Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kristus—Kuasa Tuhan

Kristus—Kuasa Tuhan

‘Kristus ialah kuasa Tuhan.’—1 KOR. 1:24.

1. Mengapakah Paulus berkata bahawa ‘Kristus ialah kuasa Tuhan’?

KUASA Yehuwa terserlah melalui Yesus Kristus. Yesus telah melakukan banyak mukjizat semasa di bumi. Mukjizat-mukjizatnya yang tercatat dalam Bible dapat menguatkan iman kita. (Mat. 9:35; Luk. 9:11) Yehuwa telah memberi Yesus kuasa yang menakjubkan. Oleh itu, Paulus berkata, ‘Kristus ialah kuasa Tuhan.’ (1 Kor. 1:24) Jadi, apakah yang boleh kita pelajari daripada mukjizat-mukjizat Yesus?

2. Apakah yang dapat dipelajari daripada mukjizat Yesus?

2 Rasul Petrus berkata bahawa Yesus telah melakukan “mukjizat” dan “keajaiban.” (Kis. 2:22) Mukjizat-mukjizat ini ialah bayangan kepada berkat yang akan dicurahkan oleh Yesus semasa dia memerintah sebagai raja di dunia baru. Hal ini akan mendatangkan manfaat yang berlimpah kepada umat manusia di seluruh bumi. Mukjizat sebegini juga menyerlahkan sifat-sifat baik Yesus dan Bapanya. Marilah kita bincangkan tiga mukjizat Yesus.

 MUKJIZAT YANG MENUNJUKKAN KEMURAHAN HATI

3. (a) Ceritakan peristiwa yang mendorong Yesus untuk melakukan mukjizatnya yang pertama. (b) Bagaimanakah Yesus menunjukkan kemurahan hati melalui mukjizat itu?

3 Yesus telah melakukan mukjizatnya yang pertama di sebuah perkahwinan di Kana. Ketika perkahwinan itu, wain yang disediakan tidak mencukupi bagi semua tetamu. Di antara tetamu di sana ialah Yesus dan ibunya, Maria. Maria tahu tentang nubuat-nubuat mengenai anaknya yang akan dipanggil “Anak Tuhan Yang Maha Tinggi.” (Luk. 1:30-32; 2:52) Mungkinkah Maria percaya bahawa Yesus mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat? Yang pasti ialah Maria dan Yesus ingin menghulurkan bantuan supaya pasangan tersebut tidak mendapat nama buruk. Oleh itu, Yesus melakukan mukjizat untuk menukar kira-kira 380 liter air menjadi “wain yang bermutu tinggi.” (Baca Yohanes 2:3, 6-11.) Yesus sebenarnya tidak perlu melakukan mukjizat ini. Tetapi dia melakukannya kerana dia mengambil berat tentang orang. Dengan demikian, dia meniru sifat Bapanya yang murah hati.

4, 5. (a) Apakah yang kita pelajari daripada mukjizat pertama Yesus? (b) Apakah yang kita pelajari daripada mukjizat di Kana mengenai masa depan?

4 Yesus secara mukjizat menghasilkan banyak wain yang bermutu tinggi. Wain yang dihasilkannya cukup untuk semua orang. Apakah yang kita pelajari daripada peristiwa ini? Yehuwa dan Yesus tidak kedekut. Sebaliknya mereka sangat murah hati. Mereka juga mengambil berat tentang perasaan orang. Kita yakin bahawa Yehuwa akan menggunakan kuasa-Nya untuk menyediakan makanan yang berlimpah di dunia baru.—Baca Yesaya 25:6.

5 Tidak lama lagi, Yehuwa akan menyediakan segala keperluan kita. Setiap orang akan memiliki rumah yang indah dan makanan yang secukupnya. Kita bersyukur atas kemurahan hati Yehuwa apabila merenungkan perkara-perkara baik yang akan disediakan-Nya di bumi Firdaus.

Kita meniru teladan Yesus dengan menggunakan masa kita untuk membantu saudara saudari (Lihat perenggan 6)

6. Bagaimanakah Yesus menggunakan kuasanya, dan bagaimanakah kita boleh menirunya?

6 Yesus digoda oleh Iblis untuk menukar batu menjadi roti. Namun Yesus enggan menggunakan kuasanya demi manfaat sendiri. (Mat. 4:2-4) Yesus menggunakan kuasanya untuk membantu orang lain. Bagaimanakah kita dapat meniru sikap Yesus yang tidak mementingkan diri? Yesus berkata bahawa kita harus mengamalkan “tabiat memberi.” (Luk. 6:38) Contohnya, kita boleh menjemput orang lain ke rumah kita untuk makan bersama. Kita juga boleh membantu saudara saudari selepas perjumpaan. Misalnya, kita boleh mendengar seorang saudara berlatih memberikan ceramah. Kita juga boleh menghulurkan bantuan yang praktikal dan melatih orang lain semasa menginjil. Dengan itu, kita meniru  kemurahan hati Yesus apabila kita berusaha membantu orang lain.

“SEMUA ORANG MAKAN SAMPAI KENYANG”

7. Apakah masalah yang sentiasa ada selagi dunia Syaitan masih wujud?

7 Kemiskinan bukanlah masalah yang baru. Pada masa dahulu, Yehuwa memberitahu umat Israel bahawa dalam kalangan mereka “selalu akan terdapat beberapa orang miskin.” (Ul. 15:11) Beratus tahun kemudian, Yesus berkata, “Orang miskin sentiasa ada bersama kamu.” (Mat. 26:11) Apakah maksud Yesus? Adakah kemiskinan akan sentiasa wujud? Tidak. Kemiskinan wujud selagi Syaitan memerintah bumi ini. Tetapi keadaan di dunia baru sangat berbeza! Tiada orang akan hidup dalam kemiskinan. Semua akan mendapat makanan yang secukupnya dan berasa puas!

8, 9. (a) Apakah yang mendorong Yesus untuk menyediakan makanan bagi beribu-ribu orang? (b) Apakah perasaan anda tentang mukjizat ini?

8 Pemazmur berkata mengenai Yehuwa: “Engkau memberikan segala keperluan kepada makhluk ciptaan-Mu.” (Mzm. 145:16) Semasa Yesus di bumi, dia mencerminkan sifat Bapanya dan selalu menjaga keperluan orang lain. Dia tidak melakukan hal ini hanya untuk menunjukkan kuasanya. Yesus benar-benar mengambil berat terhadap orang. Mari kita bincangkan Matius 14:14-21. (Baca.) Pada masa itu, ramai orang dari kota-kota datang mengikut Yesus. (Mat. 14:13) Apabila tiba waktu petang, murid-murid Yesus berasa risau kerana semua orang di situ penat dan lapar. Jadi mereka meminta Yesus untuk menyuruh semua orang pergi membeli makanan masing-masing. Apakah yang dilakukan oleh Yesus?

9 Yesus menyediakan makanan bagi 5,000 lelaki berserta wanita dan kanak-kanak dengan menggunakan lima ketul roti dan dua ekor ikan yang sedia ada. Mengapakah Yesus melakukan mukjizat ini? Kerana dia sangat mengasihi orang dan ingin menjaga keperluan mereka. Yesus pasti telah menghasilkan banyak makanan kerana “semua orang makan sampai kenyang.” Makanan itu memberikan tenaga kepada mereka untuk membuat perjalanan yang jauh apabila mereka balik ke rumah masing-masing. (Luk. 9:10-17) Akhirnya, baki makanan yang dikumpulkan oleh murid-murid Yesus berjumlah sebanyak 12 bakul!

10. Pada masa depan, apakah yang akan berlaku kepada kemiskinan?

10 Hari ini, berjuta-juta orang hidup dalam kemiskinan kerana para pemerintah bersifat tamak dan jahat. Malah sesetengah saudara saudari kita juga tidak cukup makan. Namun tidak lama lagi, mereka yang taat kepada Yehuwa akan hidup di dunia yang bebas daripada kejahatan atau kemiskinan. Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Dia mampu dan ingin memenuhi keperluan semua orang. Dia berjanji untuk membasmi penderitaan yang kita alami tidak lama lagi!—Baca Wahyu 7:16.

11. Mengapakah anda yakin bahawa Kristus akan menggunakan kuasanya untuk membantu umat manusia di seluruh bumi? Hal ini mendorong anda untuk melakukan apa?

11 Semasa Yesus berada di bumi selama tiga tahun setengah, dia melakukan mukjizat pada skala yang kecil. (Mat. 15:24) Namun, apabila dia memerintah sebagai Raja selama seribu tahun nanti, dia akan membantu umat manusia di seluruh bumi. (Mzm. 72:8) Mukjizat yang pernah dilakukan oleh Yesus meyakinkan kita bahawa dia ingin menggunakan kuasanya  demi kebaikan kita. Walaupun kita tidak dapat melakukan mukjizat, kita dapat menggunakan masa dan tenaga kita untuk memberitahu orang tentang janji-janji yang menakjubkan dalam Bible. Inilah tanggungjawab kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. (Rm. 1:14, 15) Apabila kita merenungkan apa yang akan dilakukan oleh Kristus tidak lama lagi, kita akan memberitahu orang lain tentang hal ini dengan bersemangat.—Mzm. 45:2; 49:4.

YEHUWA DAN YESUS DAPAT MENGAWAL KUASA ALAM

12. Mengapakah Yesus faham benar akan alam semula jadi?

12 Apabila Tuhan menciptakan bumi dan segala sesuatu di bumi, Yesus berada di sisi Tuhan sebagai “seorang jurubina.” (Ams. 8:22, 30, 31; Kol. 1:15-17) Maka Yesus faham benar akan fungsi-fungsi alam semula jadi. Dia juga dapat mengawal unsur-unsur alam.

Mengapakah anda kagum dengan cara Yesus menggunakan kuasanya? (Lihat perenggan 13, 14)

13, 14. Berikan contoh tentang cara Yesus mengawal kuasa alam.

13 Semasa di bumi, Yesus menunjukkan bahawa dia ialah “kuasa Tuhan” apabila dia mengawal unsur-unsur alam. Bible menyatakan bahawa dia dapat menguasai angin ribut. (Baca Markus 4:37-39.) Seorang cendekiawan Bible berkata bahawa perkataan Yunani bagi “ribut” yang digunakan dalam buku Markus merujuk kepada ribut atau taufan yang dahsyat berserta awan hitam, angin kencang, petir, dan hujan lebat. Ribut sebegini boleh menyebabkan banyak kerosakan.

14 Bayangkan situasi ini: Perahu yang dinaiki oleh Yesus dan murid-muridnya dipukul ombak sehingga hampir tenggelam. Angin kencang menghasilkan bunyi yang kuat, dan perahu mereka terhuyung-hayang. Tetapi Yesus masih tidur kerana dia sangat letih. Murid-murid Yesus berasa takut lalu mengejutkan Yesus daripada tidur dan berkata, “Tuan, selamatkanlah kami! Kami hampir mati!” (Mat. 8:25) Apakah yang dilakukan oleh Yesus? Dia “bangun lalu menegur angin dan tasik dengan berkata, ‘Diam! Tenanglah!’” (Mrk. 4:39) Angin kencang pun berhenti dan “tasik menjadi tenang sekali.” Betapa hebatnya kuasa Yesus!

15. Bagaimanakah Yehuwa membuktikan bahawa Dia dapat mengawal kuasa alam?

15 Kuasa Yesus datangnya daripada Tuhan. Jadi sudah tentu Tuhan Yang Maha Kuasa juga dapat mengawal kuasa alam. Contohnya, sebelum Banjir pada zaman Nuh, Yehuwa berkata, “Tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan yang tidak akan berhenti selama empat puluh hari dan empat puluh malam.” (Kej. 7:4) Selain itu, Keluaran 14:21 menyatakan bahawa Yehuwa “menyebabkan angin timur bertiup dengan kencang sehingga air laut mundur.” Di Yunus 1:4 pula berkata bahawa Yehuwa “mendatangkan angin kencang ke laut, lalu terjadilah angin ribut yang dahsyat, yang memukul kapal itu sehingga hampir hancur.” Di dunia baru nanti, Yehuwa juga dapat mengawal unsur-unsur alam.

16. Yehuwa dan Yesus dapat mengawal kuasa alam, mengapakah hal ini melegakan hati kita?

16 Kita berasa lega kerana Yehuwa dapat mengawal kuasa alam. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, semua orang akan berasa selamat. Pada masa itu, tiada taufan, tsunami, gunung berapi, atau gempa bumi yang akan mencederakan atau meragut nyawa manusia. Kita tidak perlu berasa takut kerana “khemah Tuhan [akan] ada bersama manusia”! (Why. 21:3, 4) Kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan  memberi Yesus kuasa untuk mengawal unsur-unsur alam semasa pemerintahannya.

TIRULAH TUHAN DAN KRISTUS

17. Bagaimanakah kita dapat meniru Tuhan dan Kristus?

17 Sudah tentu, kita tidak dapat menghalang bencana alam daripada berlaku. Hanya Yehuwa dan Yesus dapat melakukan hal ini. Walaupun demikian, kita masih dapat melakukan sesuatu, iaitu menerapkan prinsip di Amsal 3:27. (Baca.) Apabila saudara saudari kita menderita, kita boleh menyokong mereka secara fizikal, emosi, dan rohani. (Ams. 17:17) Kita boleh membantu mereka apabila bencana alam melanda. Contohnya, rumah seorang balu telah dimusnahkan oleh ribut taufan. Dia berkata, “Saya sangat bersyukur kerana saya sebahagian daripada organisasi Yehuwa. Saya bukan hanya mendapat bantuan fizikal, tetapi bantuan rohani juga.” Seorang saudari bujang berasa bimbang dan sedih apabila rumahnya dihancurkan oleh angin kencang. Dia sangat menghargai bantuan saudara-saudara yang membaiki rumahnya. Dia berkata, “Saya tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan saya. . . . Terima kasih Yehuwa!” Kita gembira kerana saudara saudari kita menjaga keperluan orang lain dengan ikhlas. Malah, kita bersyukur kerana Yehuwa dan Yesus Kristus benar-benar mengambil berat tentang kita.

18. Apakah yang mendorong Yesus untuk melakukan mukjizat?

18 Semasa di bumi, Yesus membuktikan bahawa dia ialah ‘kuasa Tuhan.’ Dia tidak pernah menggunakan kuasanya untuk menarik perhatian orang lain atau demi manfaat sendiri. Sebaliknya, Yesus menggunakan kuasanya untuk melakukan mukjizat kerana dia mengasihi manusia. Kita akan belajar lebih banyak tentang sifat kasihnya dalam rencana yang seterusnya.