Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Hati Nurani Anda Boleh Dipercayai?

Adakah Hati Nurani Anda Boleh Dipercayai?

“Tujuan perintah ini adalah supaya kita mempunyai kasih yang berasal daripada hati yang bersih, hati nurani yang murni.”—1 TIM. 1:5.

LAGU: 57, 48

1, 2. Siapakah yang memberi kita hati nurani? Mengapakah kita menghargai pemberian ini?

TUHAN YEHUWA menciptakan manusia dengan kebebasan untuk memilih. Untuk membantu kita membuat pilihan yang betul, Yehuwa juga menyediakan bimbingan. Bimbingan ini dikenali sebagai hati nurani. Hati nurani membantu kita membezakan apa yang betul dan salah. Jika digunakan dengan betul, hati nurani membimbing kita untuk melakukan apa yang baik dan mengelakkan apa yang jahat. Hati nurani kita membuktikan bahawa Yehuwa mengasihi kita dan ingin kita berjaya.

2 Hari ini, sesetengah orang melakukan perkara yang baik dan membenci perkara yang jahat walaupun mereka tidak mengetahui piawaian Bible. (Baca Roma 2:14, 15.) Mengapa? Hal ini adalah kerana hati nurani mereka. Hati nurani menghalang orang daripada melakukan perkara yang jahat. Cuba bayangkan jika semua orang tidak memiliki hati nurani! Sudah pasti lebih banyak perkara jahat akan berlaku di dunia. Jadi kita sangat bersyukur kerana Yehuwa menciptakan kita dengan hati nurani!

3. Bagaimanakah hati nurani kita membantu kita di sidang?

 3 Ramai orang tidak terfikir untuk melatih hati nurani mereka. Namun, umat Yehuwa ingin agar hati nurani mereka berfungsi dengan betul supaya dapat menyumbang kepada perpaduan sidang. Kita ingin agar hati nurani mengingatkan kita tentang piawaian Bible mengenai apa yang betul dan salah, serta apa yang baik dan jahat. Namun, untuk melatih hati nurani, kita bukan hanya perlu mengetahui kandungan Bible. Kita perlu mengasihi piawaian Tuhan dan percaya bahawa piawaian-Nya bermanfaat bagi kita. Paulus menulis: “Tujuan perintah ini adalah supaya kita mempunyai kasih yang berasal daripada hati yang bersih, hati nurani yang murni, dan iman yang tulus.” (1 Tim. 1:5) Jika kita mengikut bimbingan hati nurani yang sudah terlatih, kasih dan iman kita kepada Yehuwa akan semakin kuat. Hal ini juga menunjukkan bahawa kita ingin menyenangkan hati-Nya. Hati nurani juga dapat mendedahkan siapa diri kita yang sebenar.

4. Bagaimanakah kita dapat melatih hati nurani kita?

4 Namun, bagaimanakah kita dapat melatih hati nurani kita? Kita perlu mempelajari Bible dengan tetap, membuat perenungan, dan memohon bantuan Yehuwa untuk menerapkan apa yang dipelajari. Kita bukan hanya ingin menimba pengetahuan dan mempelajari hukum Bible. Matlamat kita adalah untuk mengenali Yehuwa dengan lebih baik. Kita ingin mengetahui sifat-sifat Tuhan dan apa yang disukai dan yang dibenci-Nya. Dengan demikian, hati nurani kita akan lebih peka terhadap pandangan Tuhan mengenai apa yang betul dan yang salah. Semakin kerap kita melatih hati nurani, semakin selaras pemikiran kita dengan Yehuwa.

5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

5 Tetapi kita mungkin tertanya, “Bagaimanakah hati nurani yang dilatih oleh Bible membantu kita semasa membuat keputusan? Bagaimanakah kita dapat menghormati hati nurani rakan seiman? Bagaimanakah hati nurani menggerakkan kita untuk berbuat baik?” Mari kita bincangkan bagaimana hati nurani membimbing kita dalam tiga aspek ini: (1) kesihatan, (2) rekreasi, dan (3) kerja penyebaran.

BERSIKAP MUNASABAH

6. Apakah salah satu aspek yang memerlukan kita membuat keputusan?

6 Bible menggalakkan kita untuk mengelakkan perkara yang berbahaya. Kita juga perlu bersifat sederhana, seperti semasa makan dan minum. (Ams. 23:20; 2 Kor. 7:1) Dengan mengikut nasihat Bible, kita dapat menjaga kesihatan kita. Namun kita masih jatuh sakit dan menjadi tua. Di sesetengah negara, rawatan doktor dan rawatan alternatif boleh didapati. Pejabat cawangan menerima banyak surat daripada saudara saudari. Mereka bertanya sama ada sesetengah rawatan boleh diterima atau tidak.

7. Apakah caranya untuk membuat keputusan mengenai rawatan perubatan yang menggunakan darah?

7 Pejabat cawangan dan para penatua tidak berhak membuat keputusan bagi seorang Saksi walaupun diminta untuk berbuat demikian. (Gal. 6:5) Walau bagaimanapun, para penatua boleh mengongsi pandangan Yehuwa dengan Saksi tersebut. Contohnya, Tuhan telah mengarahkan semua penyembah-Nya untuk “menjauhi darah.” (Kis. 15:29) Perintah ini jelas menunjukkan bahawa orang Kristian tidak boleh menerima rawatan yang menggunakan darah utuh atau salah satu daripada empat komponen utama darah. Maklumat  ini mungkin mempengaruhi hati nurani seorang Saksi semasa dia memutuskan sama ada dia ingin menerima rawatan yang menggunakan pecahan kecil darah, iaitu pecahan darah yang dihasilkan daripada empat komponen utama darah. * Apakah nasihat Bible lain yang dapat membantu kita?

8. Bagaimanakah Filipi 4:5 membantu kita membuat keputusan mengenai kesihatan?

8 Amsal 14:15 berkata, “Orang bodoh percaya kepada apa-apa sahaja, tetapi orang bijak melangkah dengan hati-hati.” Sesetengah penyakit tidak dapat disembuhkan. Jadi kita perlu berhati-hati terhadap rawatan yang dikatakan boleh menyembuhkan penyakit tertentu tanpa bukti yang kukuh. Paulus menulis, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” (Flp. 4:5) Sikap munasabah membantu kita untuk bertumpu kepada hal-hal rohani dan bukannya hal-hal kesihatan sahaja. Jika kita terlalu bertumpu kepada hal-hal kesihatan, kita mungkin akan mementingkan diri. (Flp. 2:4) Kita tahu bahawa kita tidak boleh menikmati kesihatan yang sempurna di dunia ini. Maka, biarlah khidmat Yehuwa menjadi keutamaan dalam kehidupan anda sekarang.—Baca Filipi 1:10.

Adakah anda memaksa orang lain untuk mengikut pandangan anda? (Lihat perenggan 9)

9. Bagaimanakah Roma 14:13, 19 mempengaruhi keputusan kita mengenai kesihatan? Bagaimanakah hal ini mempengaruhi perpaduan sidang?

9 Orang Kristian yang munasabah tidak akan memaksa orang lain untuk mengikut pandangannya. Di sebuah negara, sepasang suami isteri menggalakkan orang lain untuk mengambil suplemen kesihatan dan mengikut cara pemakanan tertentu. Mereka meyakinkan sesetengah rakan seiman untuk berbuat demikian, tetapi ada juga yang menolak. Apabila suplemen dan cara pemakanan itu tidak berkesan, ramai saudara saudari kecewa. Pasangan itu memang berhak untuk memilih suplemen dan cara pemakanan itu bagi diri sendiri. Namun, adakah munasabah untuk membiarkan hal kesihatan menggugat perpaduan sidang? Pada masa dahulu, orang Kristian di Roma mempunyai pandangan yang berbeza mengenai makanan atau hari tertentu. Maka, Paulus menasihati mereka: “Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih penting daripada hari yang lain, sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja. Setiap orang harus yakin sepenuhnya akan keputusan masing-masing.” Ya, kita harus berhati-hati agar tidak menyebabkan orang lain tersandung.—Baca Roma 14:5, 13, 15, 19, 20.

10. Mengapakah kita patut menghormati keputusan peribadi orang lain? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Ada kalanya, kita tidak faham mengapa rakan seiman membuat keputusan tertentu. Namun, kita tidak harus menghakiminya atau memaksanya untuk mengubah fikiran.  Barangkali hati nuraninya terlalu sensitif atau perlu dilatih lagi. (1 Kor. 8:11, 12) Mungkin juga, hati nurani kita yang perlu dilatih lagi. Setiap orang perlu membuat keputusan sendiri mengenai hal kesihatan dan bertanggungjawab atas keputusan itu.

NIKMATI REKREASI YANG MEMBINA

11, 12. Bagaimanakah nasihat Bible membantu kita semasa memilih hiburan dan rekreasi?

11 Sebagai manusia, kita menikmati rekreasi dan meraih manfaat daripadanya. Salomo menulis bahawa ada “waktu untuk tertawa” dan ada “waktu untuk menari.” (Pkh. 3:4) Namun, bukan semua jenis rekreasi membawa manfaat, menenangkan, dan menyegarkan. Kita juga perlu mengelak daripada meluangkan terlalu banyak masa untuk berekreasi. Bagaimanakah hati nurani membantu kita memilih rekreasi yang bermanfaat dan sesuai dalam pandangan Yehuwa?

12 Bible memberikan amaran mengenai “perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa.” Perbuatan ini termasuk “perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, kelakuan buruk, penyembahan berhala, penggunaan ilmu sihir, permusuhan, perkelahian, kecemburuan, ledakan kemarahan, pertengkaran, perpecahan, pembentukan kumpulan agama, perasaan iri hati, kemabukan, pesta liar, dan hal-hal seperti ini.” Paulus menulis: “Orang yang mengamalkan perbuatan sebegini tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.” (Gal. 5:19-21) Jadi kita boleh menanya diri: “Adakah hati nurani saya membantu saya untuk menjauhi sukan yang berunsur ganas, mempunyai persaingan yang sengit, dan semangat kebangsaan? Adakah hati nurani saya memberikan amaran ketika saya tergoda untuk menonton filem yang mempunyai adegan lucah atau yang menggalakkan perbuatan yang tidak bermoral, kemabukan, atau spiritisme?”

13. Bagaimanakah nasihat di 1 Timotius 4:8 dan Amsal 13:20 membantu kita memilih rekreasi yang sesuai?

13 Prinsip Bible dapat melatih hati nurani kita mengenai rekreasi. Contohnya, Bible berkata bahawa “senaman membawa sedikit manfaat.” (1 Tim. 4:8, nota kaki) Senaman memang menyegarkan dan menyihatkan badan. Namun jika kita ingin melakukan senaman secara berkumpulan, adalah penting untuk memilih siapa yang akan bersenam dengan kita. Amsal 13:20 menyatakan: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” Jadi, kita perlu menggunakan hati nurani yang dilatih Bible semasa memilih rekreasi.

14. Bagaimanakah sebuah keluarga menerapkan prinsip di Roma 14:2-4?

14 Christian dan Daniela mempunyai dua anak perempuan remaja. Christian berkata, “Semasa Malam Penyembahan Keluarga, kami berbincang tentang rekreasi. Kami belajar bahawa ada perkara yang boleh diterima dan yang tidak boleh diterima. Siapakah yang boleh dianggap sebagai pergaulan baik? Salah seorang anak kami mengadu bahawa semasa waktu rehat di sekolah, beberapa Saksi lain berkelakuan dalam cara yang tidak sesuai. Dia merasai tekanan untuk berkelakuan seperti mereka. Kami menjelaskan bahawa setiap orang mempunyai hati nurani dan perlu memilih aktiviti dan pergaulan berdasarkan hati nurani sendiri.”—Baca Roma 14:2-4.

Hati nurani yang dilatih Bible dapat membantu anda untuk mengelakkan bahaya (Lihat perenggan 14)

15. Bagaimanakah nasihat di Matius 6:33 membantu kita dalam hal rekreasi?

15 Berapa banyakkah masa yang anda luangkan untuk berekreasi? Adakah anda mengutamakan perjumpaan, kerja penyebaran, dan pembelajaran Bible? Atau adakah  anda mengutamakan rekreasi? Apakah yang lebih penting bagi anda? Yesus berkata, “Hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.” (Mat. 6:33) Adakah hati nurani anda bertindak selaras dengan nasihat Yesus?

KITA TERDORONG UNTUK MENGINJIL

16. Bagaimanakah hati nurani menggerakkan kita untuk menginjil?

16 Hati nurani yang terlatih bukan hanya membantu kita menjauhi perkara yang salah, tetapi juga menggerakkan kita untuk melakukan perkara yang baik. Antara perkara yang baik ialah menginjil dari rumah ke rumah dan memberi kesaksian secara tidak formal. Itulah yang dilakukan Paulus. Dia menulis: “Inilah kewajipanku. Sesungguhnya, malanglah aku jika aku tidak mengisytiharkan berita baik!” (1 Kor. 9:16) Dengan meneladani Paulus, kita akan mempunyai hati nurani yang murni kerana kita sedang melakukan apa yang baik. Apabila kita mengkhabarkan berita baik kepada orang lain, kita ingin mencapai hati nurani mereka. Paulus berkata, “Kami membuat kebenaran terserlah. Dengan berbuat demikian, di mata Tuhan, kami menjadi teladan baik kepada hati nurani semua orang.”—2 Kor. 4:2, nota kaki.

17. Bagaimanakah seorang saudari muda mengikut hati nuraninya yang dilatih Bible?

17 Semasa berumur 16 tahun, Jacqueline mempelajari biologi di sekolah. Semua pelajar harus belajar teori evolusi. “Hati nurani saya tidak membenarkan saya untuk melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam perbincangan kelas. Saya tidak mempercayai teori evolusi. Jadi saya menjelaskan pendirian saya kepada guru. Saya berasa hairan kerana dia baik kepada saya dan memberi saya peluang untuk menjelaskan topik penciptaan di kelas.” Jacqueline berpuas hati kerana dia mengikut hati nuraninya yang dilatih Bible. Adakah hati nurani anda menggerakkan anda untuk melakukan apa yang betul?

18. Mengapakah kita ingin mempunyai hati nurani yang boleh dipercayai?

18 Matlamat kita adalah untuk hidup selaras dengan prinsip dan piawaian Yehuwa. Hati nurani dapat membantu kita mencapai matlamat ini. Apabila kita merenungkan dan menerapkan apa yang dipelajari daripada Bible, hati nurani kita akan dilatih. Dengan itu, hati nurani kita akan menjadi kurniaan Tuhan yang dapat membimbing kehidupan kita!