Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Yakinlah bahawa Yehuwa ialah Penolongmu!

Yakinlah bahawa Yehuwa ialah Penolongmu!

“Dengan penuh keyakinan kita berkata, ‘Tuhan Penolongku.’”IBR. 13:6.

1, 2. Apakah cabaran yang dihadapi oleh orang yang bekerja di tempat jauh dan kemudiannya pulang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

“DI LUAR negara, saya mempunyai pekerjaan yang baik dan gaji lumayan,” kata Eduardo. * “Tetapi sewaktu mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, saya sedar bahawa saya memiliki tanggungjawab yang lebih penting, iaitu menjaga keluarga secara rohani, dan bukan hanya secara jasmani. Oleh itu, saya pulang kepada mereka.”Ef. 6:4.

2 Eduardo tahu bahawa Yehuwa gembira apabila dia kembali kepada keluarganya. Tetapi seperti Maria dalam rencana sebelumnya, Eduardo akan mengalami cabaran. Dia harus memperbaiki hubungan keluarganya dan mencari wang yang cukup untuk menyara mereka. Bagaimanakah dia akan melakukannya? Bagaimanakah sidang dapat membantu?

MEMPERBAIKI KEROHANIAN DAN HUBUNGAN KELUARGA

3. Apakah kesannya pada anak apabila ibu atau bapa meninggalkan mereka?

3 “Saya sedar bahawa saya telah mengabaikan anak-anak saya pada saat mereka memerlukan bimbingan dan kasih sayang,” kata Eduardo. “Saya tidak pernah membaca cerita Bible, berdoa, memeluk, dan bermain bersama mereka.” (Ul. 6:7)  Anak sulungnya, Anna berkata, “Saya berasa terabai kerana bapa tidak bersama kami. Apabila dia pulang, kami hanya kenal muka dan suaranya. Saya berasa kekok apabila dia memeluk saya.”

4. Mengapakah seorang bapa sukar menjadi ketua keluarga apabila dia tidak bersama keluarga?

4 Bekerja jauh daripada keluarga menjejaskan tanggungjawab seorang bapa sebagai ketua keluarga. Ruby, Isteri Eduardo, berkata, “Saya terpaksa memenuhi peranan seorang bapa dan seorang ibu. Kebanyakan keputusan keluarga dibuat oleh saya. Apabila Eduardo kembali, saya perlu belajar maksud ketundukan Kristian. Kadangkala saya lupa bahawa suami saya sudah kembali.” (Ef. 5:22, 23) Eduardo berkata, “Apabila anak-anak saya ingin melakukan sesuatu, mereka biasanya mendapat kebenaran ibu.” Dia menambah, “Saya juga harus mengambil pimpinan dalam keluarga mengikut prinsip Bible.” Ruby dan Eduardo sedar bahawa anak perlu melihat mereka membuat keputusan bersama.

5. Bagaimanakah seorang bapa telah memperbaiki hubungan dengan keluarga selepas pulang? Apakah hasilnya?

5 Eduardo bertekad untuk memperbaiki hubungannya dengan keluarga dan membina iman mereka. Katanya, “Matlamat saya adalah untuk menyemai benih kebenaran dalam anak melalui percakapan serta kelakuan. Saya bukan sekadar berkata bahawa saya mengasihi Yehuwa, saya mahu membuktikannya.” (1 Yoh. 3:18) Adakah Yehuwa memberkati Eduardo? “Dia berusaha untuk menjadi seorang bapa yang baik dan menjalin hubungan yang erat dengan kami. Itu telah membawa kesan yang mendalam,” kata Anna. “Kami berasa bangga apabila bapa berusaha untuk memikul tanggungjawab di sidang. Dunia menjauhkan kami daripada Yehuwa. Namun ibu bapa bertumpu pada kebenaran. Oleh itu kami juga meniru mereka. Bapa juga berjanji untuk tidak meninggalkan kami lagi. Jika dia telah memungkiri janji itu, mungkin saya tidak berada dalam organisasi Yehuwa hari ini.”

MENERIMA TANGGUNGJAWAB

6. Apakah pengajaran yang diperoleh ibu bapa semasa peperangan di Balkan?

6 Semasa peperangan di negara-negara Balkan, kebanyakan orang tidak dapat pergi bekerja. Oleh itu, ibu bapa yang merupakan Saksi meluangkan banyak masa bersama anak di rumah. Mereka bermain, bercakap, dan belajar dengan anak. Maka, anak-anak menjadi lebih gembira walaupun hidup dalam keadaan yang susah. Apakah pengajarannya? Anak ingin bersama ibu bapa lebih daripada wang atau hadiah. Menurut Bible, anak akan meraih manfaat daripada perhatian dan latihan ibu bapa.Ams. 22:6.

7, 8. (a) Apakah yang mungkin terjadi apabila ibu atau bapa pulang? (b) Bagaimanakah ibu bapa dapat memperbaiki hubungan dengan anak?

7 Sedih sekali, sesetengah ibu atau bapa yang pulang mendapati bahawa anak mereka tidak menghiraukan atau tidak mempercayai mereka lagi. Ibu bapa mungkin berkata, “Kenapa kamu tidak menghargai pengorbanan yang saya buat untuk kamu?” Hakikatnya ialah anak-anak berasa sakit hati kerana ibu atau bapa meninggalkan mereka. Bagaimanakah ibu bapa dapat memulihkan hubungan yang renggang ini?

8 Mintalah Yehuwa untuk membantu anda memahami perasaan keluarga dan menunjukkan bahawa anda benar-benar mengasihi mereka. Anda juga perlu sedar bahawa anda telah menyumbang kepada masalah yang dihadapi. Maka, adalah baik untuk meminta maaf dengan tulus. Apabila keluarga melihat usaha anda yang berterusan untuk memperbaiki keadaan, mereka akan tahu bahawa anda benar-benar ikhlas. Jika anda bersabar dan tidak putus asa, ahli keluarga akan mengasihi dan menghormati anda semula.

MENYARA KELUARGA SENDIRI

9. Mengapakah kita perlu berpuas hati dengan keperluan asas?

9 Rasul Paulus menulis bahawa anak dan cucu harus  memenuhi keperluan ibu bapa yang lanjut usia. Namun, Paulus menggesa mereka untuk berpuas hati dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Kita tidak patut mengejar kehidupan yang mewah. (Baca 1 Timotius 5:4, 8; 6:6-10.) Untuk menyara keluarga, orang Kristian tidak perlu mengejar kekayaan dunia yang “tidak kekal.” (1 Yoh. 2:15-17) Kita tidak harus membiarkan ‘kekhuatiran hidup dan keinginan untuk hidup mewah’ menyebabkan keluarga kita hilang harapan “hidup sejati” di dunia baru!Mrk. 4:19; Luk. 21:34-36; 1 Tim. 6:19.

10. Mengapakah bijak untuk tidak berhutang?

10 Yehuwa tahu bahawa kita memerlukan wang. Tetapi wang tidak dapat membantu dan melindungi kita seperti kebijaksanaan daripada Yehuwa. (Pkh. 7:11, 12; Luk. 12:15) Bekerja di negara lain sebenarnya berisiko tinggi. Ramai orang tidak sedar bahawa banyak perbelanjaan diperlukan untuk berpindah ke negara lain. Selain itu, peluang pekerjaan di negara asing tidak terjamin dan ramai yang pulang dengan lebih banyak hutang. Maka, mereka sukar menyembah Tuhan kerana terpaksa bekerja untuk membayar hutang. (Baca Amsal 22:7.) Langkah yang bijak ialah supaya tidak berhutang.

11. Bagaimanakah merancang perbelanjaan keluarga membawa manfaat?

11 Eduardo sedar bahawa untuk menampung perbelanjaan keluarga, dia harus berjimat cermat. Dia dan isterinya merancang perbelanjaan berdasarkan barang-barang yang diperlukan sahaja. Keluarga Eduardo bekerjasama dan mereka tidak membeli banyak barang seperti dahulu. * Eduardo berkata, “Saya memindahkan anak saya dari sekolah swasta ke sekolah kerajaan yang baik.” Dia dan keluarganya juga berdoa agar dia dapat mencari pekerjaan yang tidak mengganggu aktiviti rohani mereka. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa mereka?

12, 13. Apakah yang dilakukan oleh seorang bapa untuk menyara keluarga? Bagaimanakah Yehuwa memberkati usahanya untuk hidup sederhana?

12 Untuk dua tahun yang pertama, pendapatan Eduardo hanya cukup untuk menyara keluarga. Mereka perlu menggunakan wang simpanan dan Eduardo berasa amat letih. Tetapi dia berkata, “Kami dapat menghadiri setiap perjumpaan dan menginjil bersama.” Eduardo memutuskan untuk menolak tawaran kerja yang menjauhkannya daripada keluarga. Dia berkata, “Saya belajar untuk melakukan pelbagai jenis kerja. Jika kerja tertentu tiada, saya dapat buat kerja lain.”

Bolehkah anda belajar pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga anda? (Lihat perenggan 12)

13 Oleh sebab Eduardo membayar hutangnya secara beransur-ansur, dia terpaksa membayar lebih banyak wang kerana kadar faedah yang tinggi. Meskipun demikian, Eduardo rela membayar hutangnya asalkan dia dapat menyembah Yehuwa bersama keluarga. Eduardo berkata, “Gaji saya sekarang tidak melebihi 10 peratus daripada gaji saya di luar negara, tetapi kami tidak kelaparan.” Eduardo berkata, “Tangan Yehuwa tidak terlalu pendek. Bahkan kami sekeluarga memutuskan untuk merintis.” Tidak lama kemudian keadaan ekonomi semakin pulih, dan lebih senang untuk Eduardo menjaga keperluan fizikal keluarganya.Yes. 59:1.

 TEKANAN DARIPADA SAUDARA-MARA

14, 15. Apakah yang boleh dilakukan jika saudara-mara ingin kita mengutamakan wang dan bukannya Yehuwa? Apakah hasilnya jika kita menetapkan teladan yang baik?

14 Di sesetengah tempat, orang berasa bahawa mereka harus memberikan wang dan hadiah kepada saudara-mara dan sahabat. “Itulah budaya di sini, kami suka memberi,” kata Eduardo. Dia menambah, “Tetapi ada hadnya. Dengan sopan saya menerangkan kepada saudara-mara bahawa saya akan memberikan apa yang saya mampu tanpa menjejaskan keperluan rohani keluarga saya.”

15 Saudara-mara yang mengharapkan wang mungkin menjadi marah, kecewa, dan menghina ahli keluarga yang enggan bekerja di luar negara atau yang baru sahaja pulang. Mereka berfikir bahawa orang sebegini tidak mempunyai kasih dan mementingkan diri. (Ams. 19:6, 7) Anna, anak Eduardo berkata, “Apabila kami mengorbankan kebendaan demi kerohanian, saudara-mara mungkin akan faham betapa pentingnya kehidupan Kristian bagi kami. Tetapi jika kami selalu mengikut permintaan mereka, mungkin mereka tidak akan faham.”—Bandingkan 1 Petrus 3:1, 2.

BERIMAN PADA TUHAN

16. (a) Bagaimanakah seseorang dapat ‘menipu diri sendiri’? (Yak. 1:22) (b) Apakah keputusan yang akan diberkati Yehuwa?

16 Seorang saudari yang meninggalkan keluarga untuk bekerja di negara lain memberitahu para penatua, “Keluarga saya telah membuat banyak pengorbanan supaya saya dapat datang ke sini. Malah, suami saya berhenti berkhidmat sebagai penatua. Jadi, saya amat berharap Yehuwa akan memberkati kami.” Yehuwa selalu memberkati keputusan yang dibuat berdasarkan iman terhadap-Nya. Tetapi bagaimanakah Dia akan memberkati keputusan yang bertentangan dengan kehendak-Nya, terutama sekali apabila seseorang sanggup menggadaikan peluang berkhidmat di sidang tanpa alasan yang munasabah?Baca Ibrani 11:6; 1 Yohanes 5:13-15.

17. Mengapakah kita perlu meminta bimbingan daripada Yehuwa sebelum membuat keputusan? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

17 Mintalah bimbingan Yehuwa sebelum anda membuat keputusan supaya anda ­tidak menyesal kemudian. Berdoalah untuk daya aktif, hikmat, dan bimbingan-Nya. (2 Tim. 1:7) Tanyalah diri, “Adakah saya akan tetap menyembah Yehuwa  walaupun ditentang? Adakah saya akan mengikut nasihat-Nya untuk tinggal bersama keluarga walaupun perlu mengurangkan taraf hidup?” (Luk. 14:33) Mintalah nasihat Bible daripada para penatua dan ikutlah nasihat yang diberikan. Dengan ini, anda menunjukkan iman pada janji Yehuwa untuk menolong anda. Penatua tidak boleh membuat keputusan untuk anda, tetapi mereka boleh membantu anda membuat pilihan yang bijak agar anda bahagia.2 Kor. 1:24.

18. Siapakah yang bertanggungjawab menyara keluarga? Bagaimanakah kita dapat membantunya?

18 Yehuwa memberi “tanggungjawab” kepada ketua keluarga untuk menyara keluarga. Mereka mungkin menghadapi godaan dan tekanan untuk bekerja di negara asing. Maka, kita semestinya memuji dan berdoa untuk ketua keluarga yang menjalankan tanggungjawab tanpa meninggalkan keluarga. Jika kecemasan atau bencana berlaku, kita boleh memberikan bantuan dan menunjukkan kasih Kristian kepada mereka. (Gal. 6:2, 5; 1 Ptr. 3:8) Dapatkah anda menolong mereka untuk mencari pekerjaan yang berdekatan atau memberi bantuan semasa kecemasan? Jika begitu, mereka mungkin tidak perlu meninggalkan keluarga untuk bekerja di tempat lain.Ams. 3:27, 28; 1 Yoh. 3:17.

INGATLAH, YEHUWA PENOLONGMU!

19, 20. Mengapakah orang Kristian boleh yakin bahawa Yehuwa akan membantu mereka?

19 Bible menggesa kita, ‘Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Tuhan sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.” Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata, “Yehuwa Penolongku, aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?”’ (Ibr. 13:5, 6) Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat ini?

20 Seorang penatua dari sebuah negara miskin berkata bahawa orang sering memuji Saksi-Saksi Yehuwa kerana mereka selalu gembira. Dia juga berkata bahawa mereka melihat para Saksi sentiasa berpakaian kemas dan memiliki segala keperluan walaupun miskin. Hal inilah yang Yesus janjikan. (Mat. 6:28-30, 33) Sememangnya, Yehuwa mengasihi anda dan menginginkan yang terbaik bagi anda sekeluarga. ‘Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya.’ (2 Taw. 16:9) Perintah Yehuwa mengenai keluarga dan cara menampung keluarga adalah demi kebaikan kita. Dengan mengikut perintah-Nya, kita menunjukkan kasih dan iman kepada-Nya. Bible juga menyatakan, ‘Apabila kita mentaati perintah Tuhan, maka kita mengasihi Tuhan. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.’1 Yoh. 5:3.

21, 22. Mengapakah anda bertekad untuk beriman kepada Yehuwa?

21 Eduardo tahu bahawa dia tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku. Dia berkata, “Saya tidak asyik memikirkan kesilapan saya. Kebanyakan rakan sekerja lama saya kaya, tetapi tidak gembira. Keluarga mereka menghadapi masalah yang serius. Sebaliknya, keluarga kami sangat gembira! Saya kagum dengan saudara saudari lain di negara ini yang mengutamakan perkara rohani meskipun miskin. Kita semua sedang merasai janji Yesus.”Baca Matius 6:33.

22 Pilihlah untuk mentaati dan beriman kepada Yehuwa. Biarlah kasih kepada Tuhan, kepada teman hidup, dan kepada anak mendorong anda untuk memenuhi keperluan keluarga. Yakinlah bahawa ‘Yehuwa ialah Penolongmu.’

^ per. 1 Nama-nama telah diubah.

^ per. 11 Lihat bab 4 dalam buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga, muka surat 45-48, perenggan 2-6.