‘Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan juga hamba kekayaan.’MAT. 6:24.

1-3. (a) Apakah masalah kewangan yang dihadapi ramai orang, dan bagaimanakah sesetengah orang cuba menyelesaikannya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah mereka risau mengenai cara membesarkan anak?

“SUAMI saya, James, berasa letih setelah balik dari kerja setiap hari. Tetapi gajinya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan kami,” kata Maria. * “Saya ingin meringankan bebannya dan mahu anak kami, Jimmy, untuk memiliki benda-benda yang sama dengan rakan sekolahnya.” Maria juga ingin membantu saudara-maranya dan mengumpulkan wang untuk masa depan. Ramai kawannya sudah berpindah ke negara lain untuk mendapat gaji lumayan. Tetapi apabila Maria merenung keputusan ini, dia berasa tidak pasti. Mengapa?

2 Maria berat hati untuk meninggalkan keluarganya yang dikasihi. Mereka selalu melakukan aktiviti rohani bersama. Tetapi dia juga terfikir tentang orang lain yang berpindah jauh daripada keluarga. Mereka nampaknya masih menyembah Yehuwa. Namun dia tertanya-tanya bagaimana dia dapat membesarkan Jimmy dari tempat lain. Adakah dia dapat membesarkan anaknya ‘dengan ajaran dan nasihat Yehuwa’ melalui Internet?Ef. 6:4.

3 Maria mencari nasihat. Suaminya berkata bahawa dia tidak akan menghalang Maria, walaupun dia sebenarnya tidak ingin isterinya pergi. Para penatua dan sesetengah ahli sidang menasihatinya supaya tidak berpindah. Namun ada beberapa saudari yang memberitahunya,  “Jika kamu mengasihi keluarga, kamu akan pindah. Kamu masih dapat menyembah Yehuwa.” Walaupun ragu-ragu, Maria mengucapkan selamat tinggal kepada James dan Jimmy, dan berpindah ke tempat lain. Dia berjanji, “Saya akan balik tidak lama lagi.” *

TANGGUNGJAWAB KELUARGA DAN PRINSIP BIBLE

4. Mengapakah ramai orang berpindah, dan siapakah yang biasanya menjaga anak mereka?

4 Yehuwa tidak mahu hamba-Nya papa kedana. (Mzm. 37:25; Ams. 30:8) Namun sejak dulu lagi, penawar bagi kemiskinan adalah untuk berpindah ke tempat lain. Supaya tidak kebuluran, Yakub telah menghantar anak-anak lelakinya ke Mesir untuk membeli makanan. * (Kej. 42:1, 2) Hari ini, ramai berpindah ke negara lain bukan kerana kebuluran, tetapi kerana menghadapi masalah hutang. Ada pula yang ingin meningkatkan taraf hidup keluarga. Dengan keadaan ekonomi yang merosot, ramai terpaksa berpindah jauh daripada keluarga, sama ada dalam negara atau ke luar negara. Biasanya, anak mereka akan dijaga oleh teman hidup, anak yang lebih tua, datuk, nenek, saudara-mara, atau kawan lain. Walaupun sedih untuk meninggalkan keluarga, mereka berasa bahawa mereka tiada pilihan lain.

5, 6. (a) Apakah yang Yesus ajar mengenai kebahagiaan dan kehidupan yang terjamin? (b) Apakah perkara jasmani yang Yesus ajar untuk didoakan? (c) Bagaimanakah Yehuwa akan memberkati kita?

5 Pada zaman Yesus, ramai orang juga miskin. Mereka mungkin berfikir bahawa dengan memiliki lebih banyak wang, kehidupan mereka akan bahagia dan terjamin. (Mrk. 14:7) Tetapi Yesus tidak mahu mereka berharap pada perkara yang sementara. Dia mahu mereka meraih berkat yang kekal dengan bergantung pada Yehuwa. Dalam Khutbah Di Atas Bukit, Yesus menerangkan bahawa kebahagiaan sejati dan kehidupan yang terjamin bukanlah hasil daripada kebendaan ataupun usaha sendiri, tetapi daripada persahabatan dengan Yehuwa.

6 Dalam doa contoh, Yesus mengajar kita untuk berdoa bagi ‘makanan yang diperlukan pada hari ini,’ bukannya untuk kehidupan yang selesa. Dia berkata kepada pendengarnya, “Jangan kumpulkan harta di dunia . . . Kumpulkanlah harta di syurga.” (Mat. 6:9, 11, 19, 20) Kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-Nya. Dia bukan sahaja akan memperkenankan kita, tetapi Dia memberi jaminan untuk memenuhi segala keperluan kita. Ya, hanya satu cara untuk menikmati kebahagiaan dan kehidupan yang terjamin, iaitu dengan berharap pada Yehuwa, bukannya wang.Baca Matius 6:24, 25, 31-34.

7. (a) Siapakah yang ditugaskan oleh Yehuwa untuk membesarkan anak-anak? (b) Mengapakah ibu bapa perlu membesarkan anak sendiri?

7 ‘Mengutamakan kehendak Tuhan’ juga bermaksud mempunyai pandangan-Nya mengenai tanggungjawab keluarga. Hukum Musa mengandungi prinsip yang boleh diterapkan oleh orang Kristian. Ibu bapa harus mengajar anak sendiri untuk menyembah Yehuwa. (Baca Ulangan 6:6, 7.) Tuhan memberikan tugas ini kepada ibu bapa, bukannya kepada datuk, nenek, atau orang lain. Raja Salomo berkata, “Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu.” (Ams. 1:8, ABB) Yehuwa ingin keluarga hidup bersama supaya ibu dan bapa boleh membimbing dan mengajar anak. (Ams. 31:10, 27, 28)  Anak-anak akan belajar untuk menyembah Yehuwa apabila mereka melihat ibu bapa bercakap tentang-Nya dan menyembah-Nya setiap hari.

AKIBAT YANG TIDAK DIDUGA

8, 9. (a) Apakah yang biasanya terjadi apabila ibu atau bapa tinggal jauh daripada keluarga? (b) Apakah masalah emosi dan moral yang dihadapi apabila ibu bapa dan anak tidak hidup bersama?

8 Seseorang mungkin tahu bahawa terdapat risiko dan pengorbanan untuk berpindah. Tetapi, ramai tidak menduga semua akibat buruk yang mungkin terjadi. (Ams. 22:3) * Tidak lama selepas Maria pergi, dia pilu kerana terpisah daripada keluarganya. Suami dan anaknya juga berasa sedemikian. Anaknya Jimmy selalu bertanya kepadanya, “Mengapa Mama meninggalkan saya?” Sebenarnya, Maria bercadang untuk pergi selama beberapa bulan sahaja. Namun tahun demi tahun telah berlalu. Dia melihat perubahan yang kurang elok dalam keluarganya. Jimmy kurang bercakap dan tidak lagi meluahkan isi hatinya. Maria berkata, “Kasihnya terhadap saya telah pudar.”

9 Apabila ibu bapa dan anak tidak hidup bersama, mereka mungkin menghadapi masalah dari segi emosi dan moral. * Semakin kecil anak itu dan semakin lama mereka terpisah daripada ibu bapa, semakin teruk akibatnya. Maria menerangkan kepada Jimmy bahawa dia membuat pengorbanan demi kebaikan Jimmy. Namun Jimmy berasa bahawa ibunya tidak mengasihinya lagi. Mula-mula, dia tidak mahu ibunya pergi. Namun, apabila ibunya kembali, dia tidak suka pula. Seperti anak lain yang terpisah daripada ibu atau bapa, Jimmy percaya bahawa ibunya tidak layak disayangi dan dipatuhi.Baca Amsal 29:15.

Anda tidak dapat memeluk anak melalui Internet (Lihat perenggan 10)

10. (a) Apakah yang akan berlaku jika ibu bapa hanya memberikan hadiah, bukannya masa dan perhatian kepada anak mereka? (b) Apakah yang tidak dapat dilakukan oleh ibu atau bapa yang tinggal jauh daripada keluarga?

10 Walaupun berjauhan, Maria cuba mengeratkan hubungannya dengan Jimmy dengan menghantar wang dan hadiah. Namun, hubungan mereka semakin renggang. Tanpa disedari, dia mengajar anaknya untuk mengutamakan kebendaan, bukannya perkara rohani dan hubungan kekeluargaan. (Ams. 22:6) Sedihnya, Jimmy berkata kepada ibunya, “Janganlah kembali, tapi hantarlah lebih banyak hadiah.” Maria mula sedar bahawa dia tidak dapat membesarkan anaknya melalui surat, panggilan telefon, atau panggilan video. Dia menjelaskan, “Saya tidak boleh  memeluk atau mencium anak saya melalui Internet.”

Apakah bahayanya jika anda hidup berjauhan daripada teman hidup? (Lihat perenggan 11)

11. (a) Apakah yang akan terjadi kepada perkahwinan jika salah seorang pasangan tinggal jauh daripada keluarga? (b) Apakah yang menyebabkan Maria ingin kembali kepada keluarganya?

11 Hubungan Maria dengan Yehuwa dan suaminya juga terjejas. Dia hanya dapat meluangkan sehari seminggu untuk menghadiri perjumpaan dan menginjil. Dia juga terpaksa melawan godaan daripada majikannya yang ingin melakukan hubungan seks dengannya. Oleh sebab James dan Maria tinggal berjauhan, mereka tidak dapat bercakap tentang masalah mereka kepada satu sama lain. Maka, mereka meluahkan isi hati kepada orang lain dan hampir berlaku curang. Walaupun mereka tidak berzina, mereka tidak dapat mengikut perintah Bible untuk ‘memenuhi kewajipan’ sebagai suami isteri. Mereka tidak dapat memenuhi keperluan emosi dan seksual satu sama lain. Mereka juga tidak dapat menikmati masa bersama, memberikan senyuman manis atau pelukan yang biasanya dinikmati oleh suami isteri. (1 Kor. 7:3, 5; Kid. 1:2) Malah, mereka tidak dapat menyembah Yehuwa bersama dengan anak mereka. Maria berkata, “Di konvensyen saya belajar bahawa penyembahan keluarga secara tetap adalah penting bagi keluarga saya untuk mengharungi hari Yehuwa. Saya sedar bahawa saya perlu pulang dan membina semula kerohanian saya serta hubungan keluarga.”

NASIHAT BAIK DAN NASIHAT BURUK

12. Apakah nasihat Bible yang dapat diberikan kepada orang yang tinggal jauh daripada keluarga?

12 Sewaktu Maria memutuskan untuk pulang, dia menerima nasihat yang baik dan yang buruk. Para penatua memujinya atas iman dan keberaniannya. Namun, ada yang cuba menggalakkan dia untuk terus tinggal kerana dia tidak akan mendapat gaji lumayan jika pulang. Mereka berkata, “Lambat laun kamu akan balik ke sini juga.” Rakan seiman tidak patut memberikan nasihat sebegini. Sebaliknya, mereka harus “mendidik wanita yang muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, . . . dan menjadi suri rumah yang baik,” iaitu di rumah sendiri. ‘Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Tuhan.’Baca Titus 2:3-5.

13, 14. Mengapakah iman yang kuat diperlukan untuk mengutamakan Yehuwa dan bukannya kehendak keluarga? Jelaskan.

13 Ramai yang meninggalkan keluarga untuk mencari pekerjaan di tempat lain dibesarkan dalam budaya yang mengutamakan tradisi dan kehendak keluarga, terutamanya ibu bapa. Seorang Kristian memerlukan iman yang kuat untuk menolak kehendak keluarga demi menyenangkan hati Yehuwa.

14 Fikirkan kisah Karen. “Semasa anak saya lahir, saya dan suami bekerja di  luar negara. Tidak lama sebelum itu, saya mula belajar Bible. Semua ahli keluarga berfikir bahawa saya akan hantar anak saya, Don, pulang untuk dibesarkan oleh ibu bapa saya sehingga kami mempunyai cukup wang.” Sewaktu Karen memutuskan untuk membesarkan Don sendiri, saudara-mara serta suaminya memperolokkannya dan memanggilnya pemalas. Karen berkata, “Pada masa itu, saya berfikir apa salahnya jika ibu bapa saya menjaga Don selama beberapa tahun. Tetapi saya tahu bahawa Yehuwa mengurniakan tanggungjawab untuk membesarkan anak kepada ibu bapa.” Apabila Karen hamil lagi, suaminya yang tidak seiman memintanya untuk menggugurkan kandungannya. Keputusan yang Karen buat sebelum ini telah mendorongnya untuk membuat satu lagi keputusan yang menggembirakan Yehuwa. Sekarang, mereka sekeluarga bahagia kerana hidup bersama. Jika Karen telah membiarkan salah seorang atau kedua-dua anaknya dibesarkan oleh orang lain, hasilnya mungkin berbeza.

15, 16. (a) Bagaimanakah Vicky dibesarkan? (b) Mengapakah dia tidak mahu anaknya dibesarkan dengan cara yang sama?

15 Seorang Saksi bernama Vicky berkata, “Selama beberapa tahun, saya dibesarkan oleh nenek. Adik saya pula dibesarkan oleh ibu bapa. Sewaktu kembali untuk tinggal bersama ibu bapa, perasaan saya terhadap mereka sudah berubah. Adik saya senang meluahkan perasaan, memeluk, dan menikmati hubungan rapat dengan mereka. Saya pula rasa tidak rapat dengan mereka. Meskipun sudah dewasa, saya berasa susah untuk meluahkan perasaan kepada mereka. Saya dan adik telah berjanji untuk menjaga ibu bapa apabila mereka sudah tua. Adik saya melakukannya kerana kasih, tetapi saya melakukannya kerana tanggungjawab.”

16 “Sekarang, ibu ingin saya menghantar anak saya kepadanya untuk dijaga, sebagaimana dia menghantar saya kepada ibunya. Dengan sopan, saya menolak tawaran tersebut,” kata Vicky. “Saya dan suami mahu membesarkan anak kami dalam cara Yehuwa. Saya tidak mahu merosakkan hubungan baik dengan anak saya.” Vicky sedar bahawa untuk berjaya, dia perlu mengutamakan Yehuwa dan prinsip-Nya, bukannya wang dan kehendak keluarga. Yesus berkata, “Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan,”—Tuhan dan Kekayaan.Mat. 6:24; Kel. 23:2.

YEHUWA AKAN MEMBERI KITA “KEJAYAAN”

17, 18. (a) Mengapakah orang Kristian selalu mempunyai pilihan? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Bapa kita, Yehuwa, akan menolong jika kita mengutamakan Pemerintahan dan kehendak-Nya. (Mat. 6:33) Maka, orang Kristian selalu mempunyai pilihan. Yehuwa berjanji untuk menyediakan “jalan keluar” daripada semua masalah tanpa melanggar prinsip Bible. (Baca 1 Korintus 10:13.) Jika kita ‘menunggu dengan sabar’ untuk Yehuwa, berdoa meminta kebijaksanaan dan bimbingan-Nya, serta mengikut semua perintah dan prinsip-Nya, ‘Dia akan menolong kita.’ (Mzm. 37:5, 7) Yehuwa akan melihat usaha kita dan memberikan segala yang kita perlukan. Jika kita mengutamakan Tuhan, Dia akan memberikan “kejayaan” kepada kita.—Bandingkan Kejadian 39:3.

18 Bagaimanakah kita dapat membaiki akibat buruk yang disebabkan oleh perpisahan daripada keluarga? Apakah langkah praktikal yang boleh kita ambil supaya dapat menampung perbelanjaan keluarga tanpa berpisah dengan mereka? Bagaimanakah kita boleh menggalakkan orang lain untuk membuat keputusan bijak mengenai hal ini? Rencana seterusnya akan membincangkan soalan-soalan ini.

^ per. 1 Nama-nama telah diubah.

^ per. 3 Walaupun rencana ini merujuk kepada seorang wanita, prinsip yang dibincangkan juga berkaitan dengan kaum lelaki.

^ per. 4 Setiap kali anak-anak Yakub ke Mesir, mereka berjauhan daripada keluarga tidak melebihi tiga minggu. Apabila Yakub dan anaknya berpindah ke Mesir, mereka membawa isteri dan anak-anak juga.Kej. 46:6, 7.

^ per. 8 Lihat majalah berita terbitan Februari 2013, muka surat 6-9.

^ per. 9 Menurut laporan dari pelbagai negara, banyak masalah serius terjadi apabila seseorang tinggal jauh daripada teman hidup atau anak-anak. Hal ini termasuk kecurangan, hubungan sejenis, atau sumbang mahram. Anak mungkin menghadapi masalah sekolah dan tingkah laku. Mereka mungkin berasa marah, khuatir, murung, malah mempunyai keinginan untuk membunuh diri.