“MASALAH kesihatan saya semakin teruk,” keluh Ernst yang berumur 70-an. * Adakah anda berasa sedemikian? Jika umur anda semakin meningkat dan anda berasa semakin lemah, anda dapat memahami apa yang dikatakan di Pengkhutbah bab 12. Dalam ayat 1, masa tua digambarkan sebagai “masa sengsara.” Namun, hal ini bukan akhir segala-galanya. Anda masih dapat menjalani kehidupan yang bermakna dan berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita.

KEKALKAN IMAN YANG KUAT

Jika anda sudah berusia dan menghadapi banyak cabaran, anda tidak keseorangan. Pada zaman Bible, penyembah Yehuwa yang sudah berusia juga menghadapi cabaran yang serupa. Contohnya, Ishak, Yakub, dan Ahia kehilangan deria penglihatan. (Kej. 27:1; 48:10; 1 Raj. 14:4) Sara berasa “tua dan layu.” (Kej. 18:11, 12) Raja Daud berasa kesejukan walaupun berselimut. (1 Raj. 1:1) Barzilai yang kaya-raya tidak lagi dapat menikmati kelazatan makanan atau bunyi muzik. (2 Sam. 19:32-35) Abraham dan Naomi pula bersedih atas kematian pasangan masing-masing.—Kej. 23:1, 2; Rut 1:3, 12.

Apakah yang membantu mereka berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita? Abraham yang sudah tua percaya kepada janji-janji Tuhan dan “menjadi kuat kerana imannya.” (Rm. 4:19, 20) Kita juga memerlukan iman yang kuat. Iman tidak bergantung pada umur, kebolehan, atau keadaan kita. Contohnya, Yakub mempunyai iman yang kuat terhadap janji-janji Tuhan walaupun dia lemah, buta, dan terlantar di atas katil. (Kej. 48:1-4, 10; Ibr. 11:21) Saudari Ines yang berumur 93 tahun mempunyai otot yang lemah. Dia berkata, “Setiap hari, saya berasa Yehuwa memberkati saya. Setiap hari saya berfikir tentang Firdaus. Harapan itu menguatkan saya.” Kita boleh meniru sikap positifnya!

Kita dapat menguatkan iman kita dengan berdoa, mempelajari Bible, dan menghadiri perjumpaan. Nabi Daniel yang lanjut usia berdoa sebanyak tiga kali sehari dan selalu mempelajari Firman Tuhan. (Dan. 6:11; 9:2) Hana, balu yang sudah berusia, “sentiasa hadir di Rumah Tuhan.” (Luk. 2:36, 37) Jika anda menghadiri perjumpaan dan memberikan komen sebanyak yang mungkin, anda dapat menyegarkan diri sendiri dan orang lain. Yehuwa gembira untuk mendengar doa anda walaupun anda tidak dapat melakukan banyak aktiviti seperti dahulu.—Ams. 15:8.

Galakkan satu sama lain

Ramai saudara saudari yang lanjut usia berasa susah untuk membaca dan menghadiri perjumpaan. Jika anda menghadapi situasi sedemikian, apakah yang boleh anda lakukan? Gunakanlah kemudahan yang sedia ada. Anda boleh mendengar perjumpaan melalui telefon. Inge yang berumur 79 tahun mempunyai masalah penglihatan. Oleh itu, dia membuat persediaan bagi perjumpaan dengan menggunakan bahan cetakan berhuruf besar yang disediakan oleh seorang saudara.

Anda mungkin mempunyai lebih banyak masa berbanding dengan orang lain. Anda boleh menggunakan masa itu untuk mendengar rakaman audio Bible, bahan bacaan, ceramah, dan drama audio. Selain itu, anda boleh menelefon rakan seiman dan berbual tentang perkara rohani. Hal ini dapat menggalakkan satu sama lain.—Rm. 1:11, 12.

TETAP AKTIF DALAM KHIDMAT TUHAN

Memberitakan kebenaran

Christa yang berumur pertengahan 80-an berkata, “Saya berasa hampa kerana saya tidak lagi aktif seperti dahulu.” Jadi, bagaimanakah orang yang berusia dapat tetap bersukacita? Peter yang berumur  75 tahun berkata, “Dengan berpandangan positif. Janganlah selalu fikir tentang apa yang tidak boleh dilakukan, tetapi nikmatilah apa yang boleh dilakukan.”

Terdapat pelbagai kaedah untuk menginjil. Heidi yang berumur 80-an tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah seperti dahulu. Jadi, dia belajar untuk menulis surat menggunakan komputer. Sesetengah penyiar yang berusia memulakan perbincangan Bible semasa berada di taman atau perhentian bas. Jika anda tinggal di pusat penjagaan, dapatkah anda menginjil kepada jururawat, doktor, dan orang yang tinggal di sana?

Menyambut orang dengan ramah

Walaupun Raja Daud sudah berusia, dia menyokong ibadat sejati dengan bersemangat. Dia membuat sumbangan untuk pembinaan Rumah Tuhan. (1 Taw. 28:11–29:5) Anda juga boleh menyokong kerja penyebaran sedunia dengan bersemangat. Bolehkah anda menggalakkan para perintis atau penyiar dalam sidang anda? Anda boleh memuji usaha mereka, memberikan hadiah yang kecil, atau menjemput mereka ke rumah. Anda juga boleh berdoa tentang kaum muda dan keluarga mereka, pekhidmat sepenuh masa, orang yang sakit, serta mereka yang mempunyai banyak tanggungjawab.

Yehuwa sangat mengasihi dan menghargai anda serta khidmat anda. Dia tidak akan meninggalkan anda. (Mzm. 71:9) Di dunia baru, kita tidak akan mengalami “masa sengsara” walaupun usia kita meningkat. Sebaliknya, kita akan bertenaga dan menikmati kesihatan yang sempurna. Dengan itu, kita dapat berkhidmat kepada Tuhan Yehuwa buat selama-lamanya!

^ per. 2 Sesetengah nama telah diubah.