‘Yesus menjawab, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku sampai ke hujung bumi.”’—KIS. 1:7, 8.

1, 2. (a) Siapakah saksi Yehuwa yang paling menonjol? (b) Apakah maksud nama Yesus, dan bagaimanakah dia hidup seiring dengan namanya?

‘AKU dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; aku datang untuk berkata tentang apa yang benar.’ (Baca Yohanes 18:33-37.) Semasa diadili, Yesus Kristus mengatakan kata-kata tadi kepada seorang gabenor Roma di Yudea. Yesus baru sahaja memperkenalkan dirinya sebagai raja. Bertahun-tahun kemudian, rasul Paulus berkata bahawa Yesus dengan berani “memberikan kesaksian yang benar kepada Pontius Pilatus.” (1 Tim. 6:13) Sudah pasti, kita memerlukan keberanian untuk menjadi “saksi yang setia dan benar” di dunia Syaitan yang penuh dengan kebencian.—Why. 3:14.

2 Sebagai orang Yahudi, Yesus sudah pun menjadi seorang saksi Yehuwa. (Yes. 43:10) Dia ialah saksi Tuhan yang terbaik. Yesus memandang serius namanya. Sebelum Yesus dilahirkan, malaikat berkata kepada Yusuf, ‘Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana dia akan menyelamatkan umatnya daripada dosa mereka.’ (Mat. 1:20, 21) Para cendekiawan Bible secara umum setuju bahawa nama Yesus berasal daripada  nama Ibrani, iaitu Yeshua. Nama ini mengandungi nama ilahi yang diringkaskan dan bermaksud “Yehuwa Ialah Penyelamatan.” Bersesuaian dengan namanya itu, Yesus berusaha membantu orang Israel yang bagaikan “domba yang sesat” untuk bertaubat daripada dosa agar dapat diperkenankan Yehuwa. (Mat. 10:6; 15:24; Luk. 19:10) Yesus memberikan kesaksian mengenai Kerajaan Tuhan dengan bersemangat. Markus melaporkan, ‘Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan berita baik daripada Tuhan. Dia berkata, “Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Tuhan akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada berita baik ini!”’ (Mrk. 1:14, 15) Yesus juga mengutuk guru agama Yahudi dengan berani. Inilah salah satu alasan mereka membunuhnya.—Mrk. 11:17, 18; 15:1-15.

‘HAL-HAL LUAR BIASA YANG DILAKUKAN OLEH TUHAN’

3. Apakah yang berlaku pada hari ketiga selepas Yesus mati?

3 Tiga hari selepas Yesus dibunuh, Yehuwa telah membangkitkannya dengan tubuh roh. (1 Ptr. 3:18) Yesus membuktikan bahawa dia sudah dibangkitkan daripada kematian dengan muncul di hadapan pengikutnya sebagai seorang manusia. Pada hari dia dibangkitkan, Yesus muncul sekurang-kurangnya lima kali kepada pengikutnya yang berlainan.—Mat. 28:8-10; Luk. 24:13-16, 30-36; Yoh. 20:11-18.

4. Apakah yang berlaku sewaktu Yesus muncul di hadapan pengikutnya selepas dia dibangkitkan? Apakah perintah yang diberikan oleh Yesus kepada mereka?

4 Kali kelima Yesus muncul adalah di hadapan para rasul dan pengikut-pengikut lain yang bersama dengan mereka. Pada masa itu, dia seperti mengadakan pembelajaran Bible bersama mereka. “Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab.” Oleh sebab itu, mereka mula memahami bahawa kematian dan pembangkitan Yesus telah dinubuatkan dalam Alkitab. Pada penghujung perjumpaan itu, Yesus memberitahu tanggungjawab mereka. Dia berkata, ‘Demi namanya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Tuhan akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem.’ Dia menambah, “Kamulah saksi semua perkara ini.”Luk. 24:44-48.

5, 6. (a) Mengapakah Yesus berkata, ‘Kamu akan menjadi saksi-saksiku’? (b) Apakah yang harus disebarkan oleh pengikut Yesus?

5 Pada kali terakhir Yesus muncul, iaitu 40 hari kemudian, dia berkata, ‘Kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.’ (Kis. 1:8) Mengapakah Yesus berkata, ‘Kamu akan menjadi saksi-saksiku’? Orang Israel sudah menjadi saksi Yehuwa. Sekarang mereka akan menjadi saksi Yesus pula. Apakah yang dimaksudkannya?

Sebagai pengikut Yesus, kita terus menyebarkan kehendak Tuhan dan janji-Nya bagi masa depan (Lihat perenggan 5, 6)

6 Sekarang, pengikut Yesus harus menyebarkan penyelamatan yang lebih hebat daripada penyelamatan di Mesir atau Babilon. Mereka akan memberitakan kebenaran tentang kematian dan pembangkitan Yesus yang membawa penyelamatan daripada dosa dan kematian. Pada Pentakosta 33 M, mereka mula menyebar tentang ‘hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Tuhan.’ Ramai yang mendengar telah bertaubat dan beriman kepada Yesus. Yesus yang berada di syurga menerima kuasa dan Yehuwa menggunakannya untuk menyelamatkan ramai orang.—Kis. 2:5, 11, 37-41.

 KORBAN TEBUSAN “MEMBEBASKAN BANYAK ORANG”

7. Apakah yang terbukti pada hari Pentakosta 33 M?

7 Peristiwa pada hari Pentakosta 33 M membuktikan bahawa Yehuwa menerima korban tebusan Yesus yang sempurna untuk menebus dosa umat manusia. (Ibr. 9:11, 12, 24) Yesus menjelaskan bahawa dia ‘tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani orang serta menyerahkan nyawanya untuk membebaskan banyak orang.’ (Mat. 20:28) Bukan orang Yahudi sahaja yang meraih manfaat daripada korban tebusan Yesus. Kehendak Tuhan ialah supaya “semua orang diselamatkan.” Tebusan ini dapat “menghapuskan dosa dunia!”1 Tim. 2:4-6; Yoh. 1:29.

8. Bagaimanakah pengikut Yesus pada masa awal dapat memberikan kesaksian, dan apakah hasilnya?

8 Adakah pengikut Yesus pada masa awal memerlukan keberanian untuk memberikan kesaksian? Sudah tentu. Namun, mereka tidak bergantung pada kebolehan sendiri. Daya aktif Yehuwa telah mendorong dan menguatkan mereka untuk terus memberikan kesaksian. (Baca Kisah 5:31,32.) Kira-kira 27 tahun selepas Pentakosta 33 M, “perkhabaran yang benar” telah mencapai “semua orang,” termasuk orang Yahudi dan orang bukan Yahudi.—Kol. 1:5, 23.

9. Seperti yang dinubuatkan, apakah yang berlaku kepada ibadat sejati?

9 Namun, seraya masa berlalu, sidang Kristian mula tercemar. (Kis. 20:29, 30; 2 Ptr. 2:2, 3; Yud. 3, 4) Yesus berkata bahawa “Si Jahat,” iaitu Syaitan akan menyebabkan kemurtadan merebak dalam sidang Kristian. Hal ini akan berlanjutan sehingga penghujung sistem dunia ini. (Mat. 13:37-43) Kemudian, Yehuwa akan melantik Yesus sebagai Raja ke atas umat manusia. Hal ini berlaku pada Oktober 1914 yang menandakan permulaan “hari-hari terakhir” sistem dunia Syaitan.—2 Tim. 3:1.

10. (a) Apakah tarikh penting yang disebarkan oleh orang Kristian terurap? (b) Apakah yang berlaku pada Oktober 1914, dan bagaimanakah kita mengetahui hal ini?

10 Sejak awal lagi, orang Kristian terurap menyebar tentang suatu tarikh yang penting, iaitu Oktober 1914. Pada tahun  itu Kerajaan Tuhan mula memerintah. Pemahaman mereka adalah berdasarkan nubuat Daniel mengenai sebuah pokok besar yang dipotong lalu bertumbuh selepas “tujuh tahun.” (Dan. 4:16) Yesus juga menjelaskan tanda yang menunjukkan bahawa dia telah menjadi Raja dan bahawa hari-hari terakhir bermula. Peristiwa dunia sejak tahun 1914 jelas membuktikan bahawa Yesus ialah Raja. (Mat. 24:3, 7, 14; Luk. 21:24) Hari ini, kita menyebar tentang ‘hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Tuhan.’ Hal ini merangkumi fakta bahawa Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan pada 1914.

11, 12. (a) Apakah yang dilakukan oleh Raja baru pada tahun 1919? (b) Apakah perkembangan sejak pertengahan tahun 1930-an? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 Selaku Raja yang baru ditabalkan, Yesus Kristus mula membebaskan orang Kristian terurap daripada belenggu Babilon Besar. (Why. 18:2, 4) Pada tahun 1919, selepas Perang Dunia Pertama berakhir, orang Kristian terurap memiliki lebih banyak kebebasan untuk menyebar di seluas dunia. Mereka memberikan kesaksian tentang berita baik Kerajaan Tuhan dan tebusan Yesus yang membawa penyelamatan. Hasilnya, ribuan orang lagi mempelajari kebenaran dan diurapi untuk menjadi raja bersama Kristus di syurga.

12 Pada pertengahan tahun 1930-an, Kristus mula mengumpulkan jutaan “domba-domba lain” dari pelbagai bangsa. Bersama dengan orang Kristian terurap, mereka meniru keberanian Yesus dengan memberikan kesaksian kepada orang lain. Dengan beriman kepada korban tebusan Kristus dan terus melakukan kerja menginjil, mereka berpeluang mengharungi kesengsaraan besar dan menetap di bumi baru Tuhan.—Yoh. 10:16; Why. 7:9, 10, 14.

PUPUKLAH ‘KEBERANIAN UNTUK MEMBERITAHU BERITA BAIK’

13. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, apakah tekad kita? Bagaimanakah kita boleh meniru teladan orang Kristian abad pertama?

13 Kita mempunyai penghormatan yang besar untuk memberikan kesaksian tentang ‘hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Tuhan’ serta janji-janji-Nya bagi masa depan. Memang tidak selalu senang untuk memberikan kesaksian. Orang mungkin bersikap acuh tak acuh. Yang lain pula mengejek atau menindas kita. Maka, kita boleh meniru teladan Paulus dan rakan-rakannya. Paulus berkata, “Meskipun kami mengalami tentangan, Tuhan kita mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu berita baik yang datang daripada-Nya.” (1 Tes. 2:2) Jadi, janganlah putus asa. Sebaliknya kita  ingin terus menunaikan janji pembaktian kita sehingga dunia Syaitan ini binasa. (Yes. 6:11) Kita tidak boleh bergantung pada kemampuan sendiri sahaja. Seperti orang Kristian pada abad pertama, kita mesti berdoa kepada Yehuwa dan memohon daya aktif-Nya serta ‘kekuasaan tertinggi yang dimiliki oleh Tuhan.’—Baca 2 Korintus 4:1, 7; Luk. 11:13.

14, 15. (a) Apakah pandangan orang ramai terhadap orang Kristian abad pertama? Bagaimanakah Petrus menggalakkan orang Kristian? (b) Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, apakah yang harus kita ingat apabila orang lain menindas kita?

14 Hari ini ramai ‘mengaku mengenal Tuhan, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Tuhan; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik.’ (Tit. 1:16) Pada abad pertama, orang Kristian sejati juga dibenci oleh ramai orang. Itulah sebabnya Petrus berkata, ‘Berbahagialah kamu jika kamu dihina kerana kamu pengikut Kristus. Hal ini bererti daya aktif Tuhan ada pada kamu.’—1 Ptr. 4:14.

15 Adakah kata-kata Petrus juga dialami oleh orang Kristian hari ini? Ya, kerana kita menjadi saksi kepada Raja Kristus. Maka, jika kita dihina kerana menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, kita juga akan ‘dihina kerana menjadi pengikut Kristus.’ Yesus pernah memberitahu orang yang menindasnya, ‘Aku datang dengan kuasa Bapaku, tetapi kamu tidak menyambut aku.’ (Yoh. 5:43) Jadi, jika anda ditindas semasa menyebar, ingatlah bahawa Yehuwa berkenan kepada anda dan ‘hal ini bererti daya aktif Tuhan ada pada’ anda.

16, 17. (a) Apakah yang sedang terjadi dengan kerja penyebaran di serata dunia? (b) Apakah tekad anda?

16 Pada masa yang sama, ingatlah tentang peningkatan yang dialami di serata dunia. Di tempat yang kita sering kali menginjil pun masih ada orang yang berminat dalam kebenaran. Marilah kita tekun membuat kunjungan kembali, dan berusaha mengadakan pembelajaran Bible bersama mereka. Kemudian bimbinglah mereka untuk membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptiskan. Sarie yang sudah berkhidmat kepada Yehuwa selama 60 tahun di Afrika Selatan berkata, “Saya sangat berterima kasih kepada Yehuwa atas korban tebusan Yesus yang membolehkan saya menikmati hubungan baik dengan Yehuwa, Pemerintah Agung kita. Saya juga sangat gembira kerana dapat menyebarkan nama mulia-Nya.” Sarie bersama suaminya, Martinus, telah membantu tiga anak mereka serta ramai orang untuk menyembah Yehuwa. Dia menambah, “Tiada aktiviti lain yang membawa kepuasan sebegini. Melalui daya aktif, Yehuwa memberikan kita kekuatan untuk meneruskan kerja penyelamatan ini.”

17 Tidak kira kita sudah dibaptis atau sedang membuat kemajuan rohani, kita bersyukur kerana dapat bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia. Maka, marilah kita terus memberikan kesaksian, dan berusaha untuk hidup suci di dunia Syaitan ini. Dengan melakukan demikian, kita sedang memuliakan Tuhan yang kita wakili, iaitu Bapa kita yang pengasih di syurga, Yehuwa.