Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

“Musim yang Berharga”

“Musim yang Berharga”

PADA tahun 1870, sekumpulan kecil orang di Pittsburgh (Allegheny), Pennsylvania, A.S., mula mengkaji Bible. Mereka dipimpin oleh Charles Taze Russell dan mereka mengkaji topik tentang tebusan Kristus. Mereka mendapati bahawa tebusan Kristus mempunyai peranan yang penting dalam kehendak Yehuwa. Mereka sangat gembira selepas mengetahui bahawa tebusan ini membawa penyelamatan kepada ramai orang, termasuk mereka yang belum mengenali Yesus! Jadi mereka tergerak untuk memperingati kematian Yesus setiap tahun.—1 Kor. 11:23-26.

Saudara Russell menerbitkan Zion’s Watch Tower, yang menyokong ajaran bahawa tebusan mencerminkan kasih Tuhan. Menurut majalah ini, Peringatan kematian Kristus merupakan “musim yang berharga.” Oleh itu, pembaca digalakkan untuk menyambut Peringatan di Pittsburgh atau di tempat lain. “Walaupun hanya ada dua atau tiga orang yang berpegang pada iman ini,” atau seorang sahaja, mereka akan “disertai oleh Tuan kita.”

Setiap tahun, semakin ramai orang menyambut Peringatan di Pittsburgh. “Anda sangat dialu-alukan.” Itulah yang tertulis pada jemputan Peringatan. Pelajar Bible sudi menyediakan tempat tinggal dan makanan untuk saudara saudari yang datang dari tempat lain. Pada tahun 1886, selepas hari Peringatan, “Mesyuarat Agung” diadakan selama beberapa hari. Majalah Watch Tower menggesa: “Datanglah dengan hati yang berlimpah dengan kasih terhadap Tuan kita, saudara saudarinya, dan kebenarannya.”

Carta untuk mengedarkan lambang-lambang peringatan di London Tabernacle

Selama beberapa tahun, Pelajar Bible di Pittsburgh mengadakan konvensyen bagi mereka yang datang menyambut Peringatan. Bilangan Pelajar Bible dan bilangan orang yang menyambut Peringatan di seluruh dunia semakin bertambah. Ray Bopp dari sidang Chicago terkenang Peringatan pada tahun 1910-an. Dia berkata bahawa beberapa jam diperlukan untuk mengedarkan lambang-lambang peringatan kepada ratusan hadirin kerana hampir semuanya makan dan minum lambang itu.

Apakah lambang yang digunakan? Walaupun Yesus menggunakan wain semasa Perjamuan Malam Tuan, buat suatu jangka masa majalah Watch Tower menyarankan agar jus anggur atau jus kismis digunakan. Hal ini adalah supaya mereka yang lemah tidak tergoda oleh alkohol. Namun, wain juga disediakan bagi mereka yang berasa bahawa hanya “anggur yang telah ditapai patut digunakan.” Kemudian, Pelajar Bible memahami bahawa hanya wain merah yang tulen sesuai menjadi lambang darah Yesus.

Kertas dan pensel diedarkan dari bilik ke bilik dalam sebuah penjara di Nicaragua untuk mencatatkan jumlah hadirin Peringatan

Peringatan memberi peluang untuk membuat  perenungan yang mendalam. Di sesetengah sidang, suasana Peringatan sangat suram. Selepas program berakhir, semua orang bersurai tanpa berkata apa-apa. Tetapi buku yang bertajuk Yehuwa, yang diterbitkan pada tahun 1934 menyatakan bahawa Peringatan harus disambut bukan “dengan kesedihan” atas kematian Yesus, tetapi “dengan sukacita” atas pemerintahannya sebagai Raja sejak tahun 1914.

Para saudara berkumpul di kem buruh di Mordvinia, Rusia untuk Peringatan pada tahun 1957

Pada tahun 1935, maksud “kumpulan besar manusia” dalam Wahyu 7:9 telah dijelaskan. Sebelum itu, umat Yehuwa berfikir bahawa kumpulan ini ialah orang Kristian yang kurang bersemangat. Tetapi kini, “kumpulan besar” dikenal pasti sebagai umat Yehuwa yang berpeluang untuk tinggal di bumi firdaus. Selepas penjelasan ini diberikan, Russell Poggensee memeriksa diri dan mengakui: “Sebenarnya, saya belum menerima harapan untuk naik ke syurga melalui daya aktif Yehuwa.” Saudara Poggensee dan banyak orang yang setia sepertinya berhenti makan dan minum lambang peringatan tetapi masih menghadiri Peringatan.

Semasa “musim yang berharga,” kempen menginjil yang istimewa diadakan untuk menunjukkan penghargaan terhadap tebusan Yesus. Pada tahun 1932, Bulletin menggesa semua orang Kristian untuk menginjil, dan bukan hanya menghadiri Peringatan dan perjumpaan. Pada tahun 1934, Bulletin menyeru: “Dapatkah kita mempunyai 1,000 orang perintis sokongan semasa musim Peringatan?” Mengenai orang terurap, Informant berkata: “Mereka hanya dapat bersukacita dengan sepenuhnya jika mereka memberikan kesaksian.” Begitu juga dengan mereka yang mempunyai harapan untuk tinggal di bumi. *

Semasa dikurung seorang diri, Harold King menulis sajak dan lagu tentang Peringatan

Malam Peringatan suci bagi umat Yehuwa. Walaupun dalam keadaan yang susah, mereka tetap menyambutnya. Pada tahun 1930, Pearl English dan kakaknya, Ora, berjalan sejauh 80 km untuk menghadiri Peringatan. Semasa dikurung seorang diri, seorang mubaligh bernama Harold King menulis sajak dan lagu tentang Peringatan. Dia menggunakan buah anggur hitam dan nasi untuk membuat lambang-lambang Peringatan. Di Eropah, Amerika Tengah dan Afrika, orang Kristian dengan berani memperingati kematian Yesus walaupun larangan telah ditetapkan atau peperangan sedang berlaku. Tidak kira di mana atau apa situasi kita, kita berkumpul bersama untuk memuliakan Yehuwa dan Yesus semasa musim Peringatan.

^ per. 10 Bulletin kemudiannya dipanggil sebagai Informant, kini dipanggil sebagai Our Kingdom Ministry (Kerja Teokratik Kita).