Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Bersyukurlah kepada Yehuwa dan Diberkati

Bersyukurlah kepada Yehuwa dan Diberkati

‘Bersyukurlah kepada Yehuwa, kerana Dia baik.’MZM. 106:1.

1. Mengapakah kita bersyukur kepada Yehuwa?

YEHUWA ialah Pemberi “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna.” (Yak. 1:17) Dia ialah Gembala pengasih yang mengambil berat tentang kita. (Mzm. 23:1-3) Maka, kita pasti bersyukur kerana Yehuwa merupakan “perlindungan dan kekuatan kita” terutamanya apabila kita menghadapi masalah. (Mzm. 46:2) Sudah pasti kita berasa seperti pemazmur yang berkata, ‘Bersyukurlah kepada Yehuwa, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi.’—Mzm. 106:1.

Ayat tahunan 2015: ‘Bersyukurlah kepada Yehuwa, kerana Dia baik.’—Mazmur 106:1

2, 3. (a) Mengapakah berbahaya jika kita mempunyai perasaan tidak bersyukur? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Mengapakah kita harus bersyukur kepada Yehuwa? Sekarang kita hidup pada hari-hari terakhir, dan ramai orang “tidak tahu berterima kasih.” (2 Tim. 3:2) Ramai tidak menghargai perkara-perkara baik yang dilakukan oleh Yehuwa. Kita hidup dalam dunia yang mementingkan kebendaan. Orang digalakkan untuk membeli lebih daripada apa yang diperlukan. Hasilnya ramai tidak puas hati dengan apa yang dimiliki oleh mereka.  Kita mungkin menjadi seperti orang Israel kuno yang tidak menghargai berkat Yehuwa dan rela menggadaikan hubungan baik dengan-Nya.—Mzm. 106:7, 11-13.

3 Fikirkan juga apa yang mungkin terjadi ketika kita menghadapi masalah. Kita mungkin menjadi sangat risau akan masalah kita sehingga terlupa akan berkat-berkat kita. (Mzm. 116:3) Bagaimanakah kita boleh tetap bersyukur? Bagaimanakah kita dapat bersikap positif ketika menghadapi cubaan? Marilah kita lihat jawapannya.

‘ENGKAU TELAH MELAKUKAN BANYAK PERKARA, YA YEHUWA’

4. Bagaimanakah kita dapat mengekalkan perasaan syukur kepada Yehuwa?

4 Kita perlu berusaha untuk mengekalkan perasaan syukur kepada Yehuwa. Pertama, kita perlu berfikir tentang bagaimana Yehuwa memberkati kita. Kemudian kita perlu merenungkan bagaimana berkat-berkat ini menunjukkan kasih Tuhan. Semasa pemazmur melakukan hal ini, dia berasa kagum atas segala perkara menakjubkan yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuknya.—Baca Mazmur 40:6; 107:43.

5. Apakah yang boleh kita pelajari daripada Paulus tentang perasaan syukur?

5 Kita boleh belajar daripada teladan baik Paulus. Dia merenungkan berkat-berkat yang diterima dan selalu mengucapkan terima kasih kepada Tuhan dalam doa. Paulus sedar bahawa dahulu dia telah “menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab.” Walaupun begitu, Tuhan dan Yesus memaafkannya dan memberinya peluang untuk menginjil kepada orang lain. Paulus tentu sangat bersyukur atas hal ini. (Baca 1 Timotius 1:12-14.) Paulus juga amat menghargai saudara saudari Kristian dan selalu bersyukur kepada Yehuwa atas sifat baik dan khidmat mereka. (Flp. 1:3-5, 7; 1 Tes. 1:2, 3) Ketika dia menghadapi situasi yang sukar, dia bersyukur kepada Yehuwa atas bantuan daripada saudara saudari rohaninya. (Kis. 28:15; 2 Kor. 7:5-7) Maka, tidak hairanlah Paulus menggalakkan orang Kristian dengan berkata, ‘Tunjukkanlah kesyukuran kamu, galakkan satu sama lain dengan mazmur, puji-pujian kepada Tuhan, dan lagu rohani yang dinyanyikan dengan perasaan syukur.’—Kol. 3:15-17.

RENUNGAN DAN DOA MEMBANTU KITA MENGEKALKAN KESYUKURAN

6. Mengapakah anda bersyukur kepada Yehuwa?

6 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus? Kita boleh merenungkan berkat Yehuwa dalam kehidupan kita. (Mzm. 116:12) Jika anda ditanya, “Apakah berkat daripada Yehuwa yang anda hargai?” Apakah jawapan anda? Adakah anda akan menjawab bahawa anda menghargai hubungan baik dengan Yehuwa? Atau pengampunan dosa yang diterima kerana korban tebusan Yesus? Adakah anda menghargai bantuan daripada saudara saudari semasa menghadapi cubaan? Adakah anda menghargai pasangan dan anak-anak anda? Luangkanlah masa untuk merenungkan bagaimana Tuhan memberkati anda. Hal ini akan menggerakkan anda untuk mengucapkan syukur kepada-Nya setiap hari.—Baca Mazmur 92:2, 3.

7. (a) Mengapakah kita harus bersyukur kepada Yehuwa dalam doa? (b) Apakah manfaatnya jika kita mengucapkan syukur kepada Yehuwa dalam doa?

7 Apabila kita merenungkan semua berkat yang diterima, kita tergerak untuk bersyukur kepada Yehuwa dalam doa. (Mzm. 95:2; 100:4, 5) Kebanyakan orang berdoa hanya untuk meminta sesuatu daripada  Tuhan. Tetapi kita mengucapkan syukur kepada Yehuwa atas apa yang kita miliki. Hal ini akan menyenangkan hati-Nya. Bible mengandungi banyak contoh hamba Tuhan, seperti Hana dan Hizkia, yang mengucapkan syukur kepada Yehuwa melalui doa. (1 Sam. 2:1-10; Yes. 38:9-20) Jadi, tirulah teladan mereka dan bersyukurlah kepada Yehuwa atas berkat yang diterima. (1 Tes. 5:17, 18) Dengan demikian, anda akan disegarkan, kasih anda kepada Tuhan akan bertambah, dan anda akan tetap menjadi sahabat-Nya.—Yak. 4:8.

Apakah berkat daripada Yehuwa yang anda hargai? (Lihat perenggan 6, 7)

8. Apakah yang dapat membuat kita kehilangan rasa syukur?

8 Jika kita tidak berhati-hati, kita akan kehilangan rasa syukur atas pemberian Yehuwa. Hal ini adalah kerana kita tidak sempurna dan mewarisi sikap buruk Adam dan Hawa. Yehuwa telah memberi mereka sebuah firdaus dan memastikan mereka tidak berkekurangan. Mereka boleh hidup dengan aman damai. (Kej. 1:28) Tetapi mereka tidak menghargai berkat yang diterima. Mereka tamak dan akhirnya mereka kehilangan segala-galanya. (Kej. 3:6, 7, 17-19) Kita dikelilingi oleh orang yang tidak berterima kasih. Kita juga mungkin menjadi seperti mereka dan tidak menghargai segala yang dilakukan oleh Yehuwa untuk kita. Pada mulanya, kita mungkin kurang mementingkan hubungan dengan Yehuwa. Kita juga mungkin tidak menghargai persaudaraan Kristian sedunia. Akhirnya, perhatian kita lebih tertumpu kepada perkara-perkara di dunia. (1 Yoh. 2:15-17) Untuk mengelakkan jerat ini, kita perlu merenungkan berkat-berkat yang diterima dan selalu mengucapkan syukur kepada Tuhan atas penghormatan untuk menjadi umat-Nya.—Baca Mazmur 27:4.

SEMASA MENANGANI CUBAAN

9. Ketika menghadapi cubaan, mengapakah kita perlu merenungkan berkat-berkat yang diterima?

9 Rasa syukur dapat membantu kita untuk bertahan ketika menghadapi cubaan. Kita mungkin berasa tertekan apabila situasi buruk berlaku secara tiba-tiba. Contohnya, kecurangan dalam perkahwinan, penyakit yang serius, kematian orang tersayang, atau bencana alam. Merenung tentang berkat Yehuwa akan melegakan dan menguatkan kita untuk bertahan. Perhatikan pengalaman yang berikut.

10. Apakah manfaat yang diraih oleh Irina dengan merenungkan berkat yang diterima?

 10 Irina * ialah seorang perintis biasa di Amerika Syarikat yang mengahwini seorang penatua. Kemudian suaminya berlaku curang dan meninggalkannya serta anak-anaknya. Apakah yang membantu Irina untuk tetap setia kepada Yehuwa? Dia berkata, “Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana menjaga saya secara peribadi. Dengan memikirkan berkat Yehuwa setiap hari, saya berasa bangga kerana dikenali dan dikasihi oleh-Nya. Saya tahu Dia tidak akan meninggalkan saya.” Walaupun kehidupan Irina penuh dengan tragedi, dia bersikap positif. Oleh itu, dia dapat mengatasi cabaran yang dihadapi dan menggalakkan orang lain.

11. Apakah yang membantu Kyung-sook untuk menghadapi penyakit yang serius?

11 Kyung-sook dari Asia telah merintis bersama suaminya selama lebih daripada 20 tahun. Tiba-tiba dia menghidapi kanser paru-paru yang serius. Dia diberitahu bahawa dia dapat hidup selama tiga hingga enam bulan. Walaupun dia dan suaminya menghadapi banyak cubaan sebelum itu, kesihatan mereka sentiasa baik. Dia berkata, “Masalah kesihatan ini bagaikan suatu tamparan yang hebat. Saya berasa bahawa saya kehilangan segala-galanya. Saya sangat takut.” Apakah yang membantu Kyung-sook? Dia berkata, “Setiap malam sebelum saya tidur, saya pergi ke tingkat atas rumah kami untuk berdoa. Di sana saya bersyukur kepada Yehuwa atas lima perkara baik yang saya alami hari itu. Setelah itu, saya berasa lega dan tergerak untuk meluahkan perasaan kasih kepada Yehuwa.” Apakah manfaat yang Kyung-sook dapat daripada doanya? Dia berkata, “Saya sedar bahawa Yehuwa menguatkan kita semasa cubaan. Berkat yang kita terima jauh lebih banyak daripada cubaan yang dihadapi.”

Bersama adiknya yang terselamat, John (Lihat perenggan 13)

12. Bagaimanakah Jason mendapatkan kelegaan hati selepas kehilangan isterinya?

12 Jason yang bekerja di pejabat cawangan Afrika telah berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa selama lebih daripada 30 tahun. Dia berkata, “Tujuh tahun yang lalu, isteri saya meninggal, dan perasaan pilu itu sangat menyakitkan. Apabila terfikir kembali tentang keadaannya semasa dia menghidapi kanser, saya berasa sangat sedih.” Apakah yang membawa kelegaan kepada Jason? Dia berkata, “Pada suatu ketika, saya teringat kembali masa-masa gembira bersama isteri, dan saya sangat berterima kasih kepada Yehuwa atas kenangan itu. Selepas itu, saya berasa lega. Maka saya selalu mengucapkan doa syukur kepada Yehuwa atas kenangan-kenangan manis seperti itu. Sikap bersyukur telah mengubah pandangan saya. Walaupun saya sedih kerana kehilangan isteri, saya bersyukur kepada Yehuwa kerana telah mempunyai perkahwinan yang bahagia. Saya juga bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa bersama isteri yang sangat menyayangi-Nya.”

“Saya bersyukur kerana Yehuwa ialah Tuhan saya.”—Sheryl

13. Apakah yang membantu Sheryl untuk menghadapi tragedi yang dialaminya?

13 Apabila ribut taufan Haiyan melanda Filipina pada tahun 2013, Sheryl, yang berumur 13 tahun pada masa itu telah kehilangan hampir semuanya. “Saya kehilangan rumah serta hampir semua ahli keluarga saya,” katanya. Ibu bapanya serta tiga adik-beradiknya terkorban apabila ombak kuat terhempas di sana. Apakah yang membantu Sheryl untuk menghadapi tragedi ini? Dia bersyukur kepada Yehuwa kerana dia  berfikir tentang semua berkat yang diterimanya. Dia berkata, “Saya lihat saudara saudari membawa bekalan dan menggalakkan mangsa bencana. Saya juga tahu bahawa saudara saudari di serata dunia berdoa untuk saya.” Dia menambah lagi, “Saya bersyukur kerana Yehuwa ialah Tuhan saya. Dia selalu menyediakan apa yang kita perlukan.” Ya, apabila kita bersyukur atas berkat yang diterima, kita tidak akan berasa tawar hati. Perasaan bersyukur akan membantu kita menghadapi apa jua penderitaan yang mungkin dialami.—Ef. 5:20; baca Filipi 4:6, 7.

‘AKU AKAN BERSUKACITA KERANA YEHUWA’

14. Apakah harapan baik yang kita nanti-nantikan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

14 Sepanjang sejarah, umat Tuhan bersyukur atas berkat Yehuwa. Selepas mereka diselamatkan daripada tentera Mesir di Laut Merah, orang Israel menyanyikan pujian kepada Yehuwa. (Kel. 15:1-21) Hari ini, kita diberkati kerana mengetahui bahawa penderitaan akan berakhir tidak lama lagi. (Mzm. 37:9-11; Yes. 25:8; 33:24) Bayangkanlah perasaan kita apabila Yehuwa menghapuskan semua musuh-Nya dan membawa kita ke dunia baru yang penuh dengan keamanan dan keadilan. Pada hari itu, sudah pasti kita akan sangat bersyukur kepada Tuhan!—Why. 20:1-3; 21:3, 4.

15. Apakah tekad anda sepanjang tahun 2015?

15 Pada tahun 2015, kita menantikan banyak lagi berkat daripada Yehuwa. Kita mungkin menghadapi penderitaan. Namun kita berasa yakin bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan kita. (Ul. 31:8; Mzm. 9:9, 10) Dia akan tetap membantu kita untuk menyembah-Nya dengan setia. Marilah kita bertekad untuk menjadi seperti nabi Habakuk yang berkata, ‘Walaupun pokok ara tidak berbunga, dan pokok anggur tidak berbuah, walaupun hasil pokok zaitun menyedihkan, dan ladang gandum mengecewakan, walaupun domba mati semuanya, dan kandang lembu kosong belaka, aku akan bersukacita dan bergembira selalu, kerana Engkau Tuhan Yehuwa yang menyelamatkan aku.’ (Hab. 3:17, 18) Sepanjang tahun ini, marilah kita berusaha untuk merenungkan segala berkat yang diterima dan mengikut nasihat ayat tahunan 2015: ‘Bersyukurlah kepada Yehuwa, kerana Dia baik.’—Mzm. 106:1.

^ per. 10 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.