“Berjaga-jagalah. Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum. Dia mencari mangsa untuk dibaham.”—1 PTR. 5:8.

1. Jelaskan bagaimana satu malaikat menjadi Syaitan.

PADA satu ketika, dia mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa. Tetapi kemudian, makhluk roh, atau malaikat ini ingin disembah oleh manusia. Dia tidak menolak keinginan itu, tetapi membiarkannya bertambah kuat sehingga dia berdosa. (Yak. 1:14, 15) Makhluk ini dikenali sebagai Syaitan. Dia “tidak berpegang teguh pada kebenaran.” Dia menentang Yehuwa dan menjadi “bapa segala dusta.”—Yoh. 8:44.

2, 3. Mengapakah musuh utama Yehuwa digelar sebagai “Syaitan,” “Iblis,” “ular,” dan “naga”?

2 Sejak pemberontakan itu, Syaitan menjadi musuh utama Yehuwa dan umat manusia. Bible menggambarkan Syaitan sebagai makhluk yang sangat jahat. Syaitan bermaksud “Penentang.” Gelaran ini menunjukkan bahawa dia membenci pemerintahan Tuhan. Dia melawan Tuhan dengan segala kuasanya kerana dia mahu melihat pemerintahan Tuhan berakhir.

3 Di Wahyu 12:9, Syaitan dipanggil sebagai Iblis, yang bermaksud “Pemfitnah.” Syaitan telah menuduh bahawa Tuhan ialah penipu. Syaitan juga digelar sebagai “ular tua.” Gelaran ini mengingatkan kita tentang ular yang digunakan oleh  Syaitan untuk menipu Hawa. Dia juga diberikan gelaran “naga besar” kerana sifatnya yang ganas, kejam, dan jahat. Dia ingin menghalang tujuan Yehuwa daripada menjadi kenyataan dan dia ingin memusnahkan umat Tuhan.

4. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Jelas sekali, Syaitan ialah ancaman yang terbesar bagi kesetiaan kita. Itulah sebabnya Bible mengingatkan kita: “Teruslah memelihara daya pemikiran kamu dan berjaga-jagalah. Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum. Dia mencari mangsa untuk dibaham.” (1 Ptr. 5:8) Jadi, dalam rencana ini kita akan belajar tentang tiga sifat Syaitan dan mengapa kita perlu melindungi diri daripada musuh yang jahat ini.

SYAITAN BERKUASA

5, 6. (a) Berikan contoh yang menunjukkan bahawa malaikat ialah makhluk yang “kuat dan perkasa.” (b) Apakah maksudnya Syaitan “mampu menyebabkan kematian”?

5 Malaikat ialah makhluk yang “kuat dan perkasa.” (Mzm. 103:20) Mereka jauh lebih bijak dan berkuasa daripada manusia. Malaikat yang setia menggunakan kuasa mereka untuk berbuat baik. Contohnya, satu malaikat Yehuwa telah membunuh 185,000 orang askar Asyur. Hal ini mustahil bagi seorang manusia, bahkan susah bagi sepasukan askar. (2 Raj. 19:35) Pada ketika yang lain, satu malaikat telah menggunakan kuasa dan kebolehannya untuk membebaskan para rasul dari penjara. Malaikat ini membuka pintu penjara, membebaskan para rasul, dan kemudian mengunci semula pintu itu. Semua ini berlaku tanpa disedari oleh para pengawal penjara!—Kis. 5:18-23.

6 Malaikat yang setia menggunakan kuasa mereka untuk berbuat baik, tetapi Syaitan menggunakan kuasanya untuk berbuat jahat. Syaitan memang mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar. Dalam Bible, dia dikenali sebagai “pemerintah” dan “tuhan sistem dunia ini.” (Yoh. 12:31; 2 Kor. 4:4) Dia juga “mampu menyebabkan kematian.” (Ibr. 2:14) Hal ini tidak bermaksud bahawa dia menyebabkan kematian semua orang secara langsung. Jadi, apakah maksudnya? Pertama, dunia ini penuh dengan orang yang saling membenci dan bersikap ganas seperti Syaitan. Kedua, oleh sebab Hawa mempercayai dusta Syaitan dan Adam mengingkari Tuhan, semua manusia berdosa dan akan mati. (Rm. 5:12) Maka Syaitan memang “pembunuh.” (Yoh. 8:44) Syaitan ialah musuh yang berkuasa.

7. Bagaimanakah roh-roh jahat menunjukkan bahawa mereka berkuasa?

7 Apabila kita melawan Syaitan, kita juga melawan konco-konconya yang menentang pemerintahan Tuhan. Mereka merupakan malaikat-malaikat yang memberontak. Mereka juga dikenali sebagai roh-roh jahat. (Why. 12:3, 4) Mereka lebih berkuasa daripada manusia dan mampu menyebabkan manusia menderita. (Mat. 8:28-32; Mrk. 5:1-5) Kita tidak harus memandang rendah kuasa roh-roh jahat ini dan ketua mereka. (Mat. 9:34) Tanpa bantuan Yehuwa, kita tidak dapat berjaya melawan Syaitan.

SYAITAN KEJAM

8. (a) Apakah matlamat Syaitan? (Lihat gambar permulaan rencana.) (b) Pada pendapat anda, bagaimanakah dunia ini mencerminkan sifat Syaitan yang kejam?

8 Rasul Petrus menggambarkan Syaitan sebagai “singa yang mengaum.” Menurut sebuah buku rujukan, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “mengaum,”  bermaksud “raungan seekor binatang yang kelaparan.” Gambaran ini sangat sesuai bagi Syaitan yang bersifat jahat dan kejam! Dia sudah pun mengawal seluruh dunia, tetapi dia masih belum berpuas hati. Syaitan bagaikan seekor singa yang kelaparan dan ingin membaham lebih ramai mangsa. (1 Yoh. 5:19) Sasaran utama Syaitan ialah kaum terurap dan “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16; Why. 12:17) Matlamat Syaitan adalah untuk membinasakan umat Yehuwa. Penganiayaan yang dialami oleh orang Kristian sejati sejak abad pertama hingga sekarang membuktikan betapa kejamnya Syaitan.

9, 10. (a) Bagaimanakah Syaitan menyerang bangsa Israel? Berikan contoh. (b) Mengapakah Syaitan ingin menyerang bangsa Israel kuno? (c) Apakah perasaan Syaitan apabila seorang hamba Yehuwa berdosa hari ini?

9 Syaitan juga kejam dalam cara yang lain. Seekor singa yang kelaparan tidak akan berasa kasihan semasa membunuh mangsanya. Singa itu juga tidak akan menyesal selepas membaham mangsanya. Begitu juga, Syaitan tidak berasa kasihan terhadap orang yang diserangnya. Contohnya, Syaitan sangat gembira apabila orang Israel bersifat tamak dan melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Dapatkah anda bayangkan betapa gembiranya Syaitan apabila melihat Zimri dihukum kerana perbuatan yang tidak bermoral, dan Gehazi dihukum kerana ketamakan?—Bil. 25:6-8, 14, 15; 2 Raj. 5:20-27.

Syaitan gembira apabila seorang hamba Yehuwa berdosa (Lihat perenggan 10)

10 Syaitan ingin menyerang bangsa Israel kuno. Mengapa? Mesias yang dijanjikan akan datang daripada bangsa itu untuk membinasakan Syaitan dan membuktikan bahawa Yehuwa sahaja berhak memerintah. (Kej. 3:15) Syaitan ingin orang Israel hilang perkenan Tuhan. Maka dia berusaha sedaya upaya untuk menggoda mereka supaya berdosa. Apabila Daud berzina, Syaitan tidak berasa kasihan terhadapnya. Syaitan juga tidak berbelas kasihan terhadap Musa yang dilarang masuk ke Tanah yang Dijanjikan. Apabila seorang hamba Yehuwa melakukan dosa, Syaitan sebenarnya berasa sangat gembira kerana dia dapat mencela Yehuwa.—Ams. 27:11.

11. Mengapakah Sara mungkin menjadi sasaran Syaitan?

 11 Syaitan membenci mereka yang akan menjadi nenek moyang Mesias. Contohnya, fikirkan apa yang berlaku selepas Yehuwa memberitahu Abraham bahawa dia akan menjadi “satu bangsa yang besar.” (Kej. 12:1-3) Apabila Abraham dan Sara berada di Mesir, Firaun membawa Sara ke istana dan ingin Sara menjadi isterinya. Tetapi Yehuwa menyelamatkan Sara. (Baca Kejadian 12:14-20.) Hal yang serupa juga berlaku di kota Gerar sebelum Ishak dilahirkan. (Kej. 20:1-7) Mungkinkah Syaitan menyebabkan kejadian-kejadian ini? Sara sudah meninggalkan kota Ur yang mewah dan tinggal di khemah. Adakah Syaitan ingin menggoda Sara dengan istana mewah yang dimiliki oleh Firaun atau Abimelekh? Adakah Syaitan berfikir bahawa Sara akan mengkhianati Yehuwa dan suaminya dengan mengahwini salah seorang raja tersebut? Bible tidak menyatakan tentang hal ini. Tetapi Syaitan pasti sangat gembira jika Sara hilang peluang untuk menjadi nenek moyang Mesias. Syaitan tidak akan berasa bersalah jika perkahwinan, reputasi, dan hubungan baik Sara dengan Yehuwa terjejas. Ya, betapa kejamnya Syaitan!

12, 13. (a) Bagaimanakah Syaitan bertindak dengan kejam selepas Yesus dilahirkan? (b) Apakah pandangan Syaitan terhadap anak-anak hari ini yang ingin menyembah Yehuwa?

12 Beratus-ratus tahun selepas zaman Abraham, Yesus dilahirkan. Syaitan tidak menganggap bahawa bayi yang baru lahir ini sangat comel. Syaitan tahu bahawa bayi ini akan menjadi Mesias yang dijanjikan. Yesus ialah bahagian utama benih Abraham, dan suatu hari nanti dia akan “menghancurkan perbuatan Iblis.” (1 Yoh. 3:8) Syaitan sanggup membunuh Yesus walaupun dia masih kecil. Syaitan tidak menganggap hal ini sebagai perkara yang kejam dan dia tidak kisah sama ada tindakannya betul atau salah. Dia ingin membunuh Yesus dengan serta merta. Bagaimana?

13 Apabila ahli nujum memberitahu Raja Herodes bahawa “raja orang Yahudi” sudah dilahirkan, Raja Herodes sangat marah dan ingin membunuh bayi itu. (Mat. 2:1-3, 13) Jadi dia memberikan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berumur dua tahun dan ke bawah di Bethlehem dan di daerah sekitarnya. (Baca Matius 2:13-18.) Namun Yesus terselamat. Tetapi, apakah yang dapat kita pelajari mengenai Syaitan? Dia tidak menghargai nyawa manusia, bahkan nyawa anak-anak kecil. Syaitan memang seekor “singa” yang sangat kejam!

SYAITAN PENDUSTA

14, 15. Bagaimanakah ramai orang hari ini “dibutakan” oleh Syaitan?

14 Memandangkan Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih, satu-satunya cara Syaitan dapat menyebabkan orang menentang-Nya adalah dengan menipu mereka. (1 Yoh. 4:8) Syaitan menipu orang supaya mereka tidak “sedar akan keperluan rohani mereka.” (Mat. 5:3) Oleh itu, ramai orang berasa bahawa mereka tidak perlu mempunyai hubungan baik dengan Tuhan. Ramai orang hari ini “dibutakan” oleh Syaitan. Jadi mereka tidak dapat melihat kebenaran tentang Yehuwa.—2 Kor. 4:4.

15 Dusta Syaitan yang paling berkesan ialah agama palsu. Yehuwa berkata, ‘Jangan sujud atau sembah kepada patung apa pun, kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’ (Kel. 20:5) Cuba bayangkan betapa gembiranya Syaitan apabila orang menyembah  nenek moyang mereka, alam semula jadi, binatang, atau sesiapa pun selain daripada Yehuwa. Ramai orang berfikir bahawa penyembahan mereka diterima oleh Tuhan, tetapi sebenarnya mereka berpegang pada kepercayaan palsu dan upacara yang karut. Hal ini juga berlaku kepada orang Israel pada zaman Yesaya. Yehuwa berkata, “Mengapakah kamu membeli sesuatu yang tidak memuaskan? Mengapakah kamu bekerja untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan? Dengarlah firman-Ku dan turutlah perintah-Ku, maka kamu akan menikmati makanan yang terbaik.”—Yes. 55:2.

16, 17. (a) Mengapakah Yesus berkata kepada Petrus: “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan”? (b) Bagaimanakah Syaitan boleh menipu kita supaya kita tidak berjaga-jaga?

16 Syaitan juga dapat memperdaya umat Yehuwa yang setia. Misalnya, apabila Yesus memberitahu pengikutnya bahawa dia akan dibunuh, rasul Petrus memberitahu Yesus: “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Yesus berkata kepada Petrus: “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan!” (Mat. 16:22, 23) Mengapakah Yesus memanggil Petrus “Syaitan”? Kerana Petrus ingin agar Yesus mengasihani dirinya. Namun Yesus tahu bahawa dia harus mengorbankan nyawanya sebagai tebusan. Kematiannya juga akan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta. Saat itu ialah detik yang genting dalam sejarah manusia, dan bukannya waktu bagi Yesus untuk mementingkan diri. Syaitan tentu sangat gembira jika Yesus hilang tumpuannya.

17 Kita juga tinggal pada masa yang genting kerana akhir sistem dunia sangat dekat. Syaitan ingin kita hilang tumpuan dan mengejar kejayaan di dunia ini. Dia ingin kita lupa bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Jadi berwaspadalah dan “teruslah berjaga-jaga.” (Mat. 24:42) Jangan percaya dusta Syaitan bahawa akhir dunia masih lama lagi atau langsung tidak akan tiba.

18, 19. (a) Apakah yang Syaitan ingin kita fikirkan tentang diri sendiri? (b) Bagaimanakah Yehuwa membantu kita untuk tetap berjaga-jaga?

18 Selain itu, Syaitan ingin kita berfikir bahawa kita tidak layak menerima kasih daripada Yehuwa, dan Yehuwa tidak akan mengampunkan dosa kita. Tetapi dusta Syaitan ini bertujuan untuk memperdayakan kita. Cuba fikirkan, siapakah yang sebenarnya tidak layak menerima kasih Yehuwa? Syaitan. Siapakah yang tidak akan diampuni oleh Tuhan? Syaitan. Namun bagi kita pula, Bible berkata, “Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya.” (Ibr. 6:10) Yehuwa menghargai semua yang kita lakukan untuk menyenangkan hati-Nya. Khidmat kita kepada-Nya tidak sia-sia. (Baca 1 Korintus 15:58.) Jadi janganlah tertipu dengan dusta Syaitan!

19 Seperti yang kita pelajari, Syaitan sangat berkuasa, kejam, dan selalu berdusta. Bagaimanakah kita dapat melawan musuh ini? Yehuwa akan membantu kita. Melalui Firman-Nya, kita belajar tentang kaedah Syaitan dan “mengetahui muslihatnya.” (2 Kor. 2:11) Dengan demikian, lebih mudah bagi kita untuk berjaga-jaga. Tetapi sekadar mengetahui kaedah Syaitan tidak mencukupi. Bible berkata, “Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.” (Yak. 4:7) Rencana seterusnya akan membincangkan tiga jerat Syaitan dan cara untuk melawannya.