Pada suatu pagi yang sangat sejuk, saya dan isteri, Evelyn, menaiki kereta api di Hornepayne, Ontario, Kanada. Seorang saudara tempatan telah menjemput kami. Selepas bersarapan dengan saudara itu bersama isteri dan anaknya, kami berjalan merentasi salji untuk menginjil dari rumah ke rumah. Pada petang itu, iaitu tahun 1957, saya memberikan ceramah pertama sebagai penyelia litar. Hanya kami berlima yang hadir.

SEBENARNYA, saya tidak kisah jika hanya sedikit hadirin yang mendengar ceramah saya. Saya seorang pemalu. Malah, semasa muda, saya selalu bersembunyi apabila tetamu datang ke rumah walaupun saya mengenali mereka.

Untuk melaksanakan tugas dalam organisasi Yehuwa, saya perlu bergaul dengan ramai orang, termasuk orang yang tidak dikenali. Namun, saya masih bergelut dengan sifat malu dan kurang keyakinan diri. Oleh itu, semua yang saya capai adalah dengan bantuan Yehuwa. Saya telah menyaksikan kebenaran janji Yehuwa, “Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.” (Yes. 41:10) Salah satu cara utama Yehuwa membantu saya ialah melalui rakan Kristian. Mari saya ceritakan pengalaman saya sejak kecil.

MENGGUNAKAN BIBLE DAN BUKU NOTA KECIL

Di ladang kami di Ontario

Pada pagi Ahad tahun 1940-an, Elsie Huntingford datang menyebar ke rumah kami di Ontario. Dia disambut oleh ibu. Oleh sebab bapa juga pemalu seperti  saya, kami hanya duduk di dalam rumah sambil mendengar. Bapa berfikir bahawa Saudari Huntingford ingin menjual sesuatu kepada ibu. Jadi, bapa pergi dan memberitahu saudari itu bahawa kami tidak berminat. Saudari Huntingford bertanya, “Kamu tidak berminat untuk belajar Bible?” Bapa menjawab, “Oh kalau begitu, sudah tentu kami berminat.”

Saudari Huntingford telah melawat kami pada masa yang terbaik. Ibu bapa saya ialah ahli gereja yang aktif, tetapi mereka meninggalkan gereja tersebut. Mengapa? Sebab di ruang masuk gereja, pemimpin gereja telah memaparkan senarai nama penderma mengikut jumlah derma yang diberikan. Ibu bapa saya berpendapatan rendah, maka nama mereka selalu berada di bahagian bawah senarai. Para pemimpin gereja mendesak mereka untuk menderma lebih banyak wang. Selain itu, seorang pemimpin gereja mengaku bahawa dia sebenarnya tidak percaya akan apa yang dia ajar, tetapi dia menjalankan tugasnya supaya dapat terus bekerja di sana. Walaupun kami meninggalkan gereja, kami masih mendahagakan perkara-perkara rohani.

Memandangkan kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa dilarang di Kanada, Saudari Huntingford mengendalikan pembelajaran dengan hanya menggunakan sebuah Bible dan beberapa catatan daripada buku nota kecilnya. Apabila dia berasa yakin bahawa kami tidak akan melaporkannya kepada pihak berkuasa, dia memperkenalkan bahan bacaan Bible kepada kami. Setiap kali kami habis belajar, kami menyembunyikan bahan bacaan tersebut. *

Ibu bapa saya mendapat kebenaran semasa penyebaran dari rumah ke rumah, mereka dibaptis pada 1948

Walaupun menghadapi tentangan dan halangan, Saudari Huntingford menginjil dengan bersemangat. Sikapnya mendorong saya untuk berpegang teguh pada kebenaran. Saya dibaptis pada 27 Februari 1949, iaitu setahun selepas ibu bapa saya dibaptis. Saya dibaptis di dalam sebuah palung besi yang digunakan untuk memberikan air kepada ternakan. Pada masa itu saya berumur 17 tahun. Selepas itu, saya bertekad untuk menceburi khidmat sepenuh masa.

YEHUWA MEMBANTU SAYA UNTUK BERANI

Saya hairan apabila dijemput ke Bethel pada 1952

Saya ragu-ragu untuk merintis dengan segera. Untuk suatu jangka masa, saya bekerja kerana ingin  mengumpulkan wang untuk merintis pada kemudian hari. Memandangkan saya tidak berpengalaman, sebaik sahaja diberikan gaji, saya pun cepat menghabiskannya. Maka, seorang saudara yang bernama Ted Sargent menggesa saya untuk memberanikan diri dan beriman kepada Yehuwa. (1 Taw. 28:10) Dengan galakannya, saya mula merintis pada November 1951. Saya hanya ada 40 dolar, sebuah basikal terpakai, dan sebuah beg baru. Tetapi Yehuwa selalu memenuhi keperluan saya. Saya sangat bersyukur kerana Ted menggalakkan saya untuk merintis! Oleh itu, saya dapat menikmati lebih banyak berkat.

Pada hujung bulan Ogos 1952, saya menerima panggilan telefon dari Toronto. Pejabat cawangan Kanada telah menjemput saya untuk berkhidmat di Bethel bermula bulan September. Walaupun saya pemalu dan tidak pernah melawat ke situ, saya berasa teruja kerana ramai perintis lain telah memberitahu saya perkara-perkara yang baik sekali tentang Bethel. Saya terus berasa selesa di sana.

‘TUNJUKKAN BAHAWA KAMU MENGAMBIL BERAT’

Dua tahun selepas tiba di Bethel, saya menggantikan Bill Yacos sebagai koordinator badan penatua bagi salah sebuah sidang di Toronto. Saya hanyalah seorang budak desa yang berumur 23 tahun. Namun, saudara Yacos dengan rendah hati dan penuh kasih mengajar saya apa yang perlu dilakukan. Yehuwa memang telah membantu saya.

Saudara Yacos ialah seorang saudara berbadan besar dan pendek. Dia selalu mengambil berat terhadap orang lain. Dia mengasihi saudara saudari dan mereka mengasihinya. Dia selalu melawat mereka, bukan hanya ketika mereka menghadapi masalah. Bill Yacos menggalakkan saya untuk meniru teladannya dan bekerja bersama saudara saudari semasa menginjil. Dia berkata, “Ken, tunjukkan kepada saudara saudari bahawa kamu mengambil berat terhadap mereka. Hal ini akan memudahkan mereka untuk memaafkan kelemahan kamu.”

ISTERIKU MEMPERLIHATKAN KASIH YANG SETIA

Yehuwa juga telah membantu saya dalam cara yang istimewa sejak Januari 1957. Pada bulan itu, saya berkahwin dengan Evelyn yang pernah menghadiri sekolah Gilead ke-14. Sebelum berkahwin, dia merintis di Quebec. Orang di sana berbahasa Perancis dan kebanyakan daripada mereka penganut Roman Katolik. Maka, tugasan Evelyn di sana amat sukar. Namun, dia melaksanakan tugasnya serta bergantung pada Yehuwa dengan setia.

Saya dan Evelyn berkahwin pada 1957

Evelyn juga setia kepada saya. (Ef. 5:31) Malah, kesetiaannya diuji sejurus selepas kami berkahwin! Kami bercadang untuk ke Florida A.S. Tetapi, sehari selepas perkahwinan kami, pejabat cawangan meminta saya untuk menghadiri perjumpaan di Bethel Kanada selama seminggu. Sudah tentu perjumpaan ini menjejaskan rancangan kami. Jadi, kami membatalkan bulan madu kami kerana ingin melakukan apa yang Yehuwa suruh. Pada minggu itu, Evelyn menginjil di kawasan berdekatan pejabat cawangan. Walaupun kawasan ini berbeza daripada Quebec, dia tekun dalam khidmatnya.

Pada hujung minggu itu, saya ditugaskan ke Ontario sebagai penyelia lawatan. Saya baru berkahwin dan hanya berumur  25 tahun. Walaupun kurang pengalaman, kami tetap beriman pada Yehuwa. Waktu itu musim sejuk di Kanada dan kami menaiki kereta api pada waktu malam bersama beberapa penyelia litar yang kembali ke tugasan masing-masing. Mereka sangat berpengalaman dan menggalakkan! Seorang saudara menawarkan tempat tidurnya dalam kereta api agar kami tidak duduk sepanjang malam. Pada keesokan harinya, iaitu 15 hari selepas berkahwin, kami melawat kumpulan kecil di Hornepayne yang disebut pada awal rencana.

Banyak perubahan yang menantikan kami. Semasa menjalankan kerja distrik pada lewat tahun 1960, saya dijemput untuk menghadiri Sekolah Gilead ke-36. Sekolah ini mengambil masa 10 bulan dan bermula pada Februari 1961 di Brooklyn, New York. Saya berasa gembira, namun saya kecewa kerana Evelyn tidak dijemput. Maka, Evelyn diminta untuk menulis surat yang menyatakan bahawa dia rela berpisah dengan saya sekurang-kurangnya selama 10 bulan. Evelyn menangis, tetapi kami memutuskan agar saya menghadiri sekolah tersebut. Evelyn ingin saya menikmati latihan di Sekolah Gilead.

Sementara itu, Evelyn berkhidmat di pejabat cawangan Kanada. Dia berpeluang untuk berkongsi bilik dengan seorang saudari terurap, Margaret Lovell. Sudah tentu, saya dan Evelyn saling merindui. Tetapi dengan bantuan Yehuwa, kami dapat menjalankan tugas kami. Kerelaannya untuk berpisah agar kami dapat digunakan oleh Yehuwa dengan sepenuhnya sangat menyentuh hati saya.

Selepas berkhidmat di Bethel selama tiga bulan, Saudara Nathan Knorr yang mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran sedunia, menawarkan jemputan yang istimewa. Dia bertanya sama ada saya rela meninggalkan Sekolah Gilead dan menjadi pengajar Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di pejabat cawangan Kanada. Saudara Knorr memberitahu bahawa saya boleh menolak jemputan dan meneruskan kursus di Sekolah Gilead lalu ditugaskan sebagai mubaligh. Namun, jika saya kembali ke Kanada, saya mungkin tidak lagi dijemput ke Sekolah Gilead tetapi akan terus ditugaskan di Kanada. Dia membiarkan saya berbincang dengan isteri dan membuat keputusan sendiri.

Oleh sebab Evelyn sudah memberitahu saya pandangannya tentang tugasan teokratik, saya serta-merta memberitahu Saudara Knorr, “Apa sahaja yang organisasi Yehuwa ingin kami lakukan, kami gembira melakukannya.” Tidak kira apa pilihan kami, kami patut menerima apa sahaja tugasan yang diberikan organisasi Yehuwa.

Pada April 1961, saya meninggalkan Brooklyn dan balik ke Kanada untuk mengajar di  Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Kemudian, kami berkhidmat di Bethel. Selepas itu, saya hairan apabila menerima jemputan untuk menghadiri Sekolah Gilead yang ke-40 pada 1965. Sekali lagi, Evelyn perlu menulis surat untuk menyetujui perpisahan kami. Tetapi beberapa minggu kemudian, Evelyn menerima jemputan untuk menghadiri sekolah itu bersama saya. Kami berasa sangat gembira.

Selepas kami tiba di Sekolah Gilead, Saudara Knorr memberitahu kami bahawa pelajar-pelajar yang mengikuti kelas bahasa Perancis, seperti kami, akan dihantar ke Afrika. Meskipun demikian, kami ditugaskan ke Kanada! Saya dilantik sebagai Koordinator Jawatankuasa Cawangan. Saya baru berumur 34 tahun. Saya memberitahu Saudara Knorr, “Saya masih muda.” Tetapi dia menggalakkan saya. Apabila membuat keputusan yang berat, saya sentiasa meminta pendapat saudara yang lebih tua dan berpengalaman di Bethel.

BETHEL—TEMPAT UNTUK BELAJAR DAN MENGAJAR

Khidmat di Bethel telah membantu saya untuk belajar daripada rakan seiman. Saya menghormati dan kagum terhadap ahli Jawatankuasa Cawangan yang lain. Saya juga menerima galakan daripada ratusan orang yang saya jumpa di Bethel dan di sidang-sidang di mana kami pernah berkhidmat, tidak kira yang muda atau tua.

Mengendalikan ibadat pagi untuk ahli Bethel Kanada

Khidmat di Bethel juga membolehkan saya melatih orang lain dan menguatkan iman mereka. Rasul Paulus memberitahu Timotius, “Hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu.” Dia juga berkata, “Ajaran yang engkau dengar ketika aku mengisytiharkannya di hadapan banyak saksi, hendaklah engkau percayakan kepada orang yang boleh dipercayai dan yang dapat mengajar orang lain.” (2 Tim. 2:2; 3:14, ABB) Ada kalanya orang bertanya mengenai pengajaran yang saya peroleh daripada khidmat selama 57 tahun di Bethel. Saya memberitahu mereka, buatlah apa yang dikehendaki oleh organisasi Yehuwa dengan rela dan segera, serta bergantunglah pada Yehuwa.

Rasanya seperti baru kelmarin saya datang ke Bethel. Masa itu saya pemalu dan tidak berpengalaman. Namun, Yehuwa telah memegang tangan saya dan memimpin saya selama ini. Melalui bantuan dan galakan daripada rakan seiman, saya dapat mendengar kata-kata Yehuwa, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”Yes. 41:13.

^ per. 10 Pada 22 Mei 1945, kerajaan Kanada membatalkan larangan ke atas kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa.