Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Tetap Menyembah Tuhan walaupun ‘Mengalami Penderitaan’

Tetap Menyembah Tuhan walaupun ‘Mengalami Penderitaan’

‘Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Tuhan.’KIS. 14:22.

1. Mengapakah umat Tuhan “mengalami banyak penderitaan”?

ADAKAH kita berasa hairan kerana harus mengalami banyak penderitaan demi mendapat hidup sejati? Tidak. Kita semua mengalami pelbagai cubaan, tidak kira berapa lama kita berada dalam kebenaran. Mengapa? Salah satu sebab ialah kerana kita hidup di dunia Syaitan.—Why. 12:12.

2. (a) Selain daripada masalah biasa, apakah masalah tambahan yang dihadapi oleh orang Kristian? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Siapakah punca penganiayaan yang kita hadapi? Bagaimanakah kita tahu?

2 Semua manusia tidak sempurna dan menghadapi masalah dalam hidup. Tetapi, orang Kristian menghadapi masalah tambahan. (1 Kor. 10:13) Salah satu daripadanya ialah kita mengalami penganiayaan teruk kerana ingin tetap setia kepada Tuhan. Yesus berkata, ‘“Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.” Jika mereka menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.’ (Yoh. 15:20) Siapakah punca sebenar penganiayaan ini? Syaitan Si Iblis. Bible menggambarkannya sebagai “singa yang mengaum sambil mencari mangsa” di antara umat Tuhan. (1 Ptr. 5:8) Syaitan akan menggunakan apa sahaja cara untuk mematahkan integriti  kita kepada Yehuwa. Mari kita lihat apa yang terjadi kepada rasul Paulus.

PENDERITAAN DI LISTRA

3-5. (a) Apakah penderitaan yang dialami Paulus di Listra? (b) Mengapakah kata-kata Paulus tentang “mengalami banyak penderitaan” menguatkan hati kita?

3 Oleh sebab Paulus setia kepada Tuhan, dia telah mengalami banyak penganiayaan. (2 Kor. 11:23-27) Semasa di Listra, Paulus telah menyembuhkan seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir. Apabila orang di sana melihat mukjizat ini, mereka menganggap Paulus dan Barnabas sebagai dewa. Paulus dan Barnabas terpaksa menghalang orang di sana daripada memuja mereka. Namun tidak lama kemudian, ketua agama Yahudi tiba dan bercakap buruk tentang Paulus dan Barnabas. Orang yang mempercayai tuduhan palsu itu mula merejam Paulus sehingga menyangka dia sudah mati.—Kis. 14:8-19.

4 Selepas melawat kota Derbe, Paulus dan Barnabas kembali ke Listra, Ikonium, dan Antiokhia. ‘Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus. Mereka berkata, “Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Tuhan.”’ (Kis. 14:21, 22) Bagaimanakah kata-kata Paulus tentang “mengalami banyak penderitaan” boleh “menguatkan hati pengikut-pengikut di situ”?

5 Cuba perhatikan kata-kata Paulus. Dia tidak berkata, “Kita harus bertahan semasa mengalami banyak penderitaan.” Tetapi dia berkata, ‘Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Tuhan.’ Maka, Paulus telah menekankan bahawa ganjaran akan diberikan kepada mereka yang tetap setia kepada Tuhan. Yesus berkata, “Sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”Mat. 10:22.

6. Apakah ganjaran yang akan diberikan kepada mereka yang berjaya menghadapi penderitaan?

6 Jika kita tabah menghadapi penderitaan, kita akan mendapat ganjaran. Bagi orang Kristian terurap, mereka akan memerintah bersama Kristus di syurga. Bagi “domba-domba lain,” mereka akan menikmati kehidupan selama-lamanya di bumi yang aman. (Yoh. 10:16; 2 Ptr. 3:13) Sementara menantikan ganjaran itu, kita akan “mengalami banyak penderitaan.” Mari kita lihat dua jenis cabaran yang mungkin kita alami.

SERANGAN SECARA LANGSUNG

7. Apakah contoh serangan secara langsung?

7 Yesus pernah berkata, “Kamu akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Kamu akan dipukul di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada penguasa dan raja.” (Mrk. 13:9) Jadi, sesetengah orang Kristian akan menghadapi serangan secara langsung, seperti penganiayaan. Ada kalanya, penganiayaan boleh disebabkan oleh ketua agama atau pemimpin politik. (Kis. 5:27, 28) Cuba fikirkan contoh Paulus. Adakah dia berasa takut untuk menghadapi penganiayaan? Tidak.—Baca Kisah 20:22, 23.

8, 9. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia tabah menghadapi penganiayaan? Hari ini, bagaimanakah saudara saudari mempertahankan kesetiaan mereka?

8 Paulus berani menghadapi serangan Syaitan. Dia berkata, ‘Aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuan Yesus untuk mengkhabarkan berita baik tentang rahmat Tuhan.’ (Kis. 20:24) Paulus tidak takut. Sebaliknya, dia bertekad untuk tabah menghadapi penganiayaan.  Tumpuannya adalah untuk “mengkhabarkan berita baik” walaupun ditentang secara langsung.

9 Dewasa ini, ramai saudara saudari juga mempertahankan kesetiaan mereka walaupun menghadapi serangan secara langsung. Di sebuah negara, sesetengah Saksi telah dipenjarakan hampir 20 tahun tanpa perbicaraan mahkamah. Hal ini adalah kerana mereka enggan mencampuri hal-hal politik. Mereka juga tidak dibenarkan untuk menerima lawatan, walaupun daripada ahli keluarga. Ada juga yang dipukul dan diseksa.

10. Mengapakah kita tidak harus takut akan kesusahan yang berlaku dengan tiba-tiba?

10 Di tempat lain, saudara saudari mengalami kesusahan yang terjadi dengan tiba-tiba. Jika hal ini berlaku kepada anda, janganlah takut. Bolehkah anda ingat kisah Yusuf? Dia dijual sebagai hamba, tetapi Yehuwa “menyelamatkan dia daripada segala kesusahan.” (Kis. 7:9, 10) Jadi, ingatlah bahawa “Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.” (2 Ptr. 2:9) Yakinlah bahawa Yehuwa mampu menyelamatkan anda daripada dunia yang jahat ini. Dia akan mengurniai anda kehidupan kekal jika anda tetap berani menghadapi penderitaan.—1 Ptr. 5:8, 9.

SERANGAN SECARA TIDAK LANGSUNG

11. Apakah perbezaan antara serangan tidak langsung dengan serangan langsung?

11 Kita juga menghadapi serangan secara tidak langsung. Bagaimanakah serangan ini berbeza daripada serangan langsung seperti penganiayaan? Serangan langsung adalah seperti ribut taufan yang meremukkan rumah anda dengan tiba-tiba. Serangan tidak langsung pula macam anai-anai yang perlahan-lahan menghakis rumah anda. Apabila anda menyedarinya, mungkin sudah terlambat untuk menyelamatkan rumah anda.

12. (a) Bagaimanakah Syaitan menyerang kita secara tidak langsung? Mengapakah cara ini sangat berkesan? (b) Mengapakah Paulus berasa tawar hati?

12 Selain daripada serangan langsung seperti penganiayaan, Syaitan juga menggunakan serangan tidak langsung seperti perasaan tawar hati. Cara ini sangat berkesan kerana hubungan kita dengan Yehuwa menjadi renggang secara perlahan-lahan. Paulus pernah berasa tawar hati sehingga berkata, “Alangkah malangnya aku ini!” (Baca Roma 7:21-25.) Mengapakah Paulus berasa tawar hati? Dia mempunyai hubungan baik dengan Tuhan dan dia mungkin merupakan ahli badan pimpinan pada masa itu. Namun, Paulus berasa tawar hati kerana kelemahannya. Dia berasa susah untuk berbuat apa yang baik. Jika anda berasa tawar hati, ingatlah bahawa Paulus pun pernah berasa begitu.

13, 14. (a) Mengapakah sesetengah umat Tuhan berasa tawar hati? (b) Siapakah yang ingin iman kita hancur? Mengapa?

13 Ada kalanya, ramai saudara saudari tawar hati, resah, malah berasa tidak berguna. Contohnya, seorang saudari perintis berkata, “Saya asyik memikirkan kesilapan lampau. Setiap kali saya memikirkannya, saya semakin sedih. Apabila saya memikirkan semua kesalahan yang saya lakukan, saya berasa bahawa tiada sesiapa yang dapat mengasihi saya, bahkan Yehuwa.”

14 Mengapakah sesetengah penyembah Yehuwa, seperti saudari ini, berasa tawar hati? Terdapat banyak sebab. Ada yang mungkin berfikiran negatif terhadap diri sendiri atau keadaan hidup mereka. (Ams. 15:15) Yang lain pula mungkin berperasaan  negatif kerana menghadapi masalah kesihatan. Walau apa pun sebabnya, siapakah yang ingin kita tawar hati? Ya, Syaitan Si Iblis. Dia sendiri sudah tiada harapan dan akan dibinasakan. Jadi, dia ingin anda juga putus harapan. (Why. 20:10) Itulah sebabnya Syaitan menyerang kita secara langsung dan tidak langsung. Dia ingin kita berasa takut dan lemah semangat sehingga berhenti menyembah Yehuwa. Namun ingatlah, umat Tuhan terlibat dalam peperangan rohani demi mempertahankan kesetiaan mereka kepada Yehuwa.

15. Menurut 2 Korintus 4:16, 17, apakah tekad kita?

15 Bertekadlah untuk tidak menyerah kalah. Berfokuslah kepada ganjaran kita. Paulus menggalakkan sidang di Korintus, “Kami tidak tawar hati. Meskipun tubuh kami ini menjadi reput, tetapi batin kami dibaharui setiap hari. Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal. Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu.”—2 Kor. 4:16, 17.

BERSIAP SEDIALAH SEKARANG

Orang Kristian tua dan muda berlatih untuk mempertahankan kepercayaan mereka (Lihat perenggan 16)

16. Mengapakah penting untuk bersiap sedia sekarang?

16 Syaitan mempunyai banyak ‘muslihat yang jahat.’ (Ef. 6:11) Itulah sebabnya kita harus mengikut nasihat di 1 Petrus 5:9: “Teguhkanlah iman dan lawanlah Iblis.” Untuk tetap teguh, kita harus mempersiapkan hati dan minda kita sekarang agar kita sentiasa bersedia untuk melakukan apa yang betul. Contohnya, seorang askar perlu selalu berlatih supaya bersedia apabila peperangan tercetus. Begitu juga, kita harus berlatih dengan gigih  kerana kita tidak tahu cabaran apa yang akan dihadapi pada masa depan. Paulus berkata, “Ujilah diri kamu sendiri sama ada kamu betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan.”—2 Kor. 13:5.

17-19. (a) Bagaimanakah kita dapat menguji diri? (b) Bagaimanakah anak muda dapat bersedia untuk mempertahankan iman mereka di sekolah?

17 Satu cara kita boleh menguji diri adalah dengan bertanya, “Adakah saya selalu berdoa? Apabila orang lain mempengaruhi saya untuk berbuat salah, adakah saya tetap mentaati Tuhan dan bukannya manusia? Adakah saya menghadiri perjumpaan dengan tetap? Adakah saya berani menyebarkan kepercayaan saya? Adakah saya memaafkan kesilapan orang lain sepertimana saya mahu mereka memaafkan kesilapan saya? Adakah saya mematuhi para penatua dalam sidang, dan mereka yang mengambil pimpinan dalam aktiviti sedunia kita?”

18 Dunia penuh dengan orang yang cuba mempengaruhi pemikiran kita. Ramai saudara saudari berani mempertahankan kepercayaan mereka di sekolah. Mereka tidak berasa takut atau malu. Apakah yang membantu mereka? Ada yang menggunakan cadangan dalam majalah kita. Contohnya, majalah pembelajaran 15 Mei 2013, muka surat 5-6, menerangkan cara untuk menggunakan soalan semasa memberikan kesaksian kepada rakan sekolah. Hal ini boleh meningkatkan keyakinan anak anda. Ibu bapa, pastikanlah anda berlatih bersama anak-anak agar mereka bersedia untuk mempertahankan iman mereka semasa di sekolah.

19 Sudah tentu, bukannya selalu senang untuk melakukan apa yang dikehendaki Yehuwa. Contohnya, anda mungkin berasa sangat penat selepas bekerja sehari suntuk. Oleh itu, anda perlu lebih berusaha untuk menghadiri perjumpaan pada malam itu. Ataupun anda mungkin berasa susah untuk bangun awal pagi untuk pergi menginjil. Namun, jika anda memupuk kebiasaan untuk melakukan hal-hal rohani sekarang, anda dapat menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa depan.

20, 21. (a) Bagaimanakah kita dapat mengatasi perasaan negatif dengan merenungkan korban tebusan? (b) Apakah seharusnya tekad kita?

20 Bagaimana pula jika kita menghadapi serangan tidak langsung? Contohnya, bagaimanakah kita dapat mengatasi perasaan tawar hati? Satu cara berkesan adalah dengan merenungkan korban tebusan Yesus. Itulah yang dilakukan oleh Paulus. Ada kalanya dia berasa sangat tawar hati. Namun dia sedar bahawa Yesus mati bukan untuk orang sempurna, tetapi untuk orang yang berdosa. Paulus menulis, ‘Aku hidup dengan iman kepada Anak Tuhan yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan dirinya untuk aku.’ (Gal. 2:20) Ya, Paulus menghargai tebusan Yesus sebagai kurniaan peribadi daripada Yehuwa.

21 Anda juga dapat meraih banyak manfaat jika anda menerima tebusan sebagai kurniaan peribadi daripada Yehuwa. Perasaan tawar hati memang tidak akan hilang begitu sahaja. Ada yang perlu bertabah menghadapi perasaan ini sehingga dunia baru tiba. Namun, ganjaran akan diberikan kepada mereka yang tidak putus asa. Hari kedatangan Kerajaan Tuhan semakin dekat. Akhirnya kita akan menikmati keamanan di seluruh dunia dan semua orang akan menjadi sempurna. Maka, bertekadlah untuk meraih hadiah ini walaupun perlu menghadapi banyak penderitaan.