“Berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.”—LUK. 21:28.

LAGU: 133, 43

1. Apakah peristiwa yang berlaku pada tahun 66 M? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

BAYANGKAN anda hidup di Yerusalem pada tahun 66 M. Banyak peristiwa telah berlaku. Pegawai Roma yang bernama Florus telah mencuri 17 talenta dari Rumah Tuhan lalu menyebabkan orang Yahudi sangat marah. Mereka membunuh ramai askar Roma dan mengisytiharkan diri bebas daripada kuasa Roma. Kerajaan Roma bertindak dengan segera. Dalam masa tiga bulan, 30,000 askar yang diketuai oleh Cestius Gallus mengepung Yerusalem. Pemberontak Yahudi berlindung di kawasan Rumah Tuhan. Tetapi tentera Roma mula merobohkan tembok di kawasan Rumah Tuhan. Semua orang menjadi cemas. Jika anda berada di sana, apakah perasaan anda?

2. Apakah yang harus dilakukan oleh orang Kristian pada tahun 66 M? Apakah peristiwa yang membolehkan mereka terselamat?

2 Bertahun-tahun sebelum itu, Yesus sudah memberikan arahan mengenai peristiwa ini. Dia berkata, “Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung oleh tentera, ketahuilah bahawa kota itu  akan dimusnahkan dengan segera. Pada masa itu, hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan, dan hendaklah mereka yang berada di Yerusalem keluar dari sana. Mereka yang berada di kawasan pekan pula janganlah memasuki kota itu.” (Luk. 21:20, 21) Memandangkan askar Roma masih mengepung kota itu, bagaimanakah mereka dapat meninggalkan Yerusalem? Sebenarnya sesuatu yang menakjubkan telah berlaku. Tentera Roma tiba-tiba berundur dari Yerusalem! Seperti yang dikatakan Yesus, tempoh masa serangan mereka telah “dipendekkan.” (Mat. 24:22) Hal itu membuka peluang kepada orang Kristian yang setia untuk melarikan diri ke kawasan pergunungan. * Kemudian pada tahun 70 M, tentera Roma kembali dan memusnahkan kota Yerusalem. Namun semua yang mengikut arahan Yesus telah diselamatkan.

3. Seperti peristiwa pada abad pertama, apakah peristiwa yang bakal berlaku? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Tidak lama lagi, kita akan menghadapi situasi yang serupa. Yesus menggunakan peristiwa pada abad pertama untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku semasa “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:3, 21, 29) Sepertimana orang Kristian yang setia terselamat daripada pembinasaan Yerusalem, satu “kumpulan besar manusia” akan diselamatkan daripada bencana dahsyat yang bakal berlaku. (Baca Wahyu 7:9, 13, 14.) Kita harus memberikan perhatian kepada kata-kata Bible mengenai masa depan. Mengapa? Kerana hal ini melibatkan hidup mati kita. Marilah kita bincangkan bagaimana peristiwa yang bakal berlaku berkait dengan kehidupan kita.

PERMULAAN KESENGSARAAN BESAR

4. Bagaimanakah kesengsaraan besar akan bermula?

4 Kesengsaraan besar akan bermula apabila semua agama palsu dimusnahkan. Dalam Bible, agama palsu dipanggil “Babilon Besar.” (Why. 17:5-7) Semua agama palsu adalah seperti pelacur. Hal ini kerana pemimpin agama tidak taat kepada Tuhan. Mereka tidak menyokong Yesus dan Kerajaannya, tetapi menyokong kerajaan manusia. Mereka rela mengetepikan ajaran Bible agar mereka mendapat sokongan politik. Mereka tidak suci seperti kaum terurap. (2 Kor. 11:2; Yak. 1:27; Why. 14:4) Namun, siapakah yang akan memusnahkan Babilon Besar? Yehuwa akan menyebabkan “10 tanduk” pada “binatang buas yang berwarna merah marak” untuk “melaksanakan tujuan-Nya.” “Binatang buas yang berwarna merah marak” itu merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, manakala “10 tanduk” merujuk kepada semua kerajaan manusia yang menyokongnya.—Baca Wahyu 17:3, 16-18.

5, 6. Mengapakah kita boleh menyimpulkan bahawa pembinasaan Babilon Besar tidak menyebabkan semua ahlinya dibunuh?

5 Adakah semua ahli dalam agama palsu akan dibunuh semasa Babilon Besar dimusnahkan? Tidak. Yehuwa memberikan nubuat melalui Zakharia tentang apa yang akan terjadi. Pada masa itu, mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada agama palsu akan berkata, “‘Aku bukan nabi. Aku petani—aku bercucuk tanam seumur hidupku.’ Jika orang bertanya kepadanya, ‘Luka apakah yang ada pada dadamu itu?’ Dia akan menjawab, ‘Luka ini aku dapat ketika di rumah kawanku.’” (Za. 13:4-6) Jadi, sesetengah pemimpin gereja akan menafikan bahawa mereka pernah menyertai agama palsu.

 6 Apakah yang akan terjadi kepada umat Tuhan pada masa itu? Yesus menjelaskan: “Sebenarnya, jika tempoh masa itu tidak dipendekkan, tiada seorang pun yang dapat diselamatkan. Tetapi disebabkan umat yang terpilih, masa itu akan dipendekkan.” (Mat. 24:22) Pada abad pertama, tempoh kesengsaraan yang berlaku di Yerusalem “dipendekkan.” Hal ini adalah supaya “umat yang terpilih” dapat melarikan diri. Begitu juga, bahagian awal kesengsaraan besar akan “dipendekkan” demi “umat yang terpilih,” iaitu orang Kristian terurap. Kerajaan manusia, iaitu “10 tanduk,” tidak akan dibenarkan untuk memusnahkan umat Tuhan. Serangan itu akan terhenti seketika selepas pembinasaan semua agama palsu.

MASA UNTUK DIUJI DAN DIHAKIMI

7, 8. Apakah yang harus kita lakukan selepas pembinasaan agama palsu? Apakah yang membezakan umat Tuhan daripada orang lain pada masa itu?

7 Apakah yang akan berlaku selepas pembinasaan agama palsu? Pada masa itu, hati kita akan diuji. Ramai manusia akan mencari perlindungan daripada organisasi manusia yang dianggap sebagai “batu di kawasan pergunungan.” (Why. 6:15-17) Namun, umat Yehuwa akan mencari perlindungan daripada-Nya. Pada abad pertama, tempoh serangan telah “dipendekkan.” Namun itu bukan masanya bagi semua orang Yahudi untuk memeluk agama Kristian secara tiba-tiba. Sebaliknya, itulah masanya bagi orang yang sudah memeluk agama Kristian untuk melarikan diri dari Yerusalem seperti yang diarahkan oleh Yesus. Begitu juga pada masa depan, apabila tempoh serangan terhadap Babilon Besar “dipendekkan,” kita tidak harus menjangka bahawa ramai orang akan tiba-tiba menjadi orang Kristian sejati. Sebaliknya, itulah masanya bagi semua penyembah sejati untuk membuktikan kasih mereka kepada Yehuwa dan menyokong kaum terurap.—Mat. 25:34-40.

8 Kita tidak tahu apa sebenarnya yang akan berlaku pada masa itu. Namun, kita tahu bahawa masa itu sangat susah dan kita mungkin perlu membuat pengorbanan. Pada abad pertama, orang Kristian terpaksa meninggalkan rumah mereka dan mengharungi pelbagai cabaran agar terselamat. (Mrk. 13:15-18) Maka kita boleh menanya diri: “Adakah saya rela mengorbankan harta benda saya? Adakah saya rela melakukan apa sahaja supaya dapat tetap setia kepada Yehuwa?” Pada masa itu, kita berbeza daripada orang lain. Seperti nabi Daniel, hanya kitalah yang menyembah Yehuwa tidak kira apa yang berlaku.—Dan. 6:11, 12.

9, 10. (a) Apakah mesej yang akan diisytiharkan umat Tuhan semasa kesengsaraan besar? (b) Apakah yang akan dilakukan oleh musuh umat Tuhan?

9 Kesengsaraan besar bukanlah masa untuk menyebarkan “berita baik.” Hal ini adalah kerana “akhir” sudah tiba. (Mat. 24:14) Sebaliknya, umat Tuhan akan mengisytiharkan mesej penghakiman yang berat semasa kesengsaraan besar. Mesej ini mungkin mengenai kemusnahan dunia Syaitan yang jahat. Bible menggambarkan mesej ini sebagai hujan batu. Bible menyatakan, “Hujan batu yang dahsyat turun dari langit dan menimpa manusia. Berat setiap batu kira-kira 20 kilogram. Tulah hujan batu itu menyebabkan manusia mengutuk Tuhan, kerana tulah itu sangat dahsyat.”—Why. 16:21.

10 Musuh kita akan mendengar mesej yang berat ini. Yehuwa telah mengilhami nabi Yehezkiel untuk menjelaskan apa yang akan dilakukan oleh Gog dari Magog, iaitu bangsa-bangsa yang bersekutu. Yehezkiel berkata, ‘Raja Yehuwa berfirman kepada  Gog, “Pada masa itu, engkau akan membuat rancangan jahat. Engkau bertekad untuk menyerang satu negeri yang tidak mempunyai pertahanan, negeri yang penduduknya hidup dengan aman dan tenteram di kota-kota yang tidak bertembok dan tidak mempunyai alat-alat pertahanan. Engkau akan merompak dan menjarah harta penduduk kota-kota yang runtuh pada waktu dahulu. Mereka telah dikumpulkan dari negeri-negeri lain dan sekarang mereka mempunyai banyak harta dan ternak. Mereka tinggal di pusat dunia.”’ (Yeh. 38:10-12) Pada masa itu, umat Tuhan amat berbeza daripada orang lain dan dikatakan “tinggal di pusat dunia.” Melihat hal ini, bangsa-bangsa yang bersekutu tidak dapat menahan diri dan bertekad untuk menyerang kaum terurap serta orang yang menyokong kaum terurap.

11. (a) Apakah yang harus kita ingat tentang urutan peristiwa semasa kesengsaraan besar? (b) Apakah reaksi orang apabila melihat tanda-tanda luar biasa di langit?

11 Apakah yang berlaku seterusnya? Bible tidak memberitahu secara khusus urutan peristiwa yang akan berlaku. Namun, sesetengah peristiwa mungkin berlaku pada masa yang sama. Dalam nubuat mengenai penghujung sistem dunia, Yesus berkata, “Tanda-tanda akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang. Di bumi, bangsa-bangsa akan menderita dan mereka tidak akan tahu jalan keluar kerana deruan laut yang bergelora. Apabila orang menantikan apa yang bakal melanda seluruh bumi, mereka akan pengsan ketakutan kerana kuasa-kuasa di langit akan digoncangkan. Selepas itu, orang akan melihat Anak manusia datang dikelilingi awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar.” (Luk. 21:25-27; baca Markus 13:24-26.) Adakah kata-kata Yesus bermaksud bahawa tanda-tanda dan peristiwa yang luar biasa di langit akan berlaku secara harfiah? Kita harus tunggu dan lihat. Namun, apa yang kita tahu ialah apabila musuh Tuhan nampak tanda-tanda itu, mereka akan ketakutan dan menjadi cemas.

Dengan penuh keyakinan, kita menantikan penyelamatan! (Lihat perenggan 12, 13)

12, 13. (a) Apakah yang akan berlaku apabila Yesus datang “dengan kuasa dan kemuliaan yang besar”? (b) Apakah reaksi umat Tuhan pada masa itu?

12 Apakah yang akan berlaku apabila Yesus datang “dengan kuasa dan kemuliaan yang besar”? Dia akan memberikan ganjaran kepada mereka yang setia dan menghukum mereka yang tidak setia. (Mat. 24:46, 47, 50, 51; 25:19, 28-30) Yesus menggunakan suatu perumpamaan untuk menjelaskan hal ini dengan lebih lanjut. Dia berkata, “Apabila Anak manusia datang dalam kemuliaannya dengan semua malaikat, dia akan duduk di atas takhtanya yang agung. Semua bangsa akan dikumpulkan di hadapannya, dan dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. Dia akan meletakkan biri-biri di sebelah kanannya tetapi kambing di sebelah kirinya.” (Mat. 25:31-33) Apakah yang akan berlaku kepada kambing dan biri-biri? Mereka akan dihakimi. Orang yang bagaikan kambing akan “mati selama-lamanya,” tetapi orang yang bagaikan biri-biri, iaitu mereka yang “melakukan apa yang benar akan hidup selama-lamanya.”—Mat. 25:46.

13 Apakah reaksi orang yang bagaikan kambing apabila mereka sedar bahawa mereka akan dibinasakan? Mereka akan “memukul dada dengan sedih.” (Mat. 24:30) Namun, apakah reaksi kaum terurap dan orang yang menyokong mereka? Mereka akan mengikut apa yang diperintahkan Yesus: “Apabila hal-hal ini mula berlaku, berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala  kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.”—Luk. 21:28.

BERSINAR TERANG DALAM KERAJAAN TUHAN

14, 15. Apakah kerja pengumpulan yang akan berlaku selepas Gog dari Magog mula menyerang? Bagaimanakah hal ini akan terjadi?

14 Apakah yang akan berlaku selepas Gog dari Magog mula menyerang umat Tuhan? Bible berkata bahawa Anak manusia “akan mengutus malaikat-malaikat ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari hujung bumi ke hujung langit.” (Mrk. 13:27; Mat. 24:31) Kerja ‘pengumpulan umat’ tidak merujuk kepada masanya kaum terurap diurapi. Peristiwa itu juga tidak merujuk kepada pemeteraian terakhir kaum terurap yang masih di bumi kerana pemeteraian terakhir itu berlaku sejurus sebelum kesengsaraan besar bermula. (Mat. 13:37, 38; Why. 7:1-4) Jadi kerja ‘pengumpulan umat’ merujuk kepada apa? Hal ini merujuk kepada masanya golongan terurap di bumi akan mendapat ganjaran untuk naik ke syurga. (1 Tes. 4:15-17; Why. 14:1) Peristiwa ini akan berlaku selepas Gog dari Magog menyerang umat Tuhan. (Yeh. 38:11) Seperti yang dikatakan oleh Yesus, pada masa itu, “orang yang mendapat perkenan Tuhan akan bersinar terang seperti matahari dalam Kerajaan Bapa mereka.”Mat. 13:43. *

15 Ramai orang di gereja percaya bahawa orang Kristian akan naik ke syurga bersama tubuh jasmani mereka. Mereka juga berfikir bahawa apabila Yesus kembali untuk memerintah di bumi, mereka akan nampak Yesus. Tetapi Yesus tidak akan kelihatan  apabila dia kembali kerana Bible berkata bahawa “tanda Anak manusia akan muncul di langit” dan Yesus akan “datang di atas awan.” (Mat. 24:30) Bible juga berkata bahawa “tubuh yang dijadikan daripada darah dan daging tidak boleh mewarisi Kerajaan Tuhan.” Jadi mereka yang naik ke syurga harus “diubah dalam masa yang singkat, iaitu dalam sekelip mata. Hal itu akan berlaku semasa trompet yang terakhir dibunyikan.” * (Baca 1 Korintus 15:50-53.) Kaum terurap yang masih di bumi akan dikumpulkan sekali gus.

16, 17. Apakah peristiwa yang akan berlaku sebelum majlis perkahwinan Anak Bebiri?

16 Selepas kesemua 144,000 orang terurap berada di syurga, persiapan terakhir boleh dilakukan bagi majlis perkahwinan Anak Bebiri. (Why. 19:9) Namun, suatu peristiwa lain harus berlaku sebelum perkahwinan itu. Ingatlah, Gog akan menyerang umat Tuhan ketika golongan terurap masih di bumi. (Yeh. 38:16) Apakah yang akan dilakukan oleh umat Tuhan? Mereka akan menuruti arahan ini: ‘Kamu tidak perlu bertempur dalam peperangan ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat Yehuwa memberi kamu kemenangan. Janganlah takut atau ragu-ragu.’ (2 Taw. 20:17) Selepas kaum terurap berada di syurga, Wahyu 17:14 memberitahu kita apa yang akan berlaku. Musuh umat Tuhan “akan berperang melawan Anak Bebiri, tetapi mereka akan dikalahkan kerana Anak Bebiri ialah Tuan atas segala tuan dan Raja atas segala raja. Mereka juga akan dikalahkan oleh orang yang ada bersama Anak Bebiri, iaitu orang yang dipanggil dan dipilih oleh Tuhan dan yang setia kepada-Nya.” Maka Yesus bersama 144,000 raja terurap yang berada di syurga akan menyelamatkan umat Tuhan di bumi.

17 Perang Armagedon yang tercetus akan memuliakan nama Yehuwa. (Why. 16:16) Semua orang yang dihakimi sebagai kambing akan dimusnahkan. “Kumpulan besar manusia” pula akan mengharungi Armagedon. Pada masa itu tiada lagi kejahatan di bumi. Kemudian berlakulah peristiwa yang gemilang seperti yang tercatat di bahagian akhir buku Wahyu, iaitu perkahwinan Anak Bebiri. (Why. 21:1-4) * Semua yang berjaya memasuki dunia baru akan menikmati berkat dan kasih Tuhan. Sudah pasti perkahwinan Anak Bebiri ialah majlis yang kita nanti-nantikan.—Baca 2 Petrus 3:13.

18. Memandangkan peristiwa yang telah dibincangkan akan berlaku tidak lama lagi, apakah yang harus kita lakukan?

18 Memandangkan peristiwa yang telah dibincangkan ini akan berlaku tidak lama lagi, apakah yang harus kita lakukan? Yehuwa mengilhami rasul Petrus untuk menulis: “Memandangkan semua itu akan dimusnahkan dengan cara sedemikian, fikirkanlah bagaimana kamu seharusnya hidup. Kamu seharusnya berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kamu mengabdikan diri kepada Tuhan. Hendaklah kamu berbuat demikian sementara kamu menantikan dan sentiasa mengingat akan kehadiran hari Yehuwa. . . . Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan kamu menantikan perkara-perkara itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya pada akhirnya Dia mendapati kamu murni, tidak bercacat cela, dan dalam keadaan damai.” (2 Ptr. 3:11, 12, 14) Marilah kita bertekad untuk hidup suci secara rohani dan menyokong Raja Kedamaian, Yesus Kristus.

^ per. 2 Lihat majalah Menara Pengawal, 15 April 2012, muka surat 25-26.

^ per. 14 Lihat majalah Menara Pengawal, 15 Julai 2013, muka surat 13-14.

^ per. 15 Semasa kaum terurap naik ke syurga, tubuh jasmani mereka tidak akan ikut serta. (1 Kor. 15:48, 49) Tubuh jasmani mereka akan tiada lagi, sama seperti apa yang terjadi kepada tubuh jasmani Yesus.

^ per. 17 Mazmur 45 memberikan butiran lanjut mengenai urutan peristiwa ini. Raja berperang dahulu, barulah majlis perkahwinan diadakan.