Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Ibu Bapa—Jagalah Anak-anak Anda

Ibu Bapa—Jagalah Anak-anak Anda

“Peliharalah ternakan kamu baik-baik.”—AMS. 27:23.

1, 2. (a) Apakah beberapa tanggungjawab seorang gembala? (b) Mengapakah ibu bapa seperti para gembala?

PADA zaman Israel kuno, kehidupan para gembala sangat susah. Mereka perlu bekerja di luar tidak kira panas atau sejuk. Mereka melindungi kawanan daripada binatang liar dan pencuri. Mereka selalu memeriksa setiap domba dan mengubati ternakan yang sakit atau cedera. Mereka memberikan perhatian khusus kepada anak domba yang lebih lemah daripada domba dewasa.—Kej. 33:13.

2 Ibu bapa Kristian juga seperti para gembala. Mereka bertanggungjawab untuk membesarkan anak-anak “dengan ajaran dan nasihat Tuhan.” (Ef. 6:4) Adakah tugas ini senang? Tidak! Anak-anak sentiasa terdedah kepada idea-idea buruk Syaitan. Mereka juga memiliki kecenderungan yang berdosa. (2 Tim. 2:22; 1 Yoh. 2:16) Jadi, bagaimanakah anda dapat membantu anak anda? Mari kita bincangkan tiga cara iaitu: (1) mengenali mereka, (2) mendidik mereka, dan (3) membimbing mereka.

 KENALI ANAK ANDA

3. Bagaimanakah ibu bapa boleh mengenal anak mereka dengan baik?

3 Seorang gembala akan memeriksa dan memastikan bahawa setiap domba sihat. Bible berkata, “Peliharalah ternakan kamu baik-baik.” (Ams. 27:23) Seperti gembala, ibu bapa perlu mengenali anak-anak. Mereka perlu prihatin terhadap kelakuan, perasaan, dan pendapat anak. Bagaimanakah anda boleh melakukannya? Dengan sentiasa bercakap dengan anak.

4, 5. (a) Apakah cadangan yang sesuai untuk menggalakkan anak meluahkan perasaan dan pendapat mereka? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang pernah anda lakukan agar anak berasa senang untuk bercakap dengan anda?

4 Sesetengah ibu bapa berasa susah untuk berkomunikasi dengan anak remaja. Para remaja mungkin tidak ingin meluahkan perasaan atau pendapat mereka. Jika anak anda juga begitu, apakah yang boleh dilakukan? Anda tidak perlu terlalu serius dan bercakap panjang lebar. Sebaliknya, cubalah berbual dengan mereka dalam keadaan yang tenang. (Ul. 6:6, 7) Luangkanlah masa bersama. Contohnya dengan bersiar-siar, bermain, dan membuat kerja di rumah bersama. Apabila anak berasa tenang, mereka mungkin lebih rela meluahkan isi hati.

5 Bagaimana pula jika anak anda masih tidak mahu bercakap? Cubalah cara lain. Jika boleh, jangan bertanya, “Apa kamu buat hari ini?” Sebaliknya, cuba beritahu dahulu apa yang telah anda lakukan pada hari itu. Kemudian, dia mungkin berasa lebih selesa untuk menceritakan apa yang telah dia lakukan pada hari itu. Jika anda ingin mengetahui perasaannya mengenai sesuatu, tanyalah soalan seperti, “Pernahkah kamu lihat orang buat begini?” dan bukannya, “Pernahkah kamu buat begini?” Anda juga boleh bertanya, “Apakah pendapat kawan-kawan kamu tentang hal ini?” Kemudian anda boleh bertanya, “Apakah nasihat yang akan kamu berikan kepada mereka?”

6. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda mudah didekati?

6 Anak-anak lebih sudi berkomunikasi jika anda mudah didekati. Jika anda selalu sibuk dan tidak meluangkan masa bersama anak, mereka tidak akan memberitahu anda masalah yang dihadapi. Jadi, bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda mudah didekati? Jangan sekadar berkata, “Kamu boleh bercakap dengan saya bila-bila sahaja.” Anak remaja perlu yakin bahawa anda prihatin terhadap masalahnya dan tidak akan marah jika dia meluahkan perasaannya. Kayla yang berumur 19 tahun berkata, “Saya dapat bercakap dengan ayah tentang apa sahaja. Dia tidak mencelah atau menghakimi saya. Dia mendengar semuanya, dan kemudian memberikan nasihat yang terbaik.”

7. Bagaimanakah ibu bapa boleh bersikap seimbang semasa bercakap tentang topik seperti berdating supaya anak tidak berasa bosan?

7 Ada kalanya, anda perlu berbual tentang topik yang susah, seperti berdating. Jika demikian, ajarlah mereka cara yang betul untuk menanganinya. Bayangkan anda pergi ke sebuah restoran, dan menu di sana hanya mengandungi amaran tentang keracunan makanan, tentu anda akan beredar. Begitu juga, jika anda hanya memberikan amaran kepada anak, mereka akan bosan mendengarnya dan berhenti meminta nasihat anda. (Baca Kolose 3:21.) Sebaliknya, cubalah bersikap seimbang. Seorang saudari muda bernama Emily berkata, “Ibu bapa saya tidak bercakap tentang berdating dalam cara  yang negatif. Mereka mengatakan bahawa mengenali seseorang dan mencari teman hidup adalah sesuatu yang menggembirakan. Oleh itu, saya selesa berbual tentang topik ini dengan mereka. Jika saya berdating, saya ingin memberitahu ibu bapa, bukannya merahsiakan hal itu.”

8, 9. (a) Apakah kebaikannya untuk bersabar dan mendengar dengan teliti? (b) Bolehkah anda berkongsi pengalaman anda semasa mendengarkan anak?

8 Anda perlu bersabar dan mendengar dengan teliti supaya anak mudah bercakap dengan anda. (Baca Yakobus 1:19.) Seorang ibu tunggal yang bernama Katia berkata, “Dahulu saya tidak sabar dengan anak perempuan saya. Saya tidak memberinya peluang untuk menghabiskan ceritanya. Saya berasa terlalu letih atau tidak mahu diganggu. Namun, setelah saya mengubah sikap, anak saya juga berubah. Dia sekarang lebih rela bercakap dengan saya.”

Dengar supaya anda mengenali mereka (Lihat perenggan 3-9)

9 Seorang bapa bernama Ronald, yang mempunyai anak perempuan berkata, “Apabila dia memberitahu bahawa dia bercinta dengan seorang lelaki di sekolah, saya sangat marah. Tetapi saya teringat bahawa Yehuwa bersabar dan munasabah dengan umat-Nya. Maka, saya memberi dia peluang untuk meluahkan isi hatinya sebelum saya memberikan nasihat. Inilah pertama kali saya memahami perasaan anak saya! Selepas mendengar penjelasannya, saya berasa lebih senang untuk memberikan nasihat dengan penuh kasih. Tanpa disangka, dia menerima nasihat saya dan berjanji untuk berubah.” Jika anda selalu berbual dengan anak, anda akan lebih memahami pemikiran dan perasaan mereka. Hasilnya, nasihat anda akan lebih senang diterima oleh anak semasa mereka membuat keputusan. *

DIDIK ANAK ANDA

10, 11. Bagaimanakah anda dapat membantu anak agar tidak meninggalkan kebenaran?

10 Seorang gembala tahu bahawa domba-domba boleh tersesat. Seekor domba mungkin mula mencari rumput di tempat lain. Lama-kelamaan domba itu semakin jauh daripada kawanan. Begitu juga, anak muda boleh meninggalkan kebenaran dengan perlahan-lahan. Mereka mungkin dipengaruhi oleh pergaulan atau hiburan  yang buruk. (Ams. 13:20) Bagaimanakah anda dapat menghindari hal ini?

11 Jika anak anda mempunyai kelemahan tertentu, bantulah mereka dengan segera untuk mengatasinya. Selain itu, bantulah anak untuk menguatkan sifat-sifat mereka yang baik. (2 Ptr. 1:5-8) Penyembahan Keluarga merupakan masa terbaik untuk melakukan semua ini. Kerja Teokratik Kita terbitan Oktober 2008 menyatakan: “Semua ketua keluarga digalakkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka yang diberikan oleh Yehuwa untuk memastikan bahawa program pembelajaran keluarga yang tetap dan bermakna diadakan.” Adakah anda menggunakan masa Penyembahan Keluarga dengan bijak untuk mendidik anak anda? Yakinlah bahawa anak anda memang menghargai segala usaha yang anda curahkan.—Mat. 5:3; Flp. 1:10.

Didik mereka dengan baik (Lihat perenggan 10-12)

12. (a) Bagaimanakah orang muda meraih manfaat daripada penyembahan keluarga? (Lihat juga kotak “ Mereka Menghargainya.”) (b) Bagaimanakah anda meraih manfaat daripada penyembahan keluarga?

12 Gadis remaja bernama Carissa dan keluarganya meraih manfaat daripada Penyembahan Keluarga. Dia berkata, “Saya suka apabila kami duduk bersama dan berbual. Hubungan kami semakin erat. Semua ini mengukir kenangan manis dalam hidup. Ayah mengadakan penyembahan keluarga dengan tetap. Oleh sebab ayah melakukannya dengan serius, saya juga didorong untuk bersikap serius. Maka, saya lebih menghormati dia sebagai ayah dan ketua keluarga.” Seorang saudari muda bernama Brittney berkata, “Penyembahan keluarga mengeratkan hubungan saya dengan ibu bapa. Saya dapat melihat bahawa mereka benar-benar prihatin tentang masalah saya. Penyembahan keluarga menyatukan dan menguatkan kami sekeluarga.” Jelaslah, penyembahan keluarga adalah cara utama untuk mendidik anak-anak secara rohani. *

BIMBING ANAK ANDA

13. Bagaimanakah anak dapat dibantu untuk menyembah Yehuwa?

13 Gembala yang baik menggunakan tongkat untuk melindungi kawanan domba dan memimpin mereka ke ‘padang rumput yang subur.’ (Yeh. 34:13, 14) Seperti gembala, anda tentu ingin membimbing anak untuk menyembah Yehuwa. Anda ingin anak berasa seperti pemazmur yang berkata, ‘Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Tuhanku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.’ (Mzm. 40:9) Anak muda yang mempunyai perasaan sebegini akan membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Untuk membuat keputusan yang penting ini, mereka perlu memperoleh pengetahuan yang mencukupi dan benar-benar ingin menyembah Yehuwa.

14, 15. (a) Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak membuat kemajuan rohani? (b) Mengapakah anak mungkin berasa kurang yakin terhadap kebenaran?

14 Bagaimana pula jika anak anda tidak membuat kemajuan rohani atau tidak yakin akan kebenaran? Apakah yang akan anda lakukan? Teruslah bimbing mereka untuk memupuk kasih kepada Yehuwa. Ajarlah mereka untuk menghargai segala yang Yehuwa lakukan demi mereka. (Why. 4:11) Maka, mereka dapat membuat keputusan sendiri untuk menyembah Yehuwa.

15 Jika anak anda kurang yakin akan kebenaran, cubalah bimbing mereka dengan sabar. Bantulah mereka memahami bahawa menyembah Yehuwa adalah cara hidup  terbaik dan membawa berkat yang berkekalan. Selain itu, cubalah ketahui apa sebabnya mereka berasa kurang yakin. Misalnya, adakah anak anda tidak percaya ajaran Bible atau dia cuma takut untuk menginjil kepada rakannya? Adakah dia berfikir bahawa prinsip Tuhan tidak baik atau dia cuma berasa sunyi dan tersisih?

Bimbing haluan hidup mereka (Lihat perenggan 13-18)

16, 17. Bagaimanakah ibu bapa membantu anak untuk memupuk hubungan peribadi dengan Yehuwa?

16 Bagaimanakah anda boleh membantu anak untuk mengatasi keraguan tentang kebenaran? Ramai ibu bapa berjaya menolong anak dengan menanya soalan-soalan seperti, “Bagi kamu, adakah senang atau susah untuk hidup sebagai orang Kristian? Apakah kebaikannya untuk menyembah Yehuwa? Apakah pula pengorbanannya? Apakah perasaan kamu tentang berkat yang kita terima sekarang dan pada masa depan? Jika dibandingkan, adakah berkat melebihi pengorbanan?” Pastikan bahawa anda bertanya dengan ikhlas, baik hati, dan bertimbang rasa. Jangan buat anak anda berasa tertekan. Pada masa itu, anda juga boleh membincangkan Markus 10:29, 30 bersama anak. Kemudian, anak muda boleh menyenaraikan kebaikan dan pengorbanan sebagai orang Kristian. Senarai ini dapat membantu anda dan anak untuk mengenal pasti masalah dan cara mengatasinya. Jika kita mengajar orang yang berminat dengan menggunakan buku Ajaran Bible dan Kasih Tuhan, lebih-lebih lagi kita harus melakukannya dengan anak sendiri! Adakah anda sedang berbuat demikian?

17 Jangan anggap bahawa anak-anak akan menyembah Yehuwa secara automatik. Mereka perlu memupuk hubungan peribadi dengan Yehuwa dan membuat pilihan sendiri untuk menyembah-Nya. (Ams. 3:1, 2) Jika anak berasa susah untuk mendekati Yehuwa, bantulah dia untuk memikirkan soalan-soalan seperti: “Bagaimanakah saya pasti Tuhan wujud? Bagaimanakah saya tahu Yehuwa benar-benar mengambil berat tentang saya? Adakah saya yakin prinsip Tuhan memang bermanfaat bagi saya?” Ibu bapa, anda harus membimbing anak dengan sabar seperti gembala yang baik. Teruslah bantu mereka untuk yakin bahawa menyembah Yehuwa memang cara hidup yang terbaik.—Rm. 12:2.

18. Bagaimanakah ibu bapa boleh meniru Yehuwa, Gembala Yang Agung?

18 Kita semua sebagai orang Kristian sejati patut meniru Yehuwa, Gembala Yang Agung. (Ef. 5:1; 1 Ptr. 2:25) Ibu bapa seharusnya mengenali dan mendidik anak-anak agar mereka dapat menikmati berkat Yehuwa yang berkekalan. Berusahalah sedaya upaya untuk membimbing dan membesarkan anak anda supaya mereka mengasihi Yehuwa!

^ per. 9 Lihat majalah pembelajaran 15 Mei 2013, muka surat 19-23.

^ per. 12 Untuk maklumat lanjut, lihat Kerja Teokratik Kita terbitan Ogos 2013, muka surat 3-6.