Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

“Yehuwa Membawa Anda Ke Perancis untuk Mempelajari Kebenaran”

“Yehuwa Membawa Anda Ke Perancis untuk Mempelajari Kebenaran”

SEJAK kecil, Antoine Skalecki memiliki seekor kuda sebagai temannya. Dia dan kudanya mengangkut batu arang melalui terowong yang gelap sedalam 500 m di bawah tanah. Bapa Antoine tercedera apabila sebuah lombong batu arang runtuh. Maka Antoine terpaksa menggantikan bapanya dan bekerja selama sembilan jam setiap hari. Pernah sekali, Antoine sendiri hampir kehilangan nyawa semasa lombong runtuh.

Alat melombong yang digunakan oleh orang Poland, dan lombong arang batu di Dechy berdekatan Sin-le-Noble, tempat kerja Antoine Skalecki

Antoine adalah salah seorang daripada anak-anak orang Poland yang dilahirkan di Perancis sekitar tahun 1920 hingga 1940. Mengapakah orang Poland berpindah ke Perancis? Selepas negara Poland mendapat kemerdekaan, bilangan penduduknya meningkat secara mendadak. Negara Perancis pula memerlukan pekerja di lombong batu arang kerana lebih daripada sejuta orang lelaki Perancis terkorban semasa perang. Maka pada bulan September 1919, kerajaan Perancis dan Poland membuat perjanjian agar orang Poland boleh berpindah ke Perancis. Menjelang tahun 1931, jumlah orang Poland di Perancis mencecah 507,800 orang. Kebanyakannya menetap di bahagian utara Perancis.

Orang Poland ini bekerja keras, serta berpegang teguh pada kebudayaan dan agama mereka. Antoine yang kini berumur 90 tahun berkata, “Datuk saya, Joseph, sangat menghormati Ayat-Ayat Suci kerana bapanya telah mengajarnya untuk berbuat demikian.” Setiap hari Ahad, orang Poland mengenakan pakaian yang terbaik dan pergi ke gereja sepertimana yang dilakukan mereka di negara asal. Namun, segelintir orang Perancis tidak menyukainya.

Orang Poland mula-mula mendapat kebenaran di Nord-Pas-de-Calais. Pelajar Bible telah menginjil di sana sejak tahun 1904. Menjelang tahun 1915, The Watch Tower dicetak setiap bulan dalam bahasa Poland dan The Golden Age (kini Awake!) mula dicetak dalam bahasa itu sejak 1925. Ramai keluarga gembira menerima kebenaran yang terkandung dalam majalah-majalah tersebut dan buku The Harp of God.

Keluarga Antoine mengenali kebenaran melalui  pak ciknya yang telah menghadiri perjumpaan Pelajar Bible pada tahun 1924. Pada tahun itu, Pelajar Bible juga mengadakan perhimpunan dalam bahasa Poland di Bruay-en-Artois. Tidak lama kemudian, Joseph F. Rutherford mengadakan perjumpaan umum yang dihadiri oleh 2,000 orang. Apabila melihat bahawa kebanyakan hadirin berbangsa Poland, Saudara Rutherford berkata, “Yehuwa membawa anda ke Perancis untuk mempelajari kebenaran. Sekarang anda dan anak anda harus membantu orang Perancis! Banyak kerja penyebaran harus dilakukan, dan Yehuwa akan menyediakan penyiar untuk kerja itu.”

Itulah yang dilakukan Yehuwa! Orang Poland menginjil dengan rajin sebagaimana mereka bekerja di lombong. Beberapa orang telah kembali ke Poland untuk menyebarkan kebenaran yang telah dipelajari. Antaranya ialah Teofil Piaskowski, Szczepan Kosiak, dan Jan Zabuda.

Namun, ramai penyiar Poland terus menginjil dengan bersemangat bersama saudara saudari Perancis. Pada tahun 1926, sebuah perhimpunan diadakan di Sin-le-Noble. Sebanyak 1,000 orang menghadiri bahagian bahasa Poland, dan 300 orang menghadiri bahagian bahasa Perancis. Buku tahunan 1929 melaporkan: “Pada tahun itu, 332 orang Poland membaktikan diri melalui pembaptisan.” Sebelum Perang Dunia Kedua tercetus, terdapat 84 sidang di Perancis, dan 32 daripadanya ialah sidang bahasa Poland.

Saudara saudari Poland di Perancis dalam perjalanan ke konvensyen. Tanda pada bas bererti: “Saksi-Saksi Yehuwa”

Atas jemputan kerajaan Poland, ramai Saksi-Saksi Yehuwa kembali ke Poland pada tahun 1947. Walaupun demikian, hasil usaha mereka bersama saudara saudari Perancis dapat dilihat menerusi peningkatan penyiar sebanyak 10 peratus pada tahun itu. Bilangan penyiar terus meningkat sehingga mencecah 40 peratus pada tahun 1950! Untuk melatih penyiar baru ini, pejabat cawangan Perancis melantik penyelia litar pada tahun 1948. Empat daripada lima saudara yang dilantik berbangsa Poland, dan antaranya ialah Antoine Skalecki.

Ramai Saksi-Saksi Yehuwa di Perancis masih memiliki nama keluarga mereka yang berasal daripada nenek moyang yang berbangsa Poland. Hari ini, ramai pendatang asing menerima kebenaran di Perancis. Tidak kira penyiar dari negara asing kembali ke tempat asal mereka atau menetap di tempat yang baru, mereka rajin menginjil seperti orang Poland dahulu kala.—Dari khazanah rohani kita di Perancis.