“Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi.”—KOL. 3:2.

1, 2. (a) Mengapakah perpaduan sidang di Kolose terancam? (b) Apakah nasihat yang membantu saudara saudari di Kolose untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan Tuhan?

PERPADUAN sidang Kristian di Kolose terancam! Sesetengah saudara berkata bahawa semua orang perlu mematuhi Hukum Musa. Yang lain pula berkata bahawa adalah salah untuk berseronok. Maka, Paulus memberikan amaran kepada mereka, “Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi.”—Kol. 2:8.

2 Jika orang Kristian terurap pada masa itu mengikut pemikiran manusia, maksudnya mereka menolak peluang untuk menjadi anak-anak Tuhan. (Kol. 2:20-23) Untuk membantu mereka mengekalkan hubungan yang baik dengan Tuhan, Paulus memberitahu, “Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi.” (Kol. 3:2) Mereka harus ingat akan  harapan istimewa mereka untuk hidup selama-lamanya di syurga.—Kol. 1:4, 5.

3. (a) Apakah harapan orang Kristian terurap? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Kaum terurap hari ini juga memusatkan fikiran mereka kepada Kerajaan Tuhan dan harapan untuk memerintah bersama Kristus di syurga. (Rm. 8:14-17) Namun, bagaimanakah pula dengan mereka yang berharap untuk hidup di bumi? Bagaimanakah mereka dapat menerapkan nasihat Paulus? Bagaimanakah mereka dapat memusatkan fikiran kepada “perkara-perkara yang di syurga”? (Yoh. 10:16) Abraham dan Musa berjaya memusatkan fikiran mereka kepada perkara di syurga walaupun menghadapi kesusahan. Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan mereka?

MAKSUD MEMUSATKAN FIKIRAN KEPADA PERKARA DI SYURGA

4. Bagaimanakah domba-domba lain dapat memusatkan fikiran mereka kepada perkara di syurga?

4 Mereka yang ingin hidup kekal di bumi juga harus memusatkan fikiran kepada perkara di syurga. Mereka dapat melakukan hal ini dengan mengutamakan Yehuwa dan Kerajaan-Nya. (Luk. 10:25-27) Itulah yang dilakukan oleh Kristus. (1 Ptr. 2:21) Pada abad pertama, ramai orang memiliki pemikiran yang salah, percaya kepada falsafah duniawi, dan mementingkan wang. Begitu juga dengan dunia Syaitan hari ini. (Baca 2 Korintus 10:5.) Maka, kita harus meniru teladan Yesus dan mengelakkan apa sahaja yang dapat merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa.

5. Bagaimanakah kita boleh memeriksa diri mengenai pandangan kita terhadap wang dan harta benda?

5 Adakah pandangan dunia terhadap wang dan harta benda mempengaruhi kita? Yesus berkata, “Perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!” (Mat. 6:21) Pemikiran dan kelakuan kita akan menunjukkan perkara yang menjadi tumpuan kita. Maka, kita harus bertanya, “Apakah perkara yang paling penting dalam hidup saya? Adakah saya selalu memikirkan tentang wang, menginginkan pekerjaan yang lebih baik, dan ingin hidup mewah? Adakah saya mencuba untuk hidup sederhana dan bertumpu kepada hubungan saya dengan Yehuwa?” (Mat. 6:22) Yesus berkata bahawa orang yang berusaha ‘mengumpulkan harta di dunia’ mungkin kehilangan hubungan dengan Yehuwa.—Mat. 6:19, 20, 24.

6. Bagaimanakah kita dapat mengatasi kecenderungan yang salah?

6 Oleh sebab kita tidak sempurna, kita cenderung melakukan kesilapan. (Baca Roma 7:21-25.) Jika kita tidak bergantung pada daya aktif Tuhan, kita mungkin terlibat dalam “pesta liar,” “mabuk,” serta “berkelakuan lucah atau tidak senonoh.” (Rm. 13:12, 13) Kita harus selalu melawan kecenderungan yang salah ini. Kita boleh berjaya jika kita memusatkan fikiran kita kepada perkara di syurga. Hal ini memang memerlukan usaha. Itulah sebabnya Paulus berkata, “Aku melatih diri dengan giat supaya aku dapat menguasai diri.” (1 Kor. 9:27) Kita juga harus tegas dengan diri sendiri. Mari kita lihat contoh dua orang lelaki yang ‘menyenangkan hati Tuhan.’—Ibr. 11:6.

ABRAHAM BERIMAN KEPADA YEHUWA

7, 8. (a) Apakah masalah yang dihadapi oleh Abraham dan Sara? (b) Apakah perkara yang selalu difikirkan oleh Abraham?

7 Apabila Yehuwa menyuruh Abraham dan keluarganya untuk berpindah ke Kanaan, Abraham mematuhi Yehuwa dengan rela. Yehuwa memberkati iman  Abraham dengan membuat suatu perjanjian. Yehuwa berkata kepadanya, “Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar.” (Kej. 12:2) Walaupun tahun demi tahun berlalu, Abraham dan Sara masih tidak mempunyai anak. Adakah Yehuwa lupa akan janji-Nya kepada Abraham? Pada masa itu, kehidupan Abraham tidak senang. Dia telah meninggalkan kota Ur yang selesa dan membuat perjalanan sejauh 1,600 km ke Kanaan. Dia dan keluarganya tinggal dalam khemah. Kadangkala mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi, dan kadangkala mereka menghadapi bahaya daripada perompak. (Kej. 12:4, 5, 10; 13:18; 14:10-16) Walaupun begitu, Abraham dan keluarganya tidak ingin kembali ke kota Ur.—Baca Ibrani 11:8-12, 15.

8 Abraham beriman kepada Yehuwa dan tidak bertumpu kepada “perkara-perkara yang di bumi.” (Kej. 15:6) Sebaliknya, dia selalu berfikir tentang janji Tuhan. Oleh itu, Yehuwa memberkati iman Abraham dengan berkata, “Pandanglah ke langit dan cubalah hitung bintang; engkau akan mempunyai keturunan sebanyak bintang.” (Kej. 15:5) Setelah mendengar hal itu, Abraham tahu bahawa Yehuwa tidak melupakannya. Setiap kali dia melihat bintang di angkasa, dia teringat janji Yehuwa. Apabila tiba masanya, Yehuwa memberkati Abraham dengan seorang anak lelaki.—Kej. 21:1, 2.

9. Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan Abraham?

9 Seperti Abraham, kita juga menunggu masanya janji Yehuwa akan menjadi kenyataan. (2 Ptr. 3:13) Jika kita tidak memusatkan fikiran kepada perkara di syurga, kita mungkin berasa bahawa janji Tuhan akan mengambil masa yang lama untuk ditunaikan. Oleh itu, kita mungkin tidak lagi bersemangat dalam aktiviti rohani. Dahulu, anda mungkin pernah merintis atau berkhidmat dalam cara yang lain. Bagaimana pula dengan sekarang? Ingatlah, Abraham telah berkhidmat dengan sepenuh hati kepada Yehuwa, dan dia selalu berfikir tentang berkat yang akan diraih pada masa depan. (Ibr. 11:10) Oleh sebab ‘Abraham percaya kepada Tuhan,’ dia dianggap sebagai sahabat-Nya.—Rm. 4:3.

MUSA ‘NAMPAK TUHAN YANG TIDAK KELIHATAN’

10. Bagaimanakah Musa dibesarkan?

10 Musa juga telah memusatkan fikirannya kepada perkara di syurga. Dia dibesarkan dalam keluarga diraja Mesir. Pada masa itu Kerajaan Mesir ialah kerajaan yang paling berkuasa di dunia. Bible menyatakan bahawa semasa Musa muda, ‘segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepadanya.’ Hal itu telah menjadikan Musa “seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya.” (Kis. 7:22) Oleh itu, Musa mempunyai peluang untuk memiliki kedudukan yang tinggi di Mesir. Namun, Musa lebih mementingkan kehendak Tuhan. Mengapa?

11, 12. Pendidikan manakah yang paling penting bagi Musa? Bagaimanakah kita mengetahui hal ini?

11 Semasa Musa masih kanak-kanak, ibunya, Yokhebed, telah mengajarnya tentang Tuhan Yehuwa. Pengetahuan tentang Yehuwa sangat penting bagi Musa. Maka, dia rela melepaskan peluang untuk menjadi kaya dan berkuasa demi melakukan kehendak Yehuwa. (Baca Ibrani 11:24-27.) Pendidikan rohani yang diterima oleh Musa telah membantunya untuk memupuk iman terhadap Yehuwa dan memusatkan  fikirannya kepada perkara di syurga.

12 Walaupun Musa menerima pendidikan yang terbaik di Mesir, dia tidak menginginkan kuasa, kekayaan, atau kemasyhuran. Sebenarnya, Bible menyatakan bahawa ‘Musa tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir. Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Tuhan daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu.’ Pada kemudian hari, Musa telah menggunakan pendidikan rohani yang diterimanya untuk memimpin umat Yehuwa keluar dari Mesir.

13, 14. (a) Apakah yang perlu dipelajari oleh Musa sebelum dia dapat membebaskan umat Tuhan? (b) Apakah yang patut kita pelajari juga?

13 Musa mengasihi Yehuwa dan umat-Nya yang merupakan hamba di Mesir pada masa itu. Apabila Musa berumur 40 tahun, dia berasa bahawa dia sudah bersedia untuk membebaskan umat Tuhan. (Kis. 7:23-25) Namun, dari sudut pandangan Yehuwa, Musa belum bersedia lagi. Dia masih perlu memupuk sifat-sifat seperti kerendahan hati, kesabaran, kelemahlembutan, serta kawalan diri. (Ams. 15:33) Musa memerlukan latihan supaya dia dapat menempuh cabaran pada masa depan. Musa telah dilatih untuk memupuk sifat-sifat baik ini semasa dia menjadi gembala selama 40 tahun.

14 Adakah latihan ini membantu Musa? Ya, Bible memberitahu bahawa Musa menjadi “lebih rendah hati daripada sesiapa pun di bumi.” (Bil. 12:3) Kerendahan hati telah membantu Musa untuk bersabar dengan ramai orang serta masalah yang dihadapi oleh mereka. (Kel. 18:26) Kita juga memerlukan sifat baik yang dapat membantu kita menghadapi kesengsaraan besar serta melangkah masuk ke dalam dunia baru Tuhan. (Why. 7:14) Adakah kita mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang termasuk mereka yang mudah tersinggung? Kata-kata Petrus boleh membantu kita, “Hormatilah semua orang, kasihilah sesama saudara seiman.”—1 Ptr. 2:17.

MEMUSATKAN FIKIRAN KITA KEPADA PERKARA DI SYURGA

15, 16. (a) Mengapakah kita harus memusatkan fikiran kita kepada perkara-perkara di syurga? (b) Mengapakah orang Kristian perlu mengekalkan kelakuan yang baik?

15 Kita tinggal dalam dunia yang mempunyai “banyak kesusahan.” (2 Tim. 3:1) Itulah sebabnya kita harus memusatkan fikiran kita kepada perkara-perkara di syurga. (1 Tes. 5:6-9) Mari kita lihat tiga cara untuk berbuat demikian.

16 Kelakuan kita: Petrus menjelaskan bahawa kelakuan baik sangat penting. Dia berkata, ‘Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Tuhan hendaklah baik.’ Dia menjelaskan bahawa orang yang tidak mengenal Yehuwa mungkin memuji-Nya hasil daripada kelakuan kita. (1 Ptr. 2:12) Tidak kira di rumah atau di sekolah, semasa bermain atau menginjil, kita perlu berusaha untuk memuliakan Yehuwa melalui kelakuan kita. Memang benar, kita semua tidak sempurna dan melakukan kesilapan. (Rm. 3:23) Namun, kita tidak sepatutnya kecewa. Dengan bantuan Tuhan, kita dapat melawan ketidaksempurnaan dan ‘hidup sebagai orang Kristian yang setia.’—1 Tim. 6:12.

17. Bagaimanakah kita dapat meniru sikap Yesus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

17 Sikap kita: Untuk mengekalkan kelakuan yang baik, kita perlu mempunyai sikap yang betul. Rasul Paulus berkata, “Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus.” (Flp. 2:5) Apakah sikap Yesus? Dia rendah hati. Oleh itu dia  selalu ingin memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Kerja penyebaran berita baik tentang Kerajaan Tuhan merupakan perkara utama dalam mindanya. (Mrk. 1:38; 13:10) Bagi Yesus, Firman Tuhan ialah bimbingan yang terpenting. (Yoh. 7:16; 8:28) Dia mempelajari Alkitab dengan teliti supaya dapat memetik, mempertahankan, dan menerangkan ayat-ayat Alkitab. Jika kita berfikir seperti Yesus, kita juga akan rendah hati, bersemangat dalam kerja penyebaran, dan rajin mempelajari Bible.

Kerja penyebaran merupakan perkara utama dalam minda Yesus (Lihat perenggan 17)

18. Apakah cara penting kita boleh menyokong kerja Yehuwa?

18 Usaha kita: Yehuwa ingin “semua makhluk di syurga, dan di bumi” tunduk kepada Yesus. (Flp. 2:9-11) Walaupun Yesus memiliki kedudukan yang sangat tinggi, dia rendah hati dan tunduk kepada Bapanya. Kita juga harus berbuat demikian. (1 Kor. 15:28) Kita boleh menyokong kerja Yehuwa dengan sepenuh hati apabila kita ‘pergi kepada semua bangsa di seluruh dunia dan menjadikan mereka pengikut Yesus.’ (Mat. 28:19) Kita juga “berbuat baik kepada semua orang” dengan membantu jiran kita serta saudara saudari.—Gal. 6:10.

19. Apakah seharusnya tekad kita?

19 Kita tentu gembira kerana Yehuwa mengingatkan kita untuk memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga! “Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun” dan bertumpu kepada perkara yang paling penting. (Ibr. 12:1) Semoga kita berkhidmat dengan ‘sepenuh hati untuk Tuhan,’ dan menerima berkat daripada-Nya.—Kol. 3:23, 24.