Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Mereka Dapat “Melihat” Perkara-Perkara yang Dijanjikan

Mereka Dapat “Melihat” Perkara-Perkara yang Dijanjikan

“Walaupun janji-janji Tuhan tidak terlaksana pada zaman mereka, dari jauh mereka melihat dan menyambutnya.”—IBR. 11:13.

1. Mengapakah baik untuk membayangkan perkara yang tidak pernah kita nampak? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

YEHUWA telah memberi kita suatu pemberian yang menakjubkan, iaitu kebolehan untuk membayangkan perkara yang tidak pernah kita nampak. Kebolehan ini membantu kita untuk menanti-nantikan perkara baik pada masa depan. Oleh itu, kita dapat membuat perancangan yang bijak. Yehuwa memberitahu kita perkara baik yang akan berlaku pada masa depan. Walaupun kita belum melihat hal itu, kita dapat membayangkannya dan memupuk iman bahawa semua itu akan menjadi kenyataan.—2 Kor. 4:18.

2, 3. (a) Mengapakah cara kita menggunakan imaginasi penting? Jelaskan. (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

2 Kadangkala kita membayangkan perkara yang tidak mungkin terjadi. Contohnya, seorang budak perempuan mungkin berangan-angan bahawa dirinya menaiki seekor rama-rama yang besar. Namun hal ini sekadar fantasi. Tetapi, ibu Samuel, Hana, menggunakan daya imaginasinya untuk membayangkan perkara yang dapat menjadi kenyataan. Dia membayangkan masanya dia akan membawa Samuel ke khemah suci untuk berkhidmat bersama para imam. Dia bukan sekadar berangan-angan. Hana  telah berjanji kepada Yehuwa dan bertekad untuk menunaikan janjinya. Oleh sebab dia sentiasa berfikir mengenai janji itu, dia berusaha untuk menepatinya. (1 Sam. 1:22) Apabila kita membayangkan janji-janji Yehuwa, kita sebenarnya sedang membayangkan perkara yang pasti akan menjadi kenyataan.—2 Ptr. 1:19-21.

3 Ramai umat Tuhan pada masa lampau dapat membayangkan janji-janji-Nya. Mengapakah hal ini bermanfaat bagi mereka? Mengapakah baik untuk membayangkan kehidupan kita pada masa depan apabila janji-janji Tuhan menjadi kenyataan?

IMAN MEREKA DIKUKUHKAN APABILA MEMBAYANGKAN MASA DEPAN

4. Mengapakah Habel dapat membayangkan bahawa sesuatu yang baik akan berlaku pada masa depan?

4 Habel ialah manusia pertama yang beriman kepada janji-janji Yehuwa. Dia tahu bahawa selepas Adam dan Hawa berdosa, Yehuwa telah berkata kepada ular: “Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumitnya.” (Kej. 3:14, 15, nota kaki) Walaupun Habel tidak tahu bagaimana hal ini akan berlaku, dia berfikir dengan mendalam tentang janji Tuhan. Dia mungkin berfikir, “Siapakah yang akan dicederakan oleh ular dan membantu manusia menjadi sempurna sekali lagi?” Habel percaya bahawa segala janji Yehuwa akan menjadi kenyataan. Maka Yehuwa menerima korban yang dipersembahkan oleh Habel.—Baca Kejadian 4:3-5; Ibrani 11:4.

5. Henokh selalu membayangkan masa depan yang dijanjikan Tuhan. Bagaimanakah hal ini membantunya?

5 Henokh juga mempunyai iman yang kukuh terhadap Yehuwa. Walaupun dia hidup dalam kalangan orang jahat yang melakukan “perbuatan derhaka,” Henokh berani memberitakan nubuat daripada Tuhan. Dia memberitahu orang bahawa Tuhan akan membinasakan semua orang jahat. (Yud. 14, 15) Apakah yang mendorongnya? Henokh mungkin membayangkan masanya apabila dunia bebas daripada kejahatan.—Baca Ibrani 11:5, 6.

6. Selepas Banjir, apakah yang selalu difikirkan oleh Nuh?

6 Nuh terselamat semasa Banjir kerana dia beriman kepada Yehuwa. (Ibr. 11:7) Iman juga mendorongnya untuk mempersembahkan korban binatang kepada Yehuwa. (Kej. 8:20) Selepas Banjir, manusia menjadi jahat sekali lagi. Pemerintah yang bernama Nimrod telah menggalakkan orang untuk menentang Yehuwa. (Kej. 10:8-12, NW) Namun iman Nuh tetap teguh kerana dia selalu berfikir tentang masa depan yang cerah. Seperti Habel, Nuh percaya bahawa suatu hari nanti Yehuwa akan melenyapkan dosa dan kematian. Nuh juga yakin bahawa semua pemerintah yang zalim akan dibinasakan. Hal ini akan berlaku tidak lama lagi! Dapatkah anda membayangkannya?—Rm. 6:23.

MEREKA MEMBAYANGKAN MASANYA JANJI TUHAN MENJADI KENYATAAN

7. Apakah masa depan yang dinanti-nantikan oleh Abraham, Ishak, dan Yakub?

7 Abraham, Ishak, dan Yakub dapat membayangkan masa depan yang cerah. Yehuwa telah berjanji bahawa orang daripada pelbagai bangsa akan diberkati melalui “keturunan” mereka. (Kej. 22:18; 26:4; 28:14) Tuhan juga berjanji bahawa keluarga mereka akan menjadi bangsa yang besar dan hidup di Tanah yang Dijanjikan. (Kej. 15:5-7) Abraham, Ishak, dan Yakub sangat yakin  akan janji-janji Yehuwa sehingga mereka dapat membayangkan keluarga mereka sedang hidup di tempat itu. Sebenarnya, sejak Adam dan Hawa berdosa, Yehuwa telah meyakinkan umat-Nya yang setia bahawa suatu hari nanti mereka akan menjadi sempurna lagi.

8. Apakah yang membantu Abraham untuk beriman dan mentaati Yehuwa?

8 Abraham dan umat Tuhan yang setia dapat membayangkan perkara-perkara yang dijanjikan oleh Yehuwa. Oleh itu Abraham mempunyai iman yang kuat. Dia mentaati Yehuwa walaupun dia menghadapi cabaran. Bible menyatakan: “Walaupun janji-janji Tuhan tidak terlaksana pada zaman mereka, dari jauh mereka melihat dan menyambutnya.” (Baca Ibrani 11:8-13.) Abraham tahu bahawa Yehuwa telah menepati semua janji-Nya, jadi dia yakin bahawa janji Yehuwa mengenai masa depan juga akan terlaksana.

9. Apakah yang dapat dilakukan oleh Abraham kerana imannya terhadap janji Tuhan?

9 Abraham sentiasa melakukan apa yang diperintahkan oleh Yehuwa kerana dia beriman terhadap janji-janji-Nya. Contohnya, dia telah meninggalkan kota Ur dan tidak tinggal di mana-mana kota secara tetap. Hal ini kerana kota-kota itu tidak berkekalan dan pemerintah di sana tidak menyembah Yehuwa. (Yos. 24:2) Abraham menanti-nantikan masanya apabila Yehuwa dan Kerajaan-Nya akan memerintah bumi. Kerajaan ini ialah “kota yang mempunyai asas yang kukuh, iaitu kota yang direka dan dibina oleh Tuhan.” (Ibr. 11:10) Abraham, Habel, Henokh, Nuh, dan orang setia yang lain percaya dalam pembangkitan. Apabila mereka berfikir tentang kehidupan kekal di firdaus, iman mereka bertambah kuat.—Baca Ibrani 11:15, 16.

10. Bagaimanakah pandangan Sara terhadap masa depan membantunya?

10 Fikirkan isteri Abraham, iaitu Sara. Dia beriman kepada Tuhan kerana berpandangan positif terhadap masa depan. Walaupun usianya 90 tahun, dia menanti-nantikan masanya dia akan dikurniai seorang anak yang akan menjadi sebuah bangsa yang besar. (Ibr. 11:11, 12) Dia yakin akan hal ini kerana Yehuwa pernah memberitahu suaminya: “Aku akan . . . mengurniai engkau seorang anak lelaki yang akan dilahirkan oleh Sara. Aku akan memberkati Sara, dan dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa. Di kalangan keturunannya akan ada raja-raja.” (Kej. 17:16) Seperti yang dijanjikan Yehuwa, Sara melahirkan Ishak. Mukjizat ini meyakinkan dia bahawa janji-janji Yehuwa akan menjadi kenyataan. Jika kita membayangkan semua perkara baik yang dijanjikan Yehuwa, iman kita juga akan dikukuhkan.

MENANTI-NANTIKAN GANJARAN PADA MASA DEPAN

11, 12. Apakah yang membantu Musa untuk memupuk kasih terhadap Tuhan?

11 Musa juga beriman kepada janji-janji Tuhan. Dia dibesarkan di Mesir sebagai seorang putera. Tetapi Musa lebih mengasihi Yehuwa daripada kuasa dan kekayaan. Ibu bapa kandung Musa telah mengajarnya tentang Yehuwa. Maka Musa tahu bahawa Yehuwa telah berjanji untuk membebaskan orang Ibrani dan memberi mereka Tanah yang Dijanjikan. (Kej. 13:14, 15; Kel. 2:5-10) Kasih Musa kepada Yehuwa bertambah kuat kerana dia selalu berfikir tentang janji-Nya.

12 Mengenai Musa, Bible berkata, “Kerana beriman, sesudah Musa menjadi dewasa, dia enggan dipanggil anak kepada puteri Firaun. Dia memilih untuk dianiaya  bersama umat Tuhan daripada menikmati kesenangan hidup berdosa yang bersifat sementara. Dia menganggap bahawa celaan yang ditanggungnya sebagai Orang Yang Diurapi jauh lebih berharga daripada harta karun di Mesir. Dia menumpukan perhatian kepada ganjaran yang bakal diterima.”—Ibr. 11:24-26.

13. Musa berfikir dengan mendalam mengenai janji Yehuwa. Bagaimanakah hal ini membantunya?

13 Sudah pasti Musa berfikir dengan mendalam mengenai janji Yehuwa untuk membebaskan orang Ibrani. Oleh itu, iman dan kasih Musa kepada Tuhan bertambah kuat. Seperti umat Tuhan yang lain, Musa tahu bahawa Yehuwa akan membebaskan manusia daripada kematian. (Ayb. 14:14, 15; Ibr. 11:17-19) Musa sedar bahawa Yehuwa sangat mengasihi manusia. Oleh itu, kasih dan iman mendorong Musa untuk berkhidmat kepada Yehuwa sepanjang hayat. (Ul. 6:4, 5) Walaupun Firaun ingin membunuh Musa, Musa tidak berasa takut. Dia yakin bahawa Yehuwa akan memberinya ganjaran pada masa depan.—Kel. 10:28, 29.

BAYANGKAN BERKAT KERAJAAN TUHAN

14. Apakah tanggapan sesetengah orang mengenai masa depan?

14 Banyak orang mempunyai tanggapan yang salah mengenai masa depan. Misalnya, sesetengah orang miskin berangan-angan bahawa mereka akan menjadi kaya dan tidak perlu berasa risau tentang apa-apa. Tetapi Bible berkata bahawa dunia Syaitan penuh dengan “kekhuatiran dan kesusahan.” (Mzm. 90:10) Ada juga yang berfikir bahawa kerajaan manusia dapat menyelesaikan segala masalah di dunia. Namun Bible berkata bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat melakukan hal ini. (Dan. 2:44) Yang lain pula berfikir bahawa dunia ini tidak akan berubah. Tetapi Bible berkata bahawa Tuhan akan membinasakan orang yang jahat. (Zef. 1:18; 1 Yoh. 2:15-17) Sudah pasti orang sebegini akan berasa kecewa kerana pandangan mereka bertentangan dengan kehendak Yehuwa.

Dapatkah anda membayangkan diri anda di dunia baru? (Lihat perenggan 15)

15. (a) Apakah manfaatnya bagi kita untuk membayangkan janji Tuhan pada masa depan? (b) Apakah janji Tuhan yang anda nanti-nantikan?

15 Tuhan menjanjikan masa depan yang cerah bagi kita. Hal ini menggembirakan hati kita dan mendorong kita untuk tetap menyembah-Nya. Sama ada anda akan naik ke syurga atau tinggal di bumi firdaus, dapatkah anda bayangkan masa depan anda? Di dunia baru nanti, anda dapat bekerjasama dengan orang lain untuk menjadikan bumi sebuah firdaus. Orang yang mengambil pimpinan akan menjaga keperluan anda. Semua orang di sana akan mengasihi Yehuwa. Anda akan menjadi sihat dan bertenaga, serta bebas daripada kerisauan. Anda dapat menggunakan kebolehan dan kemahiran anda untuk membantu orang lain, serta memuliakan nama Yehuwa. Bahkan anda mungkin berpeluang membantu orang yang dibangkitkan untuk mengenali Yehuwa. (Yoh. 17:3; Kis. 24:15) Semua perkara ini bukan sekadar mimpi. Bible menjamin bahawa hal ini akan berlaku pada masa depan.—Yes. 11:9; 25:8; 33:24; 35:5-7; 65:22.

BERCAKAP MENGENAI HARAPAN ANDA

16, 17. Apakah manfaatnya jika kita bercakap dengan saudara saudari tentang masa depan yang dijanjikan Yehuwa?

16 Kita tidak pasti dengan sepenuhnya apa yang akan kita lakukan pada masa depan. Tetapi, apabila kita memberitahu saudara saudari tentang apa yang ingin kita lakukan di dunia baru, kita membantu satu sama lain untuk membayangkan masa depan yang indah dan beriman terhadap  janji-janji Yehuwa. Dengan demikian, kita menggalakkan satu sama lain untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa walaupun menghadapi cabaran. Hal ini telah dilakukan oleh Paulus dan saudara saudari di Roma.—Rm. 1:11, 12.

17 Apabila anda merenungkan masa depan yang dijanjikan Yehuwa, anda kurang bertumpu kepada masalah yang dihadapi sekarang. Pada satu ketika, Petrus berasa risau dan menanya Yesus, “Lihatlah! Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Jadi apakah yang akan kami terima?” Yesus menjawab, “Tuhan akan menjadikan semua perkara baru semasa Anak manusia duduk di atas takhtanya yang gemilang. Pada masa itu, kamu yang telah mengikut aku juga akan duduk di atas 12 takhta dan menghakimi 12 suku Israel. Sesiapa yang telah meninggalkan rumah atau adik-beradik atau ibu bapa atau anak atau tanah demi namaku akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya, dan mewarisi kehidupan yang kekal.” (Mat. 19:27-29) Maka, Yesus ingin Petrus dan pengikutnya yang lain untuk berfikir tentang perkara-perkara yang indah pada masa depan. Oleh itu, mereka dapat membayangkan diri mereka memerintah bersama Yesus di syurga. Mereka juga akan membantu umat manusia yang setia untuk menjadi sempurna sekali lagi.

18. Apakah kebaikannya jika kita membayangkan masanya apabila janji-janji Yehuwa menjadi kenyataan?

18 Kita telah belajar bagaimana hamba Yehuwa mempunyai iman yang kuat. Iman Habel menyenangkan hati Yehuwa kerana dia membayangkan janji-janji Yehuwa yang akan menjadi kenyataan. Abraham membayangkan masanya apabila nubuat mengenai ‘keturunan’ yang dijanjikan akan terlaksana. Jadi dia mentaati Yehuwa walaupun menghadapi kesusahan. (Kej. 3:15) Musa menanti-nantikan ganjarannya yang dijanjikan Yehuwa. Hal ini membantunya untuk tetap mengasihi dan setia kepada Yehuwa. (Ibr. 11:26) Dengan membayangkan masanya apabila janji-janji Yehuwa menjadi kenyataan, iman dan kasih kita terhadap-Nya akan menjadi kuat. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan belajar satu lagi cara untuk menggunakan daya imaginasi kita.