Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Peristiwa Penting dalam Kerjaya Rohani Saya

Peristiwa Penting dalam Kerjaya Rohani Saya

Pada tahun 1947, rumah mubaligh di Santa Ana, El Salvador, telah diserang. Semasa Pembelajaran Majalah, beberapa budak lelaki membaling batu ke rumah kami. Kemudian, paderi-paderi Katolik datang dengan sekumpulan orang yang memegang obor dan berhala. Selama dua jam, mereka melontarkan batu dan menjerit: “Hidup Santa Maria!” dan “Matilah Yehuwa!” Mereka ingin menakutkan kami supaya kami beredar dari sana. Peristiwa ini berlaku 67 tahun dahulu.

DUA tahun sebelum itu, saya dan Evelyn Trabert menghadiri kelas keempat Sekolah Gilead di Ithaca, New York. Selepas itu, kami ditugaskan sebagai mubaligh di El Salvador. Saya berkhidmat di sana selama 29 tahun. Sebelum menceritakan kisah hidup saya, biarlah saya jelaskan mengapa saya ingin berkhidmat sebagai mubaligh.

KELUARGA SAYA BELAJAR KEBENARAN

Saya lahir pada tahun 1923 di Spokane, Washington, A.S. Ibu bapa saya, John dan Eva Olson ialah ahli gereja Lutheran. Namun, mereka tidak bersetuju dengan ajaran gereja tentang api neraka. Mereka tidak percaya bahawa Tuhan yang pengasih akan menyeksa orang. (1 Yoh. 4:8) Rakan sekerja bapa saya di kedai bakeri menjelaskan daripada Bible bahawa Tuhan tidak menyeksa orang di neraka. Tidak lama kemudian, ibu bapa saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mengetahui kebenaran tentang apa yang berlaku selepas orang mati.

Pada masa itu, saya berumur sembilan tahun. Saya masih ingat betapa gembiranya ibu bapa saya selepas belajar bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa dan bahawa Tritunggal tidak wujud. (Yoh. 8:32) Saya juga mula menimba pengetahuan Bible daripada ibu bapa. Saya tidak pernah bosan untuk membaca Firman Tuhan. Walaupun saya pemalu, saya mengikut ibu bapa keluar menginjil. Pada tahun 1934, mereka dibaptis. Saya pula dibaptis pada tahun 1939, semasa berumur 16 tahun.

Bersama ibu bapa di perhimpunan St. Louis, Missouri pada tahun 1941

 Pada Julai 1940, ibu bapa menjual rumah kami, dan berpindah ke Coeur d’Alene, Idaho. Di sana, kami merintis bersama. Kami menyewa tempat tinggal di atas sebuah bengkel kereta. Tempat tinggal kami juga digunakan untuk perjumpaan. Pada masa itu, hanya terdapat beberapa Dewan Perjumpaan. Biasanya, saudara saudari berjumpa di bilik yang disewa atau di rumah.

Pada tahun 1941, kami sekeluarga menghadiri perhimpunan di St. Louis, Missouri. Hari terakhir perhimpunan dipanggil “Hari Kanak-Kanak” dan kaum muda yang berumur antara 5 hingga 18 tahun dijemput duduk di hadapan pentas. Pada kemuncak ceramahnya, Saudara Joseph F. Rutherford, meminta kami untuk berdiri jika kami bersetuju untuk “mentaati Tuhan dan Raja-Nya.” Kami semua berdiri. Kemudian Saudara Rutherford berkata, “Lihatlah, lebih daripada 15,000 saksi baru Kerajaan Tuhan!” Pada ketika itu, saya memutuskan untuk merintis seumur hidup.

BERKHIDMAT BERSAMA KELUARGA

Beberapa bulan selepas perhimpunan itu, kami sekeluarga berpindah ke selatan California. Kami ditugaskan untuk menubuhkan sidang di kota Oxnard. Kami menetap di sebuah rumah treler yang mempunyai satu katil sahaja. Saya pula tidur di atas meja makan yang beralaskan tilam. Keadaan ini jauh berbeza dengan dahulu ketika saya ada bilik sendiri!

Pada 7 Disember 1941, Jepun menyerang Pearl Harbor, Hawaii. Keesokan harinya, Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Kedua. Pada masa itulah kami tiba di California. Pihak berkuasa memberikan arahan untuk mematikan semua lampu pada waktu malam. Hal ini adalah untuk menghalang kapal selam Jepun yang berdekatan dengan persisiran pantai California daripada mengebom kawasan darat.

Pada bulan September 1942, kami menghadiri Perhimpunan Teokratik Dunia Baru di Cleveland, Ohio. Di situ, Saudara Nathan H. Knorr menyampaikan ceramah, “Dapatkah Kedamaian Berkekalan?” Ceramahnya adalah mengenai binatang yang digambarkan di Wahyu bab 17. Binatang ini ‘dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, dan tidak lama lagi akan keluar dari jurang maut.’ (Why. 17:8, 11) Dia menjelaskan bahawa binatang ini melambangkan Liga Bangsa-Bangsa yang menjadi tidak aktif pada tahun 1939 semasa Perang Dunia Kedua. Dia juga mengumumkan bahawa organisasi kedamaian sedunia akan bangkit semula dan masa yang damai akan datang. Hal ini memang terjadi. Pada tahun 1945, Perang Dunia Kedua berakhir. Selepas itu, Liga Bangsa-Bangsa digantikan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kemudian, Saksi-Saksi Yehuwa mula meluaskan kerja penyebaran ke seluruh bumi. Sejak itu, kita dapat melihat peningkatan yang besar!

Diploma Gilead saya

Nubuat itu membuka mata saya akan kerja yang perlu dijalankan. Jadi apabila Sekolah Gilead bermula pada tahun seterusnya, saya berhasrat untuk menghadirinya dan menjadi seorang mubaligh. Sementara itu, pada tahun 1943, saya ditugaskan untuk merintis di Portland, Oregon. Pada masa itu, kami menggunakan peti nyanyi untuk menyiarkan ceramah Bible. Kemudian, kami menawarkan bahan bacaan  kepada penghuni rumah. Sepanjang tahun itu, saya asyik berfikir tentang khidmat mubaligh.

Pada tahun 1944, saya dan kawan saya, Evelyn Trabert diundang untuk menghadiri Sekolah Gilead! Selama lima bulan, saya benar-benar bersukacita kerana dapat mempelajari cara mengkaji Bible. Saya juga kagum dengan kerendahan hati para pengajar Sekolah Gilead. Kadangkala, merekalah yang menjadi pelayan pada waktu makan. Kami menamatkan kursus Gilead pada 22 Januari 1945.

BERKHIDMAT SEBAGAI MUBALIGH

Pada Jun 1946, saya, Evelyn, berserta Leo dan Esther Mahan tiba di Santa Ana, El Salvador. Ladang di situ sememangnya “siap untuk dituai.” (Yoh. 4:35) Beberapa bulan kemudian, kami menghadiri perhimpunan litar buat pertama kali di Santa Ana. Selepas mengundang ramai orang untuk hadir, hampir 500 orang datang! Hal ini telah menyemarakkan kemarahan para pemimpin gereja. Seminggu selepas itu, mereka menghasut orang ramai untuk menyerang kami, seperti yang dikatakan pada permulaan cerita ini. Mereka mencuba menakutkan kami agar kami meninggalkan Santa Ana. Tetapi hal ini menguatkan azam kami untuk tidak berganjak dan terus membantu orang tempatan. Para paderi menyuruh orang supaya berhenti membaca Bible. Penduduk di situ juga terlalu miskin untuk membeli Bible sendiri. Walaupun begitu, terdapat ramai yang mendahagakan kebenaran. Mereka menghargai usaha kami untuk belajar bahasa Sepanyol agar dapat mengajar mereka tentang Yehuwa, Tuhan yang benar, dan tentang janji-Nya untuk menjadikan bumi Firdaus.

Bersama empat rakan kelas Gilead yang ditugaskan ke El Salvador. Kiri ke kanan: Evelyn Trabert, Millie Brashier, Esther Mahan, saya, dan Leo Mahan

Rosa Ascencio ialah salah seorang pelajar Bible saya yang terawal. Dia tinggal bersama seorang lelaki yang bukan suaminya. Selepas belajar Bible, dia berpisah dengan lelaki itu. Namun, lelaki itu juga belajar Bible. Kemudian, mereka berkahwin, dibaptis, dan menjadi Saksi yang bersemangat. Rosa ialah perintis pertama yang berasal dari Santa Ana.

Rosa memiliki sebuah kedai runcit kecil. Dia perlu menutup kedainya setiap kali dia keluar menginjil. Tetapi, dia yakin bahawa Yehuwa akan memenuhi keperluannya. Pelanggan selalu datang berpusu-pusu ke kedainya. Dia merasai bagaimana Yehuwa menunaikan janji di Matius 6:33. Rosa setia kepada Yehuwa sepanjang hayatnya.

Saya dan lima orang mubaligh menyewa rumah daripada seorang ahli perniagaan. Pada suatu hari, seorang paderi mengunjungi ahli perniagaan ini dan memberikan amaran bahawa jika dia terus membenarkan kami menyewa rumahnya, dia dan isterinya akan dibuang gereja. Dia tidak takut dan menjawab bahawa dia tidak kisah jika dibuang gereja. Kelakuan sesetengah pemimpin gereja telah lama membuatnya berasa jijik.  Dia menjamin bahawa kami boleh terus menyewa rumah itu.

TOKOH MASYARAKAT MENJADI SEORANG SAKSI

Pejabat cawangan yang dibina pada tahun 1955

Seorang jurutera yang bernama Baltasar Perla menetap di San Salvador. Isterinya belajar Bible dengan seorang mubaligh. Baltasar hilang iman terhadap Tuhan kerana melihat ramai pemimpin agama bersikap munafik. Baltasar seorang yang baik hati. Meskipun dia belum menjadi Saksi, dia telah mereka bentuk dan membantu pembinaan pejabat cawangan di El Salvador, tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Semasa projek pembinaan itu, Baltasar bekerja dengan ramai Saksi. Hal ini telah meyakinkannya bahawa inilah agama sejati. Dia dibaptis pada 22 Julai 1955, dan isterinya, Paulina dibaptis tidak lama selepas itu. Kedua-dua orang anak mereka menyembah Yehuwa dengan setia. Anak lelaki mereka, Baltasar Jr., berkhidmat di Bethel New York selama 49 tahun untuk menyokong kerja penyebaran sedunia. Kini Baltasar Jr. menganggotai Jawatankuasa Pejabat Cawangan Amerika Syarikat.

Dengan bantuan Saudara Baltasar, kami dapat menggunakan sebuah gimnasium yang besar di San Salvador untuk mengadakan konvensyen. Pada konvensyen pertama di situ, hanya sebilangan kecil orang yang datang. Tetapi tahun demi tahun, semakin ramai orang hadir sehingga kami tidak muat lagi dalam gimnasium itu. Yehuwa sedang memberkati usaha kami. Semasa konvensyen, saya dapat bertemu dengan mereka yang pernah menjadi pelajar Bible saya. Bayangkan betapa gembiranya saya untuk bertemu dengan “cucu rohani” saya, iaitu pelajar kepada pelajar Bible saya!

Saudara F. W. Franz bercakap dengan para mubaligh di konvensyen

Pada suatu perhimpunan, seorang saudara datang kepada saya dan meminta maaf. Saya tidak kenal dia dan tidak tahu apa maksudnya. Dia berkata, “Saya ialah salah seorang budak yang telah melontar batu di Santa Ana.” Hati saya berlimpah dengan sukacita kerana dia telah menjadi seorang penyembah Yehuwa! Hal ini mengingatkan saya bahawa khidmat sepenuh masa memang cara hidup yang paling bermakna.

Perhimpunan pertama yang kami hadiri di El Salvador

 PILIHAN YANG MEMBAWA KEPUASAN HATI

Saya menjadi mubaligh di El Salvador selama hampir 29 tahun. Saya telah berkhidmat di Santa Ana, Sonsonate, Santa Tecla, dan San Salvador. Namun, ibu bapa saya semakin tua dan memerlukan bantuan. Selepas berdoa, saya meninggalkan khidmat saya dan balik ke Spokane pada tahun 1975.

Bapa meninggal pada tahun 1979, dan saya menjaga ibu selama lapan tahun lagi. Dia memerlukan semakin banyak bantuan seraya umurnya meningkat. Akhirnya dia meninggal pada usia 94 tahun. Waktu itu, saya berasa tertekan dan amat penat. Saya menghidapi penyakit kayap yang menyakitkan. Namun, saya merasai bantuan Yehuwa. Dia menjawab doa saya dan membantu saya bertahan. Yehuwa telah menunaikan janji-Nya untuk memelihara saya sampai tua.—Yes. 46:4.

Pada tahun 1990, saya berpindah ke Omak, Washington. Di sana, saya dapat menginjil dalam bahasa Sepanyol sekali lagi. Beberapa pelajar Bible saya juga dibaptis. Lama-kelamaan, saya tidak larat menjaga rumah saya di Omak. Maka saya berpindah ke Chelan, Washington pada November 2007. Saya bersyukur kerana sidang Sepanyol di sini menjaga saya dengan baik sekali. Memandangkan hanya saya yang tua di sini, mereka mengasihi saya sebagai nenek mereka.

Saya memilih untuk hidup bujang dan tidak berkeluarga agar dapat berkhidmat kepada Yehuwa “dengan sepenuh hati.” Saya tahu semua keinginan saya tidak dapat ditunaikan sekarang. (1 Kor. 7:34, 35) Jadi saya memilih untuk membuat kerja yang lebih penting. Saya membantu ramai untuk belajar Bible, dan mereka seperti anak-anak rohani saya. Di dunia baru, saya akan menikmati hidup dengan sepenuhnya. Ayat kegemaran saya ialah Mazmur 145:16, Yehuwa akan ‘memberikan segala keperluan kepada makhluk ciptaan-Nya sehingga tidak berkekurangan.’

Khidmat perintis membantu saya tetap cergas dan memiliki tujuan hidup

Sekarang saya berusia 91 tahun, tetapi kesihatan saya masih baik. Saya masih merintis dan hal ini membantu saya tetap cergas dan memiliki tujuan hidup. Dahulu, apabila saya tiba di El Salvador, kerja menginjil baru bermula. Sekarang, terdapat lebih daripada 39,000 penyiar di sana. Saya tahu Syaitan tidak dapat menghentikan kerja ini. Sudah pasti daya aktif Yehuwa sedang menyokong umat-Nya. Hal ini menguatkan iman saya!