Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

‘Balik dan Kuatkan Saudara-saudaramu’

‘Balik dan Kuatkan Saudara-saudaramu’

PETRUS berdukacita selepas menyangkal Yesus. Dia perlu berusaha untuk kuat semula secara rohani. Oleh sebab Yesus ingin Petrus membantu saudaranya yang lain, Yesus berkata kepadanya, ‘Apabila engkau balik kepadaku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.’ (Luk. 22:32, 54-62) Kemudian, Petrus menjadi salah seorang penyelia utama bagi sidang Kristian abad pertama. (Gal. 2:9) Begitu juga, saudara yang pernah menjadi penatua berpeluang untuk memikul tanggungjawab itu sekali lagi dan meraih sukacita dengan membantu rakan seiman secara rohani.

Saudara yang diberhentikan daripada tanggungjawab penatua mungkin berasa kecewa. Julio * yang pernah berkhidmat sebagai penatua untuk lebih daripada 20 tahun di Amerika Selatan berkata, “Memberikan ceramah, melawat rakan seiman, dan membuat kunjungan penggembalaan merupakan sebahagian besar dalam hidup saya. Tiba-tiba semuanya tiada. Terdapat suatu kekosongan yang besar dalam hidup saya. Memang suatu pengalaman yang pahit sekali.” Namun, Julio sekarang berkhidmat sebagai penatua sekali lagi.

“ANGGAPLAH DIRI KAMU BERBAHAGIA”

Yakobus menulis, “Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan.” (Yak. 1:2) Yakobus merujuk kepada cubaan yang disebabkan oleh penganiayaan dan ketidaksempurnaan kita. Contohnya, sikap pilih kasih, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. (Yak. 1:14; 2:1; 4:1, 2, 11) Kita memang susah hati semasa didisiplinkan oleh Yehuwa. (Ibr. 12:11) Tetapi kita tidak perlu kehilangan sukacita ketika menerima disiplin.

Walaupun kita telah diberhentikan daripada khidmat penatua, kita masih berpeluang untuk meneliti diri sendiri. Contohnya, seberapa dalamkah  iman dan kasih kita kepada Yehuwa? Adakah kita berkhidmat sebagai penatua kerana kepentingan diri sendiri atau kerana kita benar-benar mengasihi Yehuwa? Adakah kita yakin bahawa sidang adalah milik Yehuwa dan memerlukan jagaan yang baik? (Kis. 20:28-30) Bekas penatua yang terus melakukan kerja Tuhan dengan sukacita membuktikan kepada semua orang, termasuk Syaitan, bahawa mereka memiliki kasih sejati kepada Yehuwa.

Apabila Daud didisiplinkan oleh Yehuwa kerana melakukan dosa serius, dia menerima disiplin itu dan diampunkan. Daud berkata, ‘Berbahagialah orang yang dosa mereka telah diampunkan, yang kesalahan mereka telah dimaafkan. Berbahagialah orang yang tidak dituduh oleh Yehuwa kerana kejahatan mereka, dan yang tidak suka menipu.’ (Mzm. 32:1, 2) Disiplin Yehuwa bermanfaat dan menjadikan Daud gembala yang lebih baik.

Biasanya, saudara yang dilantik untuk menjadi penatua sekali lagi merupakan gembala yang lebih baik. “Sekarang saya lebih memahami cara membantu mereka yang telah melakukan kesalahan,” kata seorang penatua. Seorang lagi penatua berkata, “Sekarang saya lebih menghargai peluang untuk berkhidmat kepada saudara saudari.”

BOLEHKAH ANDA KEMBALI BERKHIDMAT?

Yehuwa tidak selalu mencari kesalahan orang. (Mzm. 130:3, 4) Kita tidak harus berfikir bahawa Tuhan tidak lagi mempercayai orang yang pernah melakukan kesalahan serius. Ricardo diberhentikan selepas lama berkhidmat sebagai penatua. Dia berkata, “Saya sangat kecewa kerana kesilapan saya. Buat masa yang lama, saya rasa tidak layak untuk berkhidmat sebagai penatua semula. Saya kurang pasti jika saudara saudari akan mempercayai saya. Tetapi, oleh sebab saya suka membantu orang, saya mengadakan pembelajaran Bible, menggalakkan rakan seiman di perjumpaan, dan menginjil bersama mereka. Hal itu membantu saya untuk yakin kembali. Sekarang saya berkhidmat sebagai penatua sekali lagi.”

Yehuwa telah membantu banyak saudara untuk berkhidmat semula sebagai penatua

Perasaan dendam boleh menghalang seorang saudara daripada menjadi penatua. Daud ialah teladan yang baik. Dia diburu oleh Raja Saul yang  jahat. Namun, Daud tidak membalas dendam kepada Saul walaupun dia berpeluang berbuat demikian. (1 Sam. 24:5-8; 26:8-12) Apabila Saul mati dalam pertempuran, Daud bersedih dan merujuk kepada Saul dan anaknya Yonatan sebagai orang yang “disukai dan dikasihi.” (2 Sam. 1:21-23) Ya, Daud tidak menyimpan dendam.

Jika anda berasa bahawa anda telah diperlakukan dengan tidak adil, janganlah berdendam. William, seorang penatua selama 30 tahun telah diberhentikan daripada khidmatnya. Dia berasa geram terhadap beberapa orang penatua. Bagaimanakah dia mengatasi perasaan ini? Dia berkata, “Membaca buku Ayub telah membantu saya. Jika Yehuwa membantu Ayub berbaik semula dengan tiga sahabatnya, sudah pasti Yehuwa akan membantu saya untuk berbaik semula dengan para penatua!”—Ayb. 42:7-9.

TUHAN MEMBERKATI MEREKA YANG MENJADI PENATUA SEMULA

Jika anda memilih untuk berhenti sebagai penatua, adalah baik untuk memikirkan sebabnya. Adakah anda diganggu oleh masalah peribadi? Adakah hal-hal lain menjadi lebih penting dalam kehidupan anda? Adakah anda tersinggung oleh orang lain? Ingatlah bahawa anda dapat membantu sidang dalam banyak cara dengan berkhidmat sebagai penatua. Ceramah dan teladan anda, serta kunjungan penggembalaan dapat membantu mereka untuk tabah menghadapi cubaan. Khidmat anda sebagai penatua yang setia menyenangkan hati Yehuwa.—Ams. 27:11.

Buktikanlah kasih anda kepada Yehuwa dengan berkhidmat kepada-Nya

Yehuwa telah membantu banyak saudara untuk berkhidmat semula sebagai penatua dalam sidang. Jika anda tidak lagi berkhidmat sebagai penatua, anda masih boleh berusaha untuk memikul tanggungjawab itu lagi. (1 Tim. 3:1) Paulus “selalu berdoa” bagi orang Kristian di Kolose agar mereka terus menimba pengetahuan yang tepat serta “hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” (Kol. 1:9, 10) Jika anda berpeluang untuk berkhidmat sebagai penatua sekali lagi, mintalah kekuatan, kesabaran, dan sukacita daripada Yehuwa. Pada hari-hari terakhir ini, umat Tuhan memerlukan sokongan rohani para gembala. Adakah anda mahu menguatkan saudara saudari anda?

^ per. 3 Beberapa nama telah diubah.