Adakah pembakaran mayat sesuai bagi orang Kristian?

Bible tidak melarang amalan ini.

Bible mengandungi kisah mengenai tubuh dan tulang orang mati yang dibakar. (Yos. 7:25; 2 Taw. 34:4, 5) Mayat yang dibakar mungkin tidak layak dikuburkan. Namun, hal ini tidak selalu bermaksud demikian.

Perhatikan kisah kematian Raja Saul dan tiga orang anaknya. Mereka mati semasa berperang dengan orang Filistin. Salah seorang anak Saul ialah Yonatan, sahabat karib dan penyokong setia Daud. Orang Israel dari Yabes di Gilead mengetahui apa yang berlaku, lalu membawa kembali mayat mereka, membakarnya, dan kemudian mengebumikan tulang mereka. Daud memuji tindakan orang Israel tersebut.—1 Sam. 31:2, 8-13; 2 Sam. 2:4-6.

Bible menyatakan bahawa orang mati dapat dibangkitkan, iaitu Tuhan dapat mengembalikan nyawa seseorang. Tidak kira mayat seseorang dibakar atau tidak, Yehuwa mampu membangkitkan orang tersebut dengan badan yang baru. Semasa tiga pemuda Ibrani dibuang ke dalam relau api oleh Raja Nebukadnezar, mereka tidak meragui kemampuan Tuhan untuk membangkitkan mereka, walaupun tubuh mereka terbakar. (Dan. 3:16-18) Situasi ini juga sama dengan umat Yehuwa yang berada di kem Nazi. Mereka dibunuh dan kemudian dibakar. Ada juga yang kehilangan nyawa akibat letupan sehingga mayat mereka tidak dapat dijumpai. Walaupun demikian, mereka tetap akan dibangkitkan.—Why. 20:13.

Yehuwa tidak memerlukan tubuh asal untuk membangkitkan seseorang. Hal ini terbukti daripada kemampuan Tuhan untuk membangkitkan orang Kristian terurap ke syurga. Sebagaimana Yesus “dihidupkan semula dalam keadaan rohani,” orang Kristian terurap dibangkitkan sebagai orang yang sama, tetapi dengan tubuh roh. Mereka tidak memerlukan tubuh jasmani untuk ke syurga.—1 Ptr. 3:18; 1 Kor. 15:42-53; 1 Yoh. 3:2.

Pembangkitan seseorang tidak bergantung pada apa yang berlaku kepada mayatnya. Sebaliknya, pembangkitan bergantung pada iman seseorang terhadap keupayaan dan keinginan Tuhan untuk menunaikan janji-Nya. (Kis. 24:15) Kita mungkin tidak memahami sepenuhnya cara Tuhan membangkitkan orang mati pada zaman kuno atau pada masa depan. Namun, kita masih yakin akan kemampuan Yehuwa untuk membangkitkan orang. Dia telah membangkitkan Yesus “supaya semua orang yakin akan hal itu.”—Kis. 17:31; Luk. 24:2, 3.

Orang Kristian harus mengambil kira kebiasaan tempatan dan undang-undang negara mengenai amalan pembakaran mayat. (2 Kor. 6:3, 4) Keputusan untuk membakar mayat merupakan keputusan peribadi atau keputusan ahli keluarga.