Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Siapakah Gog dari Magog yang dinyatakan dalam buku Yehezkiel?

Selama bertahun-tahun, bahan bacaan kita menjelaskan bahawa Gog dari Magog merujuk kepada Syaitan selepas dia dibuang dari syurga. Mengapa? Kerana buku Wahyu menyatakan bahawa Syaitan memimpin serangan ke atas umat Tuhan di serata dunia. (Why. 12:1-17) Jadi kita menyimpulkan bahawa Gog merupakan satu lagi gelaran bagi Syaitan.

Tetapi, terdapat beberapa persoalan tentang penjelasan ini. Mengenai pembinasaan Gog, Yehuwa berkata bahawa Dia akan membiarkan mayat Gog “dimakan burung dan binatang liar.” (Yeh. 39:4) Kemudian Yehuwa menambah: “Aku akan memberi Gog satu tempat di Israel bagi penguburannya.” (Yeh. 39:11) Memandangkan Syaitan ialah makhluk roh, dapatkah burung dan binatang liar memakan mayatnya? Dapatkah dia dikuburkan di bumi? Tidak. Sebenarnya, Bible menyatakan bahawa Syaitan akan dibuang ke jurang yang dalam selama 1,000 tahun, dan bukannya dimakan atau dikuburkan.—Why. 20:1, 2.

Selepas 1,000 tahun itu, Bible menyatakan bahawa Syaitan akan dibebaskan dari jurang yang dalam, dan “dia akan pergi menyesatkan Gog dan Magog, iaitu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, dan mengumpulkan mereka untuk berperang.” (Why. 20:8) Jika Syaitan ialah Gog, bagaimanakah dia dapat menyesatkan diri sendiri? Jadi, “Gog” dalam buku Yehezkiel dan Wahyu tidak merujuk kepada Syaitan.

Jadi siapakah Gog dari Magog? Untuk menjawab soalan itu, kita perlu tahu siapa yang menyerang umat Tuhan. Bible menyatakan tentang serangan daripada ‘Gog dari Magog,’ “raja Siria [“raja utara,” NW],” dan “raja-raja di bumi.” (Yeh. 38:2, 10-13; Dan. 11:40, 44, 45; Why. 17:14; 19:19) Adakah setiap serangan ini serangan yang berbeza? Nampaknya tidak. Bible menggunakan nama yang berbeza untuk merujuk kepada serangan yang sama. Mengapakah kita membuat kesimpulan ini? Kerana Bible memberitahu kita bahawa semua bangsa di bumi akan terlibat dalam serangan ini yang memulakan perang Armagedon.—Why. 16:14, 16.

Selepas kita meneliti ayat-ayat Bible tentang serangan terakhir terhadap umat Tuhan, kita dapat  memahami dengan jelas bahawa Gog dari Magog bukanlah Syaitan. Sebaliknya, Gog dari Magog merujuk kepada bangsa-bangsa bersekutu yang menyerang umat Tuhan. Adakah “raja utara” akan memimpin kumpulan ini? Walaupun kita tidak pasti, hal ini mungkin terjadi kerana apa yang dikatakan oleh Yehuwa tentang Gog: ‘Dari tempatmu yang jauh di utara, engkau akan membawa pasukan berkuda yang besar dan kuat dari negeri-negeri lain.’—Yeh. 38:6, 15.

Nabi Daniel yang hidup sezaman dengan Yehezkiel menyatakan perkara yang sama tentang raja utara: ‘Berita dari timur dan utara akan mencemaskan [raja utara], dan dia akan berperang dengan sengit serta membunuh banyak orang. [Raja utara] akan membina khemah diraja yang besar di antara laut dan gunung tempat Rumah Yehuwa. Tetapi [raja utara] akan menemui akhir riwayatnya, dan tiada seorang pun akan menolong dia.’ (Dan. 11:44, 45) Hal ini sama dengan apa yang tercatat dalam buku Yehezkiel tentang apa yang akan dilakukan oleh Gog.—Yeh. 38:8-12, 16.

Apakah yang akan berlaku selepas serangan terakhir terhadap umat Tuhan? Daniel memberitahu kita: ‘Pada masa itu, malaikat besar, iaitu Mikhael [Yesus Kristus] pelindung bangsamu akan muncul [semasa Armagedon]. Ketika itu akan ada kesusahan yang paling berat [kesengsaraan besar] sejak bangsa-bangsa wujud. Pada masa itu, semua orang daripada bangsamu yang namanya tertulis di dalam kitab Tuhan akan diselamatkan.’ (Dan. 12:1) Cara Yesus bertindak juga tercatat dalam Wahyu 19:11-21.

Tetapi siapakah “Gog dan Magog” yang disebut dalam Wahyu 20:8? Gelaran ini mungkin merujuk kepada semua orang yang menentang Yehuwa semasa ujian terakhir selepas seribu tahun pemerintahan Kristus. Sikap mereka adalah seperti sikap Gog dari Magog, iaitu bangsa-bangsa bersekutu yang menyerang umat Tuhan pada akhir kesengsaraan besar. Sepertimana bangsa-bangsa ini dibinasakan semasa Armagedon, Gog dan Magog juga akan dibinasakan. (Why. 19:20, 21; 20:9) Maka, gelaran “Gog dan Magog” sesuai digunakan untuk merujuk kepada semua pemberontak selepas seribu tahun pemerintahan Kristus.

Sebagai pelajar Bible, kita ingin tahu siapa yang akan menjadi “raja utara” pada masa depan. Walaupun kita belum tahu siapa yang akan memimpin bangsa-bangsa untuk menyerang umat Tuhan, kita boleh pasti akan dua perkara: (1) Gog dari Magog dan tenteranya akan dikalahkan dan dibinasakan. (2) Raja kita, Yesus Kristus, akan menyelamatkan umat Tuhan dan membawa mereka ke dunia baru yang damai dan tenteram.—Why. 7:14-17.