Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

“Terdapat Banyak Kerja Menuai yang Masih Perlu Dilakukan”

“Terdapat Banyak Kerja Menuai yang Masih Perlu Dilakukan”

George Young tiba di Rio de Janeiro pada Mac 1923

PADA 1923, sebuah dewan di São Paulo penuh dengan orang yang ingin mendengarkan ceramah George Young! Ayat demi ayat diterjemahkan ke dalam bahasa Portugis. Semua 585 orang hadirin mendengar dengan teliti. Ayat Bible dalam bahasa Portugis dipaparkan pada skrin. Acara kemuncaknya adalah apabila ratusan buku kecil Millions Now Living Will Never Die! diedarkan dalam bahasa Portugis, Inggeris, Jerman, dan Itali. Ceramah itu mendapat sambutan yang baik sekali! Semua orang bercakap tentangnya. Dua hari kemudian, dewan itu penuh sekali lagi semasa ceramah diberikan. Bagaimanakah semua ini terjadi?

Pada 1867, Sarah Bellona Ferguson berpindah dari Amerika Syarikat ke Brazil. Pada 1899, Sarah telah menemui kebenaran apabila membaca bahan bacaan Bible yang dibawa oleh adiknya dari Amerika Syarikat. Oleh sebab dia gemar membaca, dia telah melanggan majalah Watch Tower dalam bahasa Inggeris. Kerana kagum dengan mesej ini, dia menulis kepada Saudara C. T. Russell bahawa dia ialah bukti kebenaran telah sampai ke tempat yang jauh.

Can the Living Talk With the Dead? (Bahasa Portugis)

Sarah Ferguson mengongsi kebenaran dengan bersungguh-sungguh kepada orang lain. Tetapi dia sering tertanya siapa yang akan membantunya dan keluarganya, serta semua orang baik di Brazil. Pada 1912, Bethel Brooklyn memberitahunya bahawa ada orang akan datang ke São Paulo membawa ribuan risalah dalam bahasa Portugis. Pada 1915, dia berkata bahawa dia selalu berasa hairan kerana ramai Pelajar Bible berharap untuk naik ke syurga tidak lama lagi. Maka, dia menulis sepucuk surat, “Bagaimana pula dengan Brazil dan seluruh Amerika Selatan? . . . Amerika Selatan ialah benua yang besar. Jadi terdapat banyak kerja  menuai yang masih perlu dilakukan.” Ya, banyak kerja menuai harus dilaksanakan!

Sekitar 1920, sementara menunggu kapal perang dibaiki, lapan pelayar muda yang berbangsa Brazil menghadiri perjumpaan di Bandar Raya New York. Apabila mereka kembali ke Rio de Janeiro, mereka mengongsi pengetahuan Bible kepada orang lain. Tidak lama selepas itu, pada Mac 1923, George Young, seorang penyelia lawatan tiba di Rio de Janeiro. Di sinilah dia menemui orang yang berminat. Dia mengatur agar bahan bacaan diterjemahkan ke dalam bahasa Portugis. Kemudian, Saudara Young melawat São Paulo, kota yang mempunyai seramai 600,000 penduduk. Di sana dia memberikan ceramah dan mengedarkan buku kecil Millions, yang disebut pada awal rencana ini. Dia memperkenalkan ceramahnya melalui iklan surat khabar. Katanya, “Inilah iklan pertama bagi ceramah umum yang diberikan di bawah nama I.B.S.A. di Brazil.” *

Ayat Bible dipaparkan pada skrin semasa Saudara Young memberikan ceramah

Sebuah laporan dalam Watch Tower 15 Disember 1923 berkata, “Cara Tuan telah memberkati kerja ini adalah menakjubkan memandangkan tiada bahan bacaan apabila kerja penyebaran bermula pada 1 Jun.” Laporan itu juga berkata bahawa ceramah yang diberikan di São Paulo adalah 2 daripada 21 ceramah yang diberikan Saudara Young antara 1 Jun hingga 30 September dengan seramai 3,600 hadirin. Di Rio de Janeiro, berita baik juga disebarkan. Dalam masa beberapa bulan, lebih daripada 7,000 bahan bacaan kita diedarkan dalam bahasa Portugis! Bahkan, The Watch Tower mula diterjemahkan ke dalam bahasa Portugis bermula dengan terbitan November-Disember 1923.

Sarah Bellona Ferguson, orang pertama yang melanggan Watch Tower bahasa Inggeris di Brazil

George Young juga telah berjumpa dengan Sarah Ferguson. Pada waktu itu Sarah tidak terkata-kata untuk seketika. Sarah memegang tangan Saudara Young dan menatap wajahnya dengan tulus. Dia sangat teruja dan berkata, “Adakah kamu benar-benar seorang penyelia lawatan?” Kemudian, dia dan empat orang anaknya dibaptis. Dia telah menunggu selama 25 tahun untuk dibaptis! Watch Tower 1 Ogos 1924 melaporkan bahawa 50 orang telah dibaptis di Brazil, terutamanya di Rio de Janeiro.

Sekarang, kita tidak perlu bertanya, “Bagaimana pula dengan Brazil dan seluruh Amerika Selatan?” Lebih daripada 760,000 Saksi sedang menginjil di Brazil. Di serata Amerika Selatan, berita baik diumumkan dalam bahasa Portugis, Sepanyol, dan bahasa tempatan yang lain. Kata-kata Sarah Ferguson pada 1915 terbukti benar, “Terdapat banyak kerja menuai yang masih perlu dilakukan.”—Dari khazanah rohani kita di Brazil.

^ per. 6 I.B.S.A. ialah International Bible Students Association (Persatuan Pelajar Bible Antarabangsa).