Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Para Penatua, Adakah Anda Melatih Saudara Lain?

Para Penatua, Adakah Anda Melatih Saudara Lain?

“Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—EF. 5:16.

1, 2. Apakah yang didapati oleh penyelia litar mengenai banyak sidang?

PERJUMPAAN penyelia litar bersama penatua hampir tamat. Penyelia litar sangat menghargai kerja keras yang dilakukan oleh para penatua. Ada di antara mereka yang sebaya dengan umur bapanya. Namun, terdapat satu lagi persoalan dalam mindanya. Dia bertanya, “Jadi, apakah yang sudah kamu lakukan untuk melatih saudara lain di sidang ini?” Pada lawatan yang sebelumnya, dia menggalakkan penatua di sini untuk melatih saudara lain supaya mereka dapat memikul lebih banyak tanggungjawab. Akhirnya, seorang penatua berkata, “Sebenarnya, kami belum buat apa-apa lagi.” Penatua lain pun mengangguk kepala.

2 Jika anda seorang penatua, anda mungkin pernah menghadapi situasi yang sama. Ramai penyelia litar mendapati bahawa penatua perlu meluangkan lebih banyak masa untuk melatih saudara yang muda dan tua untuk memikul  tanggungjawab di sidang. Namun, hal ini memang mencabar. Mengapa?

3. (a) Apakah yang dikatakan Bible mengenai kepentingan mengajar orang lain? Mengapakah kita semua harus berminat akan maklumat dalam rencana ini? (Lihat nota kaki.) (b) Mengapakah mencabar bagi sesetengah penatua untuk melatih saudara lain?

3 Para penatua, anda tahu bahawa latihan perlu diberikan kepada saudara lain. * Anda juga tahu bahawa lebih ramai saudara diperlukan untuk membantu menguatkan sidang dan untuk menubuhkan sidang baru. (Baca Yesaya 60:22.) Bible berkata bahawa kita perlu “mengajar orang lain.” (Baca 2 Timotius 2:2.) Namun, mungkin susah untuk berbuat demikian. Anda perlu menyara keluarga dan menjaga keperluan mereka. Anda juga perlu mengurus hal-hal sidang yang penting. Memandangkan para penatua sangat sibuk, mari kita bincangkan mengapa penting untuk mencari masa bagi melatih saudara lain.

LATIHAN MEMANG PENTING

4. Apakah yang mungkin menyebabkan para penatua menangguhkan masa untuk melatih para saudara?

4 Mengapakah sesetengah penatua berasa susah untuk meluangkan masa bagi melatih para saudara? Mereka mungkin berfikir, “Walaupun saya tidak melatih orang lain dengan serta-merta, aktiviti sidang masih dapat berjalan lancar. Hal-hal sidang lebih penting daripada melatih saudara lain.” Adakah hal ini benar? Terdapat perkara yang memang perlu diberikan perhatian dengan segera. Namun, jika anda menangguhkan masa untuk melatih saudara lain, anda mungkin membahayakan sidang.

5, 6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara pemandu menjaga keretanya? Bagaimanakah contoh ini membantu para penatua dalam hal melatih saudara lain?

5 Fikirkan contoh ini. Seorang pemandu tahu bahawa dia perlu menukar minyak enjin supaya keretanya dalam keadaan yang baik. Namun, dia mungkin berasa bahawa mengisi petrol lebih penting sebab tanpa petrol, kereta tidak dapat bergerak. Dia mungkin berfikir, “Kalau saya tidak tukar minyak enjin, kereta masih dapat jalan.” Tetapi apakah bahayanya? Jika pemandu itu selalu tidak menukar minyak enjin, lambat laun keretanya akan rosak. Akhirnya dia perlu menggunakan banyak masa dan wang untuk membaiki kereta itu. Apakah pengajarannya?

6 Para penatua perlu melaksanakan tugas yang penting dengan segera. Jika tidak, hal ini akan memberikan kesan kepada sidang. Sepertimana pemandu harus selalu mengisi petrol, para penatua juga harus “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Flp. 1:10) Namun, sesetengah penatua mungkin sangat sibuk dan tiada masa untuk melatih saudara lain. Mereka seperti pemandu yang tidak menukar minyak enjin kereta. Jika penatua selalu menangguhkan masa untuk melatih saudara lain, lambat laun sidang akan kekurangan saudara yang terlatih untuk mengendalikan segala keperluan sidang.

7. Apakah sepatutnya tanggapan kita terhadap penatua yang meluangkan masa untuk melatih saudara lain?

7 Jadi, jangan berfikir bahawa melatih saudara kurang penting. Para penatua  yang mengambil berat terhadap masa depan sidang akan meluangkan masa untuk melatih saudara lain. Para penatua sebegini sangat dihargai. (Baca 1 Petrus 4:10.) Apakah manfaatnya bagi sidang?

GUNAKAN MASA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA

8. (a) Apakah beberapa sebab penatua harus melatih saudara muda? (b) Apakah tugas penting bagi penatua yang berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan? (Lihat kotak “ Tugas yang Penting.”)

8 Penatua yang berpengalaman tahu bahawa apabila usia mereka meningkat, mereka tidak boleh menjalankan tanggungjawab seperti dahulu. (Mi. 6:8) Selain itu, kita ‘tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kita hari esok.’ Mungkin sesuatu akan berlaku yang menyebabkan penatua tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa. (Yak. 4:13, 14; Pkh. 9:11, 12) Oleh sebab mereka mengambil berat dan mengasihi umat Tuhan, para penatua berusaha berkongsi pengalaman mereka dengan saudara muda.—Baca Mazmur 71:17, 18.

9. Mengapakah penting untuk melatih para saudara mulai hari ini?

9 Penatua yang melatih saudara lain sedang mengukuhkan sidang. Saudara-saudara yang dilatih akan membantu menyatupadukan sidang. Perpaduan ini penting pada hari-hari terakhir, lebih-lebih lagi semasa kesengsaraan besar yang bakal berlaku. (Yeh. 38:10-12; Mi. 5:4, 5) Jadi para penatua yang dikasihi, luangkanlah masa yang secukupnya untuk melatih saudara lain mulai hari ini.

10. Apakah yang mungkin perlu dilakukan oleh para penatua supaya mereka ada masa untuk melatih saudara lain?

10 Para penatua sangat sibuk kerana perlu menjaga keperluan sidang. Maka para penatua, anda mungkin perlu meluangkan sebahagian daripada masa yang digunakan untuk keperluan sidang bagi melatih saudara lain. (Ef. 5:16) Dengan demikian, anda sedang menggunakan masa anda dengan bijak dan akan membawa manfaat kepada sidang pada masa depan.

SEDIAKAN HATI MEREKA

11. (a) Apakah yang menarik tentang nasihat yang diberikan oleh penatua dari pelbagai tempat? (b) Menurut Amsal 15:22, mengapakah penting untuk membincangkan nasihat mereka?

11 Baru-baru ini, beberapa penatua yang berjaya melatih saudara lain telah ditanya bagaimana mereka melakukannya. * Semua penatua ini memberikan nasihat yang serupa walaupun mereka tinggal di tempat yang sangat berbeza. Apakah yang dibuktikan oleh hal ini? Latihan yang diberikan berdasarkan Alkitab memang bermanfaat bagi pelajar di setiap “sidang di merata tempat.” (1 Kor. 4:17) Jadi, dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan membincangkan nasihat-nasihat yang diberikan oleh para penatua ini. (Ams. 15:22) Mereka yang memberikan latihan akan dipanggil sebagai “guru” dan mereka yang menerima latihan akan dipanggil sebagai “pelajar.”

12. Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang guru, dan mengapa?

12 Pertama, seorang guru harus menyediakan hati pelajar. Mengapakah hal ini penting? Sepertimana seorang pekebun menyediakan tanah sebelum menanam benih, guru harus menyediakan hati pelajar sebelum mengajarnya kemahiran yang baru. Jadi bagaimanakah guru dapat menyediakan hati pelajar? Dia boleh  mengikut contoh guru yang mahir pada masa lampau, iaitu nabi Samuel.

13-15. (a) Apakah tugas yang diberikan oleh Yehuwa kepada Samuel? (b) Bagaimanakah Samuel menyediakan hati Saul? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (c) Mengapakah kisah Bible ini penting kepada para penatua hari ini?

13 Pada suatu hari, lebih daripada 3,000 tahun dahulu, Yehuwa memberitahu nabi Samuel yang sudah berusia: “Esok pagi kira-kira waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki daripada suku Benyamin berjumpa dengan engkau. Lumurilah kepalanya dengan minyak sebagai tanda untuk melantiknya menjadi raja umat-Ku Israel.” (1 Sam. 9:15, 16) Samuel faham bahawa dia tidak akan memimpin bangsa Israel lagi. Yehuwa ingin Samuel mengurapi seorang pemimpin yang baru. Jadi, bagi menyediakan hati lelaki itu untuk tanggungjawab barunya, Samuel mendapat satu idea lalu menyediakan satu rancangan.

14 Pada hari yang seterusnya, Samuel bertemu dengan Saul. Yehuwa memberitahunya: “Inilah orang yang Kukatakan itu.” Samuel pun bertindak mengikut apa yang telah dirancangnya. Dia menjemput Saul untuk makan bersama supaya mereka ada peluang untuk berbual-bual. Samuel memberi Saul dan hambanya tempat duduk dan daging yang terbaik. Samuel berkata, “Inilah bahagian yang sudah aku simpan untukmu . . . Silalah makan.” Selepas menjamu selera, Samuel menjemput Saul ke rumahnya. Mereka berjalan sambil menikmati perbualan bersama. Selepas tiba di rumah Samuel, mereka pergi ke bahagian atas rumah. Di sana Samuel “berkata-kata dengan Saul” sehingga mereka tidur. Pada keesokan hari, Samuel mengurapi Saul, menciumnya, dan memberikan perintah kepadanya. Selepas itu, Saul pergi dan hatinya sudah bersedia untuk apa yang akan berlaku.—1 Sam. 9:17-27, nota kaki; 10:1.

15 Samuel mengurapi Saul untuk menjadi pemimpin sebuah negara. Sudah tentu hal ini sangat berbeza dengan latihan yang diberikan kepada saudara untuk menjadi penatua atau pembantu sidang. Namun, para penatua boleh belajar beberapa perkara daripada Samuel. Mari kita lihat dua pengajaran.

GURU YANG RELA DAN SAHABAT YANG BAIK

16. (a) Apakah perasaan Samuel apabila orang Israel menginginkan seorang raja? (b) Apakah yang dilakukan oleh Samuel apabila Yehuwa menyuruhnya untuk mengurapi Saul?

16 Relakan diri, jangan keberatan. Apabila Samuel mendengar bahawa orang Israel menginginkan seorang raja, Samuel berasa kecewa. (1 Sam. 8:4-8) Yehuwa telah memberitahu Samuel sebanyak tiga kali untuk menunaikan permintaan orang Israel. (1 Sam. 8:7, 9, 22) Walaupun Samuel berasa kecewa, dia tidak menjadi iri hati atau marah terhadap lelaki yang akan mengambil tempatnya sebagai pemimpin. Apabila Yehuwa menyuruh Samuel untuk mengurapi Saul, Samuel tidak keberatan untuk berbuat demikian. Samuel mentaati Tuhan kerana dia benar-benar mengasihi Tuhan, bukannya kerana terpaksa.

17. Bagaimanakah penatua hari ini meniru teladan Samuel? Apakah perasaan mereka?

17 Hari ini, ramai penatua yang berpengalaman meniru teladan baik Samuel. (1 Ptr. 5:2) Penatua sebegini tidak mementingkan diri, rela mengajar saudara lain, dan sudi untuk mengongsi tanggungjawab  sidang dengan mereka. Sebaliknya, penatua ini memandang pelajar sebagai “rakan sekerja” yang membantu mereka menjaga keperluan sidang. (2 Kor. 1:24; Ibr. 13:16) Penatua yang baik hati ini gembira melihat pelajar menggunakan kemahiran mereka untuk membantu umat Yehuwa.—Kis. 20:35.

18, 19. Bagaimanakah penatua boleh menyediakan hati pelajarnya? Mengapakah hal ini penting?

18 Jadilah kawan, bukan sekadar seorang guru. Apabila Samuel berjumpa dengan Saul, Samuel boleh terus mengurapinya sebagai raja. Namun, Saul mungkin belum bersedia untuk memimpin umat Tuhan. Sebaliknya, Samuel mengambil masa untuk menyediakan hati Saul. Sebelum Samuel mengurapi Saul, mereka telah makan bersama, berjalan bersama, berbual-bual bersama, malah mereka ada masa untuk berehat. Samuel telah menunggu sehingga masa yang sesuai untuk mengurapi Saul.

Mulakan latihan dengan menjadi seorang kawan (Lihat perenggan 18, 19)

19 Begitu juga hari ini. Sebelum seorang guru mengajar pelajarnya, mereka harus menjadi kawan dahulu. Apakah langkah-langkah yang harus diambil? Hal ini bergantung pada keadaan dan budaya tempatan. Namun, tidak kira di mana anda tinggal, anda harus meluangkan masa bersama pelajar anda. Dengan demikian, pelajar akan tahu bahawa dia penting bagi anda. (Baca Roma 12:10.) Sudah tentu pelajar juga akan bersyukur atas perhatian dan bimbingan yang diterima.

20, 21. (a) Apakah sifat-sifat seorang guru yang baik? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Seorang guru yang baik biasanya suka mengajar orang. Namun dia juga harus mengasihi pelajarnya. (Bandingkan Yohanes 5:20.) Mengapa? Kerana apabila pelajar berasa bahawa gurunya mengambil berat tentangnya, dia akan lebih rela belajar. Maka para penatua, jangan sekadar menjadi guru kepada saudara lain, jadilah sahabat mereka juga.—Ams. 17:17; Yoh. 15:15.

21 Selepas menyediakan hati pelajar, seorang guru boleh mula mengajarnya. Apakah kaedah-kaedah yang bagus digunakan? Hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.

^ per. 3 Rencana ini dan rencana seterusnya ditujukan khasnya kepada para penatua. Namun maklumat di sini bermanfaat bagi semua. Mengapa? Kerana semua saudara perlu tahu bahawa mereka harus dilatih. Jika lebih banyak saudara dilatih untuk memikul tanggungjawab di sidang, setiap ahli sidang akan meraih manfaat.

^ per. 11 Para penatua ini tinggal di Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Bangladesh, Belgium, Brazil, Guiana Perancis, Jepun, Korea, Mexico, Namibia, Nigeria, Perancis, Réunion, dan Rusia.