“Walaupun nampaknya masa itu lambat datang, tetapi tunggu saja!”—HAB. 2:3.

LAGU: 128, 45

1, 2. Apakah sikap yang harus ditunjukkan oleh umat Yehuwa?

UMAT Yehuwa telah lama menunggu nubuat-nubuat Bible menjadi kenyataan. Contohnya, Yeremia menunggu masanya apabila orang Babilon memusnahkan Yehuda. Hal ini telah berlaku pada tahun 607 SM. (Yer. 25:8-11) Yesaya bernubuat bahawa Yehuwa akan membawa orang Yahudi yang ditawan kembali ke Yehuda. Dia berkata, ‘Berbahagialah mereka yang berharap kepada Yehuwa.’ (Yes. 30:18) Mikha juga menunggu janji Yehuwa yang akan menjadi kenyataan dengan berkata, ‘Aku akan menantikan Yehuwa.’ (Mi. 7:7) Selama beratus-ratus tahun, umat Tuhan dengan yakin menunggu ketibaan Kristus, Mesias yang dijanjikan.—Luk. 3:15; 1 Ptr. 1:10-12. *

2 Hari ini, kita juga menunggu nubuat-nubuat Bible mengenai Kerajaan Yehuwa untuk menjadi kenyataan. Yesus, sebagai Raja Kerajaan Tuhan, akan menyelamatkan umat Tuhan daripada dunia Syaitan. Dia akan memusnahkan semua orang jahat dan mengakhiri segala penderitaan. (1 Yoh. 5:19) Jadi, kita harus bersiap sedia dan menantikan hari Yehuwa yang akan tiba pada bila-bila masa.

3. Jika kita telah lama menunggu ketibaan akhir sistem dunia ini, apakah yang mungkin kita fikirkan?

 3 Sudah tentu kita menantikan masanya apabila kehendak Tuhan dilaksanakan di atas bumi. (Mat. 6:10) Namun, jika kita telah lama menunggu, kita mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah kita harus terus menunggu ketibaan akhir sistem dunia ini?”

MENGAPAKAH KITA HARUS TERUS MENUNGGU?

4. Mengapakah kita harus terus “berjaga-jaga”?

4 Yesus memberitahu pengikutnya, “Teruslah berjaga-jaga.” Kita juga harus berbuat demikian. (Mat. 24:42; Luk. 21:34-36) Organisasi Yehuwa selalu mengingatkan kita untuk “menantikan dan sentiasa mengingat akan kehadiran hari Yehuwa.” Kita juga sering diingatkan untuk bertumpu kepada dunia baru yang dijanjikan Yehuwa.—Baca 2 Petrus 3:11-13.

5. Apakah sebab lain kita harus menantikan hari Yehuwa?

5 Pengikut Yesus pada abad pertama perlu menantikan hari Yehuwa. Kita juga perlu menantikan hari Yehuwa. Mengapa? Yesus telah menjadi Raja Kerajaan Tuhan sejak tahun 1914. Sejak itu, tanda mengenai hari-hari terakhir yang diberikan Yesus menjadi kenyataan dan hal ini membuktikan bahawa kita sedang hidup pada “penghujung sistem ini.” Contohnya, seperti yang dinubuatkan Yesus, keadaan dunia semakin teruk dan berita baik tentang Kerajaan Tuhan sedang disebarkan di seluruh dunia. (Mat. 24:3, 7-14) Memandangkan Yesus tidak memberitahu kita bila akhir akan tiba, kita perlu sentiasa berjaga-jaga.

6. Bagaimanakah kita tahu bahawa keadaan dunia akan menjadi lebih teruk?

6 Ada yang mungkin tertanya: “Bukankah ‘penghujung sistem’ merujuk kepada masa depan apabila keadaan dunia menjadi lebih teruk?” Bible memang menyatakan bahawa orang akan menjadi lebih jahat “pada hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1, 13; Mat. 24:21; Why. 12:12) Jadi kita boleh menyimpulkan bahawa keadaan dunia akan menjadi semakin teruk.

7. Berdasarkan Matius 24:37-39, apakah yang boleh kita pelajari mengenai keadaan dunia pada hari-hari terakhir?

7 Bagi anda, seberapa terukkah keadaan dunia sebelum “kesengsaraan besar” berlaku? (Why. 7:14) Contohnya, adakah anda berasa bahawa peperangan akan berlaku di setiap negara, semua orang kekurangan makanan, dan penyakit melanda setiap keluarga? Jika halnya demikian, semua orang akan tahu bahawa nubuat Bible sedang menjadi kenyataan. Namun, Yesus berkata bahawa kebanyakan orang “tidak ambil peduli” tentang hal ini. Mereka akan menjalankan aktiviti harian seperti biasa dan apabila hari Yehuwa datang, mereka akan terkejut. (Baca Matius 24:37-39.) Maka, berdasarkan ayat Bible, keadaan dunia tidak akan menjadi begitu teruk sehingga semua orang pun tahu bahawa akhir sudah dekat.—Luk. 17:20; 2 Ptr. 3:3, 4.

8. Pengikut Yesus yang berjaga-jaga yakin akan apa?

8 Tanda hari-hari terakhir yang menjadi kenyataan membantu pengikut Yesus untuk tetap berjaga-jaga. (Mat. 24:27, 42) Sejak tahun 1914, ciri-ciri daripada tanda yang diberikan Yesus telah berlaku. Oleh itu, kita yakin bahawa kita sedang hidup pada “penghujung sistem ini.” Yehuwa telah pun menentukan bila Dia akan memusnahkan dunia Syaitan yang jahat.

9. Mengapakah kita terus menunggu ketibaan akhir sistem dunia ini?

 9 Mengapakah kita harus terus menunggu ketibaan akhir sistem dunia ini? Kerana kita mentaati perintah Yesus. Kita juga dapat melihat tanda yang diberikan Yesus mengenai hari-hari terakhir sedang menjadi kenyataan. Kita menantikan akhir dunia, bukan kerana kita mempercayai apa yang dikatakan oleh orang lain, tetapi kerana kita yakin bahawa nubuat Bible akan benar-benar terjadi. Jadi kita harus berjaga-jaga supaya kita bersedia apabila akhir tiba.

BERAPA LAMAKAH KITA HARUS MENUNGGU?

10, 11. (a) Mengapakah Yesus memberitahu pengikutnya, “Teruslah berjaga-jaga”? (b) Menurut Yesus, apakah yang harus dilakukan oleh pengikutnya jika dia tidak datang pada masa yang dijangkakan mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Kebanyakan penyembah Yehuwa telah lama menunggu kedatangan hari Yehuwa. Walaupun kita sudah lama menunggu, kita masih perlu menantikan hari itu. Kita perlu bersedia apabila Yesus datang untuk memusnahkan dunia Syaitan nanti. Ingatlah apa yang dikatakan oleh Yesus kepada pengikutnya: “Teruslah berjaga-jaga dan teruslah berwaspada, kerana kamu tidak tahu waktu yang ditentukan oleh Tuhan. Keadaannya seperti seorang lelaki yang meninggalkan rumahnya lalu berangkat ke luar negeri. Sebelum bertolak, dia memberi hamba-hambanya kuasa untuk menguruskan rumahnya, memberi mereka kerja masing-masing, dan menyuruh penjaga pintu untuk terus berjaga-jaga. Kamu tidak tahu bila tuan rumah akan datang, sama ada pada lewat petang, atau pada tengah malam, atau pada waktu subuh, atau pada awal pagi. Maka, teruslah berjaga-jaga supaya dia tidak mendapati kamu sedang tidur semasa dia tiba-tiba datang. Apa yang aku katakan kepada kamu, aku katakan kepada semua: Teruslah berjaga-jaga.”—Mrk. 13:33-37.

11 Apabila pengikut Yesus tahu bahawa Yesus mula memerintah sebagai Raja pada tahun 1914, mereka sedar bahawa akhir bakal datang. Maka mereka bergiat lagi dalam kerja penyebaran. Yesus berkata bahawa dia mungkin datang “pada lewat petang, atau pada tengah malam.” Namun dia juga berkata bahawa dia mungkin datang lambat seperti “pada waktu subuh, atau pada awal pagi.” Jika hal ini berlaku, apakah yang perlu dilakukan oleh pengikut Yesus? Yesus berkata, “Teruslah berjaga-jaga.” Maka kita tidak harus berfikir bahawa akhir akan mengambil masa yang lama untuk sampai, atau bahawa hal itu tidak akan berlaku dalam jangka hayat kita.

12. Apakah yang ditanya oleh Habakuk kepada Yehuwa, dan bagaimanakah Yehuwa menjawabnya?

12 Nabi Habakuk dengan sabar mengumumkan tentang pembinasaan Yerusalem. Sebelum itu, nabi-nabi lain juga telah mengumumkan mesej yang sama selama bertahun-tahun. Habakuk melihat bahawa keadaan di Yerusalem semakin teruk sehingga ‘orang jahat selalu mengalahkan orang jujur; keadilan diputar balikkan.’ Maka, Habakuk merayu, ‘Ya Yehuwa, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan?’ Walaupun Yehuwa tidak memberitahu Habakuk bila pembinasaan Yerusalem akan dilaksanakan, Yehuwa telah meyakinkan Habakuk dengan berkata bahawa pembinasaan itu “tidak akan ditangguhkan.” Yehuwa juga memberitahunya, “Walaupun nampaknya masa itu lambat datang, tetapi tunggu saja.”—Baca Habakuk 1:1-4; 2:3.

13. Apakah yang mungkin difikirkan Habakuk? Mengapakah pemikiran begitu berbahaya?

 13 Andai kata Habakuk berasa jemu menunggu dan berfikir, “Sudah lama saya menunggu pembinasaan Yerusalem. Nampaknya saya masih perlu menunggu lama lagi. Saya mungkin tidak perlu mengumumkan hal ini. Biarlah orang lain melakukannya.” Apakah yang akan berlaku jika Habakuk berfikir sedemikian? Dia akan kehilangan perkenan Tuhan. Dia juga mungkin tidak bersedia lalu kehilangan nyawanya apabila Yerusalem dibinasakan.

14. Di dunia baru, mengapakah kita boleh bersyukur bahawa Yehuwa memberikan amaran tentang akhir sistem dunia Syaitan?

14 Cuba bayangkan apabila kita berada di dunia baru nanti. Kita akan terkenang kembali tentang semua nubuat mengenai “penghujung sistem” yang sudah menjadi kenyataan. Kita tentu yakin dan percaya bahawa Yehuwa akan terus menunaikan segala janji-Nya. (Baca Yosua 23:14.) Kita tentu bersyukur kepada Yehuwa kerana memberikan amaran dan menentukan masa yang sesuai untuk mengakhiri sistem dunia Syaitan.—Kis. 1:7; 1 Ptr. 4:7.

KITA TERUS MENGINJIL SEMASA MENUNGGU

Adakah anda mengkhabarkan berita baik dengan bersemangat? (Lihat perenggan 15)

15, 16. Mengapakah kita harus mengerahkan usaha dalam kerja penyebaran pada hari-hari terakhir ini?

15 Organisasi Yehuwa sentiasa mengingatkan kita untuk mengutamakan khidmat kepada Yehuwa. Oleh demikian, kita bukan sahaja akan tetap sibuk dalam khidmat kepada Yehuwa, tetapi kita juga akan melihat kepentingan mesej yang disampaikan. Kita yakin bahawa tanda yang diberikan Yesus sedang menjadi kenyataan dan akhir akan tiba tidak lama lagi. Maka, utamakanlah Yehuwa dalam hidup anda dan teruslah khabarkan berita baik tentang Kerajaan-Nya.—Mat. 6:33; Mrk. 13:10.

16 Apabila kita menyampaikan berita baik kepada orang lain, kita menyelamatkan mereka daripada dunia Syaitan yang bakal dimusnahkan. Pada tahun 1945, sebuah kapal yang bernama Wilhelm Gustloff tenggelam dan beribu-ribu orang terkorban. Seorang saudari dan suaminya telah diselamatkan dari kapal itu. Dia masih ingat bahawa sementara kapal itu tenggelam, seorang wanita berteriak, “Beg saya! Beg saya! Barang-barang kemas saya! Semua barang saya masih di dalam kapal. Saya kehilangan semua barang saya!” Namun, penumpang lain sedar bahawa apa yang terpenting adalah untuk menyelamatkan nyawa orang. Begitu juga hari ini, nyawa orang terancam. Kita harus berfokus  kepada kerja yang terpenting, iaitu kerja penyebaran. Kita harus mengerahkan usaha untuk menyelamatkan orang daripada akhir sistem dunia ini.

Pastikan keputusan anda tidak mengganggu tumpuan anda terhadap kerja penyebaran (Lihat perenggan 17)

17. Mengapakah kita percaya bahawa akhir sistem dunia ini akan tiba pada bila-bila masa?

17 Kita boleh lihat dengan jelas bahawa nubuat Bible sedang menjadi kenyataan dan akhir sistem dunia ini semakin dekat. Kita menantikan masanya apabila “sepuluh tanduk” dan “binatang buas” menyerang Babilon Besar, iaitu agama palsu. (Why. 17:16) Kita tidak harus menganggap bahawa kita perlu menunggu masa yang lama sebelum hal ini berlaku. “Tuhan sendiri menanam dalam hati mereka” untuk menyerang agama palsu. Ingatlah bahawa hal ini akan berlaku dengan cepat dan pada bila-bila masa! (Why. 17:17) Jadi kita harus mendengarkan amaran Yesus: “Perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan makan berlebihan, minum berlebihan, dan kekhuatiran hidup, sehingga hari itu menimpa kamu dengan tiba-tiba seperti perangkap.” (Luk. 21:34, 35; Why. 16:15) Semoga kita terus berjaga-jaga dan sibuk dalam khidmat kepada Yehuwa. Yakinlah bahawa Dia akan melindungi “orang yang berharap kepada-Nya.”—Yes. 64:4.

18. Apakah soalan yang akan dijawab dalam rencana seterusnya?

18 Sementara menunggu akhir sistem dunia ini, kita harus mengikut nasihat daripada buku Yudas: “Saudara-saudara yang dikasihi, binalah iman kamu yang suci dan berdoalah menurut pimpinan daya aktif Tuhan. Dengan demikian kamu akan tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan, sementara kamu menantikan belas kasihan Tuan Yesus Kristus, yang akan membuka jalan agar kamu menerima hidup kekal.” (Yud. 20, 21) Namun, bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita benar-benar menantikan ketibaan dunia baru Tuhan? Perkara ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.

^ per. 1 Mengenai nubuat-nubuat Bible yang menjadi kenyataan tentang Mesias, sila lihat muka surat 231 dalam buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?