Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Mengapa Kita Mesti Suci

Mengapa Kita Mesti Suci

“Hendaklah kamu suci.”IM. 11:45.

1. Buku Imamat membantu kita untuk mengetahui apa?

YEHUWA menghendaki semua penyembah-Nya untuk tetap suci. Dalam Bible, buku Imamat paling kerap menyebut tentang kesucian. Dengan memahami dan membina penghargaan terhadap buku Imamat, kita dapat mengetahui cara untuk hidup suci.

2. Apakah yang boleh didapati dalam buku Imamat?

2 Buku Imamat, yang ditulis oleh Musa, adalah sebahagian daripada “semua yang tertulis di dalam Alkitab,” dan “berguna untuk mengajar.” (2 Tim. 3:16) Dalam bahasa asal, nama Yehuwa muncul hampir 10 kali dalam setiap bab buku ini. Isi-isi dalam buku Imamat menguatkan tekad kita untuk menjauhi apa-apa yang dapat memburukkan nama Tuhan. (Im. 22:32) Frasa ‘Akulah Yehuwa,’ yang muncul berkali-kali dalam buku ini, harus mengingatkan kita untuk taat kepada Yehuwa. Dalam rencana ini dan yang berikut, kita akan menemui banyak harta rohani dalam buku Imamat. Hal ini akan membantu kita tetap suci dalam ibadat kita.

 KITA HARUSLAH SUCI

3, 4. Apakah yang diwakili oleh upacara pembasuhan Harun dan anak-anaknya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Baca Imamat 8:5, 6. Yehuwa melantik Harun sebagai imam agung, dan anak-anak lelakinya sebagai imam bangsa Israel. Harun mewakili Yesus, dan anak-anak Harun pula mewakili orang Kristian terurap. Apakah yang diwakili oleh upacara pembasuhan Harun? Adakah Yesus juga perlu mengalami upacara pembasuhan? Tidak, kerana “tidak terdapat kesalahan ataupun dosa” pada Yesus. (Ibr. 7:26; 9:14) Namun, selepas Harun mengalami upacara pembasuhan, barulah dia mewakili Yesus yang bersih dan tidak bercela. Apakah pula yang dilambangkan oleh upacara pembasuhan anak-anak Harun?

4 Upacara tersebut melambangkan penyucian orang yang dilantik sebagai imam di syurga. Adakah penyucian ini berlaku semasa mereka dibaptis? Tidak, kerana pembaptisan tidak bermakna dosa seseorang sudah dibersihkan. Sebaliknya, pembaptisan melambangkan pembaktian seseorang kepada Tuhan. Kaum terurap disucikan ‘dengan firman Tuhan.’ Maksudnya, mereka perlu menerapkan Firman Tuhan dalam kehidupan mereka dengan sepenuhnya. (Ef. 5:25-27) Dengan itu, mereka menjadi suci dan bersih. Bagaimana pula dengan “domba-domba lain”?—Yoh. 10:16.

5. Bagaimanakah domba-domba lain juga menjadi suci melalui Firman Tuhan?

5 Anak-anak Harun tidak mewakili domba-domba lain. (Why. 7:9) Walaupun begitu, domba-domba lain juga menjadi suci melalui Firman Tuhan. Hal ini adalah kerana mereka beriman kepada korban tebusan Yesus dan didorong untuk menyembah Yehuwa “siang malam.” (Why. 7:13-15) Penyucian kaum terurap dan domba-domba lain berlaku secara berterusan. Oleh itu, mereka memastikan tingkah laku mereka tetap bersih. (1 Ptr. 2:12) Yehuwa gembira melihat umat-Nya suci dan bersatu padu. Mereka juga taat setia kepada Gembala mereka, iaitu Yesus.

6. Mengapakah kita perlu selalu memeriksa diri?

6 Apakah kaitan antara imam bangsa Israel yang bersih dengan kita hari ini? Ramai orang yang belajar Bible bersama kita sedar bahawa kita selalu bersih dan kemas. Selain itu, tempat penyembahan kita juga bersih. Mereka yang ingin menyembah Yehuwa mestilah ‘tulus dalam tindakan dan fikiran.’ (Baca Mazmur 24:3, 4; Yes. 2:2, 3.) Maka, kita harus menyembah Yehuwa dengan minda, hati, dan tubuh yang bersih. Kita perlu selalu memeriksa diri. Ada kalanya, kita mungkin perlu membuat perubahan yang besar untuk tetap suci. (2 Kor. 13:5) Contohnya, seorang saudara atau saudari yang melihat bahan lucah perlu menanya diri, “Adakah saya benar-benar hidup suci?” Dia juga perlu mendapatkan bantuan untuk menghentikan tabiat buruk ini.—Yak. 5:14.

HIDUP SUCI DENGAN MENTAATI TUHAN

7. Selaras dengan Imamat 8:22-24, apakah teladan yang ditetapkan oleh Yesus?

7 Apabila aturan imam bagi Israel bermula, sedikit darah domba disapukan pada telinga kanan, ibu jari tangan kanan serta ibu jari kaki kanan Harun dan anak-anaknya. (Baca Imamat 8:22-24.) Hal ini menunjukkan bahawa para imam akan melakukan tugas mereka dengan taat setia. Dalam cara yang sama, Yesus,  sebagai Imam Agung, menetapkan teladan yang baik bagi kaum terurap dan domba-domba lain. Telinganya sentiasa mendengarkan bimbingan Tuhan, tangannya sentiasa melakukan kehendak-Nya, dan kakinya sentiasa berjalan di haluan yang suci.—Yoh. 4:31-34.

8. Apakah yang harus kita semua lakukan?

8 Sebagai penyembah Yehuwa, kita semua harus mengikut teladan Yesus yang mengekalkan integritinya kepada Tuhan. Kita harus taat setia kepada bimbingan Tuhan dalam Bible supaya tidak ‘menyedihkan roh Tuhan.’ (Ef. 4:30) Jadi, bertekadlah untuk ‘sentiasa berjalan pada jalan yang lurus.’—Ibr. 12:13.

9. Apakah yang dikatakan oleh tiga orang saudara yang telah lama bekerja bersama ahli Badan Pimpinan? Bagaimanakah kata-kata mereka dapat membantu anda?

9 Mari kita kaji apa yang dikatakan oleh tiga saudara yang telah lama bekerja bersama ahli Badan Pimpinan. Seorang saudara berkata, “Memang satu penghormatan besar untuk bekerja dengan mereka. Walaupun mereka terurap, saya mendapati bahawa mereka masih tidak sempurna. Tetapi saya tetap bertekad untuk mentaati mereka yang mengambil pimpinan.” Saudara kedua berkata, “Ayat di 2 Korintus 10:5 kata bahawa kita mesti ‘taat kepada Kristus.’ Ayat Bible sebegini membantu saya tetap taat dan bekerjasama dengan mereka yang mengambil pimpinan. Bagi saya, inilah maksudnya taat dari hati.” Saudara ketiga berkata, “Kita mengasihi apa yang Yehuwa kasihi, dan membenci apa yang Yehuwa benci. Kita juga selalu mengikut bimbingan-Nya, dan membuat apa yang menyenangkan hati-Nya. Hal ini bermaksud kita mentaati organisasi-Nya, termasuk mereka yang dilantik untuk melakukan kehendak-Nya di bumi.” Saudara ini juga teringat akan teladan baik Nathan Knorr, yang telah menjadi seorang ahli Badan Pimpinan. Walaupun orang lain mempersoalkan isi-isi dalam rencana “Kelahiran Sebuah Bangsa” (Birth of the Nation) yang diterbitkan dalam Watch Tower 1925, Nathan Knorr menerima apa yang disampaikan. Ketaatan Saudara Knorr benar-benar mengagumkan saudara ini. Dengan merenungkan kata-kata tiga saudara ini, anda dapat belajar untuk mentaati Tuhan dan tetap suci.

HIDUP SUCI DENGAN MENTAATI HUKUM TUHAN TENTANG DARAH

10. Mengapakah penting untuk mentaati perintah Tuhan tentang darah?

10 Baca Imamat 17:10, 14. Yehuwa memerintah bangsa Israel untuk tidak memakan “darah sebarang makhluk.” Orang Kristian juga diperintah untuk menjauhi darah manusia dan binatang. (Kis. 15:28, 29) Sudah tentu kita tidak ingin melakukan apa-apa yang menyebabkan Yehuwa menolak dan menyingkirkan kita daripada sidang-Nya. Kita mengasihi Yehuwa dan ingin mentaati-Nya. Walaupun nyawa kita dalam bahaya, kita tidak akan menyerah kepada tekanan daripada orang yang tidak mempedulikan prinsip Tuhan. Walaupun dihina, kita tetap memilih untuk mentaati perintah Tuhan tentang darah. (Yud. 17, 18) Bagaimanakah kita dapat menguatkan tekad kita untuk tidak memakan darah atau menerima transfusi darah?

11. Mengapakah Hari Pengampunan Dosa bukan sekadar suatu upacara?

11 Apa yang berlaku pada Hari Pengampunan Dosa dapat membantu kita  untuk memahami pandangan Tuhan terhadap darah. Imam agung akan mengambil sedikit darah lembu dan kambing lalu memercikkannya di depan penutup Tabut Perjanjian. Darah hanya digunakan khas untuk pengampunan dosa supaya manusia dapat berdamai semula dengan Yehuwa. (Im. 16:14, 15, 19) Melalui darah itu, Yehuwa akan mengampuni dosa orang Israel. Yehuwa juga memberikan perintah bahawa orang mesti mencurahkan darah binatang ke tanah sebelum memakan dagingnya. Hal ini adalah kerana “nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya.” (Im. 17:11-14) Adakah semua ini sekadar suatu upacara? Tidak. Malah ratusan tahun sebelum itu, Yehuwa telah pun melarang Nuh dan keturunannya daripada memakan darah. (Kej. 9:3-6) Bagaimana pula dengan orang Kristian?

12. Bagaimanakah Paulus menjelaskan bahawa darah dapat mengampuni dosa?

12 Paulus menjelaskan bahawa darah dapat mengampuni dosa. Dia menulis, “Menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah.” (Ibr. 9:22) Namun, nilai korban binatang hanya sementara. Paulus menerangkan bahawa semua korban ini mengingatkan orang Israel tentang dosa mereka. Mereka memerlukan korban yang lebih baik untuk mengampunkan dosa mereka buat selama-lamanya. Taurat bukan ‘gambaran lengkap dan sempurna, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang.’ (Ibr. 10:1-4) Jadi, bagaimanakah pengampunan dosa yang kekal dapat dilaksanakan?

13. Apakah perasaan anda terhadap darah Yesus yang dicurahkan?

13 Baca Efesus 1:7. Yesus ‘mengorbankan dirinya’ untuk manusia. Hal ini sangat bermakna bagi mereka yang mengasihi Yesus dan Yehuwa. (Gal. 2:20) Sebenarnya, kita dibebaskan daripada  dosa kerana apa yang dilakukan oleh Yesus selepas pembangkitannya. Hal ini digambarkan oleh apa yang berlaku pada Hari Pengampunan Dosa. Apabila imam agung masuk ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkan darah binatang, dia seolah-olah menghadap hadirat Tuhan. (Im. 16:11-15) Begitu juga, Yesus yang sudah dibangkitkan masuk ke syurga dan mempersembahkan darahnya kepada Yehuwa. (Ibr. 9:6, 7, 11-14, 24-28) Darah Yesus yang dicurahkan dapat mengampuni dosa kita dan memberi kita hati nurani yang bersih. Tidakkah kita bersyukur atas hal ini?

14, 15. Mengapakah penting untuk memahami dan mentaati perintah Tuhan tentang darah?

14 Sekarang, adakah anda memahami dengan lebih jelas mengapa Yehuwa melarang kita daripada “makan darah sebarang makhluk”? (Im. 17:10, 14) Adakah anda memahami mengapa darah adalah suci di mata Tuhan? Hal ini adalah kerana darah melambangkan nyawa. (Kej. 9:4) Tidakkah anda setuju bahawa kita harus mempunyai pandangan yang sama dengan Tuhan dan menjauhi darah? Satu-satunya cara untuk berdamai dengan Tuhan adalah dengan beriman terhadap korban tebusan Yesus dan memahami bahawa darah adalah sangat suci di mata Pencipta kita.—Kol. 1:19, 20.

15 Secara tiba-tiba, kita semua boleh menghadapi situasi yang melibatkan transfusi darah, pecahan darah atau rawatan yang menggunakan darah. Jadi, sangatlah penting untuk berdoa dan membuat kajian Bible supaya kita dapat membuat keputusan sebelum kecemasan berlaku. Dengan demikian, kita akan bertekad untuk menjauhi darah. Sudah tentu kita tidak ingin melakukan apa-apa yang menyedihkan hati Yehuwa! Ramai doktor dan orang lain mungkin menggalakkan kita untuk menderma darah kerana menganggap bahawa hal ini dapat menyelamatkan nyawa. Tetapi sebagai umat Tuhan yang suci, kita tahu bahawa Yehuwalah yang berhak menentukan bagaimana darah digunakan. “Darah sebarang makhluk” adalah suci di mata Tuhan. Jadi, bertekadlah untuk mentaati perintah Tuhan tentang darah. Tunjukkanlah bahawa kita menghargai darah Yesus melalui tingkah laku yang murni. Hanya menerusi darah Yesus, dosa kita diampunkan sepenuhnya dan kita dapat hidup sejati dan kekal.—Yoh. 3:16.

Adakah anda bertekad untuk mentaati hukum Yehuwa tentang darah? (Lihat perenggan 14, 15)

MENGAPA YEHUWA HENDAK KITA HIDUP SUCI

16. Mengapakah umat Yehuwa perlu suci?

16 Semasa Yehuwa membebaskan bangsa Israel daripada perhambaan di Mesir, Yehuwa berkata kepada mereka, ‘Akulah Yehuwa yang membawa kamu keluar dari Mesir, supaya Aku boleh menjadi Tuhan kamu. Hendaklah kamu suci kerana Aku suci.’ (Im. 11:45) Yehuwa ingin orang Israel suci kerana Dia sendiri adalah suci. Begitu juga hari ini, Yehuwa ingin kita tetap suci sebagai umat-Nya. Isi-isi dalam buku Imamat membuktikan hal ini dengan jelas sekali.

17. Apakah pandangan anda sekarang terhadap buku Imamat?

17 Sudah tentu anda meraih manfaat daripada perbincangan mengenai isi-isi dalam buku Imamat. Sekarang, anda mungkin lebih menghargai buku Imamat dan memahami mengapa kita perlu hidup suci. Namun, apa lagi yang boleh kita belajar daripada buku Imamat? Bagaimanakah buku ini boleh membantu kita untuk menyembah Tuhan dengan suci? Hal ini akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.