Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Mereka Rela Berkhidmat—Di Rusia

Mereka Rela Berkhidmat—Di Rusia

PADA tahun 1991, Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia berasa teruja kerana larangan yang dikenakan ke atas kegiatan mereka telah dibatalkan. Pada masa itu, ramai orang tidak dapat membayangkan bahawa jumlah Saksi-Saksi Yehuwa boleh ditingkatkan berlipat ganda sehingga menjadi 170,000 orang pada hari ini! Antara Saksi yang bekerja keras di sana ialah mereka yang datang dari negara lain. (Mat. 9:37, 38) Mari kita mengenali mereka.

PARA SAUDARA YANG RELA MENGUATKAN SIDANG

Pada tahun 1991, apabila larangan itu dibatalkan di Rusia, Matthew dari Great Britain berumur 28 tahun. Semasa konvensyen tahun itu, seorang penceramah menyebut tentang keperluan di Eropah Timur. Sebagai contoh, sebuah sidang di St. Petersburg, Rusia, hanya mempunyai seorang pembantu sidang dan tiada penatua. Namun, para penyiar di sana mempunyai ratusan pelajar Bible! Matthew berkata, “Selepas ceramah itu, saya asyik berfikir tentang Rusia. Jadi saya berdoa kepada Yehuwa mengenai hasrat saya untuk berpindah ke sana.” Dia mengumpulkan duit, menjual barang-barangnya, dan berpindah ke Rusia pada tahun 1992. Apakah pengalamannya di sana?

Matthew

Matthew berkata, “Tidak mudah untuk belajar bahasa Rusia. Saya tidak dapat mengadakan perbincangan Bible dengan baik.” Satu lagi cabaran ialah mencari tempat tinggal. Berkali-kali Matthew terpaksa berpindah rumah. Biasanya, dia disuruh untuk berpindah dalam masa yang singkat. Walaupun Matthew menghadapi cabaran sedemikian pada awalnya, dia berkata, “Berpindah ke Rusia merupakan keputusan yang terbaik. Di sini saya lebih bergantung pada Yehuwa dan bimbingan-Nya.” Matthew dilantik sebagai seorang penatua dan perintis khas. Sekarang dia berkhidmat di pejabat cawangan yang terletak berdekatan St. Petersburg.

Pada tahun 1999, Hiroo yang berumur 25 tahun telah menghadiri Sekolah Latihan Pengorganisasian di Jepun. Salah seorang pengajar sekolah itu menggalakkannya untuk berkhidmat di luar negara. Hiroo  tahu bahawa terdapat keperluan di Rusia. Jadi dia mula belajar bahasa Rusia dan mengambil langkah praktikal. Dia berkata, “Saya pergi ke Rusia selama enam bulan. Memandangkan musim salji di sana sangat sejuk, saya pergi pada bulan November untuk melihat sama ada saya dapat tahan atau tidak.” Selepas mengharungi musim sejuk itu, dia kembali ke Jepun dan hidup sederhana supaya mempunyai cukup wang untuk berkhidmat di Rusia.

Hiroo dan Svetlana

Hiroo telah berkhidmat di beberapa sidang di Rusia selama 12 tahun. Sebagai seorang penatua, ada kalanya dia perlu menjaga sidang yang mempunyai lebih daripada 100 penyiar seorang diri. Dalam sebuah sidang, dia pernah mengendalikan kebanyakan bahagian dalam Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Dia juga mengendalikan Sekolah Penyebaran Teokratik, Pembelajaran Menara Pengawal, dan lima Kumpulan Pembelajaran Buku yang berlainan. Dia juga membuat banyak kunjungan penggembalaan. Sambil mengenang balik, Hiroo berkata, “Saya bersukacita kerana dapat menguatkan saudara saudari secara rohani.” Bagaimanakah khidmatnya di sana membawa manfaat kepadanya? Dia berkata, “Sebelum saya berpindah ke Rusia, saya berkhidmat sebagai seorang penatua dan perintis. Namun selepas saya berpindah ke sini, saya telah memupuk hubungan yang lebih kukuh dengan Yehuwa. Saya lebih bergantung pada Yehuwa dalam semua aspek kehidupan.” Pada tahun 2005, Hiroo mengahwini Svetlana. Mereka berkhidmat sebagai perintis bersama.

Michael dan Olga bersama Marina dan Matthew

Matthew yang berumur 34 tahun, dan adiknya, Michael, yang berumur 28 tahun berasal dari Kanada. Mereka telah melawat Rusia dan kagum kerana banyak orang berminat menghadiri perjumpaan. Tetapi, saudara yang dapat mengendalikan perjumpaan hanya sedikit sahaja. Matthew berkata, “Sidang yang saya lawati mempunyai 200 hadirin. Tetapi perjumpaan di sana dikendalikan oleh seorang penatua yang lanjut usia dan seorang pembantu sidang yang muda. Saya tergerak untuk berpindah dan membantu para saudara di sana.” Dia berpindah ke Rusia pada tahun 2002.

Empat tahun kemudian, Michael berpindah ke Rusia. Sebagai seorang pembantu sidang, dia menjaga akaun sidang, bahan bacaan, dan kawasan penyebaran. Dia juga ditugaskan untuk melakukan kerja yang biasanya dilakukan oleh setiausaha sidang, menyampaikan ceramah umum, dan membantu untuk mengatur perhimpunan serta pembinaan Dewan Perjumpaan. Sehingga hari ini, sidang-sidang di sana masih memerlukan bantuan. Michael sekarang berkhidmat sebagai seorang penatua. Walaupun dia bekerja keras untuk melakukan banyak tugasan di sidang, dia berkata, “Membantu para saudara membawa kepuasan kepada saya. Inilah kehidupan yang terbaik!”

Sementara itu, Matthew mengahwini Marina, dan Michael mengahwini Olga. Dua pasangan ini dan ramai saudara saudari lain sedang membantu sidang yang semakin maju.

PARA SAUDARI YANG BERSEMANGAT DALAM KERJA MENUAI

Tatyana

Pada tahun 1994, ketika Tatyana berumur 16 tahun, enam perintis khas dari Republik Czech, Poland, dan Slovakia datang berkhidmat di sidangnya di Ukraine. Dia terkenang, “Mereka ialah perintis yang rajin, mudah didekati, baik hati, dan sangat tahu Bible.” Tatyana dapat melihat bahawa Yehuwa memberkati semangat rela berkorban mereka. Dia berfikir, “Saya juga ingin menjadi seperti mereka.”

Semasa cuti sekolah, Tatyana dan beberapa orang pergi menginjil di kawasan Ukraine dan Belarus yang tidak pernah dikunjungi oleh Saksi. Dia sangat menikmati kerja menginjil seperti itu. Jadi dia ingin berpindah  ke Rusia. Mula-mula, dia pergi ke Rusia buat jangka masa yang pendek dan tinggal bersama seorang saudari yang telah berpindah ke sana. Tatyana juga cuba mencari pekerjaan untuk menyokongnya sebagai perintis. Kemudian pada tahun 2000, dia berpindah ke Rusia. Apakah cabarannya?

Tatyana berkata, “Memandangkan saya tidak mampu memiliki tempat tinggal sendiri, saya menyewa sebuah bilik di rumah orang. Kehidupan sebegini tidaklah mudah. Ada kalanya saya ingin balik ke Ukraine. Tetapi Yehuwa selalu membantu saya untuk terus berkhidmat di sini.” Hari ini, Tatyana berkhidmat sebagai mubaligh di Rusia. Dia berkata, “Sejak saya meninggalkan kampung halaman, saya menikmati banyak pengalaman yang bernilai dan menjalin banyak persahabatan. Iman saya juga bertambah kuat.”

Masako

Masako dari Jepun berumur awal 50-an. Sejak kecil, dia ingin menjadi mubaligh. Namun, masalah kesihatan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Kemudian, apabila kesihatannya bertambah baik, dia berpindah ke Rusia. Walaupun susah untuk mencari tempat tinggal yang sesuai dan pekerjaan yang stabil, dia berjaya merintis di sana. Dia menampung kehidupannya dengan mengajar bahasa Jepun dan membuat kerja pembersihan.

Mengenang kembali khidmatnya di Rusia selama 14 tahun, Masako berkata, “Walaupun saya menghadapi kesusahan, saya juga meraih banyak sukacita daripada kerja penyebaran. Menginjil di tempat yang memerlukan penyiar membuat kehidupan saya menjadi lebih aktif dan menarik.” Dia menambah, “Bagi saya, hal ini ialah suatu mukjizat kerana Yehuwa telah menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal bagi saya.” Masako juga pernah berkhidmat di Kyrgyzstan, serta menyertai kumpulan bahasa Inggeris, Cina, dan Uighur. Kini dia merintis di St. Petersburg.

KELUARGA MERAIH BERKAT ATAS KHIDMAT MEREKA

Inga dan Mikhail

Ramai keluarga berpindah ke negara lain untuk menikmati keadaan ekonomi yang lebih baik. Namun  sesetengah keluarga mengikut teladan Abraham dan Sara. Mereka berpindah ke negara lain demi matlamat rohani. (Kej. 12:1-9) Mikhail dan Inga ialah pasangan dari Ukraine yang berpindah ke Rusia pada tahun 2003. Di sana mereka menjumpai orang yang ingin belajar Bible.

Mikhail berkata, “Pernah sekali kami menginjil di tempat yang tidak pernah dikunjungi oleh Saksi. Seorang lelaki tua telah menanya kami, ‘Adakah kamu penginjil?’ Kami berkata ya. Dia berkata lagi, ‘Saya tahu kamu akan datang kerana kata-kata Yesus harus ditunaikan.’ Kemudian lelaki itu memetik ayat dari Matius 24:14.” Mikhail menambah, “Kami juga menjumpai 10 wanita beragama Baptist yang mendahagakan kebenaran. Setiap hujung minggu, mereka belajar Bible bersama menggunakan buku Live Forever (Kehidupan Abadi). Selama berjam-jam, kami menjawab soalan mereka serta menyanyi lagu teokratik bersama mereka. Kemudian kami makan bersama. Lawatan ini merupakan kenangan manis bagi saya.” Mikhail dan Inga berkata bahawa selepas berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan, hubungan mereka dengan Yehuwa bertambah erat, mereka lebih mengasihi orang, dan menikmati banyak berkat. Hari ini, mereka berkhidmat dalam kerja litar.

Oksana, Aleksey, dan Yury

Yury dan Oksana ialah pasangan yang berumur pertengahan 30-an dari Ukraine. Pada tahun 2007, mereka dan anak lelaki mereka Aleksey yang kini berumur 13 tahun melawat pejabat cawangan Rusia. Di sana mereka nampak sebuah peta Rusia dan kawasan luas yang belum ditugaskan kepada mana-mana sidang. Oksana berkata, “Selepas melihat peta itu, kami sedar bahawa terdapat keperluan yang besar di sana. Kami memutuskan untuk berpindah ke Rusia.” Apakah yang membantu mereka untuk berpindah? Yury berkata, “Membaca rencana seperti ‘Can You Serve in a Foreign Field?’ (Dapatkah Anda Berkhidmat di Luar Negara?) sangat membantu. * Pejabat cawangan Rusia juga mencadangkan tempat tertentu, jadi kami melawat tempat itu dan cuba mencari tempat tinggal serta kerja.” Pada tahun 2008, mereka berpindah ke Rusia.

Pada mulanya, mereka sukar mencari kerja dan terpaksa berpindah tempat tinggal beberapa kali. Yury berkata, “Kami sering berdoa agar tidak tawar hati. Kemudian kami meneruskan kerja menginjil sambil bergantung pada Yehuwa. Kami dapat merasakan bantuan Yehuwa apabila kami mengutamakan Kerajaan-Nya. Hal ini telah menguatkan keluarga kami.” (Mat. 6:22, 33) Bagaimana pula dengan anak mereka, Aleksey? Aleksey telah dibaptis pada umur sembilan tahun. Oksana berkata bahawa selepas mereka berkhidmat di Rusia, Aleksey mendapat banyak manfaat. Selepas Aleksey melihat bahawa ramai orang memerlukan kebenaran, dia didorong untuk menjadi perintis sokongan pada setiap cuti sekolah. Oksana berkata lagi, “Kami bersukacita kerana Aleksey sangat bersemangat dalam kerja penyebaran.” Hari ini, Yury dan Oksana berkhidmat sebagai perintis khas.

“SAYA BERASA SESAL”

Daripada pengalaman-pengalaman ini, kita belajar bahawa untuk berkhidmat di tempat lain, kita perlu mempercayai Yehuwa. Sudah tentu mereka yang berpindah ke tempat yang baru akan menghadapi cabaran. Namun mereka bersukacita kerana berita baik mendapat sambutan yang bagus di sana. Dapatkah anda berpindah ke kawasan yang memerlukan bantuan? Yury pernah berkata, “Saya berasa sesal kerana tidak berpindah lebih awal.”

^ per. 20 Lihat The Watchtower, 15 Oktober 1999, muka surat 23-27.