Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Setia Menyokong Saudara Kristus

Setia Menyokong Saudara Kristus

“Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.”—MAT. 25:40.

1, 2. (a) Apakah perumpamaan yang diberitahu oleh Yesus kepada kawan karibnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang harus kita tahu mengenai perumpamaan biri-biri dan kambing?

YESUS memberitahu kawan karibnya Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes sesuatu yang menarik! Yesus bercakap tentang perumpamaan hamba yang setia dan bijaksana, 10 anak dara, dan talenta. Selepas itu, Yesus memberitahu mereka satu lagi perumpamaan. Dalam perumpamaan itu, dia menyebut tentang suatu jangka masa apabila “Anak manusia” akan menghakimi “semua bangsa.” Dia mengatakan “Anak manusia” akan mengasingkan orang kepada dua kumpulan. Satu kumpulan digambarkan sebagai biri-biri dan kumpulan yang satu lagi digambarkan sebagai kambing. Dia juga menyebut tentang satu lagi kumpulan penting, iaitu ‘saudara’ kepada Raja.—Baca Matius 25:31-46.

2 Seperti rasul-rasul Yesus, umat Yehuwa pada hari ini juga berminat terhadap perumpamaan ini yang melibatkan soal hidup mati orang. Yesus mengatakan sesetengah orang akan menerima hidup kekal tetapi yang lain akan dibinasakan. Itulah sebabnya kita harus memahami maksud perumpamaan ini dan  apa yang harus dilakukan untuk menerima kehidupan kekal. Dalam rencana ini, kita akan menjawab soalan-soalan berikut: Bagaimanakah Yehuwa membantu kita memahami perumpamaan ini? Bagaimanakah kita mengetahui bahawa perumpamaan ini menekankan kerja penyebaran? Siapakah yang harus menginjil? Mengapakah penting bagi kita untuk setia kepada “Raja” dan ‘saudaranya’ sekarang?

YEHUWA MEMBANTU KITA MEMAHAMI PERUMPAMAAN INI

3, 4. (a) Apakah yang perlu kita tahu supaya dapat memahami perumpamaan biri-biri dan kambing? (b) Pada tahun 1881, bagaimanakah majalah Watch Tower menjelaskan perumpamaan ini?

3 Untuk memahami perumpamaan tentang biri-biri dan kambing, kita perlu tahu: Siapakah “Anak manusia” atau “Raja,” biri-biri, kambing, dan ‘saudara’ Raja? Bilakah “Anak manusia” akan memisahkan atau menghakimi biri-biri dan kambing? Mengapakah sesetengah orang dianggap sebagai biri-biri, manakala yang lain dianggap sebagai kambing?

4 Pada tahun 1881, majalah Watch Tower menjelaskan bahawa “Anak manusia” atau “Raja” ialah Yesus. ‘Saudara’ Raja pula merujuk bukan sahaja kepada mereka yang akan memerintah di syurga bersama Yesus, tetapi juga manusia sempurna yang hidup di bumi firdaus. Majalah itu menjelaskan bahawa orang akan dipisahkan semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Mereka yang mencerminkan kasih Tuhan akan dianggap sebagai biri-biri.

5. Pada tahun 1923, apakah pemahaman kita mengenai perumpamaan ini?

5 Kemudian Yehuwa membantu umat-Nya untuk memahami perumpamaan ini dengan lebih jelas. Pada tahun 1923, majalah Watch Tower 15 Oktober menyatakan bahawa “Anak manusia” ialah Yesus. ‘Saudara’ Raja pula hanya merujuk kepada mereka yang memerintah bersama Yesus di syurga semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Biri-biri merujuk kepada orang yang hidup di bumi di bawah pemerintahan Yesus dan saudaranya. Jadi, bilakah pemisahan kambing dan biri-biri berlaku? Dalam perumpamaannya, Yesus menyatakan bahawa biri-biri akan membantu saudara Raja. Memandangkan saudara Yesus berada di syurga semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, orang di bumi tidak dapat memberikan bantuan kepada mereka pada masa itu. Jadi, pemisahan biri-biri dan kambing berlaku ketika saudara Yesus masih berada di bumi, iaitu sebelum Pemerintahan Seribu Tahun Kristus bermula. Majalah itu juga menyatakan bahawa orang yang percaya kepada Yesus dan berharap kepada Kerajaan Tuhan dianggap sebagai biri-biri.

6. Pada tahun 1995, apakah pemahaman kita yang lebih jelas mengenai perumpamaan ini?

6 Selama bertahun-tahun kita berfikir bahawa orang akan dihakimi berdasarkan sambutan mereka terhadap kerja penyebaran pada hari-hari terakhir. Jika mereka menerima mesej kita, mereka dianggap sebagai biri-biri, dan jika mereka menolak mesej kita, mereka dianggap sebagai kambing. Tetapi pada tahun 1995, pemahaman kita mengenai perumpamaan ini berubah. The Watchtower membandingkan ayat di Matius 24:29-31 (baca) dengan Matius 25:31, 32 (baca), dan menjelaskan bahawa Yesus akan menghakimi orang semasa kesengsaraan besar apabila dia “datang dalam kemuliaannya.” *

7. Apakah maksud perumpamaan biri-biri dan kambing?

 7 Hari ini kita dapat memahami perumpamaan biri-biri dan kambing dengan jelas. Kita tahu bahawa “Anak manusia” atau “Raja” ialah Yesus. ‘Saudara’ Raja ialah mereka yang diurapi daya aktif Tuhan yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. (Rm. 8:16, 17) “Biri-biri” dan “kambing” merujuk kepada orang daripada semua bangsa. Mereka akan dihakimi semasa penghujung kesengsaraan besar. Kita juga tahu bahawa Yesus akan menghakimi orang berdasarkan cara mereka memperlakukan kaum terurap di bumi. Kita tentu sangat bersyukur kerana Yehuwa membantu kita memahami perumpamaan yang terkandung dalam Matius bab 24 dan 25!

PERUMPAMAAN BIRI-BIRI DAN KAMBING MENEKANKAN KERJA PENYEBARAN

8, 9. Mengapakah Yesus merujuk kepada biri-biri sebagai orang yang “melakukan apa yang benar”?

8 Semasa memberikan perumpamaan mengenai biri-biri dan kambing, Yesus tidak menggunakan perkataan “kerja penyebaran” atau “menginjil.” Namun, bagaimanakah kita tahu bahawa perumpamaan ini menekankan kerja penyebaran?

9 Untuk mengetahui jawapannya, kita harus ingat bahawa Yesus sedang mengajar dengan menggunakan perumpamaan. Dia bukannya merujuk kepada biri-biri dan kambing yang sebenar. Begitu juga, dia tidak bermaksud bahawa semua orang yang dianggap sebagai biri-biri harus memberikan makanan dan pakaian kepada kaum terurap, serta menjaga mereka semasa mereka sakit atau di penjara. Sebaliknya, Yesus menjelaskan bahawa biri-biri ialah mereka yang “melakukan apa yang benar.” Mereka menganggap kaum terurap sebagai saudara Yesus dan tetap setia kepada kaum terurap semasa hari-hari terakhir.—Mat. 10:40-42; 25:40, 46; 2 Tim. 3:1-5.

10. Bagaimanakah biri-biri membantu kaum terurap?

10 Semasa Yesus memberikan perumpamaan mengenai biri-biri dan kambing, dia sedang bercakap tentang hari-hari terakhir. (Mat. 24:3) Contohnya, dia berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” (Mat. 24:14) Sebelum Yesus menceritakan perumpamaan mengenai biri-biri dan kambing, dia telah menceritakan perumpamaan talenta. Yesus menggunakan perumpamaan ini untuk mengingatkan kaum terurap bahawa mereka harus rajin menjalankan kerja penyebaran. Namun bilangan kaum terurap di bumi hari ini tinggal sedikit, dan ada banyak lagi kerja yang harus dilakukan! Kaum terurap perlu menginjil kepada “semua bangsa” sebelum akhir tiba. Seperti yang kita pelajari dalam perumpamaan tadi, “biri-biri” membantu kaum terurap. Salah satu cara penting mereka membantu saudara Yesus ialah melalui kerja penyebaran. Namun apakah bantuan yang boleh diberikan kepada kaum terurap? Adakah cukup untuk hanya mendermakan wang dan memberikan galakan kepada mereka?

SIAPAKAH YANG HARUS MENGINJIL?

11. Apakah soalan yang mungkin ditanya oleh sesetengah orang, dan mengapa?

11 Hari ini, terdapat lapan juta pengikut Yesus, dan kebanyakan daripada mereka tidak terurap. Yesus tidak memberikan talenta kepada mereka, tetapi kepada hamba yang terurap. (Mat. 25:14-18) Jadi sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, “Adakah pengikut Yesus yang tidak terurap juga  perlu menginjil?” Ya. Mari kita lihat sebabnya.

12. Apakah yang dapat dipelajari daripada kata-kata Yesus di Matius 28:19, 20?

12 Yesus memberikan perintah kepada semua pengikutnya untuk menginjil. Setelah Yesus dibangkitkan, dia memberitahu pengikutnya, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. . . . Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan.” Pengikut-pengikut Yesus harus mengikut segala perintahnya, termasuk perintah untuk menginjil. (Baca Matius 28:19, 20.) Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita semua harus menginjil, tidak kira kita mempunyai harapan untuk naik ke syurga atau tinggal di bumi.—Kis. 10:42.

13. Apakah yang dapat dipelajari daripada penglihatan Yohanes?

13 Dalam buku Wahyu, kita dapat mengetahui bahawa kerja penyebaran akan dilakukan oleh kaum terurap dan orang lain. Yesus telah memberi rasul Yohanes satu penglihatan tentang “pengantin perempuan” yang menjemput orang untuk meminum “air kehidupan.” Pengantin perempuan ini merujuk kepada 144,000 orang terurap yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. (Why. 14:1, 3; 22:17) Air kehidupan merujuk kepada segala yang dilakukan oleh Yehuwa melalui tebusan untuk membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. (Mat. 20:28; Yoh. 3:16; 1 Yoh. 4:9, 10) Kaum terurap bersemangat mengajar orang tentang tebusan dan manfaat daripada tebusan itu. (1 Kor. 1:23) Tetapi penglihatan itu juga menyebut tentang satu lagi kumpulan yang tidak terurap. Kumpulan ini mempunyai harapan untuk hidup di bumi. Mereka juga diperintahkan untuk berseru, “Marilah!” Mereka mentaati perintah itu dengan mengajar orang tentang berita baik. Jadi penglihatan ini menunjukkan  bahawa semua yang menerima berita baik harus menginjil kepada orang lain.

14. Bagaimanakah kita mentaati “hukum Kristus”?

14 Semua yang mentaati “hukum Kristus” harus menginjil. (Gal. 6:2) Yehuwa menginginkan semua penyembahnya untuk mentaati hukum yang sama. Pada masa dahulu, dia menginginkan umat Israel dan orang asing yang tinggal bersama mereka untuk mentaati hukum-hukum-Nya. (Kel. 12:49; Im. 24:22) Sememangnya, hari ini kita tidak perlu mentaati semua hukum yang diberikan oleh Yehuwa kepada umat Israel. Tetapi, tidak kira kita terurap atau tidak, kita mesti mentaati “hukum Kristus.” Salah satu sifat yang ditekankan oleh Yesus ialah kasih. (Yoh. 13:35; Yak. 2:8) Kita mesti mengasihi Yehuwa, Yesus, dan orang lain. Tiada cara lain yang lebih baik untuk menunjukkan kasih, melainkan menginjil mengenai Kerajaan Tuhan.—Yoh. 15:10; Kis. 1:8.

15. Bagaimanakah kita tahu bahawa perintah Yesus untuk menginjil ditujukan kepada semua pengikutnya?

15 Apa yang dikatakan oleh Yesus kepada beberapa orang pengikutnya juga ditujukan kepada pengikutnya yang lain. Contohnya, Yesus membuat perjanjian dengan 11 orang pengikutnya bahawa mereka akan memerintah bersamanya di syurga. Walaupun demikian, mereka yang memerintah bersama Yesus berjumlah 144,000 orang. (Luk. 22:29, 30; Why. 5:10; 7:4-8) Setelah Yesus dibangkitkan, hanya segelintir pengikutnya yang mendengar perintahnya untuk menginjil. (Kis. 10:40-42; 1 Kor. 15:6) Tetapi semua pengikut Yesus pada abad pertama mentaati perintah itu. (Kis. 8:4; 1 Ptr. 1:8) Pada hari ini juga, kita tahu bahawa kita mesti menginjil, walaupun kita tidak pernah mendengar suara Yesus yang menyuruh kita untuk melakukan kerja ini. Sebenarnya, terdapat kira-kira lapan juta orang yang sedang melakukan kerja menginjil ini. Melalui kerja penyebaran, kita menunjukkan bahawa kita benar-benar beriman terhadap Yesus.—Yak. 2:18.

SEKARANGLAH MASANYA UNTUK SETIA

16-18. Bagaimanakah kita boleh menyokong saudara Kristus, dan mengapakah kita harus melakukannya sekarang?

16 Syaitan sedang berjuang habis-habisan menentang saudara Kristus di bumi. Dia tahu bahawa “masanya tinggal sedikit.” (Why. 12:9, 12, 17) Walaupun ditentang oleh Syaitan, kaum terurap terus memajukan kerja penyebaran dan semakin ramai orang sedang mendengar berita baik. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Yesus sedang menyertai kaum terurap dan membimbing mereka.—Mat. 28:20.

17 Sememangnya suatu penghormatan bagi kita untuk membantu kaum terurap dalam kerja penyebaran. Kita juga menyokong mereka dengan memberikan sumbangan kewangan dan bekerja keras untuk membina Dewan Perjumpaan, Dewan Perhimpunan, dan pejabat cawangan. Apabila kita mentaati para penatua dan saudara lain yang dilantik oleh “hamba yang setia dan bijaksana,” kita menunjukkan bahawa kita ingin menyokong saudara Kristus.—Mat. 24:45-47; Ibr. 13:17.

Kita menyokong saudara Kristus dalam pelbagai cara (Lihat perenggan 17)

18 Tidak lama lagi, kaum terurap yang masih tinggal di bumi akan menerima meterai terakhir. Kemudian malaikat-malaikat akan melepaskan ‘empat angin bumi’ dan kesengsaraan besar akan bermula. (Why. 7:1-3) Sebelum Armagedon bermula, Yesus akan membawa kaum terurap ke syurga. (Mat. 13:41-43) Jadi jika kita ingin dianggap sebagai biri-biri apabila Yesus datang, sekaranglah masanya untuk menyokong saudara Kristus dengan setia.

^ per. 6 Untuk maklumat terperinci mengenai perumpamaan biri-biri dan kambing, sila lihat The Watchtower 15 Oktober 1995, muka surat 18-28.