“Aku . . . bersukacita kerana umat manusia.”—AMS. 8:30, 31, Berita Baik Untuk Manusia Moden.

1, 2. Bagaimanakah Yesus membuktikan bahawa dia sangat mengasihi manusia?

ANAK sulung Tuhan merupakan jurubina Yehuwa dan mencerminkan kebijaksanaan Bapanya dengan sempurna. Bayangkan betapa gembiranya Yesus apabila Bapanya “membentangkan langit” dan meletakkan “dasar bumi.” (Ams. 8:22-29) Yehuwa juga mencipta manusia. Yesus sangat “bersukacita kerana umat manusia.” (Ams. 8:30, 31, Manusia Moden) Ya, dia memang mengasihi manusia sejak mulanya.

2 Kemudian, Yesus rela meninggalkan syurga dan datang ke bumi sebagai seorang manusia. Hal ini adalah kerana dia mengasihi dan ingin setia kepada Bapanya. Dia juga sangat mengasihi manusia dan “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Mat. 20:28; Flp. 2:5-8) Semasa Yesus di bumi, Tuhan memberinya kuasa untuk melakukan mukjizat. Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus menunjukkan kasihnya kepada manusia dan menjadi bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan dilakukannya tidak lama lagi.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Semasa di bumi, Yesus menyebarkan “berita baik tentang  Kerajaan Tuhan.” (Luk. 4:43) Dia tahu bahawa Kerajaan ini akan menyucikan nama Bapanya dan menyelesaikan masalah manusia buat selama-lamanya. Sewaktu Yesus menginjil, dia juga melakukan banyak mukjizat. Mukjizat ini menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang manusia. Mengapakah hal ini penting bagi kita? Kerana mukjizat yang dilakukan oleh Yesus memberi kita keyakinan dan harapan. Jadi marilah kita bincangkan empat mukjizat Yesus.

“AKU RELA. SEMBUHLAH!”

4. Apakah yang berlaku apabila Yesus bertemu dengan seorang lelaki yang menghidap penyakit kusta?

4 Semasa di bumi, Yesus pergi ke sebuah tempat bernama Galilea. Di kota itu, dia berjumpa dengan seorang lelaki yang menghidap penyakit kusta. (Mrk. 1:39, 40) Penyakit lelaki itu sangat teruk. Lukas, yang merupakan seorang doktor, mengatakan bahawa “seluruh tubuhnya dijangkiti penyakit kusta.” (Luk. 5:12) Menurut Bible, “Apabila lelaki itu nampak Yesus, dia sujud kepadanya dan merayu, ‘Tuan, jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.’” Lelaki itu tidak meragui bahawa Yesus ada kuasa untuk menyembuhkannya. Namun, dia mahu mengetahui sama ada Yesus benar-benar ingin menyembuhkannya atau tidak. Penyakitnya menyebabkan penampilannya tidak sedap dipandang orang, dan orang Farisi memandang rendah terhadap mereka yang menghidap penyakit kusta. Tetapi, apakah pandangan Yesus? Jika anda ialah Yesus, apakah yang akan anda lakukan?

5. Mengapakah Yesus ingin menyembuhkan lelaki yang menghidap penyakit kusta?

5 Nampaknya lelaki ini tidak berseru, “Najis! Najis!” seperti yang ditetapkan dalam Hukum Musa. (Im. 13:43-46) Namun Yesus tidak marah. Sebaliknya, dia mengambil berat terhadap lelaki itu dan ingin membantunya. Kita tidak tahu secara khusus apa yang difikirkan oleh Yesus. Namun kita tahu bahawa dia sangat mengasihani lelaki itu sehingga dia melakukan mukjizat untuk menyembuhkannya. Walaupun orang lain tidak berani menyentuh lelaki itu, Yesus menyentuhnya. Dengan nada yang yakin dan hati yang penuh belas kasihan, Yesus berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Kemudian, “penyakit kustanya hilang.” (Luk. 5:13) Yehuwa telah memberi Yesus kuasa supaya dia dapat melakukan mukjizat dan menunjukkan betapa dalam kasihnya kepada manusia.—Luk. 5:17.

6. Apakah yang menakjubkan mengenai cara Yesus menyembuhkan orang? Apakah yang kita pelajari daripada hal ini?

6 Dengan kuasa Tuhan, Yesus dapat melakukan banyak mukjizat yang menakjubkan. Dia dapat menyembuhkan penyakit kusta, bahkan pelbagai penyakit yang lain. Bible memberitahu kita bahawa “orang ramai sangat kagum melihat orang bisu dapat bercakap, orang yang cacat disembuhkan, orang tempang dapat berjalan, dan orang buta dapat melihat.” (Mat. 15:31) Untuk menyembuhkan seseorang, Yesus tidak perlu melakukan pembedahan. Dia dapat menyembuhkan bahagian badan yang sakit dengan serta-merta dan kadangkala dari jarak yang jauh. (Yoh. 4:46-54) Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini? Raja kita, Yesus Kristus, mempunyai kuasa dan keinginan untuk menyingkirkan segala jenis penyakit buat selama-lamanya. Selepas mempelajari cara Yesus memperlakukan orang, kita yakin bahawa di dunia baru dia juga akan  “mengasihani orang yang miskin dan yang lemah.” (Mzm. 72:13) Pada masa itu, Yesus akan menyembuhkan semua orang yang sakit kerana dia memang ingin berbuat demikian.

‘BANGUNLAH! DAN BERJALANLAH’

7, 8. Ceritakan apa yang berlaku sebelum Yesus bertemu dengan lelaki yang sakit di Betzata.

7 Beberapa bulan selepas menyembuhkan lelaki yang menghidap penyakit kusta, Yesus membuat perjalanan dari Galilea ke Yudea. Dalam perjalanannya, dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Terdapat beribu-ribu orang yang mendengar mesej Yesus dan terharu dengan cara dia memperlakukan mereka. Yesus benar-benar ingin melegakan hati orang yang miskin dan orang yang tertindas. Mesejnya membawa harapan kepada mereka.—Yes. 61:1, 2; Luk. 4:18-21.

8 Pada bulan Nisan, Yesus pergi ke Yerusalem untuk merayakan Paska. Pada masa itu, kota Yerusalem sangat sibuk kerana ramai orang datang ke sana. Di bahagian utara Rumah Tuhan, terdapat sebuah kolam yang dipanggil Betzata. Di sana Yesus bertemu dengan seorang lelaki yang tidak dapat berjalan.

9, 10. (a) Mengapakah orang pergi ke kolam Betzata? (b) Apakah yang dilakukan oleh Yesus di Betzata? Apakah yang boleh kita pelajari daripada mukjizat Yesus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Ramai orang yang sakit pergi ke kolam di Betzata. Mengapa? Kerana mereka percaya bahawa jika mereka masuk ke dalam kolam apabila air berkocak, mereka dapat disembuhkan. Cuba bayangkan perasaan orang di sana. Mereka tentu terdesak, khuatir, dan ada yang hampir putus harapan. Mengapakah Yesus, seorang manusia yang sihat dan sempurna, pergi ke sana? Kerana dia mengasihi orang. Di sanalah dia berjumpa dengan seorang lelaki yang telah menghidap penyakit lebih lama daripada tempoh Yesus hidup di bumi.—Baca Yohanes 5:5-9.

10 Yesus menanya lelaki itu jika dia ingin sembuh. Dengan nada yang sedih, lelaki itu berkata bahawa dia ingin disembuhkan, tetapi tiada orang membantunya untuk masuk ke dalam kolam itu. Kemudian Yesus menyuruhnya untuk melakukan sesuatu yang mustahil. Dia menyuruh lelaki itu untuk mengangkat tikarnya dan berjalan. Pada saat itu juga, lelaki itu sembuh dan dapat berjalan! Cuba bayangkan apa yang akan dilakukan oleh Yesus di dunia baru. Mukjizat ini menunjukkan bahawa Yesus sangat mengasihi manusia. Dia mencari orang yang memerlukan bantuan dan menolong mereka. Bagaimanakah kita boleh meneladani Yesus? Di kawasan penyebaran, kita boleh terus mencari dan membantu orang yang tawar hati kerana banyak perkara buruk yang berlaku di dunia ini.

“SIAPAKAH YANG MENYENTUH JUBAH LUARKU?”

11. Bagaimanakah kisah di Markus 5:25-34 menunjukkan bahawa Yesus berbelas kasihan terhadap orang yang sakit?

11 Baca Markus 5:25-34. Selama 12 tahun, seorang wanita menghidap penyakit yang menyebabkannya berasa malu. Penyakitnya menjejaskan kehidupannya, termasuk ibadatnya. Walaupun dia sudah “dirawat oleh banyak doktor dan telah menghabiskan semua wangnya,” keadaannya bertambah teruk. Pada suatu hari, wanita itu mempunyai satu rancangan yang berbeza untuk menyembuhkan penyakitnya. Dia berjalan di antara orang  ramai dan menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah luar Yesus. (Im. 15:19, 25) Apabila Yesus sedar bahawa ada kuasa yang keluar daripadanya, dia bertanya, “Siapakah yang menyentuh jubah luarku?” Wanita itu “berasa takut dan gementar. Dia bersujud di depan Yesus dan memberitahunya segala-gala yang berlaku.” Yesus tahu bahawa Yehuwalah yang menyembuhkan wanita itu. Jadi, dengan nada yang lembut Yesus berkata kepadanya, “Hai anakku! Kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai dan sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.”

Mukjizat Yesus menunjukkan bahawa dia mengambil berat terhadap kita dan ingin membantu kita (Lihat perenggan 11, 12)

12. (a) Setakat yang telah dibincangkan, apakah yang dapat anda pelajari mengenai Yesus? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan baik Yesus?

12 Hati kita tersentuh kerana Yesus benar-benar mengasihi orang, terutamanya mereka yang sakit. Sifat Yesus sangat berbeza daripada Syaitan yang ingin kita percaya bahawa kita tidak bernilai dan tidak dikasihi. Menerusi mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, kita tahu bahawa dia mengambil berat terhadap kita dan ingin membantu kita. Sebagai Raja dan Imam Agung, Yesus memang bersimpati terhadap kita. (Ibr. 4:15) Kita mungkin berasa susah untuk memahami perasaan seseorang yang sudah menghidapi penyakit buat masa yang lama. Namun fikirkanlah teladan Yesus. Dia bersimpati terhadap orang yang sakit walaupun dia sendiri tidak pernah jatuh sakit. Jadi marilah kita cuba mengikut teladannya.—1 Ptr. 3:8.

“YESUS MULA MENANGIS”

13. Apakah yang dapat kita pelajari mengenai Yesus daripada pembangkitan Lazarus?

13 Yesus terharu apabila melihat orang lain menderita. Apabila dia melihat  ahli keluarga dan sahabat Lazarus menangis kerana Lazarus sudah meninggal, Yesus “berasa sangat susah hati dan pilu.” (Baca Yohanes 11:33-36.) Yesus menitiskan air mata walaupun dia tahu bahawa dia akan membangkitkan Lazarus. Dia tidak malu untuk menunjukkan emosinya. Yesus mengasihi Lazarus dan keluarganya. Jadi dia menggunakan kuasa Tuhan untuk menghidupkan semula Lazarus!—Yoh. 11:43, 44.

14, 15. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa ingin melenyapkan penderitaan manusia? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada istilah “makam peringatan”?

14 Bible menyatakan bahawa Yesus “merupakan gambaran tepat bagi Tuhan.” (Ibr. 1:3) Jadi, mukjizat Yesus menunjukkan bahawa Yehuwa juga ingin melenyapkan penyakit, penderitaan, dan kematian. Tidak lama lagi, Yehuwa dan Yesus akan membangkitkan ramai orang. Yesus berkata bahawa “masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan . . . keluar.”—Yoh. 5:28, 29.

15 Yesus menggunakan istilah “makam peringatan.” Istilah ini memang sesuai kerana Pencipta Yang Maha Kuasa berupaya mengingati setiap perincian mengenai orang yang sudah meninggal, termasuk keperibadian mereka. (Yes. 40:26) Yehuwa bukan sahaja mampu, tetapi Dia juga ingin mengingati mereka. Kisah pembangkitan dalam Bible ialah gambaran bagi perkara menakjubkan yang akan berlaku di dunia baru.

PENGAJARAN DARIPADA MUKJIZAT YESUS

16. Apakah peluang yang kita miliki jika kita tetap setia?

16 Jika kita tetap setia, kita berpeluang mengalami suatu mukjizat yang hebat, iaitu kita dapat mengharungi kesengsaraan besar! Selepas Armagedon, kita akan melihat banyak lagi mukjizat. Semua manusia akan menjadi sihat dan sempurna. (Yes. 33:24; 35:5, 6; Why. 21:4) Bayangkanlah orang yang membuang cermin mata, tongkat, topang, kerusi roda, alat bantu dengar, dan sebagainya. Pada masa itu, Yehuwa akan membantu orang menjadi sihat dan kuat supaya mereka dapat melaksanakan tugas untuk mengubah bumi ini menjadi sebuah firdaus yang indah.—Mzm. 115:16.

17, 18. (a) Mengapakah Yesus melakukan mukjizat? (b) Mengapakah anda bertekad untuk memasuki dunia baru?

17 Mukjizat yang dilakukan oleh Yesus pada masa lampau menggembirakan hati “kumpulan besar manusia” dan menguatkan iman mereka terhadap penyembuhan yang bakal berlaku. (Why. 7:9) Mukjizat ini juga menunjukkan kasih Yesus terhadap umat manusia. (Yoh. 10:11; 15:12, 13) Belas kasihan Yesus mencerminkan kasih Yehuwa yang mendalam terhadap setiap penyembah-Nya.—Yoh. 5:19.

18 Dunia hari ini penuh dengan kesakitan, penderitaan, dan kematian. (Rm. 8:22) Maka kita memerlukan dunia baru Tuhan. Di sana, umat manusia akan menikmati kesihatan yang sempurna, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan. Ya, kita akan berasa “bebas dan gembira” kerana kita tidak lagi mempunyai penyakit serta ketidaksempurnaan. (Mal. 4:2) Kita bersukacita kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan Yesus memberikan gambaran tentang keadaan yang akan dinikmati di bawah pemerintahannya. Semoga kita bersyukur dan beriman kepada janji-janji Yehuwa. Dengan demikian, kita akan bertekad untuk memasuki dunia baru Tuhan!