Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Meneladani Kerendahan Hati dan Belas Kasihan Yesus

Meneladani Kerendahan Hati dan Belas Kasihan Yesus

“Kristus sendiri menderita bagi kamu, dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.”—1 PTR. 2:21.

1. Mengapakah kita dapat mendekati Yehuwa dengan meniru teladan Yesus?

KITA biasanya meneladani orang yang kita suka. Antara manusia yang pernah hidup, Yesus telah menetapkan teladan yang terbaik. Yesus pernah berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yoh. 14:9) Yesus meniru teladan Bapanya dengan sempurna. Apabila kita belajar tentang Yesus, kita juga sedang belajar tentang Yehuwa. Maka semasa meniru teladan Yesus, kita sedang mendekati Yehuwa, Individu yang teragung di alam semesta. Bukankah ini suatu penghormatan yang istimewa?

2, 3. (a) Mengapakah Yehuwa memberikan penerangan yang terperinci mengenai kehidupan Yesus, dan apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini dan yang seterusnya?

2 Yehuwa memberikan penerangan yang terperinci mengenai kehidupan Yesus di dalam Bible. Mengapa? Kerana Dia ingin kita mengenali dan meneladani Yesus. (Baca 1 Petrus 2:21.) Bible menyamakan teladan Yesus dengan jejak kaki.  Apakah maksudnya? Yehuwa ingin kita mengikut jejak kaki anak-Nya, iaitu meniru segala yang dilakukan Yesus. Walaupun begitu, Yehuwa tahu kita tidak dapat meneladani Yesus dengan sempurna. Namun, Dia ingin kita meneladani Yesus dengan sedaya upaya.

3 Mari kita kaji beberapa sifat baik Yesus. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan kerendahan hati dan belas kasihan Yesus. Rencana seterusnya akan menerangkan keberanian dan daya penilaian Yesus. Kita juga akan memeriksa tiga soalan berikut mengenai setiap sifat itu: Apakah maksudnya? Bagaimanakah Yesus menunjukkannya? Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Yesus?

YESUS RENDAH HATI

4. Apakah maksudnya untuk menjadi rendah hati?

4 Apakah itu kerendahan hati? Orang sombong menganggap sifat rendah hati sebagai tanda kelemahan atau kurang keyakinan. Namun adakah hal itu benar? Sebenarnya, kita perlu berani untuk memupuk sifat rendah hati. Kerendahan hati berlawanan dengan kesombongan dan keangkuhan. Jika kita ingin menjadi rendah hati, kita memerlukan pandangan yang betul mengenai diri sendiri. Sebuah kamus Bible mengatakan bahawa orang yang rendah hati sedar bahawa mereka sangat kecil berbanding dengan Tuhan. Tambahan lagi, kita tidak akan menganggap diri kita lebih baik daripada orang lain. (Rm. 12:3) Memang tidak senang bagi manusia yang tidak sempurna untuk menunjukkan sifat ini. Namun kita dapat menjadi rendah hati jika kita merenungkan keagungan Yehuwa dan meniru teladan Yesus.

5, 6. (a) Siapakah ketua malaikat Mikhael? (b) Bagaimanakah Mikhael menunjukkan sikap rendah hati?

5 Bagaimanakah Yesus menunjukkan kerendahan hati? Sebagai malaikat yang berkuasa di syurga ataupun sebagai manusia yang sempurna di bumi, Anak Tuhan sentiasa rendah hati. Mari kita lihat beberapa contoh.

6 Sikapnya. Dalam buku Yudas, kita belajar tentang kehidupan Yesus sebelum dia datang ke bumi. (Baca Yudas 9.) Sebagai ketua malaikat yang bernama Mikhael, Yesus “bertikai dengan Iblis tentang mayat Musa.” Selepas Musa mati, Yehuwa telah mengebumikan mayat Musa di tempat yang tidak diketahui manusia. (Ul. 34:5, 6) Si Iblis mungkin ingin menggoda umat Israel supaya menggunakan mayat Musa untuk ibadat palsu. Kita tidak tahu niat sebenar Si Iblis, tetapi Mikhael telah melarangnya dengan berani. Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa dalam bahasa Yunani, perkataan “bertikai” juga digunakan semasa “perbicaraan mahkamah,” dan mungkin menjelaskan bahawa “Mikhael ‘mencabar hak Si Iblis’ untuk mengambil mayat Musa.” Namun demikian, ketua malaikat ini tahu bahawa kuasanya terhad. Jadi dia membiarkan Yehuwa, Hakim Yang Agung, untuk menghakimi Syaitan. Betapa rendah hatinya Yesus!

7. Bagaimanakah Yesus menunjukkan sifat rendah hati melalui pertuturan dan perbuatannya?

7 Semasa di bumi, Yesus menunjukkan sifat rendah hati melalui pertuturan dan perbuatannya. Pertuturannya. Yesus tidak pernah mengarahkan perhatian kepada dirinya sendiri. Sebaliknya, dia ingin agar segala kemuliaan diberikan kepada Bapanya sahaja. (Mrk. 10:17, 18; Yoh. 7:16) Semasa bercakap, dia tidak pernah memandang  rendah terhadap para pengikutnya. Sebaliknya, dia menghormati dan mempercayai mereka dengan memuji sifat baik mereka. (Luk. 22:31, 32; Yoh. 1:47) Perbuatannya. Yesus memilih untuk hidup sederhana tanpa banyak harta benda. (Mat. 8:20) Dia rela membuat kerja yang nampaknya bertaraf rendah. (Yoh. 13:3-15) Dia juga menunjukkan kerendahan hati yang sempurna melalui kepatuhannya. (Baca Filipi 2:5-8.) Tidak seperti orang sombong yang enggan mematuhi orang lain, Yesus dengan rendah hati mematuhi segala arahan Yehuwa, bahkan “sampai mati.” Jelaslah bahawa Yesus sangat “rendah hati.”—Mat. 11:29.

MENELADANI KERENDAHAN HATI YESUS

8, 9. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kerendahan hati?

8 Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Yesus? Sikap kita. Jika kita rendah hati, kita tahu batas-batas kita. Maka kita tahu bahawa kita tidak berhak untuk menghakimi orang lain. Kita tidak akan mengkritik atau menganggap bahawa mereka berniat jahat. (Luk. 6:37; Yak. 4:12) Kerendahan hati juga membantu kita untuk tidak menganggap diri “terlalu baik.” Maksudnya kita tidak menganggap diri lebih baik daripada orang lain yang tidak mempunyai kebolehan atau peluang istimewa seperti kita. (Pkh. 7:16) Para penatua yang rendah hati tidak berfikir bahawa mereka lebih baik daripada saudara saudari lain. Sebaliknya, para gembala yang pengasih ini menganggap “orang lain lebih baik” daripada diri mereka.—Flp. 2:3; Luk. 9:48.

9 Fikirkan tentang W. J. Thorn yang berkhidmat sebagai penyelia lawatan sejak tahun 1894. Selepas bertahun-tahun berkhidmat sebagai penyelia lawatan, dia ditugaskan untuk memelihara ayam di Kingdom Farm, New York. Apabila dia berasa bahawa dia sepatutnya melakukan tugas yang lebih penting, Saudara Thorn berkata kepada dirinya sendiri, “Kamu hanyalah sebutir debu. Apa yang mahu dibanggakan?” (Baca Yesaya 40:12-15.) Dia memang satu contoh yang baik dalam menunjukkan kerendahan hati!

10. Bagaimanakah kita menunjukkan kerendahan hati melalui pertuturan dan perbuatan kita?

10 Pertuturan kita. Kerendahan hati dapat dilihat melalui pertuturan kita. (Luk. 6:45) Semasa bercakap, kita tidak akan bertumpu kepada peluang istimewa dan pencapaian kita. (Ams. 27:2) Sebaliknya, kita akan memuji saudara saudari atas perkara baik yang mereka lakukan dan bertumpu kepada sifat baik dan kebolehan mereka. (Ams. 15:23) Perbuatan kita. Orang Kristian tidak mengejar kemasyhuran atau kedudukan yang tinggi di dunia. Tetapi mereka hidup sederhana dan melakukan kerja yang sederhana supaya dapat menyembah Yehuwa dengan sebaik yang mungkin. (1 Tim. 6:6, 8) Yang paling penting, kita menunjukkan kerendahan hati melalui kepatuhan kita. Kita perlu rendah hati supaya dapat mematuhi “mereka yang mengambil pimpinan” di sidang dan mengikut arahan daripada organisasi Yehuwa.—Ibr. 13:17.

YESUS BERBELAS KASIHAN

11. Apakah maksud belas kasihan?

11 Belas kasihan ialah sebahagian daripada kasih. Bible mengatakan bahawa Yehuwa dan Yesus menunjukkan kasih dan belas kasihan yang mendalam. (Luk. 1:78; 2 Kor. 1:3; Flp. 1:8) Sebuah buku rujukan menyatakan bahawa belas kasihan bukan  hanya merangkumi perasaan kasihan terhadap orang yang memerlukan bantuan. Tetapi bermaksud “mengambil berat sehingga tergerak untuk membantu mereka” dan melakukan sesuatu untuk membaiki hidup mereka.

12. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia ada perasaan belas kasihan? Belas kasihan telah menggerakkannya untuk melakukan apa?

12 Bagaimanakah Yesus menunjukkan belas kasihan? Perasaan dan perbuatannya. Semasa Yesus nampak Maria menangis kerana Lazarus sudah meninggal, dia turut menangis dengannya. (Baca Yohanes 11:32-35.) Belas kasihan telah mendorong Yesus untuk membangkitkan Lazarus dan anak lelaki seorang balu di kota Nain. (Luk. 7:11-15; Yoh. 11:38-44) Oleh itu, Lazarus berpeluang naik ke syurga. Sebelum peristiwa itu, sekumpulan orang telah datang kepada Yesus. Dia “berasa kasihan terhadap mereka” lalu “mengajarkan banyak perkara kepada mereka.” (Mrk. 6:34) Bagi mereka yang mengikut ajaran Yesus, kehidupan mereka menjadi lebih baik. Belas kasihan Yesus bukan sekadar perasaan sahaja. Belas kasihan telah menggerakkannya untuk membantu orang.—Mat. 15:32-38; 20:29-34; Mrk. 1:40-42.

13. Bagaimanakah Yesus menggunakan kata-kata yang lembut ketika bercakap? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

13 Kata-katanya yang berbelas kasihan. Belas kasihan mendorong Yesus untuk menggunakan kata-kata yang lembut semasa bercakap, terutamanya kepada mereka yang ditindas. Mengenai Yesus, Matius mengutip kata-kata Yesaya dengan berkata, “Dia tidak akan mematahkan buluh halus yang terkulai, ataupun memadamkan pelita yang kelap-kelip.” (Yes. 42:3; Mat. 12:20) Apakah maksudnya? Yesus tidak menindas orang lain. Sebaliknya, dia menggunakan kata-kata yang menyegarkan. Berita baik yang disampaikannya telah “memulihkan orang yang hancur hati.” (Yes. 61:1) Dia juga menjemput orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat” untuk datang kepadanya supaya mereka dapat “pulih segar.” (Mat. 11:28-30) Dia berjanji kepada para pengikutnya bahawa Tuhan mengambil berat terhadap setiap orang penyembah-Nya, termasuk mereka yang “bagaikan anak kecil,” iaitu yang dipandang rendah oleh mata dunia.—Mat. 18:12-14; Luk. 12:6, 7.

MENELADANI YESUS YANG BERBELAS KASIHAN

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan kepada orang lain?

14 Bagaimanakah kita dapat meneladani belas kasihan Yesus? Perasaan belas kasihan kita. Bible menggalakkan kita untuk “berbelas kasihan” walaupun hal ini tidak biasa bagi kita. Perasaan ini ialah sebahagian daripada “keperibadian baru” yang harus dipupuk oleh orang Kristian. (Baca Kolose 3:9, 10, 12.) Bagaimanakah anda boleh menunjukkannya? Bible berkata: “Bukalah hati kamu lebar-lebar.” (2 Kor. 6:11-13) Semasa seseorang meluahkan perasaan dan kekhuatirannya, dengarlah dengan teliti. (Yak. 1:19) Tanyalah diri: “Jika saya menghadapi situasi yang sama, apakah perasaan saya? Apakah yang saya perlukan?”—1 Ptr. 3:8.

15. Apakah yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka yang menderita?

15 Perbuatan kita yang berbelas kasihan. Belas kasihan mendorong kita untuk membantu orang, terutamanya mereka yang menderita. Apakah yang boleh kita lakukan? Roma 12:15 berkata: “Menangislah bersama orang yang menangis.” Biasanya, orang lebih memerlukan belas kasihan,  dan bukannya jalan penyelesaian bagi masalah mereka. Mereka memerlukan kawan yang mengambil berat dan mendengar isi hati mereka. Selepas anak perempuan seorang saudari meninggal, saudara saudari lain telah melegakan hatinya. Dia berkata, “Saya sangat menghargai kawan-kawan yang datang dan menangis bersama saya.” Kita juga boleh memberikan bantuan praktikal. Mungkinkah seorang balu memerlukan bantuan untuk membaiki rumahnya? Mungkinkah rakan seiman yang berusia memerlukan bantuan untuk pergi ke perjumpaan, aktiviti penyebaran, atau berjumpa dengan doktor? Perbuatan kecil sebegini mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan seseorang. (1 Yoh. 3:17, 18) Yang paling penting, kita menunjukkan belas kasihan dengan menyebarkan berita baik. Inilah cara yang terbaik untuk membantu orang!

Adakah anda benar-benar mengambil berat terhadap saudara saudari anda? (Lihat perenggan 15)

16. Bagaimanakah kata-kata kita dapat menggalakkan mereka yang tawar hati?

16 Kata-kata kita yang berbelas kasihan. Perasaan belas kasihan mendorong kita untuk “mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung.” (1 Tes. 5:14) Bagaimanakah kata-kata kita dapat menggalakkan mereka? Kita boleh memberitahu mereka bahawa kita mengambil berat tentang mereka. Kita boleh memuji dan membantu mereka untuk berpandangan positif terhadap sifat dan kebolehan mereka. Kita boleh mengingatkan mereka bahawa Yehuwa telah membantu mereka menemui kebenaran dan mereka sangat berharga di mata-Nya. (Yoh. 6:44) Kita boleh meyakinkan mereka bahawa Yehuwa sangat prihatin terhadap hamba-Nya yang “tawar hati” dan “putus asa.” (Mzm. 34:19) Kata-kata kita yang berbelas kasihan dapat menyegarkan mereka.—Ams. 16:24.

17, 18. (a) Bagaimanakah Yehuwa ingin para penatua memperlakukan biri-biri-Nya? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Para penatua, Yehuwa berharap bahawa anda memperlakukan biri-biri-Nya dengan belas kasihan. (Kis. 20:28, 29) Ingatlah bahawa anda bertanggungjawab untuk mengajar, menggalakkan, dan menyegarkan biri-biri-Nya. (Yes. 32:1, 2; 1 Ptr. 5:2-4) Jadi seorang penatua yang berbelas kasihan tidak akan mengawal saudara saudari dengan menetapkan banyak peraturan. Jika ahli sidang tidak mampu melakukan sesuatu, penatua tidak akan memaksa mereka dengan menyebabkan mereka berasa bersalah. Sebaliknya, penatua ingin saudara saudari benar-benar bersukacita. Penatua percaya bahawa ahli sidang mengasihi Yehuwa dan terdorong untuk memberikan yang terbaik kepada-Nya.—Mat. 22:37.

18 Selepas merenungkan kerendahan hati dan belas kasihan Yesus, kita tentu tergerak untuk mengikut jejaknya. Rencana seterusnya akan membincangkan cara kita dapat meneladani keberanian dan daya penilaian Yesus.