BEZALEEL dan Oholiab ialah pekerja pembinaan. Semasa di Mesir, mereka bekerja sebagai hamba dan menghasilkan banyak batu bata. Namun masa itu telah berlalu. Sekarang mereka ditugaskan untuk membina khemah suci bagi Yang Maha Tinggi. (Kel. 31:1-11) Walaupun hasil kerja mereka sangat menakjubkan, tidak banyak orang pernah melihatnya. Adakah mereka kecewa? Adakah penting sama ada orang lain melihat hasil kerja mereka? Bagaimana pula jika hal ini berlaku kepada anda?

KERJA MENAKJUBKAN YANG TIDAK DIKETAHUI RAMAI

Sesetengah peralatan khemah suci merupakan karya seni yang unggul. Contohnya, Paulus menggambarkan kerub emas yang terletak di atas tabut perjanjian sebagai sesuatu yang “mulia.” (Ibr. 9:5) Bayangkan keindahan kerub-kerub yang diperbuat daripada emas tempaan itu!—Kel. 37:7-9.

Jika karya Bezaleel dan Oholiab ditemui hari ini, karya itu tentu dipaparkan di muzium yang termasyhur. Sudah pasti ramai orang akan memuji hasil karya mereka. Namun, pada zaman Bezaleel dan Oholiab, berapa ramaikah orang yang pernah melihatnya? Kerub-kerub terletak dalam Bilik Maha Suci dan hanya Imam Agung akan melihatnya apabila dia memasuki bilik itu setahun sekali pada Hari Pengampunan Dosa. (Ibr. 9:6, 7) Jadi tidak ramai orang pernah melihat hasil tangan mereka.

BERPUAS HATI WALAUPUN TIDAK DISANJUNGI

Katakan anda bekerja keras seperti Bezaleel atau Oholiab untuk menghasilkan karya seni yang indah, apakah perasaan anda jika hanya sedikit orang melihatnya? Hari ini, ramai orang hanya akan berpuas hati jika mereka mendapat pujian daripada orang lain. Mereka menganggap hal ini sebagai kayu ukur bagi hasil kerja mereka. Namun hamba Yehuwa berbeza. Seperti Bezaleel dan Oholiab, kita berpuas hati untuk mendapat perkenan Tuhan.

Pada zaman Yesus, para pemimpin agama biasanya berdoa dengan cara yang menarik perhatian  orang ramai. Namun, Yesus memberitahu kita untuk tidak mengikut cara mereka, tetapi berdoa dengan ikhlas. Apakah hasilnya jika kita berdoa sebegini? Yesus berkata, “Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya akan memberkati kamu.” (Mat. 6:5, 6) Jelaslah, pandangan orang lain tidak penting. Apa yang penting ialah pandangan Yehuwa. Begitu juga dengan khidmat kita kepada Yehuwa. Tujuan kita bukanlah untuk mendapat pujian orang, tetapi untuk mendapat perkenan Yehuwa.

Apabila khemah suci siap dibina, awan telah ‘meliputi Khemah Yehuwa, dan Khemah itu penuh dengan cahaya hadirat Yehuwa.’ (Kel. 40:34) Hal ini jelas menunjukkan perkenan Tuhan! Apakah perasaan Bezaleel dan Oholiab? Walaupun nama mereka tidak terukir pada hasil karya mereka, mereka berbesar hati kerana kerja mereka diberkati Tuhan. (Ams. 10:22) Sudah pasti mereka berasa gembira kerana hasil kerja mereka digunakan dalam ibadat sejati selama bertahun-tahun. Bayangkan perasaan Bezaleel dan Oholiab di dunia baru nanti apabila diberitahu bahawa khemah suci telah digunakan untuk menyembah Tuhan selama kira-kira 500 tahun!

Walaupun orang lain tidak melihat hasil kerja anda, Yehuwa melihatnya!

Dalam organisasi Yehuwa hari ini, kita tidak tahu nama-nama orang yang bekerja sebagai juruanimasi, pelukis, pemuzik, jurugambar, penterjemah, dan penulis. Kita seolah-olah tidak “nampak” siapa di sebalik kerja yang dilakukan. Begitu juga dengan kerja yang dilakukan di lebih daripada 110,000 sidang di serata dunia. Siapakah yang nampak saudara yang mengendalikan akaun sidang setiap bulan? Bagaimana pula dengan setiausaha sidang yang menguruskan laporan bulanan aktiviti penyebaran? Siapakah yang melihat saudara saudari yang membuat kerja penyelenggaraan di Dewan Perjumpaan?

Pada penghujung hayat Bezaleel dan Oholiab, mereka tidak menerima sijil, piala, atau pingat atas hasil kerja mereka. Namun mereka menerima sesuatu yang jauh lebih bernilai, iaitu perkenan Yehuwa. Kita boleh pasti bahawa kerja mereka telah diiktiraf oleh Yehuwa. Semoga kita meniru teladan mereka yang rendah hati dan berkhidmat kepada Yehuwa dengan rela.