yesus dengan “mengenakan keperibadian baru yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar dan setia.” (Baca Efesus 4:22-24.) Yehuwa telah menggunakan daya aktif-Nya  untuk membimbing penulis-penulis Bible. Jadi apabila orang Kristian mempelajari Bible, daya aktif Tuhan akan membantunya untuk mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam dan mengasihi prinsip Bible. Hal ini akan membantunya untuk mencapai kematangan rohani.

MEMUPUK PERPADUAN

11. Apakah yang dihadapi oleh Yesus semasa di bumi?

11 Yesus merupakan manusia yang sempurna. Tetapi semasa dia di bumi, Yesus dikelilingi manusia yang tidak sempurna. Ibu bapanya dan adik-beradiknya juga tidak sempurna. Malah, para pengikut yang rapat dengannya pernah menunjukkan sifat sombong dan mementingkan diri. Contohnya, pada malam sebelum kematiannya, para rasul bertengkar “tentang siapa yang terbesar.” (Luk. 22:24) Walaupun para pengikutnya mempunyai pemikiran yang tidak sempurna, Yesus tahu bahawa mereka akan menjadi orang Kristian yang matang dan menubuhkan sidang yang bersatu padu. Pada malam itu juga, Yesus berdoa demi perpaduan para pengikutnya. Dia berdoa kepada Bapanya yang di syurga, “Bapa, sepertimana Engkau bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Engkau, mereka juga bersatu dengan kita, . . . supaya mereka menjadi satu sepertimana kita juga adalah satu.”—Yoh. 17:21, 22.

12, 13. (a) Apakah matlamat kita sebagai orang Kristian? (b) Bagaimanakah seorang saudara belajar untuk memupuk perpaduan?

12 Orang Kristian yang matang memupuk perpaduan dalam sidang. (Baca Efesus 4:1-6, 15, 16.) Sebagai umat Tuhan, kita haruslah bersatu padu “dan bekerjasama.” Inilah matlamat kita semua. Untuk memupuk perpaduan sebegini, orang Kristian harus bersifat rendah hati. Walaupun orang Kristian yang matang disakiti oleh ketidaksempurnaan orang lain, dia akan berusaha untuk mengekalkan perpaduan dalam sidang. Maka, tanyalah diri, “Apakah pandangan saya terhadap ketidaksempurnaan saudara saudari? Apakah yang akan saya lakukan apabila saya disakiti oleh orang lain? Adakah saya akan seolah-olah membina tembok dan berhenti bercakap dengan orang tersebut, atau membina jambatan untuk berbaik semula dengannya?”

13 Fikirkan contoh Saudara Uwe. Pada masa dahulu, dia sentiasa kecewa atas ketidaksempurnaan saudara saudari. Kemudian, dia memutuskan untuk belajar tentang kisah hidup Daud dengan menggunakan Bible dan buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures). Mengapakah dia memilih kisah Daud? Kerana Daud juga pernah mengalami masalah dengan sesetengah umat Tuhan. Contohnya, Raja Saul cuba membunuh Daud, sekumpulan lelaki ingin merejamnya dengan batu, bahkan isterinya mengejek-ejek dia. (1 Sam. 19:9-11; 30:1-6; 2 Sam. 6:14-22) Walaupun Daud dilayan sebegitu, dia tetap mengasihi dan mempercayai Yehuwa. Uwe juga sedar bahawa dia perlu menunjukkan belas kasihan seperti Daud. Melalui pembelajaran Bible, dia belajar untuk mengubah pandangannya terhadap ketidaksempurnaan saudara saudari. Dia tidak lagi bertumpu kepada kesilapan mereka, tetapi memupuk perpaduan dalam sidang. Adakah anda mempunyai matlamat yang sama?

PILIH SAHABAT YANG MELAKUKAN KEHENDAK TUHAN

14. Bagaimanakah Yesus memilih sahabatnya?

14 Yesus Kristus sangat ramah dengan semua orang. Lelaki dan wanita, tua dan muda, malah kanak-kanak pun berasa  selesa dengannya. Walaupun demikian, Yesus memilih sahabatnya dengan berhati-hati. Dia memberitahu para rasul, “Kamu ialah sahabat-sahabatku jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.” (Yoh. 15:14) Sahabat rapat Yesus ialah mereka yang mengikutnya dengan setia serta menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Adakah anda memilih sahabat yang mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati? Mengapakah hal ini penting?

15. Apakah manfaatnya bagi orang muda jika mereka bergaul dengan orang Kristian yang matang?

15 Sinaran matahari membantu buah-buahan menjadi masak. Begitu juga, kasih saudara saudari dapat membantu kita untuk menjadi orang Kristian yang matang. Adakah anda masih muda dan sedang memilih haluan hidup anda? Jika ya, adalah bijak bagi anda untuk memilih sahabat yang menyumbang kepada perpaduan sidang dan yang telah menyembah Yehuwa buat masa yang lama. Mereka mungkin pernah menghadapi masalah dalam kehidupan mereka. Mereka juga telah mengharungi pelbagai cabaran ketika menyembah Yehuwa. Jadi mereka dapat membantu anda memilih haluan hidup yang terbaik. Jika anda meluangkan masa untuk bergaul dengan mereka, anda dapat membuat keputusan yang bijak dan membuat kemajuan sehingga mencapai kematangan rohani.—Baca Ibrani 5:14.

16. Bagaimanakah rakan-rakan yang matang di sidang membantu seorang saudari yang muda?

16 Helga masih ingat hal-hal yang berlaku ketika tahun terakhir zaman persekolahannya. Ramai daripada rakan sekelasnya bercakap tentang matlamat mereka bagi masa depan. Kebanyakan daripada mereka ingin pergi ke universiti supaya boleh mendapat kerjaya yang lumayan. Helga pula membincangkan hal itu dengan rakan-rakan yang matang di sidang. Dia berkata, “Kebanyakan daripada mereka lebih tua daripada saya dan mereka banyak membantu saya. Mereka menggalakkan saya untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Jadi saya berpeluang untuk berkhidmat sebagai perintis selama lima tahun. Saya tidak pernah berasa menyesal. Saya berasa gembira kerana saya telah menggunakan masa muda saya untuk berkhidmat kepada Yehuwa.”

17, 18. Bagaimanakah kita dapat memberikan yang terbaik kepada Yehuwa?

17 Dengan mengikut teladan Yesus, kita dapat membuat kemajuan dan mencapai kematangan rohani. Kita akan semakin rapat dengan Yehuwa dan keinginan kita untuk berkhidmat kepada-Nya juga menjadi lebih kuat. Orang Kristian yang matang secara rohani dapat memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Itulah sebabnya Yesus menggalakkan pengikutnya, “Biarlah cahaya kamu bersinar di hadapan orang lain supaya mereka melihat perbuatan baik kamu dan memuji Bapa kamu yang di syurga.”—Mat. 5:16.

18 Kita telah pun mempelajari bahawa orang Kristian yang matang merupakan pengaruh yang baik dalam sidang. Orang Kristian juga menunjukkan kematangannya melalui cara dia menggunakan hati nuraninya. Bagaimanakah hati nurani membantu kita membuat keputusan yang bijak? Bagaimanakah kita dapat menghormati hati nurani orang lain? Soalan-soalan ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.

^ per. 6 Contohnya, seorang saudara yang lebih tua atau berpengalaman mungkin diminta untuk memberikan tanggungjawabnya kepada seorang saudara yang lebih muda dan menyokong saudara muda itu.