Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Anda Yakin bahawa Anda Memiliki Kebenaran? Mengapa?

Adakah Anda Yakin bahawa Anda Memiliki Kebenaran? Mengapa?

‘Ketahui kehendak Tuhan—iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna.’—RM. 12:2.

1. Apakah yang dilakukan ketua gereja semasa perang?

ADAKAH Tuhan menghendaki orang Kristian sejati untuk berperang dan membunuh? Itulah yang dilakukan oleh ramai orang yang mengaku diri Kristian selama 100 tahun yang lalu. Paderi Katolik memberkati tentera dan senjata yang digunakan untuk membunuh pihak lawan yang juga beragama Katolik. Hal yang sama juga dilakukan oleh paderi-paderi Protestan. Semua ini berlaku pada Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan pertumpahan darah.

2, 3. Semasa peperangan, apakah yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, dan mengapa?

2 Apakah yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa pada masa perang? Sejarah melaporkan bahawa mereka tetap berpendirian neutral. Mengapakah mereka melakukan demikian? Sebab mereka mengikut contoh dan ajaran Yesus. Dia berkata, ‘Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikutku.’ (Yoh. 13:35) Selain itu, mereka menerapkan apa yang tercatat dalam surat Paulus kepada sidang di Korintus.—Baca 2 Korintus 10:3, 4.

3 Oleh sebab hati nurani orang Kristian sejati dilatih oleh  Bible, mereka tidak berperang. Akibatnya, ribuan Saksi, tidak kira tua atau muda, lelaki atau wanita, menderita di kem tahanan dan penjara. Semasa Perang Dunia Kedua, ada yang terbunuh di bawah pemerintahan Nazi di Jerman. Meskipun semua ini berlaku, para Saksi tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Dengan setia, mereka menginjil di penjara, kem konsentrasi, dan semasa di pembuangan. Pada 1994, Saksi-Saksi Yehuwa juga tidak mengambil bahagian dalam pembasmian kaum di Rwanda. Selain itu, mereka tetap neutral apabila pertumpahan darah berlaku semasa negara Yugoslavia berpecah-belah.

4. Bagaimanakah pendirian neutral Saksi-Saksi Yehuwa mempengaruhi orang lain?

4 Pendirian neutral Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan bahawa mereka benar-benar mengasihi Tuhan dan orang lain. Hasilnya, ribuan orang di dunia yakin bahawa para Saksi mengamalkan ibadat sejati. Namun, terdapat perkara-perkara lain yang meyakinkan ramai orang bahawa Saksi-Saksi Yehuwa merupakan orang Kristian sejati.

KERJA PENDIDIKAN TERBESAR DALAM SEJARAH

5. Apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh pengikut Yesus abad pertama?

5 Yesus selalu menekankan kepentingan untuk menyebarkan berita baik. Dia memulakan kerja penyebaran dan memilih 12 orang rasul untuk menyertainya. Kemudian, dia juga melatih 70 orang pengikutnya. (Luk. 6:13; 10:1) Pada mulanya, mereka dilatih untuk mengajar orang Yahudi. Tetapi, Yesus kemudian berkata bahawa mereka harus mengajar semua bangsa. Hal ini merupakan perubahan yang besar bagi pengikut Yesus yang berbangsa Yahudi.—Kis. 1:8.

6. Bagaimanakah Petrus sedar bahawa Tuhan memperlakukan semua orang dengan sama rata?

6 Rasul Petrus telah diarahkan untuk menginjil kepada Kornelius, seorang lelaki bukan Yahudi. Pada masa itu, Petrus sedar bahawa Yehuwa memperlakukan semua orang dengan sama rata. Petrus memahami bahawa Tuhan ingin supaya orang daripada pelbagai bangsa mendengar dan menerima kebenaran. Maka, Kornelius dan keluarganya dibaptis. (Kis. 10:9-48) Mulai hari itu, Petrus dan pengikut Yesus yang lain menginjil kepada semua bangsa.

7, 8. Apakah yang sedang dilakukan oleh organisasi Yehuwa hari ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Pada zaman sekarang, mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa bersemangat untuk mengusahakan kerja menginjil dan mengajar berita baik di serata dunia. Kini, hampir 8 juta Saksi sedang menginjil dalam lebih daripada 600 bahasa! Saksi-Saksi Yehuwa terkenal kerana menginjil dari rumah ke rumah dan juga di tempat awam. Kadangkala mereka menggunakan meja pameran serta rak mudah alih.

8 Lebih daripada 2,900 orang telah dilatih untuk menterjemahkan Bible dan bahan bacaan Bible. Mereka tidak hanya menterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa utama, tetapi juga ke dalam bahasa yang tidak dikenali ramai. Contohnya, di Sepanyol, jutaan orang menggunakan bahasa Catalan setiap hari. Kebelakangan ini, pelbagai variasi bahasa Catalan juga digunakan dengan meluas di Andorra, Alicante, Kepulauan Balearic, dan Valencia. Oleh itu, orang Catalan sangat terharu kerana Saksi-Saksi Yehuwa kini  menyediakan bahan bacaan dan mengadakan perjumpaan Kristian dalam bahasa mereka.

9, 10. Apakah yang menunjukkan bahawa organisasi Yehuwa berminat dalam keperluan rohani orang ramai?

9 Hal yang sama juga berlaku di merata tempat. Misalnya, di Mexico, ramai orang berbahasa Sepanyol. Walaupun begitu, banyak bahasa tempatan lain juga digunakan, seperti bahasa Maya. Pasukan penterjemahan bahasa Maya telah dipindahkan ke kawasan yang menggunakan bahasa Maya. Hal ini adalah supaya mereka dapat mendengar dan menggunakan bahasa itu setiap hari. Jadi, bahan terjemahan mereka lebih senang difahami oleh orang Maya. Satu lagi contoh ialah bahasa Nepali yang digunakan di negara Nepal. Negara tersebut mempunyai penduduk seramai 29 juta dan sekitar 120 bahasa digunakan di sana. Meskipun begitu, bahasa Nepali digunakan oleh lebih daripada 10 juta orang penduduk, dan ramai penduduk lain boleh memahaminya. Sekarang bahan bacaan Bible kita juga disediakan dalam bahasa Nepali.

10 Kerja penterjemahan di seluruh dunia menunjukkan bahawa organisasi Yehuwa memandang serius tanggungjawab untuk menyebarkan berita baik ke serata dunia. Berjuta-juta risalah, brosur, dan majalah diedarkan tanpa bayaran kepada orang ramai. Kos ini dibiayai oleh derma sukarela daripada para Saksi. Mereka mengikut arahan Yesus, “Lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran!”—Mat. 10:8.

Kumpulan penterjemahan menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Low German (Lihat perenggan 10)

Bahan bacaan dalam bahasa Low German sangat berguna di Paraguay (Lihat gambar pada permulaan rencana)

11, 12. Kerja penyebaran sedunia meyakinkan orang tentang apa?

11 Saksi-Saksi Yehuwa amat yakin bahawa mereka memiliki kebenaran. Oleh itu, mereka rela membuat pengorbanan yang besar demi menyebarkan berita baik kepada pelbagai bangsa dan kaum. Ramai Saksi telah menyederhanakan hidup, mempelajari bahasa baru, dan menyesuaikan diri dengan budaya baru supaya dapat menyebarkan kebenaran. Kerja penyebaran sedunia ini juga meyakinkan orang lain bahawa Saksi-Saksi Yehuwa merupakan pengikut Kristus yang sejati.

12 Para Saksi melakukan semua hal ini kerana mereka yakin bahawa mereka memiliki kebenaran. Tetapi, apa lagi yang meyakinkan orang bahawa Saksi-Saksi  Yehuwa memiliki kebenaran?—Baca Roma 14:17, 18.

MENGAPA MEREKA PERCAYA

13. Bagaimanakah para Saksi memastikan bahawa organisasi mereka tetap bersih?

13 Ramai saudara saudari yakin bahawa mereka memiliki kebenaran. Kita boleh meraih banyak manfaat daripada komen-komen mereka. Contohnya, seorang yang lama menyembah Yehuwa berkata, “Tidak kira siapa yang perlu ditegur atau didisiplinkan, banyak usaha dicurahkan untuk memastikan organisasi Yehuwa tetap bersih secara moral dan tidak bercela.” Piawaian moral yang tinggi ini dapat dicapai dengan mengikut prinsip Bible dan teladan Yesus serta para rasul. Ramai yang pernah hidup dalam cara yang tidak diterima Tuhan telah berubah dan kini hidup menurut prinsip Tuhan. Kebanyakan Saksi-Saksi Yehuwa tetap hidup suci. Tetapi, sebilangan kecil yang enggan mengikut piawaian Yehuwa telah disingkirkan.—Baca 1 Korintus 6:9-11.

14. Apakah perubahan yang dilakukan oleh ramai orang yang telah disingkirkan, dan apakah hasilnya?

14 Apakah yang terjadi kepada mereka yang disingkirkan? Ribuan daripada mereka telah bertaubat dan diterima kembali ke sidang. (Baca 2 Korintus 2:6-8.) Oleh sebab Saksi-Saksi Yehuwa berpegang teguh pada piawaian Bible, sidang Kristian tetap suci. Hal ini meyakinkan para Saksi bahawa organisasi merekalah yang diperkenankan Tuhan. Walaupun banyak gereja membiarkan ahli-ahli mereka berbuat sesuka hati, Saksi-Saksi Yehuwa tetap berpegang pada prinsip Bible. Oleh itu, ramai orang yakin bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memiliki kebenaran.

15. Apakah yang meyakinkan seorang saudara bahawa dia memiliki kebenaran?

15 Mengapakah Saksi-Saksi lain percaya bahawa mereka memiliki kebenaran? Seorang saudara berumur 54 tahun mula menyembah Yehuwa sejak remaja. Dia berkata bahawa imannya adalah berdasarkan tiga perkara penting: (1) Tuhan wujud, (2) Bible diilhami Tuhan, dan (3) Saksi-Saksi Yehuwa melakukan kehendak Tuhan hari ini. Dia berkata, “Melalui pembelajaran Bible selama bertahun-tahun, saya selalu cuba menguji sama ada tiga perkara itu memang berasas atau tidak. Saya dapati buktinya bertambah kukuh setiap tahun. Hal ini menguatkan iman dan keyakinan saya bahawa kita memang memiliki kebenaran.”

16. Mengapakah seorang saudari yakin bahawa dia memiliki kebenaran?

16 Seorang saudari yang berkhidmat di ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di New York menjelaskan mengapa dia yakin bahawa dia memiliki kebenaran. Dia berkata bahawa hanya organisasi Yehuwa yang memberitahu orang lain tentang nama Yehuwa yang muncul kira-kira 7,000  kali dalam Bible. Dia juga digalakkan oleh ayat di 2 Tawarikh 16:9 yang menyatakan, ‘Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya.’ Dia menambah, “Kebenaran Bible mengajar saya untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati agar Tuhan dapat memberikan kekuatan kepada saya. Hubungan saya dengan Yehuwa sangat bernilai. Saya juga amat menghargai peranan Yesus yang membantu saya untuk mendapatkan pengetahuan tentang Tuhan.”

17. Mengapakah seorang lelaki yang dahulunya tidak percaya kepada Tuhan yakin bahawa dia telah menemui kebenaran?

17 Seorang lelaki yang dahulunya tidak percaya kepada Tuhan berkata, “Ciptaan meyakinkan saya bahawa Tuhan ingin manusia hidup gembira. Jadi, Dia tidak akan membenarkan penderitaan berterusan. Orang di dunia menjadi semakin jahat. Tetapi, umat Yehuwa semakin beriman, bersemangat, dan saling mengasihi. Hanya daya aktif Yehuwa yang dapat menyebabkan mukjizat ini berlaku.”—Baca 1 Petrus 4:1-4.

18. Mengapakah dua orang saudara percaya bahawa mereka memiliki kebenaran? Apakah perasaan anda tentang hal itu?

18 Seorang lagi saudara yang sudah lama berada dalam kebenaran menerangkan mengapa dia percaya bahawa dia memiliki kebenaran: “Apa yang saya pelajari selama ini meyakinkan saya bahawa para Saksi memang berusaha untuk mengikut teladan orang Kristian abad pertama. Saya dapat melihat perpaduan sedunia Saksi-Saksi Yehuwa kerana saya sudah pergi ke banyak negara. Kebenaran Bible memberi saya kepuasan dan sukacita.” Seorang saudara yang berumur 60-an berkata bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memang beriman kepada Yesus. Dia menjelaskan, “Kita telah mengkaji kehidupan Yesus dengan teliti, dan menghargai teladan baiknya. Teladan Yesus telah membantu kita untuk mengubah gaya hidup agar kita menikmati hubungan yang lebih rapat dengan Yehuwa. Kita sedar bahawa hanya dengan tebusan Yesus kita mendapat penyelamatan. Kita juga yakin bahawa dia sudah dibangkitkan daripada kematian kerana terdapat bukti daripada saksi yang boleh dipercayai.”—Baca 1 Korintus 15:3-8.

BERITAHULAH ORANG LAIN TENTANG KEBENARAN

19, 20. (a) Paulus memberitahu sidang di Roma tentang tanggungjawab apa? (b) Apakah yang perlu dilakukan oleh semua umat Yehuwa?

19 Sebagai orang Kristian sejati, kita benar-benar mengasihi orang lain. Itulah sebabnya kita harus memberitahu mereka tentang kebenaran. Paulus berkata kepada sidang di Roma bahawa pengikut Yesus bertanggungjawab untuk menginjil: “Jika kamu mengisytiharkan dengan mulut kamu bahawa Yesus ialah Tuan, dan jika kamu beriman di dalam hati kamu bahawa Tuhan sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. Dengan hati, seseorang beriman untuk mendapat perkenan Tuhan. Namun dengan mulut, seseorang mengisytiharkan perkhabaran itu untuk mendapat penyelamatan.”—Rm. 10:9, 10, NW.

20 Saksi-Saksi Yehuwa yakin bahawa mereka memiliki kebenaran. Mereka menghargai penghormatan untuk mengajar orang lain tentang kebenaran. Jadi, berusahalah untuk mengajar Bible kepada orang lain. Tunjukkanlah bahawa anda memiliki kebenaran melalui cara hidup anda.